Kembara Solo Yogyakarta

2-airport

Sudah lama aku memasang impian untuk ke Yogyakarta. Tidak dinafikan lagu Malioboro oleh Doel Sumbang dan Yogyakarta oleh KLA Project menyumbang ke arah keinginan aku untuk ke sana. Tarikan terbesar ke Yogyakarta yang aku tahu hanya Candi Borobudur. Langsung tidak aku memikirkan Prambanan, Gunung Merapi atau tempat-tempat lain. Faktor ini juga mungkin disebabkan aku telah pergi ke Angkor Wat. Jadi keinginan melihat kesenian dan architecture Borobudur itu kuat.

Ini adalah kembara solo pertama – yang aku beranikan diri melakukannya dalam usia aku yang baharu 35 tahun. Orang lain masa muda belia sudah berani berjalan seorang. Aku sahaja yang lambat. Itupun aku hanya berani setakat Asia Tenggara sahaja. Melalui kajian awal yang aku buat, Kota Yogyakarta ini antara kota yang selamat kalau mahu berjalan seorang diri. Jadi permulaan kembara pertama, inilah lokasi yang aku pilih.

Tiket kapal terbang berharga RM382 untuk pergi dan balik. Jika tempah lebih awal, mungkin boleh dapat lebih murah daripada itu. Kos hotel pula kurang daripada RM440 untuk 4 malam, lebih kurang RM110 semalam. Sebenarnya boleh jadi lebih murah kalau memilih hostel atau bercuti berdua, bertiga atau berempat. Bolehlah kos bilik itu dikongsi bersama. Aku pulak mengenangkan kalau duduk hostel, bilik airnya di luar. Ini memang aku tak gemar sangat-sangat. Jadi, bayarlah lebih sikit untuk keselesaan diri sendiri. Hotel yang aku duduk tidaklah seteruk mana, tapi aku tidak mahu berkongsi tajuknya kerana hotel ini sangat asas. Lebih baik korang google aje mana-mana hotel lain yang memenuhi citarasa peribadi. Aku memilih hotel di kawasan Malioboro.

Pada mulanya Hadi mahu menghantar aku ke KLIA 2. Tetapi saat akhir dia ada mesyuarat pula. Mujurlah nombor teksi di kawasan Bandar Saujana Putra memang sentiasa aku simpan. Jadi aku berjanji dengan pemandu teksi pukul 11.30 pagi untuk ke lapangan terbang kerana penerbangan aku dijadualkan pada pukul 3.15 petang lebih kurang.

Jujurnya, pagi itu baharu aku bersiap dan mengemas beg. Malam sebelumnya aku terlalu penat. Jiwa aku terlalu penat dan perasaan aku juga penuh dengan kesedihan dan kehibaan. Aku mendapat berita seorang kawan semasa di universiti telah kembali ke rahmatullah kerana kanser. Sepanjang malam, walaupun badan aku sangat letih tapi emosi aku lebih daripada itu. Boleh dikatakan aku berteman air mata sahaja dan aku sendiri tak sedar aku tidur pukul berapa. Cuma subuh itu Hadi kejutkan dan dia memberitahu dia mahu bersiap-siap ke pejabat. Aku bingkas ke tandas dan minta dia kejutkan pukul 8 pagi kerana aku belum puas tidur.

Teksi yang sepatutnya sampai pukul 11.30 pagi, sampai 10 minit lebih awal. Mujurlah aku sudah bersedia. Sejurus mencapai beg dan mengunci pintu, teksi terus menuju ke KLIA2. Aku tak banyak sembang sangat dengan pemandu teksi itu. Aku masih dalam fasa melayan perasaan dan teringat masa lalu. Oleh kerana trafik tidak teruk, aku tiba di KLIA 2 pada pukul 12.30 tengah hari. Aku sudah mendaftar masuk semalam secara dalam talian. Langsung aku melepak di Marry Brown, menikmati set 2 ketul ayam goreng pedas dan memerhati manusia yang ada disekeliling.

1-marry-brown

Penerbangan dari KLIA2 ke Yogyakarta lewat satu jam kerana masalah teknikal. Itu tidak menjadi soal langsung pada aku. Aku bersangka baik kelewatan itu kerana mereka harus memastikan pesawat dalam keadaan baik sebelum berlepas. Penerbangan mengambil masa 2 jam lebih-lebih sikit la. Aku memang gagal sikit nak adjust masa walaupun beza hanya satu jam.

Aku sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Adisutjipto lebih kurang pukul 5.30 petang WIB. Hari sudah hampir gelap, sudah macam senja pun. Padahal kalau di Malaysia masih lagi terang benderang. Proses imigresen tidak mengambil masa yang lama seperti di Pattaya dahulu. Dari lapangan terbang ke Malioboro kita boleh ke sana sama ada dengan menaiki teksi, bas atau kereta api. Disebabkan sudah mulai gelap, aku naik teksi sahaja dengan 2 pengembara lain yang kebetulan salah seorang daripada mereka duduk sebelah aku semasa dalam pesawat. Namanya Amirul manakala seorang lagi yang persis Fattah Amin bernama Hakim. Sayangnya, aku terlupa untuk mengambil nombor handphone mereka. Tapi dalam hati tu bercakap juga, kalau ada jodoh insyaallah jumpa juga mereka berdua lagi. Durasi masa perjalanan ke hotel lebih kurang 1 jam. Padahal tidaklah jauh berkilometer lemon mana pun, dalam 20km aje. Tetapi macet punya pasal dan traffic light memanjang.

3-bilik

Urusan daftar masuk hotel juga lancar. Mereka seperti sudah dapat mengagak ketibaan aku berdasarkan tempahan dalam talian yang telah dibuat. Usai mandi dan melapor diri dengan Hadi menerusi Whats App, aku terus berjalan-jalan sekitar kawasan hotel. Di sini, lorong dipanggil “gang”. Aku keluar dari gang 2 dan terus mencari warung-warung di tepi jalan. Misi pertama ialah untuk mencuba makanan di sini iaitu “Nasi Kucing.” dan mencuba kopi arang atau “Kopi Joss”. Menurut pemandu teksi yang membawa kami tadi, nasi kucing adalah makanan yang terkenal di sini. Selepas bertanyakan warga tempatan dimanakah Nasi Kucing yang paling sedap di kawasan ini, langkah pun terus menuju ke arah warung atau “angkringan” yang dimaksudkan.

Hadi memang banyak kedai di sini :)
Hadi memang banyak kedai di sini 🙂

Secara peribadi, nasi ini rasanya seperti nasi ambeng tanpa mee goreng dan lauk. Kita boleh pilih goreng-gorengan yang ada untuk menambah lauk. Yang aku makan ini tidak pedas. Yang pedas, masyaallah pedas giler! Itupun aku pau sikit sambal salah seorang pelanggan yang makan versi pedas. Ok, cukuplah sekali Jay Jay aku makan nasi kucing ini. Asal nak rasa aje pun. Sebelum terlupa, goreng-goreng di sini ialah makanan yang digoreng seperti tempe, tahu, pisang dan lain-lain. Kalau di Malaysia, goreng-goreng tu merujuk kepada nasi goreng, bihun goreng atau mee goreng – macam itulah berbezaannya. Dalam lirik lagu Malioboro oleh Doel Sumbang, liriknya “kopi agak manis digelas kaca” itu memang tepat. Minuman yang dibancuh di sini manis-manis belaka. Malam itu aku hanya berteman milo panas kurang gula – itupun masih manis juga 🙂 Kopi Joss tidak dijual di kawasan ini. Jadi misi itu gagal.

4-akringan

5-menu-gorengan

6-nasi-kucing
Nasi Kucing

Sebelum balik ke hotel, aku meronda-ronda disekitar Malioboro. Tempat jualan pakaian digigi jalan ini sentiasa sibuk dengan kunjungan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara Indonesia. Aku sekadar cuci-cuci mata sahaja. Membeli-belah bukan passion aku. Cukup sekadar melihat-lihat dan merencana mahu beli atau tidak.

Itu sahaja aktiviti aku hari pertama di kota Yogyakarta. Aku berasa sangat selesa, tenang dan aman di sini. Alunan lagu Yogyakarta oleh KLA Project bermain secara non-stop ditempurung kepala aku. Benar, ‘tiap sudut menyapaku bersahabat, penuh selaksa makna…’.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *