RSS

CIKGU MISEL DALAM KENANGAN…

November 19

Semuanya bermula pada tahun 1989. Aku berusia 8 tahun, bersekolah di SK Lembah Keramat dan berada dalam kelas 2 Kenanga. Petang itu, seorang guru baharu akan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris kepada hampir 50 orang murid-murid.

Saat dia masuk kelas, kami semua yang semula jadi riuh dan bingit langsung diam dan terpana. Figura seorang lelaki tinggi dan tegap berdiri sambil mengepit beberapa buku. Dia memperkenalkan dirinya dan membenarkan kami bertanya soalan sebelum dia memulakan kelas yang pertama. Kelas ini adalah kelas terakhir sebelum waktu rehat.

Hari itu juga, aku ke sekolah tanpa membawa duit belanja. Semua murid-murid berbondong-bondong ke kantin sementara aku duduk di batu antara laluan dari kelas untuk ke kantin. Perut memang lapar menggila. Maklumlah…budak. Makan sejam sekalipun tak pernahnya kenyang. Aku menguis-nguis tanah dalam kebosanan dan tiba-tiba seseorang berdiri dan menegur aku.
“Kamu tak pergi makankah?”

Oh, Cikgu Misel rupanya. Aku pandang dia dan menggeleng. Tangan masih leka menguis tanah.
“Kenapa?”
‘Saya tak ada duit…’aku balas perlahan. Aku malu nak pandang muka cikgu.

Cikgu seluk poket. Dia rendahkan badannya dan memandang aku sambil menghulurkan sedikit duit.
“Ambil duit ni, pergi beli makanan.”
Aku menggeleng. Tak mahu. Dia capai tangan aku dan nota berpindah tangan.

Serentak aku terus menangis. Aku malu. Hari pertama berkenalan dengan Cikgu Misel adalah hari pertama dia berikan aku duit untuk makan pada waktu rehat.

Sejak itu, Cikgu Misel menjadi cikgu yang sangat aku sayang. Aku sentiasa aktif dalam kelas. Cikgu juga suka panggil nama aku untuk jawab soalan. Sampailah suatu hari, aku diserang demam panas. Hampir 3 hari aku tidak hadir ke sekolah. Dalam tempoh 3 hari itu juga, rupa-rupanya cikgu dalam proses membuat pilihan wakil kelas untuk pertandingan rhyme citation. Aku sendiri tak pasti kaedah pemilihan yang dia buat itu macam mana sebab aku difahamkan cikgu sudah memilih Irwan Azmi sebagai wakil kelas 2 Kenanga.

Hari pertama aku hadir ke sekolah selepas cuti sakit, Cikgu Misel datang ke meja tempat aku duduk ketika aku sedang sibuk menyiapkan kerja sekolah yang dia beri. Dia bertanya sama ada aku berminat untuk masuk pertandingan rhyme citation itu. Aku jawab, aku tak mahu. Aku tak tahu baca sajak dalam bahasa Inggeris. Kalau dalam bahasa Melayu, aku tahulah.

Cikgu nampak tak puas hati. Dia pujuk aku dan minta aku cuba juga. Untuk tidak menghampakan dia, aku baca juga. Terus dia pilih aku untuk bergandingan dengan Irwan untuk pertandingan itu nanti. Tajuk sajak itu, kalau tak silap “Once I Saw A Little Bird”. Agak panjang! Tapi mungkin kerana kerap berlatih, hafallah juga. Dalam pertandingan itu, kami dpt nombor 3. Pertama, tentunya genius SKLK iaitu Nurul Zaynah dan kedua pasangan Anna Roslan dan Emma Shazwin. Cikgu Misel tahniahkan kami dalam kelas. Aku rasa bangga dan gembira…

Darjah 4 adalah tahun persekolahan yang serabut bagi aku. Aku yang pada awalnya ditempatkan di 4 Kenanga diminta bertukar ke kelas 4 Raya, yang cikgu kelasnya ialah Cikgu Ainon. Fuuh, kecoh…melibatkan keluarga jugalah sebab aku sudah selesa dengan Cikgu Baharin, tiba-tiba kena pindah ke kelas yang cikgunya terkenal dengan kegarangan dan cubit ketam yang tak berapa nak manja. Cikgu Misel panggil untuk jumpa dengan aku di satu hari dan berikan aku nasihat. Akupun mengadu pada dia apa yang aku rasa. Walaupun dia tidak mengajar aku, tapi hubungan kami tetap baik.

Semua warga SKLK tahu aku atlet sekolah. Semua jenis sukan aku sauk selagi ada. Wakil rumah sukan, wakil zon, daerah dan negeri semua muka akulah juga. Cikgu Misel adalah guru pengiring untuk hampir semua acara sukan yang aku masuk. Dia juga coach untuk team bola dan bola tampar lelaki. Aku pula pemain bola tampar sekolah sejak darjah 4. Hubungan kami memang sangat baik.

Sampailah masa darjah 5 kerana satu isu, aku merajuk dan berhenti main bola tampar. Langsung aku tidak merayu utk masuk tim bola tampar yang akan mewakili Gombak ke peringkat Negeri. Tahun itu Ismazura dipilih mewakili Selangor. Sekali lagi aku panggil mengadap. Dekat satu jam dia luahkan rasa tak puas hati dgn keputusan aku. Yup, serius dia sangat marah sangat sebab aku keras kepala. Tapi peliknya, dengan dia aku tidaklah macam itu. Aku diam aje…Dia cakap, kalau aku pergi juga main masa tu, mesti aku dapat wakil Selangor.

Tapi memang aku nekad sangat2. Aku bergaduh besar dengan Cikgu XXX masa itu.
“Kalau kamu berhenti main bola tampar, kamu nak main sukan apa lagi?”
Laju aku jawab.
‘Banyak lagi sukan lain. Kalau takde sangat saya main Ping-pong pun takpe, cikgu’.
Dalam pada marah itu, dia tergelak juga bila aku balas macam itu.
Punya panjang Cikgu Misel tarbiahkan, dan paling aku ingat dia cakap – jangan pentingkan diri sendiri. Mungkin sebab aku perempuan, dia tidaklah keras sangat. Umum maklum Cikgu Misel sejenis garang dan tegas yang macam mana kalau tidak kena dengan prinsip dia.

Jadinya masa aku darjah 6, hampir semua sukan aku masuk dan dipilih mewakili sekolah. Dari olahraga ke bola jaring, bola baling dan hoki (asal masuk). Tapi paling jauh aku pergi hanya peringkat daerah. Forte aku bola tampar! Sampailah kejohanan bola tampar mula menjelma. Beberapa cikgu secara peribadi mula memujuk untuk aku masuk tim bola tampar semula. Aku enggan. Itu belum masuk kunjungan beberapa rakan yang juga meminta aku pertimbangkan keputusan aku semula. Akhir sekali, Cikgu Misel pujuk aku. Demi sekolah katanya…Aku enggan pada mulanya. Sebab bulan itu boleh dikatakan tiap-tiap minggu aku asyik bersukan aje. Tahun ini UPSR. Bilanya aku nak belajar?

Akhirnya aku setuju. Ingat lagi perlawanan peringkat zon menentang SK Taman Permata. Dengan aku tak pernah training tahun itu, aku diletakkan dalam first 6, dan orang pertama yang akan buat servis. Set pertama, 15-0! Aku seorang yang buat servis mula. Set kedua, Cikgu Jamaluddin letakkan pasukan simpanan sahaja melawan SK Permata.

Satu demi satu perlawanan kami lalu. Menang belaka. SK Lembah Keramat memang jaguh bola tampar. Era itu, tiada siapa boleh kalahkan kami. Dari zon, ke daerah dan kemudian peringkat negeri. Pelawanan akhir Gombak menentang Sabak Bernam memang tak mungkin kami satu tim lupakan. Sabak Bernam pasukan yang kuat. 95% cina. Semasa pelawanan itu, tak ubah seperti pesta. Segala-mala petani pesawah semua turun memberikan sokongan kepada pasukan Sabak Bernam. Kami yang kononnya hebat sangat terus jadi patung. Beberapa servis dari pihak lawan hanya kami pandang sahaja.

Cikgu Misel sebenarnya coach untuk tim lelaki. Agaknya dia panas hati sangat melihat kami yang sudah hilang semangat terus minta time out.
“Apa benda yang korang buat ni? Main macam biasa. Kamu semua lebih bagus dari mereka. Cuma kita main di padang mereka aje.”
Sebenarnya, kami semua takut juga, sebab provokasi dari penyokong Sabak Bernam boleh tahan menakutkan!

“Main macam biasa. Kira bola tu, abaikan yang diluar…”

Kami main jugalah. Kalah, tetapi tidaklah mengalah. Gombak dapat nombor dua tetapi tidak pulang kosong kerana aku, Ismazura dan Faridah dipilih untuk mewakili Selangor. Cikgu Misel antara yang paling gembira dengan pemilihan itu. “Kalau kamu tidak keras kepala, tentu 2 tahun berturut-turut kamu mewakili Selangor” kata beliau kepada aku ketika pasukan kami diraikan di kantin sekolah.

1993…tamatlah persekolahan aku di SK Lembah Keramat. Sebelum meninggalkan sekolah, Cikgu Misel antara cikgu yang aku jumpa untuk mengucap salam pisah. Banyak salah dan silap aku pada insan istimewa ini. Semuanya aku minta maaf dan mohon halalkan.

Setiap kali ada reunion, kami akan berjumpa dan cerita-cerita lama akan melatari perbualan kami. Pernah sekali aku telefon cikgu selepas bertahun-tahun tidak mendengar khabar. Aku perkenalkan diri, “Saya Siti Norbaini, agak-agak Cikgu ingat lagi tak?”
Nama kamu saya tak pernah lupa…?

Facebook banyak menghubungkan kami. 4 tahun lepas, aku sekeluarga bersama beberapa rakan sekolah seperti Mar Izwan, Ayen dan Da’a melawat Cikgu di rumahnya. Dia cakap aku sudah lain. Dulu nampak kasar dan boyish. Sekarang nampaklah perempuan sikit. Ketika itu aku baharu beberapa tahun berhijrah dan kebetulan sedang mengandungkan Ezzudin. Kami bersembang lama.

Sebelum balik, aku sempat tanya cikgu, kalau dia mahu jumpa siapa-siapa aku boleh tolong carikan. Dia cakap, dia nak jumpa senior aku, abang Wan Fandi Rendra. Aku terus berhubung dengan beberapa senior sekolah dan turut membuat carian di FB. Aku nampak ada gambar cikgu dengan abang Wan, jadi berjaya juga mereka bertemu.

Selepas itu, aku dan Cikgu Misel hanya berhubung melalui WhatsApp. Setiap hari lahir dan setiap hari guru dia tidak pernah aku lupakan. Ketika aku mendapat berita cikgu koma dan berada di Unit Rawatan Rapi, aku berbincang dengan Hadi untuk melawat. Maklum sahaja, dengan Eskandar yang lasak dan Ezzudin yang super aktif, susah untuk kami melawat. Berkesudahan, hanya aku yang melawat cikgu minggu lalu. Itupun aku minta pengawal keselamatan bertanyakan kepada ahli keluarga cikgu yang berada di dalam kalau boleh aku masuk sekejap untuk menziarah.

Aku dibenarkan masuk. Hanya isteri cikgu yang ada di situ. Ya, Allah…aku menangis tak berhenti. ? tuhan sahaja tahu perasaan aku masa itu. Aku tidak berlama-lama di sana. Saat aku diminta untuk memaafkan semua salah dan silap cikgu, aku jadi lebih sedih. Cikgu tiada apa-apa salahpun dengan aku. Aku yang banyak berhutang budi dengan dia.

18.11.2018…Aku mendapat perkhabaran yang sangat sedih. Cikgu Misel sudah tiada. Aku tidak sempat memberikan penghormatan terakhir kepadanya kerana aku sekeluarga berada di Melaka. Sepanjang malam aku menangis tak henti-henti. Cikgu pergi pada tarikh ulangtahun perkahwinan aku. Pastinya tarikh ini akan aku kenang sampai bila-bila.

Cikgu, berehatlah. Saya pasti akan rindukan cikgu selamanya. Semua kenangan yang pernah tercipta tetap akan terpahat dalam memori dan menjadi kenangan abadi. Saya sangat beruntung kerana mendapat perhatian dan kasih sayang cikgu selama di SKLK.

Kepada ahli keluarga cikgu, salam takziah saya utuskan. Walaupun cikgu sudah tiada, saya akan tetap menjalinkan silaturrahim yang sama.

Al-fatehah ???

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar