KETAGIH KAFE SIBER vs KETAGIH DADAH

Sebagai seorang manusia, aku maklum manusia mempunyai pemikiran yang tersendiri, unik dan relevan. Walaupun pandangan itu tidak relevan pada orang lain, ia tetap relevan pada orang yang menzahirkan pandangan tadi. Seperti catatan Sabdaluka ini…Mungkin tidak relevan pada anda tetapi relevan pada aku untuk memastikan otak aku tak tumpul dan minda aku tak tepu.

Pagi tadi dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang aku terbitkan membincangkan tentang KETAGIHAN KAFE SIBER. Dua panel diundang dan seperti biasa aku menggalakkan orang ramai mengutarakan pendapat mereka menerusi SMS. Sambutannya boleh tahan…Maklum saja kisah salah-laku pelajar, kisah rumahtangga selain subsidi minyak sentiasa menjadi perhatian orang ramai.

Dalam pada sibuk menjadi penerbit, aku sempat menjeling beberapa SMS yang dihantar. Menyalahkan pihak berkuasa @ kerajaan adalah sesuatu yang lumrah saban hari. Tetap aku siarkan untuk membuktikan ketelusan aku sebagai pekerja media kerajaan. Menyalahkan ibubapa itu perkara biasa. Ada juga yang menyalahkan guru, pengusaha Kafe Siber dan macam-macam lagi jari dituding mencari punca adakah ayam atau telur yang menjadi punca kejadian ayam!

Tetapi kali ini lain sikit..Ramai penonton yang aku rasa memang kaki kafe siber menderu-deru menghantar komen SMS. Yang membuatkan aku pening-pening lipas kena spray dengan Ridsect tu apabila mereka mengandalkan ketagihan terhadap kafe siber wajar diterima secara terbuka. Kerana nasib baik mereka ketagih kafe siber daripada ketagih dadah, seks dan arak. Inilah pandangan yang aku rasa tak relevan tetapi aku terima secara terbuka kerana susuk pandang dan pengalaman kita berbeza.

Ketagihan atau kecanduan apapun membawa konotasi dan kesan yang sama. Jangan kata kasta ketagih kafe siber ini tidak sekronik ketagih dadah. Sering kita dengar ibubapa disepak terajang anak yang menagih kerana tidak memberikan duit secukupnya membeli dadah. Baru-baru ini juga sudah terpampang kanak-kanak yang ketagih kafe siber sudah pandai mengugut ibubapa untuk memberi duit demi tuntutan bermain video games..

Setiap kali melalui perbincangan yang banyak adegan tuding-menuding, aku sering bertanya diri sendiri. Mengapa semuanya menyalahkan antara satu sama lain? Kenapa tidak ada yang cuba memberikan solusi dan bertanggungjawab ke atasnya?

Mungkin aku gagal memberikan solusi atau penyelesaian terbaik. Tetapi aku berjaya menilai mentaliti masyarakat kita yang sentiasa berfikiran positif. Tak apalah ketagih kafe siber daripada ketagih dadah…Tak apalah dapat D dalam periksan daripada dapat E.

Kita dibesarkan dengan pegangan ketidakapaan…Aduhai!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *