Bila Kau Rasa Hidup Tak Adil

Ada masa kau rasa macam tak dihargai bila idea yang kau bagi diguna tapi apa kredit pun kau tak dapat.

Ada masa kau rasa macam malas nak tolong orang masa mereka susah sebab diorang tak peduli pun bila kau susah.

Ada masa kau rasa buang masa bagi nasihat berkali-kali padahal manusia tu tak ikut pun nasihat kau.

Pastu kau rasa macam nak pergi lantakkan aje dengan semua manusia. Pandailah mereka nak hidup dan tak payahlah kau susah-susah payah nak menolong.

Tapi dalam hati, kau rasa tak wajar kau buat macam itu sebab genetik kau bukan jenis cenggitu dan pembawakan kau juga berbeza. Lantas kau mengulang balik antara contoh senario yang aku bagitahu pada baris 1-3.

Itu tidak menjadikan kau lemah, sebaliknya itu menjadikan kau manusia. Manusia yang punya rasa simpati, empati dan paling penting – ada hati. Kalau ikhlas, ikhlaslah dan begitu sebaliknya. Hati pun jahat, dia berbolak-balik. Faktor genetik dan pembawakan yang aku sebut tadi menjadikan kau berfikir jalan mana nak lalu – yang menjadikan siapa kau hari ini.

Dan bila tindakan yang kau ambil tidak memihak kepada balasan perbuatan yang kau buat, jangan sesekali patah semangat. Bersangka baiklah. Tuhan itu maha adil.

Kadang-kadang kau buat A, kau dapat A.
Kadang-kadang kau buat A, kau dapat A-G.
Kadang-kadang kau buat A -Z , tapi apa benda pun kau tak dapat

Tapi jangan pernah terlupa, kadang-kadang kau tak buat apa-apa langsung tapi kau dapat A-Z. Bukan dari tenuk yang kau pernah berbudi tapi tak pernah peduli, tetapi dari manusia lain. Balasan itu tuhan beri kerana perbuatan kau yang buat A tadi tetapi dapat kosong.

Kosong sekarang tak bermakna kosong juga di masa hadapan. Kehidupan ini aneh, keanehan itu misteri dan misteri itu perlu kau rungkai untuk menjadi manusiawi – memahamkan diri sendiri bahawasanya tidak semua yang kau sangka bergerak dalam orbit yang sama.

Kita manusia, kita kena bersyukur.
Kita manusia, kita perlu bersyukur.
Kita manusia, kita wajib bersyukur.

Jadi manusia sekalian, bersyukurlah atas sekecil-kecil benda baik yang berlaku dalam kehidupan. Kau tak mungkin kaya, tapi rasa sedikit bahagia.

Percayalah…

Untuk Dikenang – Adik Wani :)

The great thing about new friends is that they bring new energy to your soul.

Aku mengambil masa setahun untuk menzahirkan rasa syukur dan beruntung yang teramat kerana mengenali adik manis yang sentiasa tersenyum ini. Kenali dia dengan nama Aifa sahaja. Setahun lalu kami bersama-sama menjejak bumi Nihon dan dari situ aku mula rasa sesuatu yang sangat istimewa tentang dia.

Hari pertama kami bertemu adalah semasa sesi taklimat kursus yang dibuat di JICA, Jalan Ampang. Andaian aku masa itu ialah aku mungkin boleh berkawan dengan dia, tetapi agak sukar untuk rapat. Sisi pembawakan kami sangat berbeza. Aifa seorang yang soft spoken, baik hati, berani dan sangat huznuzon. Ohai, dia syantik.  Dia juga syariah compliance manakala aku liberal.

Semasa sesi memperkenalkan diri, dia memberitahu dia pernah pergi Jepun bersama keluarga dan familiar dengan dunia di sana sementelah dia ini rupanya minat K-Pop dan J-pop juga. Ok, jauh dengan aku sebab aku suka country music. Jadi bila dia cerita pengalaman dia pernah ke sana dan Korea, ternganga-nganga aje aku mendengarnya. Tapi aku dapat rasa macam boleh ngam sebab dia macam suka travel ke tempat-tempat yang ada sejarah macam aku juga.

Hari pertama itu juga aku sudah nampak dia ini sangat istimewa. Dia mendahulukan tempahan Grab Car kepada kawan-kawan lain semasa kami kalut macam mana mahu bergerak ke Kedutaan Jepun dari Jalan Ampang. Aku selalu percaya kalau seseorang mendahulukan dan mengutamakan orang lain dari diri sendiri, itu adalah perbuatan yang sangat mulia. Apatah lagi untuk orang yang kita tak pernah kenal. Mahal nilainya di situ.

Di Jepun, tidaklah semuanya bermula dengan pantas. Hari kedua kami di sana, dia duduk disebelah aku. Mereka menggunakan sistem nombor untuk menentukan kedudukan kami di dalam kelas. Dia nombor dua, aku nombor tiga. Satu aku perasan, dia sentiasa ada bekalan. Gula-gula ke, air ke…pokok pangkal dia pemakan macam aku. Ok, aku suka itu sebab senang nak paw.

Ketika kebanyakan antara kami excited mahu berjalan-jalan melihat kehidupan malam di Osaka selepas kelas Prof Emeritus Odano, dia dengan selambadaknya langsung tidak mahu ikut kami. Dia mahu balik dan berehat. Ada satu hari minggu yang kami membuat rencana untuk berjalan-jalan di Kyoto, dia memilih untuk meneroka bumi Kobe – seorang diri. Giler kental awek ini. Dari situ, jujurnya aku semakin mahu mengenali adik Aifa.

Dia jugalah manusia yang memperkenalkan aku dengan satu makanan di Jepun yang membuatkan saka makan aku menggila di sana iaitu Garlic Naan, Chai dan Mutton Massala Curry di Naan Inn, Kobe. Entah berapa kali kami mengulang makan di sana walaupun bukanlah murah juga harganya. Tapi sumpah sedap. Yes! Aku jumpa geng makan. Itu sangat indah sebab bukan mudah untuk dapat kawan yang sanggup melayan citarasa dan selera kita sepanjang masa. Oh, dia juga pemesan Kitsune Udon yang setia….sesetia aku memesan Bukakke Udon setiap kali kami melepak di San Plaza.

Ohai, dia penggemar kopi macam aku juga! Setiap kali dia keluar masuk combini, pasti ada kohii yang dibawa keluar dan hidup aku meriah dengan ajaran-ajaran cara membeli kohii yang agak renyah juga sebenarnya. Dialah yang memudahkan aku menyesuaikan diri semasa sebulan di sana.

Kembali kepada sisi perhubungan aku dan Aifa di dalam kelas. Kebetulan, kami berada dalam satu kumpulan kajian kes yang sama termasuk Kak Radin dan AJ. Jadi komunikasi lebih kerap terjadi. Semasa kunjungan ke Okanmuri Elementary School, Yusli dan Aifa kebetulan satu kumpulan yang sama dengan aku juga.

Lama-kelamaan aku rasa sangat selesa dengan Aifa. Kelakar juga dia ini sebenarnya. Satu aku akan ingat, imej dia dengan topi Sia hahahaha!

topi Sia hahaha…

Semasa kami berada di Tokyo, badan aku memang tengah tak fit. Penat sebenarnya berkursus mengejar masa ini. Saat kawan-kawan lain setiap malam penuh dengan aktiviti berjalan, aku dan Aifa hanya di bilik sahaja. Dialah yang aku harapkan untuk menampal plaster masa badan aku sudah rasa macam ranap minta ampun. Aifa juga yang memperkenalkan aku dengan bath salt yang katanya kalau sakit-sakit badan, berendamlah sekejap selepas campakkan garam tadi dalam bath tub. Aku selalu cerita kehebatan bath tub di Hotel Monterey Kobe and i’m not gonna lie – macam berada dalam sanctuary perasaannya. Sejak itu, aku pula sibuk dapatkan stok aku sendiri sebab hari-hari berjalan kaki dari satu eki ke eki yang lain buat aku rasa penat.

Best benda ni…hilang semua sakit badan

Hari yang betul-betul aku mengenali Aifa secara peribadi ialah pada hari ke-20 – Abby Exploring Kobe Part 2. Part 1 aku lakukan dengan Aiesa. Kami berjalan kaki berkilometer dan bersembang untuk lebih mengenali diri masing-masing. Dia belanja aku kohii Starbucks atas sebab yang aku sudah tidak ingat kenapa, makan Luke Lobster dengan penuh kesyukuran dan aku menemani dia membeli cek mek molek Jepun di kedai acik hensem yang rupanya sebijik “Tunku Zain”. Bila aku beritahu misi aku gagal mencari Memorial Gempa Bumi di Pelabuhan Kobe, dialah yang tunjukkan lokasi. Dia banyak buat aku happy masa di Jepun…

Mujur saka Uniqlo yang menyerang semua rakan-rakan hanya tempiasnya sedikit sahaja kena pada aku. Disebabkan ada satu hari aku temankan Aifa shopping, aku pulak terjebak. Saka beli jam G-Shock memang aku terpelihara jua. Satu-satunya jam yang aku beli ialah jam oren yang kalau dinilai harganya tak sampai RM12 di DonQ. Sayangnya jam ini hilang… Dia ni, kalau aku tak hep..hep mahu sebakul kasut pula dia nak beli.

Dengan Aifa aku terbuka untuk bercerita. Kalau dia bertanya apa-apa juga soalan, aku tidak pernah berahsia dan berselindung. Kesedihan aku yang terbesar semasa di Jepun ialah berpisah dengan pak angkat, Nakatani san dan dia tempat aku bercerita dan melepas rasa. Itu berlarutan sampai kami kembali ke tanah air. Ya, Allah…aku melalui detik sukar untuk move on. Jepun tu bukannya harga tiket seringgit dua yang aku boleh pergi setiap kali aku rindu manusia di sana. Jadi sejak balik dari Jepun, aku lebih kerap berjumpa dia untuk sesi trobek berkala walaupun Kak Dilla Nawawi kerja dalam RTM ini jugak. Kami akan pergi mengopi dan melepak dan mengenang kembali ristaan sejarah silam – gittew.

Terima kasih untuk semua itu, Aifa. Kalau ada yang akak harapkan masa depan ialah merealisasikan impian akak untuk ke Hiroshima bersama awak. Tapi akak faham awak pernah ke sana, so mungkin nak cuba meneroka tempat lain pula. Semoga tuhan memberkati hubungan persahabatan kita dan harapnya ia berkekalan.

You are a beautiful person, inside and out… Arigato gozaimasu!

It’s Your Day, Love!

Ini adalah satu kisah tentang pengorbanan dan kesabaran. Ia mungkin kisah biasa bagi orang lain, tapi bagi aku kisah ini membuatkan aku rasa kuat – Kuat dalam erti kata walaupun pernah dipanah racun, harimau itu nekad melayan kesakitan yang ada dan meneruskan kehidupan seperti harimau-harimau terancam yang lain. Fuuuh…tinggi kashafnya ni.

Lama aku dan Hadi nantikan saat ini. Bukan satu perkara yang mudah untuk belajar dan berkerja dalam satu masa yang sama. Walaupun beronak liku dan meniti perjalanan yang sangat panjang, akhirnya Hadi habis belajar juga!

Sedari aku menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana aku sudah mengajak dia untuk menyambung pelajaran bersama-sama. Masa itu kami tiada anak. Sepatutnya pengurusan masa menjadi lebih mudah dan tidak membebankan kedua-dua belah pihak. Tetapi Hadi tidak mahu. Belum tiba masa katanya.

Hidup Spank!

Tetapi semua itu berubah apabila hari konvokesyen aku pada tahun 2013. Aku konvo dengan rakan baiknya – Fariq, yang juga member Spank Intelligence aku dalam kelas dan seorang lagi sahabat yang sangat banyak aku berhutang budi, Farah Zamira. Terus dia memutuskan untuk sambung belajar dengan perbelanjaan sendiri. Aku raikan keputusan itu dengan kegembiraan yang tidak terungkap. Akhirnya ada punca juga untuk dia sambung belajar. Bukannya apa…Untuk skim perkhidmatan dia, eloklah ada sarjana. Ada nilainya. Skim aku lain.

Dia mengambil jurusan yang sama seperti yang aku ambil dahulu iaitu Sarjana Perangsaraf Media dan Informasi. Pada tahun 2014, Hadi masih lagi berkhidmat di MKN Selangor jadi kalau ada kelas malam tidaklah susah sangat untuk dia atur masa untuk ke kelas di Shah Alam. Hanya aku sahaja yang perlu berkorban sikit. Balik kerja, aku selalu tumpang rumah Nana atau rumah Kak Ayu sementara menunggu Hadi habis kelas. Ada sekali tu, aku terpaksa menumpang rumah Ona bila Hadi berkerja di luar kawasan. Dalam pukul 10.30 malam, dia akan ambil aku yang memang selalunya keletihan. Aku letih sebab masa itu aku sedang mengandungkan Ezzudin. Bila aku fikirkan balik, akupun pelik mana datangnya tenaga untuk bertahan seperti itu hampir tiap-tiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Mujurlah masa itu Eskandar dijaga oleh mama dan kami akan mengambil dia pada malam Jumaat atau Sabtu pagi.

Semuanya berubah bila Hadi naik pangkat dan bertugas di Putrajaya. Kami kena susun balik pergerakan kehidupan. Tidaklah berubah mendadak kerana hanya dia sahaja berkejar masa untuk ke kelas selepas habis berkerja. Rutin aku menanti dia masih sama. Dia mula dihambat kerja. Mula sibuk dan mula rasa susah untuk meneruskan pengajian. Sudahnya dia terasa seperti mahu berhenti belajar.

Aku tidak mahu memaksa kalau dia tidak mahu, tapi dalam hati aku memang tak setuju. Aku cadangkan dia tangguh belajar satu semester atau kurangkan subjek. Dia setuju dan aku lega kembali.

Kemudian dia mula sibuk dan mula serabut menguruskan semua benda apabila Ezzudin lahir. Sekali lagi dia menangguh dan bertangguh. Ini memang leceh sikitlah sebab kalau sudah mula bertangguh, lama-lama akan rasa nak quit. Pada masa yang sama, aku sudahpun menarik diri dari pengajian PhD atas faktor-faktor di atas. Aku kena berikan masa pada anak-anak yang masih kecil. Tak terdaya aku nak kejar semua dalam satu masa.

Lama-kelamaan, perbualan bila nak habis belajar hanya akan menyebabkan kami bertegang leher dan bermasam muka. Kesudahannya aku mengambil keputusan untuk biarkan sahaja dia membuat keputusan sendiri. Nak sambung, sambung. Tak mahu sudah. Situasi ini terpakai untuk semua perkara-perkara berbangkit yang membuatkan aku malas mahu menyesakkan kepala aku.

Kemudian, satu per satu kawan dia habis belajar. Semuanya raikan kemenangan itu di media sosial masing-masing. Aku tahu itu tamparan untuk dia. Aku kembali sokong dia mana yang terdaya. Walaupun kami mengambil jurusan yang sama, aku tidak pernah bantu dia buat apa-apa tugasan. Semua dia buat sendiri. Aku cuba bantu sikit aje masa buat tesis, itupun Chapter 3. Yang lain, aku tak campur apapun kajian yang dia buat.

Tadi, majlis konvokesyen Hadi. Hanya aku yang hadir. Anak-anak memang tak boleh bawa. Mahu diorang panjat pentas kalau tidak dibendung. Anak-anak kami bukan macam anak orang lain yang dengar kata dan taat. Mereka belum sampai peringkat itu lagi. Jadi baiklah kami tinggalkan sahaja.

Aku memerhati dari Aras 2 Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM Shah Alam. Saat aku lihat paparan wajah Hadi pada layar skrin semasa pergerakan graduan masuk dewan, aku memang terasa sebak sangat. That’s my man! Nasiblah acara penuh istiadat. Kalau tidak memang aku teriakkan namanya:)

Hari ini aku biarkan Hadi terapung dan raikan kemenangan menghabiskan pengajian sarjana. Aku buat 2 tahun, itupun sebab ada kertas aku terpaksa ulang kerana keguguran arwah Cahaya Balqis. Hadi buat 3 tahun! Aku mahu anak-anak tahu bukan mudah untuk berjaya dalam pelajaran. Tapi semua kesakitan dan pengorbanan itu akan dibalas dengan semanis-manis kejayaan.

Akan datang masih misteri. Jika Hadi mahu teruskan ke kayuhan terakhir PhD, aku tetap setia di sini. Jika dia mahu kami berpimpin tangan dan buat bersama, mungkin juga aku akan lalui sawan dunia ilmu sekali lagi. Tapi dalam dunia ini, not all is about you. Aku sanggup beri laluan pada Hadi. Go for it! Kalau kamu jatuh, aku bangkitkan balik.

Hari ini hari kamu, Hadi. Raikanlah..terapunglah menebak langit setinggi mana kamu mahu. Tapi esok Isnin koje. Cuti dah kena beku. Jejak bumi balik ya.

Hadi, tahniah yang sesungguhnya. Me love you long time!

Aku, Dia & Lagu

Sometimes, it’s not the song that makes you emotional, it’s the people and things that come to your mind when you hear it.

Bukan mudah untuk aku singkap balik kenangan lama ini. Tapi kenangan sifatnya tetaplah menjadi kenangan. Yang baik dikenang, yang pahit itulah pengajaran paling agung. Itu yang menjadikan aku hari ini.

Banyak kali Aie Sarkase minta aku berkongsi pengalaman, banyak kali juga aku tolak. “Cerita kau lain..kau kena tulis,” katanya. Setiap kali itu juga aku menolak dan mengelak. Tetapi disebabkan dia telah bersusah-payah mendapatkan aku satu video khas, maka permintaannya kali ini dengan senang hati aku usahakan. Sebagai tanda terima kasih dan sebagai menghargai persahabatan kami. Dalam seminggu ini baharu kerap kami melepak dan bersembang. Hilang sekejap duka lara kami dengan lawak-lawak tak bermoral dari dua-dua belah pihak yang kebanyakannya hanya kami sahaja yang faham.

Untuk pengetahuan, coretan pengalaman itu selamat disampaikan oleh DJ Klasik iaitu Safura Draoh. Terima kasih yang teramat kerana menyampaikannya sedemikian rupa. Entah berapa kali aku kesat air mata yang memang tak tertahan. Sampaikan ada bekas staff Hadi di pejabat lamanya turut menzahirkan kesedihan setelah mendengar coretan pengalaman kami itu. Aku sempat meminta ahli keluarga, saudara mara terdekat dan rakan-rakan untuk mengikuti siaran itu semalam. Kalau siapa yang tidak sempat dengar dan mahu salinan, aku boleh send melalui What’sApp. Tapi lagu yang mengiringi cerita itu tidak pula adik aku, Ameera rekod. Mungkin panjang sangat 🙂

Tetapi bila Hadi sendiri beritahu dia sedih mendengar catatan itu, baharulah aku sedar yang jauh di sudut hatinya dia juga teringatkan anak kami, Cahaya Balqis. Selama 6 tahun ini, reaksi Hadi hanya penuh dengan kesabaran dan ketenangan. Pernah awal-awal dahulu aku terasa dia macam dia sudah lupa pada Cahaya Balqis.

“I yang tanam dia, i yang pegang dia sebelum dia dikebumi. Takkan I lupa!” Sejak itu aku jarang bersembang pasal hal ini lagi.

Lagu-lagu yang aku pilih ketiga-tiganya memang dekat di hati dan menzahirkan perasaan aku sepanjang masa. Lagu itu adalah Hujan dan Airmata – Datuk Sudirman Hj. Arshad, Aku dan Kesepian – Azlina Aziz dan lagu terakhir Aduhai Sayang – Tan Sri P.Ramlee. Walaupun aku akan bersedih mengenangkan kisah lalu setiap kali mendengarnya, tetapi tidak boleh tidak, lagu-lagu itu juga membuatkan aku kuat dalam melalui semuanya.

Terima kasih Aie Sarkase atas peluang ini dan percaya pada cerita aku,  terima kasih juga kepada Radio Klasik.

****

Setiap pasangan yang berumahtangga pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata bagi melengkapi kehidupan. Namun tidak semua orang bernasib baik, memiliki anugerah itu seawal setahun dua perkahwinan.

Aku dan Hadi berkenalan dari zaman di universiti. Selepas 6 tahun bercinta, kami disatukan dalam satu majlis yang penuh gilang-gemilang. Kami sudah bersedia memulakan hidup bersama dengan harapan dikurniakan cahaya mata seperti rakan-rakan yang lain.

Mencecah 6 tahun usia perkahwinan, harapan hanya tinggal harapan. Kami masih belum berjaya mendapatkan zuriat sendiri. Sudah habis ikhtiar yang kami buat. Kalau dengar mana-mana makcik yang pandai mengurut, semuanya aku cuba. Produk kesihatan tak payah cerita. Selagi ada yang menawarkan harapan, kami tidak pernah putus asa mencuba.

Setiap kali orang tanya “eh, takde anak lagi ke? ” atau “kamu tidak mencuba nak dapatkan anak ke? ” perasaan aku rasa bagai disagat-sagat.

Aku jadi malas untuk berjumpa saudara mara. Malas menghadiri kenduri dan malas bersosial. Sampai satu tahap, kalau ditanya bila kamu nak dapat anak, mahu sahaja aku jawab “malam ini kami cuba, 9 bulan lagi makcik bawang boleh cuba tanya”.

Aku sudah tidak punya air mata apabila memikirkan nasib kami yang masih belum berjaya mendapat anak. Pernah aku berikan Hadi kebenaran untuk berkahwin lain, andainya dia mahu. Tetapi dia enggan. Susah senang, kita lalulah bersama, itu janjinya.

Aku kemudiannya memutuskan untuk cuti belajar dan menyambung pengajian di peringkat sarjana. Satu hari, aku diminta membuat pembentangan di dalam kelas dan aku diserang gemuruh yang sangat teruk. Selalunya, usai pembentangan perasaan gementar akan hilang. Tapi gemuruh itu melarat sampai dua hari dan aku kerap loya muntah!

Ah, sudah… Tiba-tiba aku terdetik untuk membuat ujian kehamilan. Sah, dua jalur kelihatan. Aku ingat lagi masa berita itu aku khabarkan pada Hadi. Dia menangis dan memeluk aku dengan kuat. 6 tahun kami nantikan detik ini. 6 tahun! Aku dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh. Mintalah apa sahaja, Hadi akan usaha belikan.

Aku terlalu gembira sampaikan aku lupa, suka adakalanya boleh membawa duka.

Satu hari aku terasa seolah-olah air ketuban mengalir tanpa henti. Kandungan masa itu baharu berusia 5 bulan. Aku dikejarkan ke hospital dan doktor memberitahu air ketuban telah pecah.

“Kandungan puan tidak dapat diselamatkan…bayi terlalu kecil dan organnya belum matang. Jika hidup, anak mungkin akan cacat dan tidak akan hidup lama.”

Masa itu, aku rasa langit runtuh! Aku menangis semahu-mahunya. Ya, Allah… Ujian apakah yang kau berikan serasa terlalu berat untuk aku tanggung. Aku dipaksa melahirkan anak kami yang berusia 5 bulan pada keesokan harinya – secara normal. Paling menyedihkan, dia masih bernyawa dan aku terpaksa melepaskan dia pergi bertemu ilahi. Aku masih terbayang-bayang lagi bayi merah yang pernah menghuni rahimku itu. Aku tatap tubuh kecil itu tanpa jemu. Turun naik nafasnya cuba bertahan, tapi takdirnya dia bukan milik kami. 2 jam selepas dia dilahirkan, dia kembali ke pangkuan ilahi. Dia kami namakan, Cahaya Balqis….

Sejak itu, tiada satu malampun yang aku lalui tanpa menangisi kehilangan Cahaya Balqis…

Aku mengalami kemurungan yang serius. Doktor menyarankan aku mendapatkan khidmat kaunseling, tapi aku enggan. Aku bukannya gila, aku tidak meroyan. Aku hanya perlukan masa untuk lalui semua detik hitam ini.

Apapun, doktor memberitahu sekiranya aku mengandung lagi, aku perlu melalui proses mengikat rahim bagi mengelakkan risiko keguguran. Tiga bulan kemudian, aku disahkan mengandung sekali lagi. Aku dan Hadi langsung terpana. Kami nekad menyembunyikan kehamilan ini dari pengetahuan sesiapa termasuk ahli keluarga.

Namun rahsia terpecah juga. Satu malam, kereta Iswara yang kami naiki dilanggar lari oleh sebuah lori. Kereta kami berpusing tiga kali sebelum kemudiannya terbabas dan merentang longkang. Kereta remuk teruk, tapi syukurlah kami berdua selamat tanpa sebarang kecederaan. Ia seperti satu keajaiban dan peluang kedua buat kami.

Saat keluargaku sampai ke tempat kejadian, Hadi terlepas cakap “Tengokkan Baini tu mama..dia mengandung!” Mama beristighfar tanpa hanti dan memeluk aku di situ.

Kali ini aku sangat berhati-hati. Pengalaman lalu membuatkan aku takut sesuatu yang tidak diingini terjadi pada kandungan ini. Aku melalui proses mengikat rahim seperti yang disarankan doktor ketika usia kandungan mencecah 14 minggu.  Aku juga masih sibuk dengan pengajian semester akhir. Bayangkan, aku membentangkan tesis pengajian dalam keadaan sarat mengandung 36 minggu.

Akhirnya pada 7 Julai 2013, selepas 3 jam berjuang di hospital, aku selamat melahirkan seorang cahaya mata lelaki yang sangat comel yang dinamakan Eskandar Dzulkarnain selang setahun 2 hari selepas kelahiran arwah Cahaya Balqis. Setahun kemudian, seorang lagi bayi lelaki mungil menghiasi hidup kami pada tanggal 12 November 2014 yang diberi nama Ezzudin Dzulfikar. Bila diingatkan, aku sepatutnya sudah ada 3 cahaya mata berbeza kelahiran selang setahun.

Akhirnya penantian kami selama 7 tahun itu berakhir jua. Eskandar dan Ezzudin, kamulah cahaya yang sebenarnya bagi kami…

Adila…aku dia dan lagu.

18 Years!

i’ll never forget the first time i saw you

i was crazy about you then, and still am

 

I remember the first time i saw you….

The first time i saw you, my heart whispered ‘that’s the one’.

The first time i saw you, i know you’d be mine.

The first time i saw you, i knew it was true.

The moment that we met, i knew an adventure was going to happen.

I choose you.

And i’ll choose you over and over and over without a pause, without a doubt, in a heartbeat. I’ll keep choosing you. Because no matter what, I’d still choose you.

I choose you to always be by my side.

In a hundred lifetimes, in a hundred worlds, in any version of reality.

Together we are the perfect combination of beauty and pain-just enough to help each other evolve.

Happy 18th Anniversary my love 🙂

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...