CICAK YANG LAMBAT KURANG 24 JAM…

 

Aku tak pernah cerita tentang kisah ini pada orang lain kecuali pada Hadi dan seorang kawan baik (pun jadi arnab kawan ni..) Malah versi yang aku cerita pada Hadi juga bersifat puzzle sampaikan setiap kali aku buka cerita pasal mamat ni, Hadi tak pernah ada memori langsung. Kisahnya tak banyak dan dominan, tapi wujudnya ada.

Melalui kehidupan di menara gading tak semudah yang aku sangkakan. Pertama, berpisah dengan keluarga. Duduk di asrama tak seronok langsung. Kedua, takde kawan. Kawan aku seketul dua aje bukan sebab aku anti sosial, tapi kimia takde. Yang paling mencabar sekali, separuh semester satu berlalu dalam keadaan aku masih belum membiasakan diri dengan semua benda. Aku tak tahu apa yang aku kena buat…aku lost. Cuma aku tak give up and quit.

Jadi aku banyak habiskan masa dengan berkomunikasi dengan seorang abang angkat yang ketika itu berkerja di Keningau dan seorang lelaki yang aku kenal di media sosial. Untuk memudahkan penceritaan, aku namakan dia Cicak. Beza abang angkat aku dengan Cicak ialah abang angkat memang sayang dan jaga aku macam adik dia manakala Cicak konfius. Sekejap kawan, sekejap abang, sekejap karang macam kekasih pun ada.

Hampir setahun berkenalan dengan Cicak, aku tak pernah jumpa dia. Tapi Cicak cakap, dia tahu aku yang mana satu sebab ada sekali tu aku ke pasar ramadan untuk beli makanan untuk berbuka. Aku ajak dia jumpa kalau mahu. Aku siap describe la aku pakai baju apa dan set tempat kalau mahu jumpa. Tapi Cicak cakap dia tak pergi pasar ramadan kat Seksyen 2 tu sebab sesak. Takpelah…itu pilihan engkau.

Cicak seorang pendengar yang baik. Semua masalah kecuali peribadi aku lepaskan pada dia. Cicak berkerja di Shah Alam, aku tak ingat sebagai apa, tapi kalau tak silap macam engineer/IT untuk satu syarikat yang establish la juga. Dia orang Johor…pernah dia berangin juga bila aku cakap limit lelaki selatan sampai Melaka aje, lebih dari itu aku tak prefer. Aku sudah fikirkan serabut balik raya jauh-jauh ni sejak aku remaja lagi kekdahnya. (Tapi sebelum aku serius dengan Hadi yang aku dapat semuanya jauh-jauh belaka macam Kelantan, Sabah dan Canada.)

Cicak wujud sebelum aku bertemu Hadi. Hampir hari-hari berkomunikasi, bila dia menghilang aku rasa lost juga. Kerjanya menyebabkan dia selalu outstation. Kemuncak persahabatan kami menjadi sedikit awkward bila satu hari yang betul-betul aku koyak, Cicak telefon. Aku sudahlah takde siapa-siapa, dia pulak jadi Chipsmore. Cicak cakap dia keliru. Dalam pada dia berkawan dengan aku yang plain macam roti kosong tu, dia baharu sahaja berbaik balik dengan bekas kekasih yang dump dia untuk lelaki yang lebih beruang, biawak dan poket dinasor.

Bila awek tu merayu-rayu, dia kalahlah dengan kenangan-kenangan silam dan dari situ aku dapat rasa dia sayang lagi pada perempuan tu. Of course aku nasihatkan dia untuk bagi peluang kedua dan cubalah balik since dia pun masih ada hati.

Tapi Cicak marah aku. Dia cakap aku patut nasihatkan dia untuk tinggalkan awek tu. Aku pulak terus panas hati, kau dah kenapa syaithorn??? Jumpa aku pun tak pernah, nak marah-marah tak tentu pasal. Baharulah dia reveal sebenarnya masa set nak jumpa di pasar ramadan tu, dia ada dekat sana. Dia ikut aku dari belakang dan masa aku beli lauk, dia ada sebelah aku! Dan terus aku teringat memang ada seorang mamat yang menegur aku masa itu. Tapi aku ingatkan ramah-tamah ajelah konsepnya sebab dalam pasar ramadan, ramai aje membebel konfius nak beli apa dan mula small talk tak tentu hala.

Dan dia mohon untuk cuba kenal aku dengan lebih rapat lagi dalam keadaan dia mencuba meyakinkan dirinya yang perempuan satu lagi itu bukan pilihan yang tepat. Mungkin ada perempuan yang tak kisah jadi pilihan kedua tapi bukanlah aku fitrahnya. Aku bagi kata dua. Buatlah pilihan…tapi by the time menunggu dia aku jumpa orang lain, aku akan pilih orang lain.

Sejak itu Cicak mula menjarakkan diri. Aku terima tindakan dia dan aku faham. Tapi hubungan Cicak dengan perempuan itu tak bertahan lama. Dia berhubungan dengan aku macam biasa tetapi hasrat untuk mengenal aku lebih rapat tu macam tak rasa keseriusannya. Pada suatu hari yang muram, Cicak terus hilang dan tak dapat dihubungi.

Yup, hati aku sedikit terluka…tapi Cicak akan muncul balik.

Bila dia muncul balik, aku tidak menolak dan tidak mengungkit. Aku anggap tiada apa-apa yang berlaku. Mungkin dia selesa sebegitu. Sementara itu, aku dan Hadi membuat keputusan untuk berjumpa buat pertama kalinya pada 14 Februari dan Cicak pula incommunicado. Aku tak kuasa nak fikir pasal dia.

Sebulan dia hilang…

Tanpa aku sangka-sangka, 15 Mac 2000 Cicak muncul balik dalam hidup aku. Kali ini dia terus straight to the point. Dia mahu ada hubungan yang serius dengan aku dan mahukan peluang. Dengan kekasih dia dulu, dah mohon clash for good. (Aku susah sikit nak percaya orang gaduh, clash, baik balik 18 juta kali sebab semua ini habit.)

Aku berterus terang bagitahu hati aku sudah ada pemilik. Aku pilih Hadi dan dia pilih aku. Aku mahu beri peluang pada hubungan kami pula.

Kau lambat..kau lambat kurang 24 jam!

Penuh konfiden dia yakin hubungan aku dan Hadi tak akan lama. Elok-elok aku simpan kau dalam hati, kau boleh pulak jadi Nostradamus biadap macam ni. Truly, aku mula rasa merengsa.
We’ll see…kata Cicak
No…you will see!
Dah marah speaking aje sepanjang hiwey. Mencarut aje terkeluar bahasa Minang.

Sejak itu, sebulan sekali dia akan call dan tanya khabar. Bukan khabar aku ni sihat ke tak. Tapi apa khabar hubungan aku dengan Hadi. Lepas sebulan sekali, beberapa bulan sekali, dan kemudian setahun sekali. Jawapan aku masih sama…

Tahun ketiga dia give-up. Dia menyesal ambil masa lama sangat. (Aku pun tak rasa berjodoh dengan dia sebab kalau tengah baran, dua-dua sama naik.)

Cicak masih berhubungan dengan aku sekali-sekala. Ia terhenti kerana aku tukar nombor pada tahun 2004. Tapi sekali-sekala ada komen pelik-pelik dalam blog aku, terlintas juga, eh..kau ke Cicak???

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *