Jamuan Hari Raya RTM 2018

Penuh newsfeed di Facebook dan Instagram gambar-gambar sempena Jamuan Hari Raya RTM 2018 semalam. Bahagian Pemasaran dan Promosi diminta untuk menguruskan gerai kuih-muih. Terlebih dahulu, terima kasih kepada kaki tangan Seksyen Promosi dan Kreatif sebab berjaya menghias gerai dengan cantik. Hias cantik ke tidak, itupun satu yang subjektif sebab saya pandang hasil kerja kalian bagus-bagus belaka. Semangat dan teamwork berkerja bersama-sama itu yang saya bangga dan puji (walaupun yang ramai-ramai gadis itu sibuk posing dan pegang props aje).

Juga kepada Seksyen Pemasaran dan Kawal Selia Iklan yang menguruskan urusan pembelian kuih-muih dan tugasan pramusaji. Ini memang kalau ditanya tugasan seperti ini, dengan pantas aku akan menolak. Mujurlah tugasan Promo sekadar hias-menghias sahaja.

Sudah dikhabarkan seawal pagi semalam, pakaian aku hari itu adalah sejenis terang dan memancor, jadi bersedialah dengan kamera masing-masing untuk mengambil gambar. Kamera dari Oppo yang aku banggakan inipun macam kena mintak tukar Blackberry baharu sahaja sebab sudah menghampiri kategori uzur syarie.

Untuk pengetahuan, baju yang aku pakai itu dibeli di Malaysia sahaja, bukan di India. Benar aku baru balik dari India, tapi baju seperti itu memang tiada dalam senarai untuk dibawa balik ke Malaysia. Harganya RM90 sahaja – set penuh dan dibeli di Banting. Baju ini aku beli tahun lepas, khusus untuk dipakai di Jepun. Kali pertama dipakai sewaktu kunjungan ke Sekolah Okanmuri di Osaka. Sejak itu, dia mereput di dalam almari kerana tiada tempat yang logik untuk aku mengulang pakai.

Kasut aladin yang ramai tanya, beli di India jugakah? Pun salah. Aku beli di Cowboy, Melaka dengan harga RM20. Cuma beg yang aku usung dengan penuh kasih-sayang ke hulu dan ke hilir itu sahaja aku beli di India dengan harga RM18, setelah ditolak campur nilai pertukaran matawang. Kesimpulannya, apa yang aku pakai jatuh bawah kategori mampu milik. Mungkin sebab sinaran passport kegemilangan dan warna yang aku pilih itu membuatkan ia nampak macam mahal. Itupun baju tu baju display, patung yang pakai. Takde, aku nak warna itu juga jadi berbogellah sekejap patung sebenar sebab memang itu sahaja stok yang tinggal di kedai itu. Oren dah habis, nak buat macam mana.

Mujur aku tak pakai sekali dengan selendang. Kalau tidak, Kak Mira pandang ajelah saya bawak balik hamper “Pakaian Paling Melets”. Ayyue Wahid pasti tidak cemburu sebab dia sudah dapat award yang sama dalam majlis anjuran Radio Klasik beberapa bulan dulu.

Aku pergi ke ruang majlis sedikit awal kerana memberi sokongan kepada Aie Sarkase yang sibuk dengan rakaman program raya. Ok, ini memang tidak dirancang, unsangkarable dan kimia. Baju kami kebetulan warnanya sama. Memang pernah aku cakap, majlis raya nanti aku mahu pakai baju yang sama tema warna dengan dia supaya bila kami bergambar nampak ngam. Amik kau! Raya sedondon kami semalam.

Tidak lama kemudian, staf-staf promo mula turun dan aktiviti wajib selepas menghias gerai ialah – bergambar. Aku cuma minta bergambar dengan Hael Husaini sahaja. Yang selebihnya gambar-gambar aku yang penuh di newsfeed adalah ihsan dari kamera rakan-rakan. Rasanya tahun depan aku patut buat benda yang sama. Bagitahu pakaian aku kategori macam mana dan minta masyarakat standby dengan kamera masing-masing untuk bergambar.

Terima kasih kepada semua rakan-rakan dan tetamu yang hadir pada majlis semalam. Yang sudi bergambar bersama, yang tidak sempat, yang berjumpa memaling muka, yang jumpa berlaga muka – semuanya akan aku simpan dan kenang. Satu perasaan yang berbaur bila kita berjumpa kembali selepas sekian lama tidak berjumpa ataupun bila kita berpeluang bersembang secara santai setelah sepanjang masa menahan muka dalam mana-mana sesi mesyuarat.

Usai majlis semalam, aku naik ke pejabat dan menguruskan hal-hal kerja pula. Agak lewat aku balik. Mujur Aie sudi hantarkan aku balik. Aku tak makan banyak pun tengah hari semalam. Jadi terasa macam sudah masuk angin aje badan ini. Mula-mula kami bercadang mahu makan malam dahulu sebelum balik. Tidak banyak perbualan yang mengisi perjalanan balik. Penat kot…

Sampai sahaja rumah, aku disambut oleh Eskandar. “Waaaah,mamaaaaa!” Dia terus datang dan memeluk aku. Reaksi dia buat aku rasa istimewa. Aku masih ingat masa aku pakai kostum Lilo and Stitch. Dia pandang tanpa perasaan dan terus sambung tengok Marsha and Bear.

Malam itu aku mula rasa migraine. Nak makan, langsung tiada selera. Selepas menguruskan anak-anak, aku terus naik dan berlayar. Tapi satu lagi nervous belum berakhir, nak buka baju memancor ni macam mana gayanya? Masa di Jepun aku ada bantuan rakan-rakan. Jenuh tawakal kempiskan perut dan hoyeh! Berjaya tanpa halangan yang besar. Konfem – Kak Benny is slimmer than last year!

Apapun berlaku, hari semalam hari yang indah dan baik untuk dikenang.

p/s: Bahagian Pemasaran dan Promosi menang kategori Gerai Terlajak Laris. Tahniah, semua…

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Published by

akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *