RSS

CIKGU LEGENDA: CIKGU AINON…

November 20

Hari ini pada dahan memori, adanya gambar aku semasa dalam kelas 4 Raya. Sengaja aku tidak kongsi gambar tersebut di akaun FB peribadi semata-mata kerana catatan kenangan yang akan kalian baca ini. Jadi di sini sahajalah gambar itu aku tampal.

Dalam pada kesedihan yang tidak menyusut kerana kepergian Cikgu Misel, ada satu sudut aku bersyukur dan gembira kerana catatan aku yang lalu telah menemukan aku dengan seorang cikgu yang bukan sahaja banyak meninggalkan kesan nyata dalam hidup, kesan-kesan cubitan yang halimunan juga masih tersisa – yang banyak mencorak kehidupan aku zaman sekolah rendah dahulu. Siapa tak kenal Cikgu Ainon…

Siapa yang tidak pernah merasa jemari mulusnya memulas telinga, lengan atau sudut-sudut badan lain, maknanya korang lurus pembaris, baik budi dan genius. Hanya insan-insan terpilih sahaja (percayalah, senarainya sangat ramai!) yang pernah merasa pelajaran duniawi ini.

Cikgu Ainon sangat terkenal dengan kegarangannya. Siapa nampak garang, itu ajelah yang jelas. Tapi kalau bernasib baik macam aku, boleh nampak betapa Cikgu Ainon ini sebenarnya sangat baik, selayaknya perilaku seorang pengajar. Cuma cara sahaja yang berbeza. Cikgu Ainon adalah guru kelas aku semasa dalam darjah 3 Kenanga di SK Lembah Keramat.

Sangat banyak cerita dan kenangan dengan cikgu seorang ini. Satu yang epik, aku dipaksa masuk gimrama sekolah. Sumpah, nangis-nangis tak mahu. Badan keras kayu keruing diminta melakukan rutin meliuk lentok mengelepai-ngelepai! Ish…sangatlah bukan aku. Sungguhpun begitu, aku dan kakak aku adalah antara ahli pasukan sorak sekolah. Itu takpe, sebab seronok main pom-pom ?

Cikgu selalu cakap, aku ni banyak sangat main. Ha, betullah tu. Dari nombor 2 dalam kelas, berkongi tempat dengan Radeyah Emran terus jatuh nombor 7 pada peperiksaan akhir.

Semalam aku ada cerita pasal pindah kelas masa darjah 4. Asalnya, aku berada dalam kelas 4 Kenanga. Rasanya pembahagian kelas dibuat mengikut petempatan murid-murid sebab majoriti yang ada dalam kelas itu semuanya duduk di Taman Permata, termasuklah adik Fauziah Latiff yang duduk sebelah aku masa dalam kelas. Ya, kelas itu agak cramp sebab ramai umat di dalamnya. Tiba-tiba kami dikhabarkan beberapa pelajar akan berpindah kelas dan guess what, beberapa pelajar itu, akulah antaranya. Yang menariknya, semua yang pindah tu, kawan-kawan sekelas aku masa darjah 3 dan semuanya masuk kelas 4 Raya yang cikgunya ialah…..Cikgu Ainon.

Aku tak ingat yang lain, tapi aku antara yang tak berapa nak redho dengan pertukaran ini. Asal masuk kelas aku jadi diam. Menangis aje (apa jenis kememeh masa sekolah ni aku pun tak tahu…). Cikgu Ainon entah berapa kali jumpa dan tanya masalah aku apa. Entahlah…aku tak berapa seronok sebab masa itu, tidak semua manusia dalam kelas itu aku kenal. Sejak darjah 1, aku tak pernah pindah kelas. Itulah kot puncanya bila aku kenang-kenangkan sekarang ni. Oh, selain Cikgu Ainon tu garang…!

Oh, serabut isu ni. Abah sampai datang sekolah sebab rasa sedih aku tu melarat sampai ke rumah. Aku siap mengadu pada abah, aku tak mahu duduk kelas tu. Cikgu Ainon tu garang, dia tak suka aku. Aku asyik kena piat aje. Yang tak berapa nak hadamnya, masa abah berbincang dengan Cikgu Ainon, cikgu siap pujuk kalau aku duduk kelas ni, dia akan lantik aku jadi penolong ketua darjah. Itu ok lagi…wait for it.

Eh, tiba-tiba keputusan muzakarah itu, abah hantar aku kelas tambahan dengan Cikgu Ainon, 3 kali seminggu – dekat rumah dia – dan aku tak boleh tolak!

Weh, apakah apakah??? Ini macam menganiaya fobia yang sedia ada.

Lama kelamaan aku okay. Dan kerana kelas tambahan itulah, aku dapat seimbangkan antara sukan dan pelajaran. Tertinggal kelas masa siang, malamnya aku catch up balik. Cikgu Ainon ni, boleh dikatakan semua subjek dia ajar. Dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris, Matematik dan juga Alam dan Manusia. Ada sekali tu, Agama pun dia ajar juga. Tapi itu masa dalam kelas tambahanlah.

Itulah antara kenangan aku dengan insan mulia yang bernama Cikgu Ainon. Dalam riwayat hidup aku, tinggi tempatnya cikgu yang seorang ini. Aku harap di masa akan datang aku akan sentiasa berhubungan dengan Cikgu Ainon seperti mana aku menjalin hubungan dengan cikgu-cikgu yang lain. Kalau ada perbuatan saya yang membuat cikgu terasa, mohon Maafkanlah DJ Dave ya.

Korang, watch out. Siapa yang biadap-biadap dalam timeline, aku minta cikgu cubit korang! ?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on November 20, 2018 in Terkenang Masa Dahulu

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar