Kaite Kudasai – Pembentangan Pertama

Semalam, aku tidur lambat. Sekitar pukul 2.00 pagi baharulah rasa mengantuk. Mungkin sebab banyak sangat minum kopi sambil menelaah nota bahasa. Kerana itu pagi tadi aku bangun agak lambat. Call time pagi ini pun lambat juga. Selalunya kami diminta berkumpul di lobi pada pukul 9.00 pagi tetapi pagi ini kami diminta berkumpul pada pukul 9.05 minit pagi. Aku turun awal iaitu pada pukul 8.45 pagi.

Seperti hari pertama, kami berjemaah menuju ke Stesen Sannomiya untuk ke pejabat JICA. Hari ini kami diajar cara untuk menyelesaikan masalah dengan menggunakan Project Cycle Management Method (PCM Method). Sebelum itu, kami dibahagikan kepada 2 kumpulan dan diminta menyenaraikan masalah berdasarkan pernyataan masalah yang kami pilih.

Semua orang diminta menulis punca-punca masalah secara individu dan menampal jawapan itu pada papan jawapan yang disediakan. Sekiranya ada jawapan yang sama, ia akan disatukan. Kunci kepada proses ini ialah cause and effect. 

Kami kemudiannya dibimbing cara untuk membahagikan punca utama masalah dan seterusnya memberikan kesan sekiranya masalah yang kami hadapi itu tidak dapat diselesaikan. Seorang wakil kumpulan akan dipilih untuk membentangkan hasil perbincangan tadi. Untuk kumpulan aku iaitu kumpulan 1, AJ in the house dipilih untuk menjadi pembentang manakala bagi kumpulan 2, Aiesa dan Yasmin ialah wakil mereka. Kumpulan 2 ni, masalah kepada pernyataan masalah mereka ada banyak. Kerana itu mereka memerlukan 2 pembentang.

Memang semua peserta yang dipilih gila-gila belaka. Kami saling memberi semangat sesama sendiri, mengambil bahagian dengan aktif dan pada masa yang sama terhibur dengan gelagat masing-masing.

Kami kemudiannya berehat untuk makan tengah hari. Aku masih setia dengan bekalan nasi dan sambal ikan bilis, kentang dan kacang tanah yang aku bawa. Sayangnya, itulah stok terakhir yang selamat habis pada hari ini. Aku sempat mengepau serunding rusa yang Leza bawa dan sambal ikan bilis Brahmin yang Kak Sue bawa.

Kelas kemudiannya disambung semula, masih lagi modul PCM Method tetapi kali ini kena buat secara individu. Kami diberikan semula pernyataan masalah yang kami hantar semasa memohon kursus ini dahulu. Bila aku baca balik dan buat perbandingan dengan peserta lain, rata-rata masalah kami semuanya hampir sama.

Pada mulanya, aku sangat blur-blur lipas juga sebab tidak tahu mahu mula dari mana. Aku tengok sebelah, masalah aku dengan Aifa hampir sama. Baharulah ilham tiba mahu memberanakkan masalah itu macam mana. Aku, Yasmin dan Aifa saling berbincang logik sesama sendiri untuk menampal masalah-masalah itu supaya susunannya menjawab konsep cause and effect tadi.

Penceramah kami ialah  Yokotani-san. Apabila dia menyemak ‘problem tree’ yang kami semua buat, dia telah memilih 4 pokok untuk membentangkan hasil kerja itu di dalam kelas. Pokok pertama yang bertuah tu, pokok akulah. Dah rasa macam dapur Masterchef juga tadi 🙂

Usai kelas PCM Method, kami sekali lagi mengikuti kelas bahasa. Tidak sia-sia aku menelaah dan menghafal semalam. Hari ini, memperkenalkan diri dengan 4 baris ayat itu lancar aku ucapkan.

Kelas ini memang kelakar. Kalau hari pertama keluar Haji Mashitah, hari ini Haji Mashitah dah jadi Hajah Mashitah pula. Dengan beberapa lagi ayat baharu yang diajar, berselirat balik otak dan lidah seketika. Yang ini aku kena study balik sebab hari ini aku rasa macam too much information. Tapi sekali bila sensei main panggil-panggil nama, mulalah aku panik balik. Nasib baik bila kena part aku yang aku boleh jawab.

Cuaca hari ini sangat panas membahang. Tak sampai petang aku sudah lapar balik. Ingatkan aku seorang, yang lain pun sama. Siapa yang bawa bekalan macam biskut atau cokelat memang untunglah. Aku berkali-kali togok air kosong.

Balik sahaja dari kelas, aku terus panaskan nasi sambil membasuh baju kotor. Dengan tidak menyempat, serunding pemberian seorang abang aku buka dan ohainyaaaa….baharulah aku rasa tenang. Langsung aku tidak keluar berjalan-jalan sebaliknya duduk dibilik dan mengkaji program TV Jepun pula.

Setakat itu dahulu. Aku kena cukup rehat sebab esok ada field trip ke Muzium Matsushita.

Dewa, mata 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *