Hari 4 Yogyakarta : Ohai, Gunung Merapi!

gunung-merapi

Permulaan pagi ini sedikit huru-hara. Aku berjanji dengan pemandu tidaklah seawal semalam. Hari ini aku merancang untuk bergerak ke Gunung Merapi pukul 8.00 pagi. Agen semalam meminta aku menambah kos sewaan sebab aku cakap aku mahu 3 kawan aku ikut sama. Ini memang mintaklah. Aku sewa kereta bayar full, walaupun naik seorang. Kalau aku nak tambah geng untuk ikut sama, janganlah nak cekadak macam-macam. Nak ambil, tak mahu sudah. Sudahnya dia setuju juga sebelum ada yang bertukar menjadi hijau jingga dan kelabu asap. Lagi pula aku belum bayar lagi sewaan kereta untuk hari ini. Jadi aku tak rasa apa sangat sebab banyak lagi agen lain yang lebih semenggah daripada yang satu ni. Jadi, kalau anda mahu menyewa apa-apa kenderaan atau pakej, jangan bayar langsai. Bayar hari demi hari mengikut servis yang kita ambil. Ini lebih selamat. Biasalah manusia, apa agama apa bangsa sekalipun kita tak boleh baca hati nuraninya.

Hari ini akhirnya aku berpeluang merasa nasi goreng yang baunya sungguh aduhai aduhai itu. Sumpah sedap. Sempat aku makan sementara menanti adik berdua yang datang ke lokasi pertemuan sedikit lambat. Selain Amirul dan Hakim, trip hari ini turut disertai oleh seorang rakan sepejabat yang kebetulan ada di sana iaitu kak Roziah Naam a.k.a kak long kawasan. Tak semena-mena aku mendapat anugerah kak ngah kawasan juga.

Kehadirannya kak long kawasan penuh misteri. Sampai sekarang dia enggan mendedahkan dengan siapa dia berjimba-jimbaan di Kota Yogyakarta. Tahu-tahu sahaja dia beritahu dia ada di sini, agak jauh juga dari hotel tempat aku menginap. Disebabkan rakan-rakan beliau hari ini akan ke Bandung, maka dia sudi mengikut aku dan merendahkan sedikit sewaan jip di Gunung Merapi nanti. Ini yang lebih penting sebenarnya sebab duit merah aku tinggal beberapa helai sahaja lagi.

basecamp

Pemandu hari ini bukan pemandu semalam. Pemandu hari ini serba tak tahu. Tak tahu tempat makan mana yang best, tak tahu itu, tak tahu ini sampaikan aku lebih suka tanya diri aku daripada tanya dia. Mujurlah aku sudah sarapan sebab dia memang langsung tak arif mana nak bawa kami untuk sarapan pagi.

Perjalanan ke Merapi mengambil masa lebih kurang satu jam. Sama juga ceritanya seperti hendak ke Borobudur. Trafik memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan anggaran durasi perjalanan. Semakin menghampiri Merapi, semakin teruja pula aku rasa. Lebih-lebih lagi bila berselisih dengan jip lain yang baharu balik dari trip.

Kami memilih pakej yang paling mahal sekali, harganya Rp600,000. Pakej ini boleh dikatakan meliputi semua pakej-pakej lain yang ditawarkan, cuma tiada sunrise dengan jip masuk sungai. Itu tak penting sangat pun. Pakej ini dijangkakan memakan masa antara 3 – 5 jam. Sebelum aku ke sini, aku membayangkan aku akan naik ke Gunung Merapi itu sendiri. Takde maknanya…kami hanya lalu kira-kira 4 kilometer dari Gunung Merapi. Cuaca ketika aku sampai sangat baik. Cuma awan tebal menutup sedikit permukaan Gunung Merapi. Sepanjang separuh hari di sini, adalah lebih kurang 10 keping sahaja gambar yang aku ambil dengan menggunakan handphone aku sendiri. Yang lain-lain aku rembat daripada 3 orang yang tadi itu. Satu kerana handphone mereka jenama epal, satu lagi kerana seorang lagi tu baharu membeli selfie-stick katanya. Jadi kak ngah kawasan tumpang-tumpang ajelah berfoto…bijakkan beta? 🙂

Perjalanan meneroka misteri Merapi ini penuh dengan alunan, lantunan dan gegaran. Aku nasihatkan janganlah makan sampai kenyang bentak. Soheh jiwa raga anda akan menderita. Debu dan pasir memang akan sentiasa mengiringi perjalanan di sini. Jangan risau, face-mask akan dibekalkan bersama. Just enjoy the ride dan bersyukurlah kerana tempat kita terpelihara daripada bencana seperti yang menimpa penduduk-penduduk di sini.

merapi

 

Muzium Mini

Di sini kita akan dapat melihat sisa-sisa kesan letusan Gunung Merapi yang kali terakhir meletus pada 2010. Daripada pinggan mangkuk, motorsikal, Al-Quran dan tulang-temulang ternakan, semuanya dipamerkan di sini. Aku sedikit hiba melihatkan still photo wajah-wajah penduduk di sini yang penuh dengan pelbagai emosi. Memang tak dapat hendak dibayangkan kalau aku berhadapan dengan situasi yang sama. Kerana itu, disamping rasa simpati dan empati yang ada, aku lebih rasa bersyukur.

muzium4

muzium-1

muzium3

muzium-2

muzium-5

muzium

 

Batu Alien

Selepas letusan Merapi pada 5 November 2010, Batu Alien ini tiba-tiba muncul di sini, di Kampung Jambu. Ia dinamakan batu alien kerana batu ini ‘berwajah’ dan jika diteliti, ia mempunyai mata, hidung dan mulut. Lantaran itu, ia dinamakan batu alien. Tetapi menurut cerita lain, penduduk tempatan mengatakan batu ini adalah batu ‘alihan’ dalam bahasa Jawa. Dalam bahasa lain yang lebih jelas, batu ini adalah batu daripada Gunung Merapi yang terdampar sejauh 7 kilometer ke Kampung Jambu. merapi-alien

Ada juga yang mengatakan terdapat penampakan wajah singa pada batu ini. Tapi itu aku tidaklah pula nampak dan tidak diterangkan oleh pemandu yang membawa kami ke sana. Cuma pada gambar yang aku ambil di bawah ini, macam-macam rupa yang kita boleh nampak. Aku nampak Uruk-Hai, Shrek, kepala kerbau, naga dan lain-lain objek. Imaginasi aku memang dasyat ya, tuan puan semua. Ini semua adalah mainan minda dan terpulanglah kepada diri sendiri. Macam kita nampak awan..macam-macam rupa boleh interpretasikan.

alieni

 

Bunker Kaliadem

Bunker ini adalah tempat untuk berlindung – iya, memanglah bunker untuk berlindung. Sebenarnya catatan aku tulis padam balik, tulis padam balik banyaknya di sini. Aku tak tahu nak terangkan apa benda bunker ini, fungsinya dan apa yang ada dalam bunker ini. Ia sangat gelap. Sampaikan lampu suluh yang aku pasang seolah tiada fungsi langsung di sini.

Apa yang boleh aku ceritakan ialah dalam bunker ini sangat gelap. Aku rasa seolah-olah ada sebiji batu besar / pangkin batu di dalamnya. Ketika aku mahu berjalan ke arah yang lebih dalam, aku hampir tergelongsor kerana jalannya sedikit licin. Terus aku minta Hakim dan Amirul terus keluar dan naik ke atas. Masa ini aku tidaklah rasa seram menggila, tapi adalah sedikit rasa cuak. Itu aku tidak nafi. Aku sebenarnya nak tahu lanskap dalam bunker ini. Adakah seperti Lobang Jepang di Padang?

Ketika letusan Merapi yang lalu, dua sukarelawan ditemui mati terkena awan panas atau “Wedhus Gembel”. Salah seorangnya ditemui mati di dalam bilik air. Kerana itu aku mahu lihat keadaan dalam bunker ini. Di mana bilik airnya, di mana ruang sembunyinya dan lain-lain.

bunker

Tempat ini angker. Menurut cerita, ada yang terdengar bunyi tangisan pada waktu malam. Entahlah…itu cerita mereka dan terpulang kita untuk percaya atau tidak. Pada aku sebaik sahaja aku hampir tergelongsor aku sudah rasa itu adalah amaran untuk aku berhenti di situ. Kerana itu aku dan 2 adik-adik tadi kemudiannya hanya duduk di luar dan menunggu kak long kawasan sibuk berfoto sambil ditemani alunan biola gesekan seorang wanita Inggeris.

Di sini kami berhenti agak lama. Sempatlah minum air, buang air dan merehatkan badan seketika. Air botol isotonik tu, 2 botol aku togok. Panas gila di sini.

kaliadem-rest

 

Makam Mbah Maridjan

Mbah Maridjan ialah juru kunci Gunung Merapi. Kesetiaan Mbah Maridjan sangat kuat kepada Merapi sampaikan dia enggan meninggalkan rumahnya di Kinahrejo walaupun 3 amaran telah dikeluarkan oleh pemerintah. Dia meninggal dunia dalam keadaan bersujud ketika sedang menunaikan solat Maghrib kerana terkena awan panas. Untuk membaca dengan lebih teliti teori berkenaan letusan Merapi, kaitannya dengan Mbah Maridjan dan lain-lain, silalah lawati laman ini. Apapun baca sahaja dahulu. Percaya atau tidak, terpulang kebijaksanaan anda untuk mencerna penulisan itu. Secara peribadi aku juga mempunyai pendapat sendiri tentang peristiwa ini. Tetapi memang tidak sesuai untuk ditulis.

jasad-mbah-maridjan-bersujud-2

mbah

mbah2

mbah3


 

Setakat itu sahajalah pengembaraan aku ke Merapi. Ada satu dua tempat yang kami pergi, tetapi tidak aku senaraikan. Ia lebih kepada tempat untuk bergambar berlatarbelakangkan Gunung Merapi sahaja. Kalau komunikasi kita dengan pemandu baik, maka pemandu akan membawa kita ke tempat-tempat untuk berfoto yang cantik-cantik belaka.

Nasib kami baik..pemandu bukan sahaja sangat membantu dengan cerita-cerita peristiwa Merapi, dia juga handal mengambil gambar. Banyak pose-pose yang dia ambil membuatkan aku rasa bukan setakat hendak melompat NSYNC, nak jadi Harry Potter pun ada. Tapi itu akan aku kongsikan di FB.

Rasanya cukup sampai sini dahulu. Nantikan catatan terakhir esok 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *