Konvo Akhirnya..

konvo 1

2 tahun bertungkus-lumus menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. Tidaklah tua mana, tetapi kerana lama meninggalkan kerusi dewan kuliah, agak perlahan rentak membiasakan diri sebagai seorang pelajar. Ia mengingatkan aku akak subjek dan predikat yang membawa aku bersungguh mahu kembali ke ruang lingkup universiti. Bermula dari habluran jiwa retak atas pelbagai faktor, memenuhi azam sebelum mati dan mengisi kekosongan hidup yang belum tercapai matlamat. Ah, ia terlalu bermakna untuk aku kenang dan jadikan kekuatan memperbaiki diri yang serba lompong di sana-sini.

Aku masih ingat betapa blur-blur lipas sungguh keadaan aku kala itu. Bila mana aku memutuskan aku harus berehat seketika dan menyambung pelajaran, faktor kewangan menjadi asas pertimbangan yang utama. Aku tidak mahu menambah beban dengan berhutang, sementelah aku sedaya upaya hidup dalam keadaan minima berhutang. Lantas aku tanyakan beberapa manusia yang berpengalaman akan cara untuk memohon biasiswa. Jawapan yang aku dapat sangat berbelit, mengelirukan dan tidak membantu. Aku sendiri tak faham mengapa seolah ada unsur mengelak dalam memberikan jawapan yang telus. Semuanya aku lakukan dengan cara berjudi..Berjudi mencuba memohon tempat dahulu dan disusuli berjudi mencuba mendapatkan biasiswa. Seterusnya aku berjudi dengan memajukan surat memohon cuti untuk sambung belajar dalam keadaan aku sendiri kelam sama ada tindakan ini hujung atau pangkal. Persetankan, yang penting semuanya aku buat serentak.

Menyingkap pengalaman lebih kurang sama sewaktu mencuba memohon biasiswa JPA ketika mengambil ijazah sarjana muda satu masa dahulu. Ada yang tahu bagaimana untuk memohon, dan memohon pun. Tetapi bila aku tanyakan bagaimana caranya, mengelak dengan dasyat seperti pelajar nakal yang mencuri merokok di premis sekolah. Sudahnya atas ehsan seorang, dia memberi satu salinan fotostat borang permohonan. Aku hantar, dia pun hantar. Kami sama-sama dapat. Yang mengelak bersungguh-sungguh itu tak dapat. Ngeh…

Seperti kejadian di atas, rezeki akhirnya milik aku. September 2011 aku kembali menjadi skema gaban dengan menggantung kad matriks dileher. Sah…aku seorang pelajar universiti 🙂

***

Dugaan yang aku lalui sangat besar dan menduga. 6 tahun aku berkahwin, belum ada rezeki hamil. Dalam keadaan menjadi pelajar itulah aku hamil. Kala itu dunia sangat indah. Aku dan suami merasakan aturan hidup kami mulai menampakkan jalannya. Kali pertama hamil dalam keadaan peperiksaan akhir sangat meletihkan. Sentiasa berkejaran dengan masa dan serba-serbi memenatkan. Kala kandungan genap 5 bulan, aku terpaksa melakukan ‘force delivery’ kerana air ketuban pecah awal. Cahaya Balqis dilahirkan dalam keadaan bernyawa. Namun terpaksa dilepaskan pergi menemui pencipta-Nya. Hancur luluh perasaan aku. Sudahlah tengah berjuang dengan peperiksaan akhir. Satu kertas terpaksa aku abaikan. Langit runtuh..Kalau tidak kerana aku kuatkan semangat, aku akui mungkin aku menjadi mental ketika itu. Kawan-kawan dan pensyarah banyak membantu dan memberi semangat untuk aku meneruskan kehidupan. Kerana itu ketika aku disahkan hamil kembali ketika di semester tiga, aku sedaya-upaya sorokkan dari pengetahuan umum. Satu lagi dugaan, aku dan suami kemalangan yang menyebabkan kereta kami rosak teruk selepas 3 kali berpusing berkesudahan terbabas merentang bahu jalan. Yang menjadi asas ceritanya, pagi itu baru aku tahu aku hamil.  Atas dugaan demi dugaan yang menimpa, aku yakin ada rezeki besar menanti.

Kali ini aku lebih berhati-hati. Tinggal 2 semester sahaja lagi. Mengikut perkiraan, aku dijadualkan bersalin ketika tarikh mempertahankan tesis. Aku selalu berdoa agar kehamilan itu tidak menyebabkan aku harus menambah semester dan berjaya menghabiskan pengajian mengikut waktu yang ditetapkan. Sekali lagi pensyarah membantu dengan mempercepatkan tarikh Viva Voce untuk aku. Dalam keadaan sarat 36 minggu, proses itu aku lalui dengan nafas kelegaan yang berganda..Seminggu selepas itu Eskandar Dzulkarnain lahir ke dunia. Segalanya indah kembali..

Alhamdulillah aku mendapat keputusan yang cemerlang. Aku tak sabar nak konvo. Aku tak sabar mahu mengambil gambar keluarga dalam keadaan memakai jubah konvo. Kerana apa? Kerana sewaktu konvo ijazah, ia berlaku dalam keadaan yang biasa. Tiada detik indah bersama keluarga, tiada gambar bersama keluarga. Tiada hadiah yang diterima melainkan jambangan bunga kecil dari Hadi. Dan yang lebih menyediahkan, tiada abah..Dia pergi sebelum sempat melihat aku menerima ijazah. Yang membuatkan aku menangis setiap kali teringat kisah konvo, aku menerima jemputan keluarga untuk konvo selepas kembali dari tanah perkuburan selepas abah disemadikan. Kerana itu konvo ijazah terasa biasa-biasa sahaja walaupun berbintang jua semasa nama aku diumumkan untuk mengambil sijil. Detik itu aku menyimpan azam. Sekiranya ada rezeki untuk berkonvo lagi, aku mahu jadikan peristiwa itu satu memori indah dan mekar dalam hidup yang sementara ini.

Hidup Spank!
Hidup Spank!

Istiadat Konvokesyen ke-79 membuka tirai pada 9 November 2013. Menerima sijil dalam Sidang Satu aku memegang nombor giliran A139. Semuanya menjadi nyata. Aku memiliki sijil sarjana. Aku berpeluang mengabadikan detik itu dengan Hadi dan ED. ED sangat comel..ramai yang ‘meminjam’ dia untuk bergambar bersama. Sengaja aku memilih dia mengenakan baju lebah bersesungut itu kerana ED comel menggayakannya. Pokok pangkalnya dia memang menarik perhatian khalayak.

Mama dan Ameera turut hadir menyaksikan hari bersejarah itu. Aku harap Mama bangga dengan pencapaian sederhana ini. Aku harap Ameera mendapat semangat baru selepas menyaksikan sendiri betapa meriahnya konvo dalam keadaan keputusan cemerlang ditangan. Insyaallah aku akan meneruskan semangat mengejar ilmu ini di masa hadapan. Aku mahu rehat barang setahun-dua sebelum merencana langkah seterusnya.

Jika ada rezeki, aku mahu naik ke pentas itu lagi bersama Hadi. Aku juga mahu naik ke pentas itu lagi bersama Hadi dan ED. Siapa tahu mungkin angan-angan ini menjadi nyata 🙂

Macam comel aje, macam putih aje..
Macam comel aje, macam putih aje..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *