Hadap Harta : Episod Finale

Sudah lebih 5 tahun aku sering bercerita tentang kisah klasik ini. Kisahnya mudah…Harta anak yatim yang disesah oleh saudara mara yang mempunyai masalah kewangan atau bahasa Kasim Baba – sesak! Oh, ini bukan kisah harta keluarga aku, yakni anak-anak arwah Khairi yang menjadi yatim dan berebut harta. Ini kisah lain.. Dan kisah ini mungkin tidak sama dengan kisah-kisah yang selalu anda tonton di kaca televisyen. Hatta hakim yang menjadi tuan bicara turut mengatakan ia kes ganjil dalam mahkamah bersabit tuntutan harta,yakni duit Amanah Raya yang kalau disifatkan membeli rumah flat dibandar besar pun tak cukup.

Aku pernah katakan. Sekiranya kes tuntutan Amanah Raya ini selesai, aku akan ceritakan apa lama aku pendam dalam jiwa. Harta boleh menyebabkan keluarga porak-peranda, putus saudara dan menyebabkan episod menyorok di Giant atau pura-pura tak nampak semasa iftar di Hotel Seri Malaysia, Ipoh. Yang nyata, keluarga aku bukan dibahagian yang kehilangan besar dalam kisah ini. Arwah pun sudah lama meninggal. Semasa hayatnya juga pernah diperlakukan seperti manusia tak berharta oleh yang berharta. Jadi setakat tidak mempunyai saudara mara jalur dia, perkara biasalah. Mungkin generasi mereka era kini banyak bertelagah disebabkan kes yang lebih kurang kes harta. Cuma kronik tak kronik ialah jumlah harta yang dituntut..

Sewaktu aku menyambut ulangtahun perkahwinan pertama di Pulau Pangkor, aku dikhabarkan 5 kereta datang ke rumah. Pelbagai tuduhan dilemparkan dan kejiranan yang senyap sunyi tiba-tiba kecoh. Sampai ada tetangga yang tertinjau-tinjau melihat apa kes rumah mama tiba-tiba macam tempat sabung ayam. Dipendekkan cerita, ada yang bertanya tentang duit tanah yang sepatutnya milik mereka, adakah entah-entah sudah mama belanjakan.

Jujurnya..mereka memang dolmat main belon. Arwah abah penama tanah yang telah diambil oleh kerajaan kerana menjadi laluan keretapi. Pampasan diberi atas penama tanah. Disebabkan dia sudah meninggal, ia harus dibahagikan secara faraid dan kami terpaksa menunggu panggilan mahkamah untuk hal selanjutkan. Dolmatnya mereka kerana menyangkakan kami sengaja melengah-lengahkan urusan mahkamah. Apa ingat mahkamah tu pedicure manicure ke boleh telefon sesuka hati mintak temujanji. Untuk bersangka baik, aku merasakan mereka tidak pernah mendengar istilah ‘fail timbul’. Hakim/majistret (aku tak pasti) sampai naik marah mendengar cerita kisah kami dan meminta mereka sendiri datang ke mahkamah kalaulah tak puas hati sangat. Aku ingat lagi katanya, kalau kes ini dibawa ke mahkamah memang boleh menang. Tak payah…buang masa dan duit aje sementelah bukannya berkoyan-koyan pun duit yang dituntut.

Perlu aku tegaskan..sedari kecil kami adik-beradik tahu ia bukan milik kami. Sekelumit pun aku dan adik-adik tak terdetik untuk merembat apa juga hatta kos tanaman, rumah atas, rumah bawah dan dapur dikampung nun. Aku masih boleh toleransi atas dasar orang tua, pakcik makcik dan apa juga kata umum menghormati orang yang terdahulu daripada aku. Tapi apabila tindakan mereka menyebabkan mama menangis setiap kali solat, hati anak mana yang tak rasa gundah?

Aku bertekad menamatkan semua kisah karut ini. Keluarga ini diperlakukan seperti tidak bermaruah rasanya. Sudahlah bapa tiada, jalur yang ada sikit pun tak hormatkan kedudukan mama sebagai balu arwah. Aku membuat pinjaman di Bank Rakyat – secukupnya. Cukup untuk membayar dahulu nilai tanah yang belum kami dapat, cukup untuk menyelesaikan hutang piutang yang ada dan cukup membuatkan aku rasa cinabeng betul saudara yang aku ada kerana mencalarkan slip gaji yang suci murni.

Aku ingat saat aku sekeluarga berjumpa yang tertua sekali dalam kumpulan ‘tuntutan’ itu. Aku nyatakan, lepas ini jika tak berjumpa dan tak bersaudara sekalipun tak mengapalah. Dan kami tak mahu pun bahagian arwah. ¬†Yang keluar dari mulut dia pada aku macam angin lalu. Takde makna dan tak mendamaikan.

Saat salah seorang dari mereka datang ke rumah danmenyerahkan bahagian mama, aku terkejut beruk dengan nilai yang diterima. Aku tak tahu matematik sekolah mana yang mereka belajar dan aku terkilan yang belajar tinggi sampai luar negeri pun merelakan cara pembahagian itu. Suka aku nasihatkan pada diri aku sendiri dan pada orang yang membaca, kalau tak ikhlas nak renovate rumah orang tua, jangan buat. Kalau nak buat juga, bincang dengan adik-adik supaya masing-masing dapat menyumbang. Kalau rasa kaya sangat, nak juga ubah suai rumah tu, jangan pulak dituntut duit atap, simen, kapur dan paku. Tak senonoh sangat!

Sangat lucu bila upah fotostat sampai RM 550.00 dan kos petrol pun setiap seorang ambil dalam RM500.00 sedangkan yang seorang tu naik kereta bersama pasangannya dan juga pejabat tanah tu bukannya dekat Putrajaya. Betullah kata suami aku, diorang fotostat atas kain songket apa!?

Kesimpulan, nilai yang salah 6 daripada mereka dapat tak cukup untuk buat down payment kereta Iswara pun. Salah dua iaitu mama dan seorang lagi lebih sikit dari nilai PTPTN pelajar ijazah dapat satu semester. Dan satu nama, yang bukan berbin dan bintikan arwah atuk aku pun dapat – lebih banyak dari mereka bertujuh kerana dialah insan yang membuat renovasi rumah. Jadi rakan-rakanku yang belajar bertahun-tahun menjadi peguam syariah, adilkah ini? Memang aku kata aku tak hadap pun dengan duit pampasan tu. Tapi matematik yang diberikan ini sangat menguji akal aku yang sekolah tak tinggi sangat nie.

Untuk itu, aku tutup kisah harta Ismet Ulam Raja ini. Apapun aku tak harap dari mereka hatta kemaafan sekalipun. Selagi slip gaji aku masih menolak biro Angkasa, selagi itulah ia menjadi ingatan tentang peristiwa yang menyebabkan semuanya huru-hara. Jangan ingat kami ini budak-budak yang boleh tutup sebelah mata aje atas apa yang terjadi. Aku telah menyelesaikan semua ini sesuai dengan janji aku pada arwah abah. Aku harap ia tidak terjadi pada galur generasi aku pula kerana apa yang aku tinggalkan untuk mereka hanya ilmu, salinan pemberian harta ini di ruang tamu rumah aku dan rumah mama serta kisah klasik ini untuk kamu semua jadikan ingatan.

Al-fatehah buat ayahanda Khairi Bin Tak.. aku sudah lakukan apa yang aku rasakan terbaik untuk keluarga kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *