HAPPY BIRTHDAY KAK BENNY!

Hari ini usia aku bertambah lagi satu. Hmm…sudah 38 tahun. Sesungguhnya perasaan dan jiwa masih terasa seolah-olah dalam usia 20-an. “Age is just a number” kata orang sekolah omputih. Irish woman macam aku hanya rasa hari ini permulaan untuk aku jadi lebih baik, lebih sabar, lebih berani dan lebih fokus dari tahun-tahun terdahulu. Haaa…bolehlah start diet kalau mahu, tapi kena mula isnin 2 minggu lagi.

Tahun ini aku tidak lagi berpeluang menyambutnya di luar negara seperti yang sering aku lakukan dahulu. Banyak benda sudah berubah. Aku kena akur dengan suratan hidup aku sekarang. Nak bercuti dalam negara pun fikir banyak kali sebab kebetulan cuti ini jatuh dekat dengan hari perayaan. Hotel konfem mahal, penuh dan keadaan trafik juga menjadi faktor penolak. Tapi sebenar-benar sebab ialah kami berdua memang koyak. 2 bulan ini sahaja sudah habis menggali untuk menyelesaikan yuran persekolahan anak-anak. Aku juga tidak lagi mahu menyusahkan sesiapa. Selagi boleh hayak sendiri, itu yang akan aku buat.

Mujurlah hari lahir aku tahun ini jatuh pada hari cuti kerana dasar aku ialah tidak berkerja pada tarikh hari pertama aku lahir ke dunia. Tetapi tetaplah kerjaan membersihkan rumah yang tak pernahnya selesai dan menguruskan kain baju yang setia duduk di dalam raga tanpa pembelaan. Ragam anak-anak memang cepat buat aku sawan tapi nak buat macam mana…mereka sendiri tak faham apa yang mereka buat. Sabar ajelah. Isnin Selasa Rabu Khamis Jumaat Sabtu Ahad kena bersabar walaupun badan rasa barai, jiwa kacau dan otak berserabut.

Semalam, adik aku meluangkan masanya seharian untuk menguruskan hal-hal duniawi yang tak sempat aku lunaskan pada hari berkerja. Ameera bawa aku ke Melaka sebab aku mahu menukar nama bil cukai tanah daripada nama pemaju kepada nama aku. Untuk memudahkan Hadi, aku membawa Eskandar jadi Hadi boleh bawa Ezzudin membeli kasut yang susah amat untuk kami cari saiznya yang tidak sepadan langsung dengan umurnya.

Misi itu gagal. Jadi Ameera minta aku fikirkan apa lagi yang aku nak buat tapi tak sempat, semua itu kita cuba buat hari ini. Nak shopping ke, makan ke dia ikut aje. Hmmm….banyak benda yang aku nak. Tapi sukar sikit untuk aku dapat. Tapi sebelum itu kami singgah di tempat yang selalu aku pergi kalau aku lari dari rumah – Summit USJ. Aku teringin nak minum kopi sedap di Black Canyon. Selepas itu, Ameera belikan aku hadiah hari jadi. Lepas itu, dia tanya balik apa lagi yang aku nak sebelum dia hantar aku balik rumah.

Yang betul-betul aku mahu untuk buat aku happy semalam ialah makan durian. Tapi sedihnya kedai durian di USJ tu tak buka. Yang ada berkotak-kotak limau mandarin. Haih sangat…Jadi kami terus menghala ke Bandar Saujana Putra. Nasib aku baik, ada satu kedai durian tepi jalan yang buka. Sebelum itu, kami hantar Eskandar balik dahulu ke rumah dan aku minta izin Hadi untuk keluar berdua sekejap dengan Ameera.

Apa lagi, terus serang kedai durian. Disebabkan Minang sama Minang, memang dapat harga saudara-mara. Serius puas hati. Tak habis agenda makan durian, kami ke Banting pula sebab aku nak beli baju Ezzudin. Tak lama sangat di Banting, Hadi text aku tanya bila nak balik. Aku mula rasa something wrong sebab bila aku berseloroh menjawab, dia tak balas.

Dalam 20 minit kemudian aku sampai rumah. Hadi dan anak-anak sudah naik atas. Aku memang rasa hiba sangat tengok rumah macam tongkang pecah. Choco Pops bersepah-sepah dilantai, bekas aromaterapi pecah berderai dan mainan anak-anak merata-rata. Konfem, Ezzudin tantrum dan mengamuk. Kasihan Hadi…mesti dia penat.

Memang meleleh-leleh air mata aku sambil mengemas rumah. Lagu yang Gold pasang pun macam faham perasaan aku macam mana. Aku settlekan rumah, dapur dan yang mana terdaya. Dekat 30 minit aku termenung lepas kemas rumah tu. Kepala aku kosong. Kemudian aku terus mandi dan masuk bilik. Call it a day…

****

Hadi bangun awal. Anak-anak pun sama. Aku sahaja sedikit liat sebab penat semalam masih tersisa. Pagi itu, dia ucapkan Happy Birthday pada aku dan tanya aku nak makan apa. Pagi ini, aku tak perlu masak katanya…Hmmm…bihun sambal adalah menu yang sedap untuk sarapan pagi. Malangnya bihun yang aku dapat keras dawai macam rendam dengan air sungai. Aku habiskan juga sebab malam semalam aku tak sempat makan malam.

Lepas makan, aku terus uruskan rumah. Bilik, kain baju, bilik air semuanya aku mahu uruskan hari ini. Tetapi anak-anak mana boleh tengok mama dia melipat baju. Meruntuhkan lipatan baju itu seolah-olah satu sukan yang sihat.

Menjelang 11:00 pagi, Hadi keluar dengan anak-anak, nak claim pizza percuma katanya. Aku pesan teh ais. Teh ais ni sudah jadi minuman wajib aku setiap kali hari Sabtu dan Ahad sebab ia sangat sedap berkrim dan mempunyai ciri-ciri teh ais yang aku idamkan.

Mereka kemudiannya balik. Aku nampak pizza sekotak, teh ais yang aku pesan daaaan…sepotong kek New York Cheese – kek kesukaan aku sejak aku pandai makan kek sedap. Hadi bersusah payah susun meja dan pasangkan kamera pada tripod sementara anak-anak sudah mula meragam sebab tak sabar nak makan kek.

Kemudian mereka nyanyikan lagu Happy Birthday untuk aku. Perasaan aku? Teramat terharu…sedih pun ada. Keluarga kecil aku ini tidak sempurna dan kurang serba-serbi, tapi kami berempat akan sentiasa berusaha untuk mencari bahagia dan menyokong sesama sendiri.

Sebenarnya ada sebab kenapa catatan kali ini bernada pelik sedikit. Nanti bila lapang aku ceritakan. Apapun, terima kasih semua kerana menjadikan hari ini indah untuk dikenang. Terima kasih kerana memperuntukkan sedikit masa memberi ucapan hari lahir kepada aku.

Terima kasih…

Me,
-Ben, Benny, Baini, Abby, Abby Anywhere, Abby Immortal, Strange, Belthazor ?????

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *