Kita Cipta Ketakutan : Filem Tetap Filem..

Kredit Foto : Berita Harian

Masa kecil dulu, aku selalu cakap lepas dan tidak sangat percaya kepada perkara-perkara yang aku sifatkah tahyul, mengarut dan tak logik. Pada aku, masa itu, semua yang berlaku mesti ada penjelasan dan mesti diterima akal. Kalau akal aku sangkal, secara automatik aku tak akan terima dan semuanya sama dengan tipu

Satu hari aku dan arwah abah bersembang..entah apa biji butirnya aku tak ingat. Cuma selepas itu keluar cerita pasal harimau. Zaman remaja dahulu aku suka keluar masuk hutan untuk berkhemah. Dia sempat mengajar beberapa petua untuk selamat apabila berada dalam hutan. Ok, aku amalkan dan semuanya aman. Berbalik pada harimau, aku memperlekehkan cerita yang abah sampaikan dan sebagai remaja yang bermulut lancang, aku sempat bertanya.. “Iya ke besar tu..tak mungkin harimau sebesar van vanette rumah depan” kata aku melawak dan reaksi itu rupanya mengundang perasaa kurang senang arwah. Dia marah aku dan kata – jangan sampai dia datang baru nak percaya…

Aku tak cuak kala itu…mungkin sebab cerita yang disampaikan tak ubah seperti hikayat. Jadi malam itu aku belajar seperti biasa seorang diri dalam bilik sambil pintu bilik dikuak separuh. Tanpa sengaja aku terpandang dinding luar dan aku lihat jelas kelibat belang harimau seperti sedang melintas. Pantas aku bangun dan tolak habis pintu bilik. Kosong! Tak ada apa…Tiba-tiba aku jadi cuak, campur perasaan takut dan terus aku batalkan sessi ulangkaji.

Esok paginya…aku bangun dengan badan macam kena demam kura-kura. Aku bagitau arwah aku nampak macam belang harimau melintas luar bilik. Dia terkejut…dia tanya apa lagi yang aku nampak? Aku kata hanya belang…

“Itu baru belang…kau tak nampak mukanya. Kau tak percaya besarnya…” kata abah, dan dia menokok beberapa info lain yang aku tak ingat – sebenarnya aku tak mahu ingat!

Yup, aku demam seharian..Arwah buatkan ketegur. Minggu itu aku masuk hutan dengan perasaan berbelah-bagi tapi tidak apa yang berlaku. Selepas itu diikuti beberapa edisi “tak seronok” bila aku masuk hutan. Aku tak boleh nampak hantu..dia nampak aku. Aku pun tak mahu nampak dan tak terfikir membuka hijab. Ramai lagi makhluk dunia yang aku mahu berdamping.

***************

Ya…intro di atas panjang untuk menceritakan apa sebenarnya nak aku tulis. Pasal cerita hantu dan hantu-hantu yang membanjiri pawagam dan juga kerisauan Tun M pasal fenomena cerita hantu.

Filem hantu tak ubah seperti filem rempit, filem cinta, filem cereka dan filem-filem yang mempunyai putaran kekuatan menarik khalayak ke panggung. Aku setuju lambakan filem hantu terutama yang bercorak seram mendorong mewujudkan masyarakat penakut, syirik, percaya pada ilmu hitam dan kembali ke zaman ubi kayu..Cerita berunsur kelakar seram tidak menjadi soal, antara sebab tujuan masyarakat ke pawagam untuk menghilangkan tekanan duniawi.

Kita berbalik kepada cerita seram..tak ada yang seram melainkan seram-seram belaka. Yang berpotensi membuat sawan, histeria, ketakutan melampau ke bilik air apabila balik kampung kerana jamban di luar dan percaya tangkal. Jujurnya aku rasa kerana orang Malaysia, masyarakat melayu khususnya terlalu berhati-hati untuk menceritakan sesuatu tidak nyata,sesuatu yang aib lagi menakutkan dan membuka pekung. Selagi boleh menjadi rahsia, semuanya nak dirahsiakan. Zaman kini yang masa semua benda dan maklumat boleh didapati dengan segera. Remaja zaman sekarang mudah curiga dan kecurigaan menyebabkan mereka mencari jawapan. Kalaulah jembalang toyol setan mak nenek nie semua dikisahkan seperti Cinderella dan Rapunzel, ia tidak akan menjadi wasangka dan kalau tiap-tiap bulan filem serupa ini melonggok dipawagam makanya penerbit filem semua boleh gulung tikar dan buka kedai makan. Orang tak mahu tengok sebab orang dah tahu apa kesudahannya.

Industri filem turut menjana ekonomi..banyak graduan dan pekerja bergantung hidup atas kelangsungan nadi perfileman di Malaysia. Kalau semua orang tak tengok filem, mereka bungkus. Dan mereka menghidangkan apa yang penonton mahu tengok. Jangan cakap dimana tanggungjawap karyawan membentuk bla bla bla bla sebab diorang tak makan gaji bulan. Katalah satu hari nanti fenomenanya filem islamiah, ahli syurga kepak pari-pari bagai menjadi pilihan khalayak, maka itulah yang akan mereka buat untuk mendapat keuntungan. Adalah satu dua yang bersifat nilainya..Itupun atas dasar mahu dipertandingkan di festival antarabangsa.

Aku sedar kerisauan beberapa pemikir yang mana kelangsungan genre seram akan membentuk masyarakat yang kembali ke zaman purba. Aku setuju..tak ada yang benar, melainkan benar-benar belaka. Aku ibaratkan seperti lagu rock kapak tahun 90an yang penuh dengan jiwa retak, lirik macam hidup takde erti walaupun lagak vokalis macam nak membunuh. Kerana lambakan yang menggila, pendengar memilih yang mana tidak mendatangkan rasa jijik dan keji dipendengaran. Satu hari nanti, fenomena filem hantu akan berubah. Kalau semua sibuk buat filem musika, timbul juga kerisauan asyik filem nyanyi-nyanyi aje. (Manusia memang tak puas hati dengan semua benda..deal with it..)

Situasi itu berubah apabila lagu seberang menguasai stesyen radio kita…

Sudahnya aku berhenti dengan mengatakan ia seperti ayam dengan telur..yang mana satu datang dulu?

Kita pilih apa yang kita mahu…kita tak boleh tolak apa yang orang lain mahu. Tapi kalau kita boleh mencari persamaan, itu lebih bahagia..Bagi situasi hantu, percaya pada apa yang mahu percaya. Semuanya ilmu….yang baik simpan. Yang buruk pergi jahanam!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *