Kad Koleksi..

Sekitar tahun 1987, kawan aku seorang ini menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kad koleksi untuk satu jenis permainan yang aku lupa tajuknya. Kiranya macam era Street Fighter dahulu, dapatkan sticker dan penuhkan buku skrap. Kalau penuh boleh tukar dengan hadiah.

Masih cerita aku dan mamat separuh barat. Di lokasi yang sama tempat dia menangis itu, aku temui dia sekali lagi. Dia paksa aku beli satu setidak-tidaknya satu kad. Harga sekeping kad hanya 10 sen. Seperti biasa, dia ugut aku beli satu, kalau tidak dia tak mahu kawan dengan aku.

Aku seluk poket. Cukup-cukup ada 10 sen. Dia senyum dan kad bertukar tuan. Duit itu diletakkan di sisi kad-kad yang lain antara tempat aku duduk dan longkang. Kami bersembang dan sempat aku menjeling syiling yang dirembat tanpa rela. Agak-agak dia leka, aku capai syiling itu dan buat-buat berminat untuk beli kad yang lain.

Dengan duit yang sama, aku beli lagi satu kad. Jadi sekarang aku sudah ada dua kad. Duit 10 sen tadi dia letakkan ditempat yang sama tanpa menyedari dia sudah kena kelentong dengan aku.

Aku meneruskan taktik yang sama. Sekali lagi aku berjaya menguit duit itu dan membeli kad yang ketiga!

Nak menipu, jangan buat lebih dari 3 kali. Itu pesan Ben Sarjan dalam Alibaba Bujang Lapok. Aku berpura-pura mahu balik. Dia juga begitu. Melilau-lilau matanya mencari 20 sen yang tak wujud. Dia mencarut dalam bahasa Inggeris.

‘Kenapa’ aku pura-pura prihatin.

“20 sen hilang..jatuh longkang agaknya” katanya sedikit sedih. Aku mengiyakan.

Padan muka kau!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *