Hari 3 Yogyakarta : Ohai, Borobudur!

boro-7

Hari ini adalah hari yang sangat-sangat aku nantikan. Lama aku memasang cita-cita untuk menyelongkar rahsia Candi Borobudur. Tiket masuk ke sini sudah aku dapatkan semalam, pakej kombo bersekali dengan tiket masuk ke Prambanan. Tidak boleh tidak kena pergi hari ini juga kerana tiket itu tamat tempoh hari ini.

Aku berjanji dengan pemandu kereta pukul 6.00 pagi WIB. Langsung aku tidak menukar jam sedia ada kepada waktu sini sebab aku guna matematik mudah, tolak 1 jam sahaja. Kalau pukul 6.00 pagi sini, jam aku pukul 7.00 pagi. Mudahnya begitu.  Ingat catatan semalam tentang bau nasi goreng yang super sedap meruntun jiwa tu? Hmm…gagal juga aku merasa hari ini kerana pekerja yang masak masuk kerja pukul 8.00 pagi. Jadi sandwich seperti semalam itu aku bungkus sahaja, buat bekalan dalam perjalanan ke sana.

Sambil-sambil termenung sendiri di depan bilik hotel, aku melayari internet dengan Asus Zenfone (promote, jangan tak promote) sambil menunggu teh panas yang aku buat menjadi suam. Asus Zenfone sangat bagus kerana aku tak perlu membawa power bank. Bateri ini kalau dicas penuh boleh tahan sehari suntuk – itupun dengan penggunaan aktif. Kalau setakat ambil gambar sekali-sekala, 2 hari boleh tahan. Baru aje sipping air, tiba-tiba muncul wakil agen semalam, macamlah aku dah lambat sangat. Padahal ada 10 minit lagi kot. Dia minta selesaikan bil kereta iaitu sebanyak Rp400,000 untuk hari ini dan terus mencadangkan program hari ini disatukan dengan ke Gunung Merapi. Eh, apahal pulak…

Dia gini…kalau betul-betul mahu menikmati Borobudur dan kawasan sekitarnya, paling-paling busuk perlukan 5-6 jam. Pakej yang aku ambil ini adalah untuk 12 jam. Memang cukup untuk terus ke Gunung Merapi, tapi aku tak mahulah menyeksa badan sampai macam itu sekali. Tambahan pula aku belum bajet lagi kos naik jeep di Gunung Merapi. Nak tak nak, mereka akur juga tapi mulalah sumpah-seranah dan ketidakpuasan hati mula aku membukit dalam hati.

Hari ini, ada seorang makcik meniaga Nasi Gudeg ditepi jalan. Kata pemandu yang membawa aku, nasinya sedap. Aku sudah ada bekalan, mungkin lain kali sahaja aku cuba.

1

Perjalanan ke Borobudur mengambil masa lebih kurang satu jam. Bukanlah jauh mana sangat, tak sampai 40km pun. Tapi disebabkan faktor trafik, memang akan memakan masa perjalanan lebih kurang satu jam atau lebih. Ada yang tanya, kenapa aku tidak pergi melihat matahari terbit di Borobudur alang-alang berada di situ. Ini jawabnya – tiket mahal, makcik. Tiket kombo tidak terpakai untuk sunrise dan sunset. Bajet aku sangat terhad. Lagi pula nak bangun subuh-subuh syafi’e jam 3.00 pagi waktu sini memang tak dapatlah. Kecualilah ada Datuk Tan Sri mahu menaja bilik barang semalam dua di Hotel Manohara sebelah Borobudur tu, maka bolehlah aku feeling-feeling eat, pray and love di sana.

setumbu-4

Sebelum ke Borobudur, aku ke Punthuk Setumbu dahulu. Tiket masuk berharga Rp30,000 dan kita perlu menaiki tangga untuk ke puncak bukit. Katanya dari puncak ini kita boleh nampak Candi Borobudur. Aku didatangi 2 pemuda tempatan dan terus dia cakap “Rangga dan Cinta dulunya di sini…”

Ha?! Aku blur. “Iya…AADC2 shootingnya di sini. Rumah Pohon apa entah dia bebel 14km…..”

Alahai, ampunkan aku Def Gab C. Aku tak tengok AADC2 jadi apa yang mereka explain doesn’t ring any bell. Aku mohon berlalu dan mulalah mendaki anak-anak tangga yang ada. Mencungap beb…mencungap! Sekali sahaja aku berhenti dan selepas itu aku terus memaksa badan memanjat sampai puncak. Peluh mak, bapak, tuai rumah semua dah membasahi muka dan badan. Aku ambil nafas sekejap sebelum berfoto di atas puncak ini. Cuaca sangat panas, walaupun jam baharu sahaja menunjukkan pukul 9.30 pagi. Sudah macam pukul 12.00 tengah hari rasanya. Gambar pun seadanya sahaja. Aku tidaklah kecewa sangat sebab alang-alang dah sampai, gagahkan jugalah diri memanjat. Ada beberapa khemah didirikan di sini. Ada beberapa remaja tempatan yang berkhemah menunggu sunrise pagi tadi rupanya. Menerusi kamera mereka, cantik juga suasana pagi di sini.

setumbu-3

setumbu-2

setumbu-1

Aku meninggalkan Punthuk Setumbu ini selepas berfoto seadanya. Di sinilah yang dikatakan oleh orang tua ‘kalau jodoh tak ke mana’. Elok sahaja aku menuruni tangga, boleh terselisih balik dengan Amirul dan Hakim. Terus kami bertukar-tukar nombor telefon. Mereke berdua menyewa motosikal. Eh, tabahlah korang dengan keadaan trafik dan panas berdengkang. Langsung aku mengajak mereka makan malam bersama-sama malam nanti dan mengajak mereka ke Gunung Merapi.

Kemudiannya aku terus ke Borobudur. Hari ini hari Sabtu. Punyalah ramai manusia. Aku jadi kaget kejap. Nak ke kiri, atau ke kanan pun aku tak tahu. Langsung sahaja aku beratur dan memegang tiket ke arah manusia yang bersesak-sesak mahu ke pintu masuk. Kakak polisi yang menjaga pintu masuk sangat manis dan peramah. Dia melihat tiket aku dan mempersilakan aku ke ruang refreshment kerana tiket yang aku beli ini termasuk welcoming drink. Alahai….so sweet 🙂 Aku mendapatkan sebotol air mineral dingin dan minum sambil memikirkan apa sebenarnya yang ada dalam Borobodur ini. Aku tidak meletakkan harapan yang tinggi sebab aku takut expectation aku tinggi sangat. Ini dilema biasa kalau kita sudah ke candi-candi besar yang lain sebelum ke Borobudur.

boro-01

Untuk mendapatkan gambaran asal tentang candi ini, aku menonton tayangan video yang disediakan. Mujur tiket yang aku beli ini termasuk sekali dengan pakej tayangan video. Kalau tidak, kena bayar rasanya dan aku tidak pasti berapa, Adalah lebih kurang 15 – 20 minit tayangan video berkenaan candi ini. Malu nak cakap..sumpah aku tak faham….Pengkisahannya tidak semudah Angkor Wat. Nantilah bila ada kelapangan aku akan memuat turun dokumentari berkenaan candi ini untuk melengkapkan pemahaman aku tentang Borobudur.

boro-1

Di sini, kita akan sentiasa diserbu oleh peniaga payung, kaus, fridge magnet, cenderamata dan selfie stick. Mereka sangat agresif. Tidak cukup sekadar berkata, no thank you. Memang mereka sanggup mengekori kita sampai mereka give-up atau sampai kita mula berkasar. Mungkin kerana aku solo, tidaklah teruk sangat aku dikejar. Yang lain-lain tu, kalau sudah mula membeli dekat seorang peniaga maka bersedialah.

boro-2

Aku memang puas hati dapat menjejakkan kaki di sini. Kira macam tercapailah keinginan yang sekian lama aku cuba realisasikan.  Kalau ada yang kurang pun hanyalah kebanyakan gambar-gambar yang aku ambil penuh dengan shot payung. Payung pink, payung kelabu hitam semua ada. Photo bomb tu memang tak dapat dielakkan.

boro-3

boro-4

boro-5

boro-6

Untuk keluar dari kawasan ini juga satu cabaran Uchan dan Nachan juga. Kita perlu merentas kawasan jual-jualan cenderamata dan pakaian. Jalannya berbelit-belit. Rimas juga jadinya sebab tak nampak-nampak pintu keluar padahal sudah lama berpusing-pusing dalam ni.

Sebelum balik, aku meminta pemandu membawa aku makan tengah hari. Sangat-sangat lapar dan sangat-sangat dahaga kerana sepanjang di Borobudur aku mengurangkan kadar mengambilan air. Dia membawa aku makan di Waroeng SS. Fuuuh, pedas giler sambal-sambal di sini. 2 gelas air aku minum pun masih belum mampu menghilangkan rasa pedas yang ada. Tapi memang sedap. Aku pasti akan makan di sini lagi sekiranya ke Indonesia kerana ia mempunyai banyak cawangan di seluruh Indonesia.

ss

Kemudiannya aku terus balik hotel. Kalau ikutkan masih ada berbaki 3 jam lagi kontrak sewaan kereta. Aku sudah pancit sangat, rasa nak tidur sahaja. Lagi pula malam nanti aku ada temu janji makan malam dengan Amirul dan Hakim. Sempatlah aku lena dalam 2 jam sebelum bertemu mereka berdua di satu lesehan di pinggir jalan. Kami makan Nasi Uduk berlaukkan ayam bakar, ikan gurame goreng, ulam-ulaman dan pastinya sambal mereka yang teramatlah pedasnya. Nasi Uduk ialah nasi yang dimasak dengan santan dan sedikit masin. Macam nasi lemak sikit rasanya.

uduk1

Nasi Uduk
Nasi Uduk

Untuk makan di lesehan, memang kena kental juga seperti di Borobudur. Ada sahaja pengamen yang akan mendendangkan anda dengan lagu-lagu tempatan atau lagu jawa. Sepanjang kami duduk sahaja, 10 pengamen tak kurang mencuba nasib di meja kami. Yang lelaki, yang perempuan, yang bapuk semua ada. Paling menakutkan aku ialah seorang bapuk tua berbaju fit warna merah dengan rambut panjang dan make-up yang tidak ayu – memetik gitar sambil menyanyi Pokemon, Pokemon di belakang aku. Memang aku takdelah sanggup memandangnya lama-lama. Dia juga akhirnya berlalu pergi dan misinya dimeja kami gagal. Kami kemudiannya berjalan-jalan meronda Malioboro sebelum berpisah dan berjanji bertemu kembali esok untuk ke lokasi wisata seterusnya.

uduk-4
Musisi jalanan mulai beraksi

Esok kami akan ke Gunung Merapi. Bukan seorang, bukan berdua dan bukan juga bertiga. Tiba-tiba bintang sinetron seorang ini muncul di bumi Jogja tatkala aku rasa aku seorang sahaja makhluk bukit angkasa di sini. Esok kami berempat akan ke Gunung Merapi 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *