Tuan Tabib Buat Butter Cookies!

Pemirsa semua, butter cookies yang biadap adalah butter cookies yang masih lembab-lembab berminyak, belum dibakar dan buat kita rasa nak makan walaupun belum azan maghrib. Begitulah logline gambarajah yang akan Kak Benny kongsikan. Betapa seorang lelaki berbaju T Nightwish begitu teruja membuat kukis mentega untuk dimakan oleh anaknya.

Haih, memang aku terasa kagum juga dengan tuan tabib. Aku yang tak berapa nak feminin ini pun tak kuasa nak duduk mengacu kuih. Dia boleh buat…! Please korang jangan rasa macam “ha, laki kau ajelah perfect 10, terbaik dari ladang.” Adore laki sendiri kot. Aku puji laki orang karang ada yang merentan…

Tuan Tabib Buat Semperit!

Selamat datang ke dapur tuan tabib…Dalam episod Suami Masak Apa Hari ini, dipersembahkan kuih semperit dengan penampilan khas Cef Judin. 14 tahun beraya, sekalipun kitorang tak pernah buat kuih raya. Hikmah PKP tahun ini, dah macam-macam juadah Hadi belajar buat. Tinggalkan sikit tau…nanti sehari sebelum Syawal ai akan merentas negeri ke hati yuuu…

#abbyhadi
#forevermeansforever
#meloveyoulongtime
#hadicancook
#haditakdefb
#judinjudika
#judinhensem
#myautisticson
#supermomyangcengeng

Cantik kejadian dia

Kebenaran Rentas Negeri : Perasaannya Macam Culik Anak Sendiri!

Sementara korang masih kenyang bentak dan lepas solat dengan keluarga, aku nak cerita satu kisah yang terjadi Sabtu lepas. Kisah ini biasa sahaja. Tapi bagi aku yang lalui perkara ni, ia besar dan beri aku pelbagai emosi.

Perintah Kawalan Pergerakan telah ditambah lagi selama 2 minggu. Aku sendiri tak tahu, bila aku dapat peluang untuk jumpa anak-anak, peluk cium mereka dan lepaskan rindu yang lama aku simpan. Hampir 2 bulan tak jumpa…separuh gila aku memikirkan keberadaan mereka di sana siang dan malam. Nampak aje aku tergelak-gelak bersuka-suki, tapi dalam hati aku memang ranap. Tempat isteri, tetaplah di sisi suami dan bagi seorang ibu, anak-anak tetap ada dalam hati sejauh manapun aku pergi.

Bukan mudah untuk Hadi dan keluarga menguruskan 2 anak OKU. Tiap-tiap minggu….setiap kali ada insiden yang tidak diingini berlaku aku akan minta Hadi turun KL dan hantar Eskandar Dzulkarnain pada aku. Biarlah dia di sini. Mama dan adik aku boleh jagakan, dan dia boleh bagi perhatian pada Ezzudin Dzulfikar. Kadang-kadang bukannya apa, Eskandar ni hiper jadi dia memang tak boleh duduk diam. So, dia ada tendency untuk trigger Judin.

Sabtu pagi itu, aku dapat satu mesej dari Hadi – Judin campak laptop Hadi. Aku tak tahu sebab apa. Mungkin ada benda yang dia tak puas hati. Sebelum itu, dia juga rendam vacuum cleaner dalam kolam, patahkan jarum insulin bapa mentua aku dan pecahkan cermin kereta kami. Eskandar tak kurang sama naik…setakat kunci kereta dan deodorant hilang itu biasa. Dia dah mula campak-campak batu pada kereta jiran sebelah. Mungkin dia bosan ya amat…entahlah aku takde penerangan yang logik. Nak cakap macam mana…dua-dua anak istimewa. Takkan termampu seorang nak jaga 2 bom jangka macam ini.

Serentak itu aku terus bersiap. Aku menuju balai polis berhampiran untuk mohon kebenaran merentas negeri. Balai polis tutup…tetapi ditampal notis makluman nombor telefon IPD Kuala Langat untuk dihubungi sekiranya ada kecemasan. Terus aku telefon dan ceritakan masalah aku. Aku diminta ke IPD Kuala Langat untuk bertemu ketua balai dan cerita masalah aku kat sana. Di sini baharu aku faham bila tengok drama ada dialog “apa-apa cerita kat balai”. Inilah dia salah satu situasi.

Terus aku pecut ke Jenjarom. Bayangkan dalam keadaan aku memang tak senang hati nak uruskan hal keluarga, hal kerja pun tak berhenti-henti beri salam. Beberapa kali aku berhenti di sisi jalan untuk selesaikan hal kerja. Sampai sahaja di balai, dalam keadaan tersemput-semput aku cerita semua…A-Z. Aku diminta kemukakan bukti yang mengatakan anak-anak aku OKU. Mujurlah aku ada simpan soft-copy kad OKU mereka. Urusan selesai dan dipermudahkan. In fact, 5 roadblock yang aku tempuh turut dipermudahkan juga.

Beberapa jam memandu, aku tiba di Taman Tangga Batu Perdana, Melaka. Anak-anak berlari-lari dan menjerit melihat aku di depan rumah. Aku sebak tak tahu nak cakap macam mana. Punyalah anak-anak berhimpit dengan aku sampai aku lambat sikit untuk peluk syurga aku. Hadi nampak sangat susut…tapi masih handsome pada mata aku.

Kami akhirnya bersatu….sekejap. Hal kerja bertalu-talu masuk dan aku perlu lari ke pejabat untuk uruskan kerja. Eskandar sangat seronok sebab dia akan ikut aku balik. Tapi Judin…
Dia mula menangis dan menjerit-jerit. “Nak mama…nak mama…” Grill dikunci memisahkan kami. Aku memang tak sampai hati. Dari celah jeriji aku pegang dan cium dia. Aku bagitahu, “Mama kerja sayang…nanti kita jumpa lagi..” Dia meraung-raung dan pegang tangan aku tak mahu lepas. Dengan aku sekali menangis depan rumah. Penuh berat hati aku lepaskan Judin dan sepanjang memandu dari Melaka ke KL, aku menangis dalam kereta teringatkan Judin. Eskandar tak berhenti-henti cakap “adik nangis, mama…” setiap kali dia pandang muka aku. Aku pegang tangan Eskandar setiap kali ada ada peluang sambil aku memandu. Rindunya tak tahu nak cakap…dia cinta pertama aku.

Terus aku memandu ke Taman Permata untuk tinggalkan dia dengan mama. Aku tak boleh nak jaga sebab aku tidak hari-hari berkerja dari rumah. Setiap kali aku duduk rumah, setiap kali itulah kerja masuk tak berhenti-henti. Biarlah dia dengan mama. Boleh juga dia bermain dengan sepupunya di sana. Masa aku tinggalkan dia, aku bagitahu ‘Eskandar kena tinggal dengan Tok Mama tau. Mama kena kerja.” Mula-mula tu dia hampir protes dan ikut aku ke kereta. Aku keluarkan semua mainan yang ada dalam kereta dan terangkan dengan dia sekali lagi, dia kena tinggal sini. Alhamdulillah…dia tidak menangis macam Judin. Kemudian tu baharulah aku ke pejabat dan menguruskan hal kerja sebelum aku dan anak-anak buah yang kerja berbuka puasa bersama-sama.

Ketahuilah…sesungguhnya ia adalah satu hari yang sangat panjang dan memenatkan. Aku terasa sebijik macam video klip kumpulan The Cranberries – Animal Instinct. Perasaannya macam culik anak sendiri. Walaupun tempoh aku berjumpa anak-anak sangat sekejap, tapi aku rasa bersyukur dapat jumpa mereka semua. So, Hadi…take care B..jagalah Judin untuk ai. Maybe raya ini kita masih tidak bersatu lagi, tapi you tetap ada dalam hati ai. Me love you long time…Setidak-tidaknya separuh you ada dengan ai, dan separuh ai ada pada you 🙁

Dan tangisan Judin hari tu masih tak dapat aku lupakan…
#apabilakakbennymenulis
#mifamilia
#myADHDson
#myautisticson
#abbyhadi
#meloveyoulongtime
#kakbennyisokay

p/s: terima kasih “kanda” sebab PM saya dan bagitahu macam mana untuk melakukan proses ini. Saya sangat appreciate bantuan dan keprihatinan abang pada saya…

PKP:51 Hari Tak Jumpa Family…

Hi, apa khabar semua cef-cef handalan dan rakan taulan? Dah demok ke?

Kak Benny kau macam ni la…sekali-sekala belanja selfie untuk membuktikan yang aku tak rasa terancam sangat setakat belum pergi salon dan buat facial. Kau kalau helok, heloklah juga. Kalau tak helok, tampalina la temulawak pun gitu gak ropenya. Terima aje kejadian seadanya. Kot sedih sangat, kau buatlah bideo sambil kupas mangga dan bertanya “orang Malaysia ni memang suka kecam ya?”

Selain rupa semakin manis, dagu meruncing dan kesabaran pun belum terhakis, dengan rasa happynya berlaku pengurangan kilo yang sangat dinantikan. Saat orang lain mulai susah hati ada dabel cin, aku bersenang hati sebab target untuk hilang berat holiday sebulan lalu berjaya aku capai dalam tempoh tak sampai 2 bulan. Takde rahsia jon…aku tak cukup makan aje. Dah tak kuasa nak masak. Makan apa ada kat pejabat aje.

Tapi aku masih menantikan ayam masak merah yang dijanjikan sang mergastua. Begitu jua kalau dapat Tealive barang sebekas dua. Lama teringin tak dapat-dapat lagi. Teringin nak makan udang tempoyak dan sambal petai yang aku masak sendiri sudah berjaya aku capai minggu lepas. Siap bawak sambalina ke pejabat Sabtu lepas untuk bagi anak-anak buah merasa. Baru kau tahu podeheh namatey rasanya.

PKP Fasa 3 ini lebih tegas pelaksanaannya. Tapi aku takde masalah langsung setiap kali berdepan dengan sekatan jalan raya baik abam polis atau abam askar. Sampai ada dalam kalangan mereka sudah cam aku ni siapa dan koje kat mana. Itu belum masuk yang bergurau mengajak selfie bersama. Aku tahu diorang penat. Sekali sekala bergurau-gurauan mungkin boleh melupakan sekejap penat yang mereka rasa.

Eh, yang di depan menanti kita dengan infrared thermometer sebelum masuk kota penyiaran tu pun sama. Penuh sopan menyantuni dan tak lekang dengan senyuman. Bila dah scan suhu kita, siap tanya ‘takmo amik gambar ke rekod bacaan ni?

Macam itu ajelah rutin hidup aku sehari-hari. Tidaklah suram sangat, dan tidaklah meriah sangat. So far 21 hari tanpa gagal aku ke pejabat dan menyelaras beberapa rutin kerja. Baik yang hakiki, yang ad-hoc, kluster pari-pari kayangan semua aku dah hayak dalam regim PKP ini. Mungkin aku beruntung sebab dapat bos yang memahami, lebih beruntung sebab anak-anak buah semua beri kerjasama dan rakan-rakan penyiar yang sentiasa ada…caring, baran la jugak kalau stress dan kontrol Ayu/ayu dalam mensorat. (Dua makna yang relevan…)

Aku tak rasa sendiri. Macam semua orang, aku pun takut juga dengan corona virus. Tapi tak semua orang bernasib baik untuk kerja dari rumah. Setiap antara kita ini pemimpin. Di bahu kita ada tanggungjawab. Galaslah gaya kuak lentang mana kau nak. Bila aku tengok tim aku datang kerja baik yang pagi, yang petang dan yang pagi membawa ke petang adakala sampai malam, aku tetap ada dengan mereka. Diorang balik, aku pun balik kecuali kalau pagi ada meeting, aku akan balik awal sikit. Moga Allah lindungi kami semua dalam jihad kerja.

Good people make sacrifices for others…bukan aku yang cakap. Aku dapat masa tengok NCIS New Orleans tadi…Jadi pengorbanan itu luas konsep jajahan takluknya. Aku boleh sahaja menggunakan keistimewaan yang ada untuk kepentingan sendiri. Tapi dalam pada keluarga adalah segala-galanya, aspek lain pun kau kena jaga juga. Tak mahu ulas panjang…kang bengkak lagi mata aku.

Sudah beberapa pagi jalan menuju ke Kuala Lumpur dari Bandar Saujana Putra memberikan pemandangan yang Subhanallah cantiknya…Yang warna pink, yang oren kebiruan semua aku berpeluang tatap dengan biji mata. Sambil ditemani dengan lagu etnik super syahdu dari Pakistan yang sempat aku muat turun, memang tak sedar emosi aku kalah. Sudah berapa tahun aku rindu nak nampak pemandangan seperti itu. Musim PKP ini aku dapat hampir setiap pagi…aku tak tahu nak explain rasa terharu dan syukur tu macam mana.

Hari ini juga sudah 51 hari aku tak jumpa tuan tabib dan anak-anak…
Sudah seminggu juga orang jauh merajuk dengan aku.

Dan aku masih takde semangat untuk menulis dalam blog.

Aku ada sabar…
#apabilakakbennymenulis
#aboutlove

Tuhankan Ada…

Dalam kehidupan ni, begitulah. Siapa yang emosi koyak, kita sokong dan bagi semangat balik. Kalau ada yang tak kena, bawa berbincang dan musyawarah agar dapat jalan penyelesaian yang memihak kepada semua. Salah sikit aje dari mana-mana entiti ini, semua kena tempias dan kena jawab.

Of course la kalau ada berbeza pendapat tu kami bertegang-tegang vokal melahar sesama sendiri keluar segala binatang yang haram dipegang dan genitalia makhluk yang bernyawa…Tapi lepas tu kerja balik macam biasa. Kau tak akan nangis sorang-sorang dan kau tak akan gembira sorang-sorang dalam zabatan yang dicintai ini.

Aku rasa ada juga silver lining dak kobit ni sebab setidak-tidaknya semua maklum bagaimana bersilatnya duduk di post aku tu dan bagaimana sukarnya tim mereka menyediakan bahan kapsul yang berkaitan. Bila semua saling faham dan memahami, komunikasi menjadi mudah. Tergelincir di sana dan sini itu normal…

Apapun, terima kasih pada Alex Reza yang bagi rasa butter cake yang dia buat. Sedap gile moist semua ada. Kalau tak ditahan-tahan tangan tu, konfem habis. Sudahlah itu, sepanjang PKP ni kalau ada extra bahan makan memang aku tidak dilupakan since aku memang ada kat pejabat hari-hari. Cubaan mintak 1.5 liter Coke aje gagal tadi…

Ellia Norni Elias Ayyue Wahid tanda pagar tuhankan ada ???

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...