Demi Judin

Semalam aku ke sekolah Ezzudin. Temujanji dibuat seminggu awal oleh cikgu sekolah dia. Ada beberapa perkara perlu dibincangkan – begitu mesej yang aku terima.

Jujurnya, aku memang agak gementar bila ada cikgu nak jumpa, nak bincang. Pengalaman tadika pertama reject dia buat aku rasa ranap masa mereka beri justifikasi. Kali ini aku berlapang dada. Terima apa saja dan dalam hati aku banyakkan berdoa semoga semuanya baik-baik sahaja. Jenuh nak cari sekolah dalam keadaan ekonomi sekarang…

Lebih kurang pukul 4:30 petang, aku sampai – lewat 30 minit. Temujanji hampir aku batalkan sebab semalam petang KL hujan lebat menggila. Grab sebiji pun tak beri kerjasama. Berlahan-lahan aku berjalan menyusur jalan dari puncak Angkasa untuk ke LRT Kerinchi. Mujur tak lencun.

Cikgu menyapa aku dengan mesra. Dia sangat gembira melihat kelibat aku di depan pintu sekolah. Aku dijemput masuk dalam satu bilik. Sesi ini one to one. Dari situ, aku boleh dengar suara Judin keriangan, menjerit dan menyanyi yang tidak dapat aku tangkap biji butirnya.

Cikgu memberikan aku satu laporan prestasi Judin dari Januari – Februari berdasarkan maklumat yang kami isi November tahun lepas, semasa mula-mula kami bercadang masukkan dia di sekolah ini. Jantung aku ini semakin tak menentu berdegup. Apa yang bakal aku terima kali ini?

Cikgu itu mulakan dengan memberikan ulasan pemerhatian dia terhadap Judin, anak autistik aku yang berusia 4 tahun 5 bulan. Judin seorang yang periang dan manja, tetapi banyak kesulitan dari aspek behavior. Aku hadamkan setiap butir ulasan yang dibuat. Betul belaka…

Ada perkara yang dia mampu buat dan belum mampu buat untuk usia itu bagi anak yang ada autisme. Seriously, Judin agak advance. Fast learner mengikut kata cikgu itu. Tetapi masalah behavior tadi menyebabkan banyak task sukar untuk dia buat kerana dia ikut mood dia aje. Dia tak boleh duduk diam. Paling lama 5 minit. Kemudian dia mula menggelisah. Dia juga masih enggan berkongsi barang dan tidak boleh sabar kalau beratur. Setiap pagi, dia kena susun beg sekolah di rak dan sehingga hari ini, dia perlu dibantu. Tak pasti mungkin sebab rak dia tinggi atau beg terlalu berat, dia cenderung letakkan beg dilantai sahaja.

Kami berkongsi maklumat tentang Judin. Aku beritahu dia akan tantrum dan baran kalau tak dapat apa yang dia mahu. Daaaan, dia akan pukul aku Sekali dua aku boleh sabarkan. Tapi kalau dia terpukul dibelakang tempat injection masa operation dulu, memang sakit tak terluahkan. Sakit…aku hanya mampu menangis aje. Nak pukul balik, dia bukan faham pun. Ada sekali Hadi terpukul juga sebab Judin sepak belakang masa aku tengah tidur. Aku menangis tak hingat sebab badan aku tiba-tiba tak boleh bergerak. Mujur tak lama okay balik. Ezzudin pulak tersedu-sedu dilantai dengan penuh hiba.

Dan sebagai emak yang menyimpan dia 9 bulan lebih dalam perut, aku pujuk juga Judin yang menangis tak tahu kenapa dia kena marah. Apa juga yang dia tak puas hati, aku kena dulu…Bukan Hadi dan bukan Eskandar. Mujurlah dia takde perangai pukul anak orang di tadika itu.

Kesimpulan kisah ini mudah tapi payah juga untuk dibuat – aku kena pisahkan Eskandar dengan Judin sebab punca dia mengamuk ialah abang dia. Dia nak baca buku, abang dia rampas buku. Dia nak duduk sebelah aku, abang dia tolak dan bila dia pegang satu mainan, mainan itulah yang abang dia mahu. Haih…

Dan benda-benda macam ni, kau tak boleh buat seorang. Kami sama-sama kerja dan penat. Penat menjaga anak autistik ni lain. Yang pernah lalu sahaja faham. Dalam keadaan Hadi kejar diploma pengajian bahasa dia lagi. Aku sangat faham apa yang dia lalu walaupun dia tak cerita untuk tak semakkan kepala otak aku. Oh, esok dia final exam. Nantilah petang ni aku beli jiwa dia pula. Dia tengah bawa anak-anak main pasir dan memberi ruang kepada aku menjadi Cinderella mengemas rumah yang macam kapal karam ni.

Ok sambung…

Cikgu menambah satu point – Judin ni manipulative. Dia akan gunakan kita untuk dapat apa yang dia mahu. Dia akan lembut/keraskan badan dia sebagai tanda protes. Betul sangat! Kalau jadi macam itu, aku pikul aje walaupun berat dia macam 2 guni beras. Sungguhpun begitu, Judin saaaangat pandai mengambil hati. Kadang-kadang ada cikgu yang tak sampai hati nak denda dia sebab faktor-faktor inilah. Dia manja…tak payah sembang manjalah. Dia senyum aje boleh lemah menengoknya. Itu belum dia datang pada aku dengan suara manjanya menyebut mommy…mommy lagi.

Banyak lagi yang kami bincangkan. Sesi macam ini mungkin akan dibuat 2-3 bulan sekali. Aku sangat gembira bila cikgu cakap semua pengajar sayangkan dia. Sebab faktor manja dan fast learner itu tadi. Kerana itu, kerisauan yang bersarang seminggu terus hilang. Ingatkan sekolah tak mahu jaga dia lagi. Ada orang boleh terima anak aku seadanya sudah kira besar rahmat.

Selagi hayat aku ada, aku akan berusaha untuk memberi kehidupan yang terbaik untuk dia. Sebab Judin, aku jadi lebih kuat. Akupun tak tahu aku mampu sekuat itu. Rutin aku 4:00 pagi – 12:15 malam – hari-hari! Kalau tak disebabkan rumah aku jauh dari tempat kerja, mau malamnya aku pacak kedai burger pula untuk tambah pendapatan.

Kadang-kala mental aku koyak juga…tapi aku limitkan masa dalam 30 minit aje untuk rasa ranap. Masa ni, memang betul aku dengar suara syaitan. Nak meluruskan balik akal aku selepas hujah-hujah syaitan pun ambil masa juga. Apa yang selalu aku buat ialah mula kemas mainan anak, mop rumah dan bancuh kopi ais. Lepas itu aku bangkit balik.

So, Judin Judika Ezzudin Dzulfikar, laluan kita panjang lagi. Permudahkan urusan mama untuk fahami dunia kamu ya. I love you so much, i love you no matter what.
#myautisticson
#judinautistic
#autisme
#forevermeansforever

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *