Demi Anakanda Ezzudin Dzulfikar

Hari ini adalah hari terakhir Ezzudin bersekolah di Puchong. Itulah satu-satunya tempat yang sudi menerima dia dan memberikan dia pendidikan awal mengikut kemampuan anak yang ada autisme.

Semuanya seakan terlalu pantas berlaku. Aku masih teringat panggilan dari pengurusan tadika lama yang memberitahu mereka tidak dapat menguruskan Ezzudin kerana tiada kepakaran.

Judin bukan seperti anak-anak lain yang boleh menerima arahan. Tak mahu aku cerita detail sebab orang yang tak pernah lalu tak akan faham. Kata-kata pukul rata aku telan sahaja. Ok abaikan.

Bermulalah pencarian mencari tempat baharu untuk Judin. Seluruh kawasan Putra Heights, Putrajaya dan Cyberjaya kami cari. Bukannya takde langsung, ada. Tapi kosnya sangat tinggi. Untuk anak istimewa, kosnya antara 4-6 kali ganda dari sekolah normal. Entah macam mana, Hadi terjumpa satu tempat di Puchong dan terus kami mohon untuk masukkan Judin di situ.

Di satu malam selepas balik kerja, kami berkejar ke sana. Trafik sudahlah semulajadi puaka di kawasan itu. Aku hampir membatalkan pertemuan sebab tempat pertama yang kami pergi, sebelum tempat itu kosnya memang kategori sangatlah kami tak mampu. Jadi aku tak mahu kecewa dua kali. Namun tuhan ada perancangan yang berbeza.

Judin dinilai dengan diberikan beberapa aktiviti dan mungkin kerana rezeki, tempat itu sudi menerima dia. Memang aku terduduk dengan belanja persekolahan Judin tapi demi anak, aku yakin rezeki dia ada. Lagipun mereka menerima tidak sampai 10 orang anak istimewa pelbagai kategori sahaja. Kami yakin Judin akan bahagia di sini.

Bermulalah episod baharu Hadi berkejar-kejar dari Bandar Saujana Putra (sekolah Eskandar) – Puchong (sekolah Judin) – Putrajaya (pejabat Hadi) – Puchong – Bandar Saujana Putra. Belanja kami sangat besar untuk minyak, tol dan maintenance kereta. Belanja lain-lain pun bersukat. Tapi itulah…rezeki Allah datang dalam pelbagai bentuk. Kami tidak keputusan yang melampau. Ya, ada defisit tapi Alhamdulillah, cukup.

Pemilik sekolah ini, Puan S sangat memahami keadaan kami. Memang kami bersyukur teramat berjumpa manusia yang sangat baik dan mulia seperti dia. Walaupun berbeza bangsa dan agama, dia lebih memahami dan membantu. Sekali-sekala, kami terpaksa meminta bantuan dia menjagakan Eskandar sekiranya tadika dia tutup dan Puan S tidak keberatan dan berkira dengan permintaan itu.

Perubahan Judin ada. Ada itu bagus dari tiada. Dari tidak boleh sebut apa macam Ramlee, Ramlee baca tak bunyi langsung sampai boleh menyebut mama, abah, pelbagai jenis warna, binatang, jenis-jenis burung dan bentuk. Aku umur 4 tahun pun tak tahu tailorbird tu apa bendanya?! Paling aku terkejut, jenis-jenis Super Wings tu dia boleh hafal sampaikan aku terpaksa hafal sama.

Harapan aku masa sekolahkan dia di situ, dapat dia uruskan diri dia sendiri pun sudah besar rahmat. Kalau dia buang air besar, terus dia ke bilik air, buka pampers dan cuci sendiri (of course kena assist juga sebab kami risau tak bersih). Nak mandi pun sama, buka baju terus ke bilik air. Cuma nak urus diri seperti anak-anak lain belum sempurna lagi.

Baran dan tantrum dia juga tidak menakutkan seperti sebelum dia ditempatkan di sekolah ini. Ada masanya, Judin tantrum. Penat weh…dan menakutkan. Tapi itu terjadi kalau apa yang dia mahu tak dapat dan kalau abang dia kacau. Tang abang dia kacau, kami boleh kawal lagi. Tapi kalau kat pasaraya atau majlis kahwin orang dia buat perangai, memang sabar ajelah benteng yang kami ada. Habis fed-up, balik terus.

Sungguhpun begitu, Judin sebenarnya sangat sweet. Dia dan Eskandar sama – dua-dua pandai ambil hati dan redakan amarah aku. Judin suka bermanja…dipeluk, diriba dan bergurau. Keluarlah suara Cakra Khan dia yang husky tu. Kalau dia menangis, aku memang jatuh hiba. Berapa kali aku join menangis sama. Sedihnya tu…memang ada roh sampai terasa dalam hati aku yang paling dalam.

Dia juga mudah. Makan nasi, laukkan telur dan kicap sahaja. Yang lain dia tak mahu, juga selamat tinggal sayur-mayur ni. Terus dia luakkan balik bila dia sedar dia diperangkap. Aku pun pelik sado dia tu datang dari mana sebab dia bukannya makan sampai kenyang bentak. Bila dia minta dukung, aduh bakal meranalah badan aku dengan beratnya itu.

Semasa aku di India, Judin sah didiagnos autisme. Aku dan Hadi berbincang panjang lebar tentang masa depan dia. Of course aku rasa masa depan gelap, dia dengan kami sekali. So, what’s next? Berapa lama nak termenung? Kami mula mencari informasi melengkapkan diri kami dahulu. Kemudian baru rancang persekolahan dia. Kami kena cari tempat yang betul-betul ada module atau silibus yang sesuai dengan Judin.

Sekali-lagi kami melalui fasa mencari dan mengatur belanja. Sumpah ranap! Kami takde apa yang tinggal selain sabar. Aku nak kata tinggal iman pun tak berani. Fasa nekad yang maksimum bermula bila aku nekad menguruskan diri aku sendiri dulu. Sekali lagi aku dan Hadi duduk berbincang seperti mana yang selalu aku perhatikan cara arwah abah dan mama mengatur belanja. Duduk – keluarkan kertas – catat belanja – mengeluh – pandang sesama sendiri – fikirkan option – meyakinkan sesama sendiri WE CAN DO THIS!

Alhamdulillah…Judin sudah ada sekolah yang sesuai untuknya. Ada beberapa tempat kami cuba. Macam-macam faktor kami perhalusi. Lebih bersyukur, di kawasan rumah aku juga. Setakat 2019, insya Allah kami boleh harung dan tanggung. Macam aku cakap, rezeki anak sentiasa ada. Walaupun aku pergi kerja gelap, balik pun gelap, tak apalah. Lama-lama nanti semua akan beransur selesa bila sudah terbiasa. Mana tahu, rezeki kami berdua sampai awal. Aku punya rencana lain, tapi lain kalilah aku cerita.

Harapan kami bila Judin di sekolah baharu, tahun depan Judin mampu uruskan diri dia sepenuhnya. Boleh berhenti pakai pampers, tatabahasa semakin banyak dan boleh fokus dengan arahan. Hari-hari aku niat we can do this, i can do this.

We have to be strong for each other, for the sake of our little family. Bukan senang bila kau dikurnia anak istimewa. Kalau nasib baik, keluarga bantu. Kalau tak, kau bantulah diri sendiri disamping bantu mereka juga. Sebab manusia tak mahu faham masalah manusia, dia nak manusia faham masalah dia aje. Mujur aku ada support system. Ada kawan-kawan yang sentiasa bagi semangat bila aku mula tanpa sedar aku menunjukkan simptom bakal ranap. Itu sudah cukup. Ada yang care, ada yang prihatin. Cukup dah.

Hmmm…panjang aku menulis hari ini. Aku sudah lama tiada jiwa untuk menulis. Bulan ini, bulan yang sangat mencabar secara fizikal dan mental sebab tuhan menguji aku dari semua sudut – serentak. Tapi sebagai manusia, aku lalu sahaja sebab aku pegang selepas awan kelabu, sinar menunggu. Tuhan tak akan uji dengan benda yang kau tak boleh lalu. Dunia memang tempat kita digasak dengan segala benda. Kalau nak rehat, itu di alam yang lain. Mungkin Judin asbab memudahkan urusan kami di sana.

Be strong, stay strong.
Be positive, stay positive.

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *