Hujung Minggu Lalu

Kalau rasa gembira tepuk tangan...
Kalau rasa gembira tepuk tangan…

 

Mula-mula nak buat late-post aje. Sudahnya dalam keadaan bertatih-tatih makanya siap juga catatan ringkas untuk kenangan kami ini.

Minggu lepas sangat indah. Ia dipenuhi dengan aktiviti keluarga dan yang aku sukar lupakan, ia sarat dengan keletah Eskandar Dzulkarnain yang pelbagai. Minggu terdahulu kami tinggalkan dia dalam keadaan kami berdua sangat letih. 2 minggu berturut-turut aku kursus. Tambahan dengan perubahan berat badan yang ketara ini aku sangat cepat letih. Dia sangat lasak dan telah mencederakan gajet abahnya secara tidak sengaja. Nak marah pun, budak kecil. Jadi dia kami tinggalkan dalam keadaan perasaan yang bercampur-baur.

Untuk itu aku nekad. Minggu seterusnya aku akan menebus kembali perasaan sedih dan sedikit amarah pada anak kecil itu dengan memberi sepenuh perhatian padanya. Aku sempat belikan kolam mandi dengan pam elektrik (aje gile aku nak meniupnya) dan Hadi pula membelikan 1 set mainan yang mempunyai 9 unit kereta mainan sewaktu kami ke jualan gudang di Sri Manja. Harganya RM13 jadi aku tak kisah sangat. Kami sangat jarang membeli mainan untuk Eskandar. Aku lebih suka menanamkan minat membaca kepadanya.

Eskandar kami ambil seawal jam 7.00 pagi. Harus awal kerana mama ada aktiviti marhaban. Terus kami bertolak balik tetapi tidak terus ke rumah. Kata Hadi ada Chill Fest di Putrajaya. Langsung kami ke sana. Sekali-sekali Hadi membuka Youtube lagu ‘Kalau Rasa Gembira’ dan Eskandar setia menepuk tangan. Walaupun liriknya ‘kalau anak gembira hentak kaki’ tangan jugak yang ditepuknya. Mungkin sebab cuaca sedikit mendung dan sejuk, Eskandar tertidur sekejap di dalam kereta.

Chill Fest Putrajaya…mungkin kerana kami sampai awal, jadi kemeriahannya tidak sangat dirasakan. Cuaca mendung seakan nak hujan juga menjadi faktor khalayak tidak begitu ramai pada waktu pagi. Aku mungkin salah..petangnya mungkin meriah. Sepanjang di sana, Hadi membeli sebaris nugget untuk dirinya  dan bebola sayur untuk Eskandar. Oh, dia sangat suka makanan itu.

Maka berjalanlah kami dari satu ruang pameran ke ruang pameran yang lain. Sempat kami dudukkan Eskandar di motor dan kereta pameran yang ada. Motor dia tak berapa teruja, tapi kereta memang dia suka. Ada dekat 10 minit dia duduk dalam salah satu kereta sampaikan aku nak angkat pun dia enggan. Alahai, terasa nak beli kereta mainan untuk Eskandar pulak rasanya.

Tak berapa eksaited…
Hah, yang ini dia sampai tak mahu balik
Hah, yang ini dia sampai tak mahu balik

 

Seterusnya kami ke Teh Tarik Place. Aku sudah masuk kategori ketagih teh tarik ais di sini. Memang sedap dan lazat. Eskandar sudah mula menunjuk ragam. Mungkin sebab perut pun dah kenyang. Jadi dia mahu bergurau aje sepanjang masa. Sengaja aku tak berikan susu dahulu sebab mahu dia tidur sebentar di rumah lepas menyusu di sana sahaja. Huh, tak sempat. Dia sudah keletihan dan terus tidur dalam kereta. Kali ini dia tidak diletakkan di kerusi khas. Aku pangku dia sepanjang perjalanan. Eskandar sudah berat..hampir sekampit beras 10 kilo. Dengan seorang lagi dalam perut, memang letih aku dibuatnya.

Sampai sahaja di rumah, cuaca sudah tak menentu. Tengah hari membawa ke petang hujan mulai turun dengan lebatnya. Eskandar aku kejutkan dan berikan susu, sebelum dia menyambung kembali aktiviti tidur. Disebabkan dia sudah makan 3 biji bebola sayur, aku tidak beri dia bubur tengah hari itu. Hadi menggunakan kesempatan yang ada untuk mengemas rumah manakala aku dan Eskandar langsung lelap.

Petang itu kami bermain-main lagi. Hadi bawa Eskandar ke taman permainan sementara aku duduk-duduk sahaja di rumah. Malam nanti kami bercadang untuk menyaksikan konsert Agenda Lokalism (sesuatu seperti itu) di Cyberjaya.

Malam itu cuaca masih tak berubah. Ketika kami sampai di Cyberjaya, adalah berapa keratnya umat yang tengah berdiri dengan tabah sambil mendengar band mana ntah membuat persembahan. Kami tidak lama di sana. Satu sebab cuaca. Duanya sebab gerai jualan yang ada jenis yang kau berdiri pastu pandai-pandailah nak makan kat mana. Ada kedai yang ada kerusi dan meja, tapi lagi sekali, cuaca tidak mengizinkan.

Sudahnya kami makan di Restoran Padi. Memang best makanan di situ. Di sebabkan Eskandar belum makan, maka makanannya aku buat terus di situ. Maaf langsung takde gambar makanan. Aku tak sempat usik handphone. Eskandar pun glamer malam tu. Ramai sangat yang cubit pipi dan bertegur sapa dengan dia.

Hari itu sangat pantas masa berlalu, tapi ia terisi dengan aktiviti dan outing keluarga. Eskandar tidur dari pukul 10.00 malam hingga 8.30 pagi tanpa terjaga, dan kami berdua mendapat tidur yang solid juga 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *