Hajimemashite – Orientasi Ekspresi Dirimu

Seperti yang diceritakan semalam, seterika aku tak jumpa jalan pulang. Nasib baik kebanyakan pakaian yang aku bawa tidak cepat kedut dan keronyok. Semuanya tenang-tenang aja dalam bagasi meski digegar perjalanan berbukit dan berliku.

Sepanjang kursus ini, makan & minum tidak disediakan. Boleh sahaja untuk peserta bersarapan di hotel jika mahu dan bayarlah dikaunter. Malam semalam aku sudah tanak nasi. Jadi aku bersarapan dengan nasi itu berlaukkan sambal kering dan selebihnya aku bungkus untuk makan tengah hari. Aku memang bawa tumbler siap-siap sebab sepanjang 26 hari ini memang banyak berjalan. Jadi kena selalu minum air.

Tepat 9.00 pagi kami berkumpul di lobi. Koordinator dari JICA Kansai kemudiannya tiba dan memberikan taklimat akan perjalanan kami ini. Kami akan ke pejabat JICA Kansai dengan menaiki tren. Tak jauh mana sangat, hanya 2 perhentian sahaja dari stesen Sannomiya ke Iwaya.

Kemudiannya kami berjalan kaki untuk ke pejabat JICA. Tengok macam sepelaung aje. Tapi rasanya macam dari RTM nak ke Midvalley juga jaraknya. Mujurlah walking shoe Power yang sentiasa aku pakai ini berkhidmat dengan cemerlang. Cuaca pagi tadi agak mendung, walaupun di sini sekarang ialah musim panas.

Tidak semua benda, aktiviti dan gambar dapat aku kongsikan kerana warga Jepun sangat mementingkan privacy. Yang mana boleh aku kongsi dengan terperinci, tiada masalah untuk aku ceritakan. Yang mana tidak, aku sepintas lalukan sahaja cerita itu.

Ini hari pertama. Ia penuh dengan aktiviti wajib memperkenalkan diri. Seperti biasa, nama aku agak tergeliat juga untuk mereka menyebutnya dan aku cenderung untuk menggunakan nama AB. Lebih mudah. Yang buat lebih mudah diingat ialah kerana maksud AB tu ialah shrimp/udang.

Ha, bolehlah bunyi sama

Kami semua dibekalkan dengan medical card. Awal-awal sudah diberitahu, plastic surgery mereka tak cover 🙂

Kami melalui 2 sesi orientasi iaitu dengan pihak JICA Kansai dan Pacific Resource Exchange Center (PREX). Kedua-dua orientasi menekankan aspek yang sama iaitu ketepatan masa, kepentingan kesihatan peserta dan mengalakkan penglibatan aktif dalam semua aktiviti. Masa memperkenalkan diri tadi, kami diminta menyatakan jenis manusia yang macam mana kita ini. Ramai yang jawab happy go lucky, baik, rendah diri dll. Aku jawab aku ini jenis yang penuh curiosity. Disebabkan itu, aku akan selalu bertanya. Jadi penglibatan memang bukan satu masalah.

Kami kemudiannya berehat untuk makan tengah hari. Boleh sahaja jika mahu makan tengah hari di kafe JICA Kansai ini. Menu halal disediakan. Harga makanan dan jenis menu aku tak pasti sebab setakat seminggu dua ini ramai aje umat membawa bekal dan kami merancang berkongsi apa yang ada. Bukan sebab kedekut, tamak, takut dll, tapi aku mahu habiskan bekalan yang aku bawa dahulu kemudian baharulah berbelanja. Makan di Hyogo tidaklah rumit sangat. Di 7E boleh aje dapatkan nasi atau onigiri. Kedai makanan halal pun banyak. Cuma makanan Jepun la…

Waktu rehat itu aku gunakan untuk mengenalpasti kenapa simkad Jepun yang aku beli masih gagal berfungi. Segala mak nenek aku dah cuba masih gagal. Rupa-rupanya kalau handphone jenis 2 simkad kita kena slot simkad Jepun di slot satu. Ohainya…

Kelas kemudiannya disambung pada pukul 2.00 petang. On time di Jepun bermaksud 5-10 minit lebih awal. Mereka sangat mementingkan masa. Ada beberapa nilai yang boleh diikuti oleh kita semua. Satu yang menarik ialah finding memo. Finding memo ini ialah apa-apa input yang menarik perhatian kita hendaklah dicatat. Aku rasa ini sejenis cara untuk memahamkan diri sendiri tentang apa yang kita pelajari atau lalui. Konsep finding memo ini besar. Ini sejenis cara bersyukur juga dan menghargai nikmat jika diamalkan.

Satu lagi ialah sharing time/peer learning iaitu berkongsi dengan rakan (konsep rakan ini juga besar) apa yang kita dapat dalam sesuatu aktiviti atau kerja. Kadang-kadang kita akan dapat perkongsian maklumat baharu dengan kaedah ini. Mungkin kerana itu team work orang Jepun sangat kuat.

Kelas terakhir pada hari ini ialah kelas bahasa. Kalau anda pernah tengok Mind Your Language atau Kelas Malam, anda akan faham betapa banyaknya peristiwa lucu akan berlaku dalam usaha mempelajari sesuatu bahasa. Menggelakkan orang memang mudah. Bila kena diri sendiri, membeku batu seribu bahasa sendu aku tadi. Terpempan seketika. Bukannya tak tahu nak jawab apa, tapi tak ingat hahaha…dalam waktu yang singkat banyak benda yang kena ingat. Berselirat kejap urat-urat dan lidah kelu. Hajimemashite bunyi Haji Mashitah pun ada tadi. Setakat mengira 1-20 aku sudah boleh ingat. Cuma masa sesi dialog untuk bertukar business card tu aje aku teragak-agak nak cakap apa. It was fun…

Konon-konon business cards la ni

Habis kelas, sekali lagi kami berjalan beramai-ramai untuk ke Stesen Iwaya. Rasanya kalau beli sendiri tiket untuk berjalan tiada masalah sangat. Cuma menentukan laluan mana yang kena ikut itu yang sedikit rumit.

Malamnya aku tidak keluar ke mana-mana. Aku kena pastikan baju yang akan aku pakai esok tidak berkedut. Justeru aku menyeru dalam group WA agar seterika itu dikembalikan. Gigihnya menggosok dalam keadaan seterika itu lambat pulak nak panas. Cas handphone pun sama, lambat penuh. Nasi pun lambat pulak masaknya. Maka bungkusan Maggi Kari cawan yang pertama selamat aku rasmikan.

Setakat itu dahulu. Esok aku kongsi pakaian yang aku pakai untuk ke Okanmuri Elementary School. Kami diminta untuk berpakaian tradisional atau pakaian kebudayaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *