Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2011

5 hari lamanya sebelum tenggiling merangkak aku dan semua krew bangkit awal dan berkumpul di Dataran Merdeka. Kami berembun, berhujan, berpanas badan dan berpeluh ketiak demi memastikan sessi raptai Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2011 berjalan lancar. Sambutan kali ini adalah yang kedua diadakan di Dataran Merdeka, dan kedua-dua tahun itu aku yang terbitkan. Sebelum ini ia diadakan di Tugu Negara.

Tahun lepas, ia diselaraskan oleh pihak ATM dan tahun ini PDRM pula menjadi hos. Pengalaman berkerja bersama badan beruniform banyak pahit manisnya tapi kali ini aku sifatkan ianya manis-manis mesra, lebih manis dari kurma Yusof Tayyob. Sungguh! Semua pegawai yang berurusan dengan pihak RTM memberikan kerjasama yang sangat hebat ditambah komitmen yang padu bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Sebenarnya tiadalah masalah besar sangat pun yang menimpa semasa menerbitkan siaran tadi. Terus-terang aku bagitau segmen pentomen memang buat aku susah hati. Pada mulanya aku dapat skrip lain, masa rehearsal jadinya lain. Tapi selepas mendapat salinan yang baru, ditambah dengan rehearsal beberapa kali dan sessi mengulangkaji kesalahan di pejabat makanya aku sifatkan persembahan itu berjaya. Skrip itu sangat kuat semangatnya..sungguh. Menitik juga airmata masa sessi preview seorang diri sambil membetulkan beberapa shot yang serabut masa latihan. Syabas yang teramat sangat Lokman Ghani. Walaupun hujan, komitmen dari peserta yang terlibat sedikit pun tidak celaru.

Disebabkan hujan juga, boleh dikatakan separuh dari 7 kamera yang aku gunakan basah lensanya. Kalau tak kerana dihadiri oleh SPB YDPA, rasanya memang payung sudah dipasang. Terima kasihlah kepada kesemua jurukamera dan krew OB 4. Sawan aku seketika bila angin kencang, platform bergegar dan kamera RF tak dengan suara penerbit. Itu yang melilau 3 kali, tapi situasi itu normal. Belum lagi masa Hani bercakap seolah-olah dibelakangnya deruan ombak laut China Selatan.

Apapun semuanya telah selesai. Kalau ada salah dan silap, maaf ajelah yang mampu aku cakap. Ini adalah program besar terakhir aku untuk tahun ini. Lepas ini aku akan bercuti sangaaaaat panjang. Sudah tiba masanya aku memberikan peluang pada diri aku untuk maju setapak dari tapak yang aku pijak.

Buat pahlawan yang gugur demi hari indah yang aku lalui, buat waris yang menangisi saat aku berdekah tak henti, buat pejuang yang cacat anggota saat insan lain botox menggila – hanya doa, ucapan terima kasih dan mempertahan sebuah kemerdekaan sahaja yang dapat aku lakukan. Selamat Hari Pahlawan 2011.

Foto :http://i7.photobucket.com/albums/y254/Balajoe/25082005/TuguNegara_033.jpg
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *