Hutang..

Hidup penuh dengan tanggungjawap. Dalam keadaan masalah datang bertimpa-timpa, semuanya nampak menyusahkan dan mendatangkan baran. Aku sedar itu kerana aku melaluinya setiap hari. Hidup di bandar dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, kadar inflasi yang tak nampak surut dan juga kadar sakit jiwa meyewa townhouse dalam keadaan jiran yang bengap dan bengap lagi.

Setiap bulan bil datang rasa semput…semput semput semput! Hutang bertapuk-tapuk dari bil telefon sampailah kredit kad dan usikan duniawi lain yang membuatkan bajet hebat berlari 200 meter. Susah nak kejar. Masa ini memang setan selalu mengusik ‘kalaulah aku kaya’ dan macam-macam angan-angan palsu yang kalau tak disusuli dengan usaha alamat buang masa ajelah melayannya.

Ya, aku ada bajet bulanan dan ia selalu defisit. Tapi aku tak susah hati sebab setakat hari ini aku tak pernah kebulur berhari-hari tak jumpa makanan. Stok mee segera sentiasa ada. Sampai satu tahap bila makan meggi kari rasa nak muntah balik pun ada. Tapi bukannya aku sebegitu pokai…Aku percaya rezeki tuhan belum sampai, maka aku patut bersabar.

Mengikis hutang satu benda yang sangat sukar…Kaya mana pun manusia itu di dunia, sekerak besar jugaklah beban hutangnya. Jadi aku dalam usaha untuk melupus satu demi satu agar aku dapat hidup dalam keadaan hutang sifar. Mama dan abah tak pernah paksa aku pinjam PTPTN. Aku gigih meminjam sebab tak mahu menyusahkan mereka dengan kos pengajian aku dikala itu. Aku tahu aku kena bayar balik. Mungkin atas rasa ketertanggungjawapan terhadap pinjaman itu membuatkan aku memastikan aku tidak sangkut pengajian, dalam keadaan masa itu sudah pun menggatal mempunyai teman lelaki, dah jadi suami aku pun! Yayasan Selangor ada menyediakan biasiswa dan JPA juga begitu. Dalam masa yang sama aku memohon peruntukan di sana. Untung-untung aku dapat walaupun hanya menggunakan borang fotostat sebab rakan-rakan yang ada info tentang biasiswa itu tidak berkongsi maklumat. Aku tahu detik akhir, beberapa hari sebelum permohonan tutup. Sudah rezeki, aku dapat juga. Ya, pinjaman PTPTN aku tak sebanyak kalian tapi tetap aku berhutang 5 angka dengan mereka.

Siapa tak suka duit percuma, semua manusia suka. Tapi adakah kita akan hargai benda yang percuma? Susah nak kata, bergantung rasa tanggungjawap dan disiplin berbelanja. Kalaulah masa aku belajar semuanya percuma, masih aku perlukan duit pegang untuk kos sehari-hari dan pinjaman kewangan dari mana-mana sumber bukan along akan aku pertimbangkan. Tak mungkin aku kerja separuh masa di McD sebab letih kerja akan membuatkan aku menghargai tidur daripada ulangkaji. Mama dan abah bukannya saudagar emas yang boleh aku minta duit sewa rumah dan duit belanja tiap-tiap minggu. Aku kena adil dengan adik-beradik aku yang lain. Aku rasa kejam menjadi manusia meminta duit pada mereka. Kalau nak kata itu tanggungjawap mereka, sudah-sudahlah tu. Kereta pun kami tak mampu beli..inikan menyara 2 anak di universiti. Nasib baik tempatan, kalau luar negara, semput sebelum waktu orang tua tu!

Disiplin membayar satu perkara…Manusia sentiasa tak cukup duit. Dari kos sehari-hari, kos memikir nak kahwin, nak menghulur pada Mama kerana masa itu abah telah meninggal lagi menyebabkan aku rasa beban. Tapi tak pula aku terfikir nak berkhemah di Dataran Merdeka. Aku berkhemah dipejabat setahun lamanya untuk memastikan bajet tak lari. Ada duit lebihan atau tuntutan kerja luar aku kumpul atas 2 sebab, menyelesaikan hutang arwah abah dan menyelesaikan pinjaman. Nak pinjam bank rakyat pun tak layak sebab berstatus artis berjadual. Walaupun terasa sayang nak membayar baki pinjaman PTPTN, itu tetap hutang aku, yang aku tandatangan dan ada akadnya. Tiada paksaan di situ. Lama-lama hutang surut sebelum waktu, tapi aku terbeban hutang lain pula iaitu pinjaman peribadi untuk urusan duniawi yang lain (masa ini aku sudah berstatus kakitangan tetap.)

Hidup tak ubah gali lubang tutup lubang..Tapi apa yang aku percaya ialah pengawalan nafsu kena dasyat, sedasyat hutang yang ada. Lama-lama semuanya selesai dan dari berhutang banyak sumber, sudah tinggal dua. Itupun aku tak pasti nak tamatkan riwayat kredit kad itu atau tidak, sebab kala nak bercuti dan membeli barang dapur, ia sangat membantu.

Ya, aku suka jika ada sumber kewangan percuma, rumah percuma dan yang lain juga percuma. Tapi takdirnya tidak begitu..jalan kesyurga juga bukan percuma. Semuanya disoal dan tanggungjawap ditanya. Setidaknya sebelum mati, aku mahu semua hutang duniawi langsai tanpa meyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya kealpaan diri aku sendiri.

Mengikis hutang itu rumit, tapi bukan misi mustahil. Cubalah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *