Hari Raya Aidiladha..

ujian

Sesungguhnya banyak benar pengorbanan yang dilakukan pada minggu lepas membawa ke Hari Raya Korban. Terkorban juga perasaan aku dihambat dugaan oleh-Nya. Syukur teramat kerana punya suami yang sentiasa berada kala susah dan senang.

**

Berjaya berpuasa pada Hari Arafah. Satu hari yang sukar sebenarnya. Terima kasih Tuhan atas kekuatan dan restu-Mu. Ingatkan nak berbuka di San Francisco Pizza di Wangsa Maju. Tapi mama masak pajeri noneh dan sambal petai. Petai pula kiriman keluarga mertua. Dek kerana mama kenangkan aku berpuasa, dimasakkan pula telur dadar. Aku selalu kata, masakan ibu hatta lempeng sekalipun pastinya sedap, nikmat dan berkat kerana itu masakan dari syurga.

**

Hari Raya yang sangat sederhana. Selepas 3 bulan tidak aku kunjungi pusara Cahaya Balqis dan abah, pagi raya itu aku ke sana. Aku sangkakan aku tidaklah sesedih selalu kerana hadirnya Eskandar Dzulkarnain menghiasi hidup kami. Nyatanya perasaan itu masih sama…Tidak keterlaluan aku katakan ia sangat menghiba. Serasa seolah aku mempunyai seorang anak perempuan berusia 1 tahun 3 bulan yang tidak pernah aku dakap wujudnya. Sedih dan sebak sepanjang aku berada dipusara kecil itu. Suami meminta aku bersabar..

Sabar itulah yang menjadikan penguat semangat aku hari ini..

Pusara abah pula aku kunjungi. Ada sebabnya mengapa dia tidak dipinjamkan lama kepada aku. Aku sedekahkan al-fatehah dan memohon dimaafkan atas dosa-dosa yang aku lakukan dan kegagalan aku menjalankan amanahnya. Tidak peduli sampai atau tidak, setidaknya aku rasa sedikit lega selepas kunjungan ke Tanah Perkuburan AU4 semalam.

***

Terima kasih kepada kawan-kawan yang datang rumah semalam. Ina dan adik, Mamal, Maikel dan adik serta Leiya. Maaflah menu yang sederhana. Adaha juga yang susah betul nak berjumpa. Tak ketemu titik tengah digaris dua sama serenjang.

***

Ada yang perlu aku pelajari sebagai insani detik Korban lalu. Tanda-tanda awal diberi tetapi tidak aku peduli kerana sangkakan ia hanyalah halangan kecil dalam kehidupan. Aku harus lebih berhati-hati di masa hadapan.

Ada sebabnya mengapa Mama belum menunaikan Haji..

Ada sebabnya mengapa cadangan melalukan korban tidak terlaksana..

Ada sebabnya mengapa senyum Eskandar Dzulkarnain mampu menyabarkan hati walang aku.

****

Semoga kita semua dibawah lindungan dan kasih sayang-Nya

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *