RSS

Jambatan Ke Hati Kita…

September 03

Ini adalah satu topik yang buat aku susah nak tidur malam hampir gazillion years lamanya. Bukan sebab aku sedang melaluinya (neraka, semua orang pernah lalu cuma dengan skala berbeza dan berbakul usaha memperbaiki keadaan), tapi sebab aku selalu bersembang “What if, what if” dengan diri aku. Aku rasa ramai yang lalu dengan skop yang berbeza dan rasa itu amat berat dan pedih untuk diakui. Nak mengaku takpe, tak mengaku pun takpe sebab cerita setiap orang berbeza walaupun rasa yang ada sudah disemai berpuluh-puluh tahun lamanya.

Sebelum belayar lebih jauh, aku nak tegaskan bahawa:-
1. Setiap orang mencuba menjadi yang terbaik untuk pasangan masing-masing
2. Setiap orang ada konflik dalaman masing-masing.
3. Setiap orang yang pernah stuck-pernah rasa untuk lepas dan bebas (sila faham sendiri).
4. Setiap orang rasa dia aje usaha lebih tapi pasangan tak macam itu.
5. Setiap orang fikir anak-anak sebelum fikir diri sendiri.
6. Setiap orang yang jumpa manusia lebih memahami diri dia dari pasangan sendiri akan rasa point 1 – 5.

Kalau kita tak bahagia, perlukah kita seksa perasaan pasangan kita? Kenapa tak bahagia? Dari kekecil-kecil hama sampailah sebesar-besar paus boleh dijadikan tajuk cerita. Duit, setia, kerjaya, tanggungjawab, rasa dah hilang dan berderet lagi boleh aku tulis dari Osaka sampai Amritsar. Rasa cinta hilang macam Thanos petik jari. Hati tawar…

Tak mahu baiki balik hubungan itu?

Aku akan sentiasa minta sesiapa yang bertanya soalan ini untuk buat satu benda mudah – komunikasi. Bercakaplah dengan pasangan kau…kalau dia tak nak sembang, hantar WhatsApp, emel, BBM apa juga kekdahnya – communicate. Dalam pada kita minta keadilan untuk diri kita, kita juga kena adil pada pasangan kita. (Konsepnya kalau ada masalah kena bercakap termasuk bos dengan staff, kawan dengan kawan waima ahli politik dengan ahli politik).

Jawapan yang akan kita dapat, kalau tak melegakan hati, menyakitkan hati. Sebelum nak berjumpa tu, lapang-lapangkanlah dada dengan jawapan yang mungkin/bakal kita terima. Langit mungkin terang dan langit mungkin runtuh.

Aku fikir, apa juga keputusan yang bakal jadi semuanya atas diri sendiri. Nak ikutkan, nak pertahankan, nak lantakkan atau nak usaha sampai dapat apa yang tersimpan dalam hati. Orang yang nekad dah tak peduli sebab dan akibat, sebab dia rasa tak boleh lagi dah. Sama kekdahnya orang yang nekad sebab dia rasa boleh pertahankan lagi hubungan yang ada. Memang gila-gila babi usaha untuk tegakkan balik tiang yang senget entah berapa darjah dari paksi bumi.

Memang kesabaran sahaja asas yang ada dan tinggal dalam diri. Berapa lama boleh sabar, pun tanya diri sendiri. Sabar dan iman ini berkait rapat. Kalau takde iman, ramai dah bunuh diri. Bukan sebab tak sayang nyawa, tapi tak larat nak tanggung derita dan pedih hari-hari.

Paling klasik, sanggup hidup menyendiri dan bersendiri sebab rasa diri tu tak boleh nak hidup dengan siapa-siapa. Biarlah dia aje tanggung semua, tak payah seret hati dan jiwa manusia lain. Ini aku tak faham kenapa dan mengapa sebab bila mati, soheh kau seorang kat bawah tu sampai hari pengadilan. Masa hidup inilah luaskan pergaulan dan beri ruang untuk diri sendiri rasa bahagia. Bahagia sangat subjektif. Bahagia tak semestinya memiliki. Ini catatan lain, bila-bila aku tak boleh tidur aku tulis.

Mudahnya begini, tiada mana-mana rumahtangga aman bahagia macam yang selalu korang baca dalam media sosial atau tengok drama. Baik yang kaya, miskin, ostard, retis waima penerbit rancangan sekalipun. Kau tersepuk 7 kali, bangkit balik 8 kali. Dalam hidup, pasti ada sesuatu yang berbaloi untuk dipertahankan. Kebahagian diri, kebahagian orang lain atau kebahagiaan bersama. Pilih dan berbahagialah dengan keputusan itu sebab pokok pangkalnya “kau yang pilih.”

Jadi, kau mahu bakar jambatan itu atau baiki? Jangan kau bakar jambatan tu, kemudian terhegeh-hegeh nak baiki balik sebab masa itu mungkin dia sudah bersedia untuk membina jambatan ke tempat lain pulak.

Jambatan macam masalah, kau kena lalu.

Sudah, pejam mata dan tidurlah. Setiap hari adalah hari baharu. Esok bermula semua dengan susu segar Fresh Farm perisa asli ataupun kurma.

(Catatan ini tiada kaitan dengan yang belum berjodoh, sebab jodoh kuasa tuhan dan usaha atas diri sendiri. Ada sebab kenapa kita dalam situasi yang kita lalu sekarang dan gali sendiri maknanya. Ini hanya catatan Kak Benny yang mabuk ubat, overdose kopi dan tak cukup rehat. Oh, dan kecewa tak dapat mainan Doctor Strange kat Tesco semalam).

P/s: Benny okay, cuma dia penat dan lama tak pergi travel. No worries okay…give me timeĀ ?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar