Erti Kecemerlangan Seorang Aku..

Alhamdulillah..syukur ke hadrat Allah SWT akhirnya selepas hampir 6 tahun menjawat jawatan Penerbit Rancangan di RTM hari ini aku naik ke pentas Istana Budaya dengan sopan santun dijaga untuk mengambil sijil Khidmat Cemerlang 2010. Lebih manis, sijil itu diberikan oleh pak menteri sendiri dan ucapan lafaz selepas terima kasih membuat beliau terkejut seketika hehehe..

Pagi tadi hampir 45 minit aku ambil masa menggosok baju kurung. Sudahlah lama, tak juga licin berkedut juga adanya di mana-mana. Terus-terang pada mulanya aku tak teringin langsung mengambil sijil dimajlis ini. Berikan saja bila terjumpa di mana-mana. Tetapi disebabkan kebanyakan penerima yang terdiri daripada rakan-rakan seperjuangan yang memahami, aku gagahkan juga bersopan-santun untuk ke majlis ini. Lagipun apalah sangat jasa seorang aku memandangkan bergantang-gantang lagi kakitangan lain yang hebat di bidang masing-masing. Menjelang tahun depan tak tentu orang akan ingat apa yang pernah aku buat.

Mendefinisikan erti satu kecemerlangan seorang aku adalah satu hal yang besar sebenarnya. Semakin lama aku berkhidmat semakin itulah juga aku memaksa diri membuat program yang tidak menimbulkan masalah,baik dari segi teknikal dan penerbitan. 4 tahun di Hal Ehwal Awam (HEA) umpama persediaan dalam persediaan. Percayalah cakap aku, nak cepat belajar silalah masuk ke sana baru tahu hebat tak hebat tamparan kerja. Namakan saja, program kanak-kanak, program remaja, program khas, doku dan majalah semuanya ada di sana. Dalam program itu adakalanya melibatkan hiburan dan drama. Cuma sukan saja yang belum aku terokai sebab terang cakap, aku penakut dengan benda yang tak pasti.Orang-orang hebat sahaja mampu menangani cabaran di unit sukan. Tapi dalam keadaan pengalaman yang sedia ada kini aku berani menyahut cabaran ke sana andainya ada peluang.

Selepas di HEA, aku ‘dilelong’ oleh mergastua dan akhirnya menapak di Unit Ehwal Semasa TV. Kerja macam biasa dan bertukar-tukar program macam pendrive dicucuk masuk pada komputer yang banyak virus. Sampailah Unit Khas dan ditukar nama menjadi Unit Siaran Langsung tahun lepas barulah aku rasa seronok kerja sesungguhnya kembali. Mungkin sebab pengalaman lama banyak membantu membuat program yang diamanahkan ataupun sebab petempatan aku berpindah dari kawasan yang tak dapat talian Maxis kepada Rumah Eksekutif yang kalau dipam jambannya, satu rakyat tahu ada bisnis telah dijalankan. Punyalah kuat sampai tahap kerosakan gegendang layaknya.

Untuk kenyataan penubuhan unit ini menanggung biawak program yang tak sepatutnya dibuat oleh mereka juga satu kenyataan yang sangat dangkal. Sedar tak dengan adanya unit ini maka adanya jawatan baru pelbagai gred yang faedahnya untuk kenaikan pangkat kakitangan juga. Jangan samakan skop kerja 10 tahun dulu sebab zaman dah berubah. Kalau rasa nak duduk di sana masih pasti tak ada masalah kerana kalau yakin dengan ilmu ‘kipas kebas’ dia akan naik juga – Enuff said!

Suka aku nyatakan, kerja di situ walaupun boleh dikatakan tiap-tiap Sabtu, Ahad dan cuti am berkerja, tidak menjadi masalah langsung sebab semua kawan-kawan memahami. Sampai kalau nak cuti pun kami boleh berbincang mengambil-kira pegawai yang nak balik Gawai, cuti sekolah dan hal-hal peribadi lain. Itu belum masuk hubungan yang diparas ok. Adatlah bergaduh berperang mulut bertekak-tekak bagai. Lepas tu baik balik dan meneruskan kehidupan macam biasa.

Untuk kalender tahun lepas, namakan saja agenda besar negara yang mana. Hampir semua aku yang terbitkan. Dari pelancaran  Pelan Transformasi ke Istiadat Panji-Panji ke Merdeka dan perayaan-perayaan yang pelbagai. Jadi katalah aku tidak juga mendapat APC maka layaklah aku ‘membako’ sesungguhnya. Aku juga tak nampak sebab kenapa takut sangat diera serba membangun jajahan bersulam kerawang untuk membuat benda yang sama tahun ini. Sebab yang terbitkan bukannya mereka, aku dan rakan-rakan juga. Malulah kalau dikata tak kompeten….

Sesungguhnya tahun lepas terlalu banyak pengorbanan yang dibuat, khususnya semua di USL. Berapa banyak kenduri kahwin dan tahlil aku tak hadir, hari lahir ahli keluarga yang juga aku tak hadir. Mujur kes mahkamah aku tak boleh tidak kena hadir..Emosi yang retak dari satu tampuk ke tampuk lain, ke tampuk lain lagi dan ke lembah durja akhirnya.

Aku sangat berterima kasih kepada bosses yang percayakan aku. Kakak-kakak senior yang memberi bantuan pada aku bila aku memerlukan, sokongan teknikal yang ya tuhan, Allah sahaja membalasnya dan AP-AP dan SA-SA yang membantu, termasuk yang diberhentikan atas kedangkalan. Juga kerani pejabat yang sentiasa memberitahu kehadiran faks urgent dgn efisien.

Percayalah, tidak sebab bodek aku dapat sijil hari ini. Siapa kenal aku tahu sahajalah. Tak ada bos yang tak pernah komen pasal attitude aku yang suka membantah. Cuma bos yang emo sahaja simpan dihati. Bos yang baik akan membentuk, menasihat dn membuat aku kembali ke pangkal jalan. Aku berharap peluang yang sama rakan aku, Hartini Haris akan dapat. Dulu bukan main dikata tak boleh itu dan ini dan jadi rakan bola macam aku juga. Sekarang kalau dia tak terbitkan Titik Sentuhan, tak tentu lagi mereka boleh cari pengganti dia. Ini hanya 50 sen aku, tak suka takde hal..

APC 2010
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

0 Replies to “Erti Kecemerlangan Seorang Aku..”

  1. Salam,

    Suka sungguh dgn bahasa Baini… nampak brutal, bahasa pun ala2 brutal tapi puitis dan saya sukaaa… semoga masih ingat saya, navy day 2011… cemana nak jd follower ni? x biasa ngan wordpress …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *