Kaset Pertama Benny

 

Umum mengetahui aku memang peminat setia M.Nasir sejak kanak-kanak lagi. Namun, tahukah awda kaset pertama yang aku beli ialah album Salih Yaacob – Romantika Di Tampoi . Kalau tak silap, harganya RM12.90 dan aku beli di pasar malam Taman Permata. Pasar malam tu pun sudah jadi kenangan dan kini Giant Taman Permata masih tersergam indah di tapak pasar malam yang aku maksudkan.

Untuk mendapatkan kaset ini, aku harus berusaha mencari duit. Ketika itu, aku belum mahir mengecat kain rentang. Oh, keluarga kami ada perniagaan sampingan iaitu membuat kain rentang, bendera dan sekali-sekala buat tempahan masakan juga. Jadi, kadar upah yang aku dapat tidaklah begitu lumayan.

Satu hari, peluang tiba. Aku ditawarkan menjadi model dengan upah RM10. Kerja tak lama, dalam 4 jam aje. Ha, jangan ingat Hadi aje pernah jadi model. Sebelum dia sunat lagi aku sudah dulu jadi model . Yang offer job inipun bukan orang lain, mama yang minta bantuan.

Sebelum hari kejadian, aku beberapa kali terfikir untuk tarik diri. Perasaan tak mahu, malu dan sedikit takut bersarang dalam hati. Mama berkali-kali pujuk supaya aku tak tarik diri. Mana dia nak cari pengganti lagi kalau last minute aku buat perangai tak mahu.

Akhirnya aku layankan aje. Aku sudah usha kaset ni lama kot. Memang aku nak beli, yang original. Cetak rompak tak mahu. Aku minta mama up payment RM3 sebab aku tak cukup duit. Tengok tu…awal kerjaya sebagai model dah pandai demand.

Hari yang dinanti tiba juga. Pagi Sabtu itu, aku dan mama berjalan ke Tadika Al-Ansar di Taman Permata. Orang belum ramai. Mama datang awal sebab dia urus setia. Menjelang pukul 9:00 pagi, hampir 15-20 orang juga peserta-peserta yang hadir. Sebagai model, kedudukan aku ditengah-tengah. Malu ai…jadi bahan tumpuan.

Aku berbaring. Kemudian dibalut dengan kain putih. Makcik ni pegang kain, makcik tu pegang kain. Aku diam aje…Membatu. Lepas itu, bahagian kaki tu terasa macam diikat. Mereka kemudiannya bertanya macam-macam soalan kepada ustazah dan diakhiri dengan bacaan doa. Selesailah pekerjaan pertama aku hari itu sebagai model jenazah untuk kursus pengurusan jenazah…

“Terima kasih, Benny”. Mama menghulur sampul berisi duit RM13. Malam itu juga aku ke pasar malam dan beli kaset ini. Perasaannya? Happy giler. Kaset ini aku dengar sepanjang masa sama ada dirumah dan aku bawa bersama semasa kami sekeluarga bercuti di Alang Sendayu. Itu antara memori kami sekeluarga yang manis kerana dipinggir hutan nan sunyi, lagu-lagu Salih Yaacob menghiburkan mengisi kesunyian hutan. Sampai low bateri radio aku lanyak, kaset ini punya pasal.

Kaset ini berkhidmat lama. Sampailah ajalnya tiba terputus urat murih bahana radio murah beli dekat Mydin punya angkara.

Sekian.
#apabilakakbennymenulis
#memori

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *