Hanya kerana kau penggemar CSI… itu tidak menjadikan kau pakar penyiasatan.
Hanya kerana kau penggemar House… itu tidak menjadikan kau pakar perubatan.
Hanya kerana kau penggemar Air Crash Investigation…itu tidak menjadikan kau pakar penerbangan!
Kesungguhan kau dalam memberi pendapat peribadi sedikit pun tidak disanjung tinggi. Apatah lagi bila pendapat itu dikongsi secara berleluasa tanpa mengira sentimen perasaan yang terlibat, tanpa disahkan oleh sumber yang berkaitan dan rentetan RT dan Share spekulasi teori dari pelbagai sumber media antarabangsa. Apa yang cuba kau buktikan? Berkongsi dengan rakan-rakan? Buktikan kau mengikuti kes itu dengan rapat? Lebihnya kepada kegagalan mengawal diri dari tanggungjawab akan data yang dikongsikan.
Kau kongsi ‘luahan perasaan anak mangsa’. Kau kongsi cerita ‘si polan kepada si polan berkata’. Semuanya tak betul, tak sahih pun. Mungkin kau tak rasa itu satu dosa. Dosa menyebarkan khabar angin. Lebih buruk, mungkin kau tersebar fitnah tanpa sengaja.
Lagi satu, jangan mudah kongsikan siapa-siapa juga personaliti/selebriti yang kau ikut di media sosial. Mereka pun bakal memberikan jawapan yang sama kalau apa yang dikongsi itu tidak betul puncanya. Jika dia dolmat, kau jangan turut jadi dolmat.
Kawallah diri..Kau perlukan bantuan. Kalau tak tahu sangat apa yang nak dikongsi, lebih baik berhenti dari bercakap sampah. Kau bukan pakar!
