Dalam Gembira Itu..

Sedari semalam semua rakan kelas punyai satu perasaan yang bercampur. Hari ini keputusan peperiksaan semester 2 akan dikeluarkan. Tidak seperti tahun lepas, kali ini aku langsung tidak berperasaan untuk mengetahuinya. Aku sendiri tidak berapa yakin dengan apa yang aku dapat walaupun sudah sedepang usaha aku pertaruhkan. Sementelah aku harungi ia dalam keadaan aku mengandungkan Cahaya Balqis. Aku masih ingat saat aku habiskan kertas Research Method. Ingin sahaja rasanya aku lemparkan komputer riba itu keluar tingkat 3 dari sebuah pangsapuri. Mujur ada rakan-rakan yang bersama aku dan semuanya tenang kembali.

Semester lepas azab duniawi..Sungguh! Kerana keguguran,  kertas War Religion & Society tidak dapat aku duduki. Itu juga berbakul kesabaran aku menghadapi karenah duniawi yang mencabar kesabaran aku dalam keadaan sakit berpantang dan jiwa tertekan. Tapi aku mohon tuhan permudahkan perjalanan hidup aku yang bergegar dek ujiannya yang bertimpa-timpa. Tuhan sayang aku – yakin itu! Jadi malam tadi aku tidur dalam keadaan tidak bermimpi.

Pagi tadi aku bangun dalam keadaan separa positif semuanya akan okay. Perbualan rakan-rakan di WhatsApp seolah-olah meyakinkan semuanya baik-baik sahaja. Email pautan yang diberikan pihak universiti aku buka walaupun mata sedikit sepet. Alhamdulillah, semuanya memberansangkan walaupun tidaklah secemerlang rerakan yang lain. Tiada senyum, tiada seronok yang bergantang-gantang. Hanya perasaan yang biasa-biasa sahaja. Aku bukanlah pelajar yang dianugerahkan kebolehan belajar sekali baca. Otak aku benak juga. Tapi keputusan ini lebih baik dari semester lepas, dan ia meyakinkan aku semester akan datang aku boleh laluinya dengan kecekalan dan mungkin lebih cemerlang lagi.

Hari ini, sebulan lepas… Aku lahirkan Cahaya Balqis dan aku tangisi pemergian dia sehingga hari ini. Jadi apa yang aku terima hari ini hanya satu dari ribuan warna yang telah disuratkan oleh-Nya. Hati…mohon tabahlah 🙁

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Replies to “Dalam Gembira Itu..”

  1. hallo baini! hope you are feeling wayyyyy better 🙂 and eventhough keputusan “tak memberangsangkan” tapi sebab buat exam dan harungi semua itu dalam keadaan yang sangat tidak best, and still tak flunk, kira satu kejayaan lah tuh.

    jaga diri baik-baik ok. eh lupa, ni mala. hahahaha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *