Eskandar Dzulkarnain Menghampiri 8 Bulan..

Bfwrv1TIMAQu-CS

Macam sekejap aje masa berlalu, Eskandar Dzulkarnain kini menghampiri usia 8 bulan. Sekali-sekala bila dukung ED, memang terasa badan dia semakin berat. Teringat semasa usianya bawah sebulan..Memang aku takut nak pegang sebab macam-macam perasaan yang ada. Paling kelakar aku takut dia pecah macam gelas, sebab ED dulu sangat halus.

Masa ED 6 bulan, dia sudah boleh mencuba bubur nasi hancur. Tapi disebabkan masa yang terhad, aku gagal menyediakan sendiri semua itu. Konon-konon dulu nak buat dan simpan sejuk beku seperti EBM. Huh, misi gagal teruk tanpa mencuba. Akhirnya Cerelac juga yang diberi dan puree buah-buahan. Kata mama, kalau puree labu yang manis tu memang tak menyempat-nyempat dia minta. Siap berbunyi kalau lambat suap. Bubur nasi dan madu pun sama. Ada sekali tu aku sendiri yang suapkan dan Hadi kena pegang. Kalau tak tangan dia laju aje merentap bekas makanan. Bila aku lambat suap atau berikan air kosong dalam cawan budak muncung bocor tiga tu, punyalah kuat dia berbunyi. Comot tu perkara biasa. Kena di pipi, hidung..dahi pun ada. Bila diberikan puree perisa pisang dan epal, berkerut muka dan muncung-muncung bibir tanda tak suka. Masam kot.. Samalah dengan mak kau…masam-masam nie memang tak gemar.

7 bulan pula, nak tak nak kena beri ED susu formula. Itu pun satu konflik juga mencari susu yang sesuai dan tidak terlalu mahal. Betul orang cakap kalau anak nie jangan berkira sangat bla..bla..bla..sayang anak…etc. Kalau yang mampu belikan anak susu berpuluh-puluh ringgit satu tin, memang rezeki kau la anak oi.. Tapi untuk anak yang sensitif dan memerlukan susu khusus yang mahal, itu memang redha ajelah ya. Untuk itu, aku mencuba susu Nestle, lebih kurang RM 18 dan tahan 15 hari kalau tak minum banyak. Disebabkan anak lelaki memang kuat minum, rasanya belanja susu ED tak mencecah ratusan ringgit sebulan. Alhamdulillah, dia serasi dan minum dengan jayanya. Jadinya lepas ni dah boleh rancang percutian jauh tanpa memikirkan macam mana nak bawak susu beku. Susu formula sedikit-sebanyak memudahkan kami menguruskan ED.

Disebabkan perubahan susu, minggu itu dia demam dan selsema. Tak tahu faktor apa, mungkin cuaca dan mungkin sebab lain. Tapi aku salahkan diri sendiri sebab minggu itu aku demam teruk. Terjangkit agaknya. Bukan mudah nak memujuk anak kecil makan ubat. Aku tak gunakan syringe. Hanya gunakan sudu sahaja. Memang dia menangis dan sedikit menolak. Bila diagah, dipuji dan galakan tepuk tangan dia telan juga. Bayangkan 3 sudu sekali makan proses begitu kadang-kadang buat aku sedih juga sebab anak tak sihat. Lagi pula cuaca akhir-akhir ini turut menyumbang ke arah masalah kesihatan semua orang.

Weh, ini pelik tapi aku suka tulis dan ingat sebab ini juga bahan cerita jenaka untuk ED bila dia besar. Bila dia dah mula makan/minum selain susu badan, makanya najis yang terhasil bukan main handal lagi baunya. Patutlah bila Ameera terjerit-jerit mencuci tahi ED aku ingatkan dia mengada-ngada aje. Rupanya, peeeergh! Jadi bertitik-tolak pengalaman aku sendiri bila ED melakukan pembuangan kalau ada bapaknya, maka itu adalah bahagian beliau.

ED sudah boleh merangkak dengan laju..laju ya amat. Sudah ada usaha memanjat kerusi untuk berdiri, tapi badan tak kuat lagi. Kalau ada sofa panjang, sudah pandai berdingkit-dingkit berjalan sendiri tapi perlu diawasi sebab cenderung jatuh kalau lama. Vokal memang padu, tapi sedikit nyaring dan kuat. Kalau aku ada masa dia menguji vokal, memang aku ajarkan dia untuk turunkan beberapa key.

Walker oren yang aku belikan dari enam tayar sudah tinggal dua. Kerana kasihan dan kasih sayang bapak, Hadi belikan satu yang baru berwarna kelabu. Harap-harap mampu bertahan lama. Nak beli walker pun satu hal..adalah dekat sejam memilih dan menunggu ada stok atau tidak. Rezeki anak, akhirnya dapat juga.

Baju ED juga banyak yang tak muat. Rasanya macam tinggi anak aku seorang nie. Dia baru umur 7 bulan, tapi baju dah pakai yang umur setahun. Kalau baju 9 bulan memang jadi ketat ala-ala body hugging gitu. Jujurnya, baju ED memang tak banyak. Pusing balik baju yang sama. Budak pun cepat membesar. Jadi kami tidak ada menentukan keperluan baju untuk berjalan. Yang ada hanya baju harian dan baju tidur.

Perkataan pertama yang ED sebut adalah ‘abah’. Ingat lagi… 3 kali kami minta dia ulang dan bunyi memang solid abah..bukan bababaa…aaaabaaaa etc. Bila suruh sebut mama, takde respond. Bukan main senyum bapak dia suka. Yang aku dah serupa sedih-sedih hiba. Satu ketika masa ED meragam sebab sakit, ha…masa itu dengan jelas dan nyata dia sebut ‘mama’ dalam esak tangisnya. Oh, masa sakit ingat mak ya… ­čÖé

Seronok perhatikan ED. Bila dia tengah  tenang, dia akan bercakap sendiri. Walaupun gibberish kadang-kadang aku juga ikut bersembang. Sekali-sekala dia layan, tapi selalunya dia berhibur sendiri. Aku cuba juga menduga dia dengan kartun. Dia tak berapa suka.. Tapi dia suka tengok berita Awani dengan seriusnya, macam faham. Kalau iklan pun tidak sangat menarik perhatian, kecuali iklan GST. Dia memberi reaksi yang nyata dengan watak Barney. Mungkin sebab Barney berwarna ungu terang. Yang lain-lain tak sangat. Hadi seolah mahu dia cenderung pada Thomas tapi aku tak mahu mengajar. Masak kami kalau asal nampak keretapi aje dia mahu.

Aku tak sabar menunggu ED ada gigi. Setakat ini belum ada, tapi tanda-tanda gatal gigi nak tumbuh tu memang jelas. Habis bucu-bucu bantal dia gigit. Kadang-kadang hujung tudung aku pun jadi. Lagi satu, nak tunggu dia berlari. Tentu seronok bila dan boleh merancang aktiviti keluarga selaras dengan perkembangan dia.

Oh, ED masih suka gigit kaki…rasanya lepas ini kami sudah bersedia kalau ada rezeki.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *