Corat-Coret Yogyakarta : Post Terakhir

prambanan

Rasanya aku sudah ceritakan hampir semua pengalaman aku sepanjang 5 hari 4 malam berada di Yogyakarta. Yogyakarta sangat indah…mengingatkan cerita aku di sana seolah mendesak separuh jiwa aku untuk ke sana lagi – segera. Begitu penangannya…

Catatan terakhir ini lebih ringkas dan santai. Ia adalah cerita-cerita kecil yang tertinggal. Sengaja aku tulis untuk kenangan aku di masa hadapan.

  • Kupat Tahu

Salah satu makanan yang sempat aku cuba di sini ialah Kupat Tahu. Kalau tak silap, kupat ini kita panggil ketupat. Aku mencuba Kupat Tahu Gimbal dalam kurungan Bakwan Udang. Asalnya aku mahu makan nasi ayam sahaja, tetapi nasi ayam sudah habis. Kami sampai di restoran ini selepas balik dari Gunung Merapi. Itupun sebab kak long kawasan suruh pemandu berhenti untuk makan. Nak harapkan pemandu itu, dia sendiri tak tahu nak bawa kami makan di mana.

kupat-1

Rasanya seperti makan soto ayam, tetapi kuahnya berkicap dan rasanya juga macam kuah yong tau foo. Oleh kerana aku sudah lapar gaban, aku makan juga sampai habis. Itupun aku masih rasa lapar. Ingatkan Bakwan Udang tu, adalah seekor dua udang berenang-renang dalam kupat tahu tu. Rupa-rupanya ia tak ubah seperti cucur udang tanpa fizikal udang. Ok sedih..

kupat-3

kupat-2

 

  • Mahasiswa Universitas Gadjah Mada turun ke jalan

Betul-betul di hadapan Monumen Serangan Umum 1 Maret, mahasiswa-mahasiswi ini mengadakan tunjuk perasaan secara aman. Sempena apa, aku tidak pasti. Mungkin situasi ini biasa-biasa sahaja kerana kebanyakan orang yang lalu-lalang di situ macam tidak kisah pun dengan punca mereka turun ke jalanan. Yang tekun memerhati kebanyakannya pelancong luar. Orang ramai lebih sibukkan nak bergambar dengan pelbagai maskot seperti Doraemon, Hulk, Transformer dan lain-lain figura.

mahasiswa

monumen

minumen

 

  • TVRI

Kebetulan lalu, aku ambil kesempatan untuk bergambar di sini. Sayangnya aku tiada kenalan di sini…

tvri

 

  • Sate Klatak

Aku berpeluang mencuba sate klatak, antara makanan yang terkenal di sini. Sate klatak, terutamanya Sate Klatak Pak Pong sentiasa menjadi tumpuan sampaikan aku kena menunggu hampir satu jam untuk mendapatkan 6 cucuk sate klatak.  Restoran Pak Pong terletak di kawasan Bantul. Dua sate klatak, dan satu sate kambing biasa sahaja yang dipesan. Ingatkan tak cukuplah, rupanya lebih daripada cukup kerana daging yang dicucuk pada jeriji  bersaiz agak besar.

Sate kambing biasa, dimakan dengan kicap. Menurut pemandu teksi yang membawa aku ke sini, yang aku minta makan bersama-sama aku di sini, sate kalau makan dengan kicap maknanya sate jawalah tu. Kalau dimakan dengan kuah kacang, itu sate Madura ataupun sate Minang. Memang jauhlah imaginasi aku sate makan dengan kicap. Sate klatak pula dimakan seolah macam sup – aku tak makan, aku perhati sahaja pemandu itu makan. Kak long kawasan pun akal dia…punyalah dia tak lalu nak makan dia sedekahkan dekat pinggan aku. Ada sekali gigit tu, aku rasa pelik semacam. Eh, bukan daging ni..rupanya organ semacam hati kot..Entah organ-organ kambing ni seram aku memikirkannya.

It took me almost 6 hours to wash away the after taste. Sumpah tak tipu. Memang cukuplah sekali Jay Jay.

pak-bong

klatak

Gambar close-up takde sebab pencahayaan di sini sangat suram. Dan aku pun tak pasti kenapa aku tak ambil gambar sate ni…

Foto carian Google

 

  • Bilik Air

Ok, tajuk nampak remeh, tapi ceritanya aku suka. Boleh dikatakan semua bilik air di kawasan Merapi disediakan satu bekas duit. Kalau kita gunakan bilik air tu, silalah bayar Rp2000. Tiada siapa jaga pintu pun. Ini memang antara engkau dengan Tuhan ajelah tahap kejujurannya. Yang paling utama, walaupun tandas ini tiada siapa yang jaga, ia sangat bersih. Aku sangat hargai tandas yang bersih kerana itu membuatkan kita rasa selesa dan yakin bila berada di dalamnya.


Rasanya itu sahaja catatan pengalaman aku sepanjang berada di Yogyakarta. Memang betul lirik ini “terhanyut aku akan nostalgi, saat kita sering luangkan waktu, nikmati bersama suasana Jogja…”.

Tidak lupa, “izinkanlah aku untuk selalu pulang lagi, bila hati mulai sepi tanpa terobati”. Aku rindukan Kota Yogyakarta dan warganya yang ramah bersahabat..

pose

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *