Huahin Day 4 & 5 : Errr….Ini Aje?

 

 

Disebabkan aku sudah tak tahu nak cerita apa lagi, aku garapkan terus tempat-tempat yang aku pergi di Huahin pada hari 4 dan 5. Boleh dikatakan aku pergi hampir kesemua tempat-tempat yang menarik yang ada di sini – walaupun mall! Alang-alang sampai, jejak ajelah kaki dan merungut menyesal dalam hati. Setiap kali baca review, dok suruh mesti pergi, mesti pergi. Dah pergi rasa nak meraung depan pintu pulak.

***

Hari ini aku bangun lambat. Mungkin sebab kepenatan, mungkin juga sebab tidak berjanji dengan siapa-siapa jadi aku agak malas untuk bangkit awal. Lambat tak lambat pun, 7:30 pagi juga aku bangun dan terus bersarapan di hotel ini. Selepas sarapan, aku naik bilik dan bongkang bilik. Ingat tak catatan aku pasal aircond hotel ini yang dahsyat gile? Itulah punca aku menyambung peniduran memandangkan cuaca di sini yang sangat panas membahang. Lagi pula aku sangat rasa mahu bersahabat dengan tilam dan bantal sahaja siang ini sementelah saluran tv yang ada pun tidaklah begitu memanggil ceritanya.

 

 

Akhirnya pukul 2:30 petang aku ambil keputusan untuk keluar dari bilik hotel. Perut pun sudah mula terasa lapar. Aku diberitahu oleh pilot semalam, pulut mangga paling champion yang ada di Huahin ini kedainya terletak betul-betul di depan Hotel Hilton. Tapi kena cepat sebab tutup pukul 3:00 petang. Mungkin aku patut mulakan hari aku dengan makan pulut mangga dahulu. Hotel yang aku duduk dengan Hotel Hilton tidaklah jauh mana, dalam 3-5 minit berjalan sahaja.

Rezeki aku baik…pulut masih ada. Ha, nak kobakan. Harga pulut mangga di Huahin ini tengok tempat. Kalau di night market dalam THB50 – THB60 manakala di premis-premis lain ada yang antara THB99 – THB150! Aku tak pasti kenapa..nak kata eksklusif, tak juga. Pernah aku merayap dilorong-lorong jalan yang menjual pulut mangga dengan harga THB130. Gerai tepi jalan aje kot…

Disebabkan agak lapar, aku sempat pesan nasi goreng seafood dan segelas kopi ais. Agak tak kena air dengan makanan yang aku makan tapi disebabkan aku mahu kopi, aku lantakkan aje sebab dan akibat pemilihan menu tengah hari ini. Sambil makan, sambil melayan media sosial. Takde posting apa sangat sebab takde benda yang berbaloi untuk dikongsi. Pulut mangga yang lejen itu sampai dan….yup, sedap. Tidaklah terapung sampai capai titik kulminasi, tapi sedaplah.

 

 

Usai makan, aku terus tempah Grab dan lokasi pertama hari ini ialah Bluport. Hmmm….jiwa Kak Benny ni masih rasa lebih baik kau bertenuk kat Giant Taman Permata! Mall ini biasa sahaja…itulah masalahnya bila Malaysia terlalu banyak sangat mall. Kita akan rasa yang ada dalam negara kita lebih semenggah berbanding di luar. Tiada apa-apa yang unik pun. Harga barangan di sini, lebih kurang di Malaysia juga. Jadi aku tak beli apa-apa dan terus tempah Grab untuk ke lokasi seterusnya – Cicada Market.

 

 

Macam mana aku nak explain Cicada Market ini ya….? Ok, bayangkan separuh dari Dataran Merdeka. Di situ ada tapak jualan seolah-olah uptown yang ada segala macam baju, seluar, kasut, art stuff dan ada seksyen menjual makanan. Yang mehnya, kita kena bayar makanan dengan kupon. Barang-barang lain boleh beli tunai, takde masalah. Jadi, tukarlah duit THB anda dengan kupon dan jangan risau, kalau tak habis boleh tukar ke THB balik. Aku tukar THB500 dan hanya membeli teh ais Thailand (tak berapa lejen) dengan harga THB55 dan banana pancake THB45. Baki kupon aku tukar balik THB. Jujurnya, aku rasa tak berbaloi ke sini. Makanan halal adalah 2-3 kedai sahaja. Kalau kita berjalan ke depan sikit, kita akan jumpa Tamarind Market. Ini langsung takde makanan halal tapi lebih happening! Seafood melambak-lambak…Tapi aku hanya lalu satu round aje dan terus tempah Grab untuk balik ke hotel.

 

 

Kemudian aku berjalan kaki untuk mencari port makan malam pula. Jujurnya, aku mulai bosan dengan tempat ini, tapi aku suka bilik hotel yang ada di kawasan ini hahaha. Jadi aku singgah ke McD berdekatan dan bungkus satu bekas Raspberry Tea. Tak terasa nak makan berat pula malam ini. Hanya rasa nak balik bilik, mandi dan tidur.

Oh, satu massage parlour pun aku tak masuk sebab di sini langsunglah tidak terasa hendak berurut. Padahal kalau di KL, tiap-tiap minggu merengek-rengek nak pergi tempat urut. Lagi satu, aku rasa Huahin tak bersahabat dengan jiwa aku. Aku tak rasa ingin kembali dan mencintai di sini. Atau mungkin sebab sebelum aku pergi aku sudah sematkan dalam hati tidak mahu ada apa-apa jalinan jiwa dengan siapa-siapa juga di sini? Haih, entahlah….

Esoknya aku balik dan aku bahagia bertemu anak-anak. Kemudian itu baharulah badan aku terasa sakit-sakit dan perasaan menyesal kerana tidak berurut di Huahin melempang aku berdas-das.

Sekian…

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *