WHEN IN PAKISTAN – PERSINGGAHAN DARI CHILAS KE PASSU SEPANJANG 266KM!

Assalammualaikum…hi, guys! Maaflah aku lambat sikit nak kemas kini catatan perjalanan ini sebab handphone aku hilang. Mujurlah gambar-gambar semasa di Pakistan aku sudah transfer siap-siap dalam PC. Tapi sayanglah sebab banyak benda-benda penting ada dalam handphone tu. Satu kerjaan pula aku nak kena retrieve satu persatu. Lagi pula famili aku datang dari Melaka minggu ni. Aku tak perlu ke sana. Jadi masa yang ada memang sepenuhnya untuk mereka.

Ok, kita sambung cerita Kembara Kak Benny ke Pakistan…

4 Mac 2020
Hotel tempat aku menginap ini sama aje kisahnya macam hotel di Utara India. Bekalan elektrik akan ditutup pada pukul 11:00 malam dan wifi pun sama jugalah akan terputus. Cuaca malam semalam agak sejuk walaupun dalam bilik tiada penyaman udara. Kitorang minta extra blanket dan pakai baju berlapis-lapis sebab sejuk sangat. Apapun, tidur lena…Mungkin sebab penat seharian berjalan semalam tak hilang lagi. Paginya, kami sarapan dahulu sebelum mendaftar keluar dari hotel. Menu simple aje..telur dadar, paratha, dhal dan chai panas. Tapi sebab chai ni dia buat untuk semua tetamu hotel dalam jumlah yang banyak, rasanya tidaklah lejen sangat berbanding chai yang kami minum malam tadi. Fuuh, nangis-nangis sedapnya. Minum pulak dalam keadaan cuaca yang sejuk.

Pemandangan semasa perjalanan

Dari Chilas ke Passu Cones, kami singgah di beberapa tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong.

1. Nanga Parbat
Nanga Parbat adalah gunung kedua tertinggi di Pakistan dan ke-8 tertinggi di dunia. Dalam cerita Batman, Bruce Wayne berguru dengan Ra’s Al Ghul di Nanda Parbat. Tempat itu direka berinspirasi dari Nanga Parbat. Gunung ini juga dikenali sebagai Killer Mountains sebab ramai yang mati semasa mendaki gunung ini. So, bergambarlah aku di sini tetapi merakam video dengan suasana tak berapa aman. Setiap kali ada kenderaan lalu, diorang akan bunyikan hon macam pelik tengok ada 2 perempuan kat situ. Selalu tenang-tenang aje…

Nanga Parbat depan mata!

2. 3 Ranges of Mountains
Aku akhirnya melihat sendiri banjaran Hindu Kush di depan mata! Tak lupa banjaran Himalaya yang amat aku rindukan dan banjaran Karakoram. Ketiga-tiga banjaran ini bertemu di sini. Di bawahnya, boleh lihat air sungai Hunza dan Astore bertemu. Sumpah cantik…2 sungai dengan warna yang berbeza bertemu.

3 Ranges of Mountains
Pertemuan antara Sungai Hunza dan Sungai Astore

3. Rakaposhi Mountain
Aku berpeluang makan tengah hari betul-betul mengadap Rakaposhi Mountain. Nangis 78km sejam. Di sini kami habiskan 2 teko chai sambil menikmati pemandangan yang superb!

Gunung Rakaposhi depan mata!
Chai!

4. Tasik Attabad
Tasik terbesar di Pakistan. Ingatkan boleh berdiri atas tasik yang beku. Sayangnya ada yang mula mencair. Sejuk namatey diterpa angin gunung.

Tasik Attabad

Malam itu kami bermalam di Passu Tourist Lodge. Hotel ini kawan aku yang carikan dan request pada ejen untuk bermalam di sini. Kami makan malam di situ. Kitorang pesan kari kambing. Serius sedap, tapi rasanya macam rendang sikit. Di sini juga, aku belasah chai bercawan-cawan. Sejuk namatey menggigil jugalah dalam ruang makan tu. Kami kemudiannya mencuba teh gunung. Tapi pada aku rasa dia biasa aje… Alang-alang sampai, cuba ajelah apa yang dicadangkan oleh orang tempatan.

Hotel ini ada menyediakan hot blanket untuk mengelakkan korang sejuk kejung nak tidur malam. Tapi aku rasa hot blanket aku tu macam tak bagi kesan yang mendalam pun. Aku still rasa sejuk ya amat dan kenangan pergi jamban masa kat Pangong Lake, India terus menghantui. Kebas, gile hahaha…

Dalam perjalanan ini, kenderaan kami melalui beberapa army road block. Tak ada apapun…mereka hanya check passport dan nak tahu lokasi yang kami tuju. Sebenarnya askar mereka ramah dan nan helok juga. Aku nak ambik gambar, tapi ejen aku tak bagi. Tapi sebenarnya kalau korang minta izin direct dengan mereka, rasanya mereka akan benarkan. Kami juga melalui pemeriksaan suhu badan kerana ketika itu sudah ada 6 kes corona virus di Pakistan. Masa ini ramai yang blur-blur lipas lagi apekebenda itu corona virus.

Kau roadblock hatiku
Antara view yang cantik

Ok setakat itulah dahulu. Nanti kita sambung dalam catatan yang seterusnya. Untuk yang singgah membaca di sini, boleh like page FB/akusangpenerbit.com

Lebih banyak gambar dalam tu.

#apabilakakbennymenulis
#mywanderlust
#wheninpakistan
#pakistanzindabad

CATATAN 2 SYAWAL…

Malam tadi aku bawa Eskandar balik rumah di BSP. Memang sengaja mahu spend time dengan dia sebelum masuk kerja hari Rabu nanti. Aku sudah membayangkan macam-macam aktiviti nak buat dengan dia. Nak belikan dia pensel warna, buku warna, mainan dan belikan apa juga makanan yang dia mahu.

Tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Bermula Ahad lepas pergelangan kaki kiri terasa sakit. Nak kata terseliuh, takde pulak tersembam di mana-mana. Nak kata gout, tak bengkak sembab macam yang selalu aku tengok orang kena. Mungkin sebab hiking shoe yang selalu aku pakai terasa seolah-olah ada besi terkeluar yang menyucuk setiap kali aku berjalan. Aku pakai juga sebab kasut tu mahal satu hal, itu aje kasut aku ada. Adalah 2 hari aku stop pakai barulah kaki aku mula membengkak.

Terdengkut-dengkutlah aku pada 1 Syawal nan indah. Dah jalan macam lepas bersalin pun ada. Segala ubat sapu, yoko-yoko dan minyak urut aku sapu di kawasan yang sakit tu. Alhamdulillah menyusut. Tapi bila aku cuba jalan macam biasa, terasa sakit balik. Terpaksalah aku jalan perlahan-lahan. Hari ni ok dah…bengkak takde tapi macam sakit di dalam. Harap-harap esok ok la…

Disebabkan itu, pergerakan aku jadi perlahan. Nak masak pagi tadi pun rasa payahnya nak ke dapur. Mujur ada seller keropok lekor Terengganu up iklan dia kat FB kawasan perumahan aku. Eskandar pun sudah beberapa hari mengulang nak makan keropok. Itulah sarapan pagi kami berdua dan seterusnya aku melayan dia memasang video keluarga yang disimpan dalam hard disk. Dia akan ulang banyak kali mana-mana video yang ada Hadi dan Ezzudin, terutama masa Hadi tunjukkan mainan Super Wings dan masa dia dan Ezzudin bermain di Playland. Kesian Eskandar…dia rindu sangat dengan Ezzudin.

So tengah hari itu, misi pertama adalah carikan dia selipar. Masa aku bawa dia balik sebulan lepas, memang tak sempat ambil selipar. Misi ini berjalan lancar. Lepas tu nak belikan dia spageti kat Pizza Hut. Tak boleh walk in pulak…sama ada guna Food Panda atau telefon nombor delivery. Bila bukak apps Food Panda, tak terima pesanan pulak. Haih, memang aku give-up.

Terus ke kedai Eco. Budak pulak tak boleh masuk. Nak tinggalkan dia dalam kereta, yang beratur nak membayar aje dah panjang. Eskandar dan sedih-sedih sebab aku cakap tak boleh masuk. Dah la spageti pun dia tak dapat. Aku pujuk, cakap nak masak nasi dengan telur kicap.

Segala kedai Aceh semua pakat tutup. 7E pun dan-dan telur habis. Nasib baik ada kedai kat BSP 21 yang bukak. Dapatlah top up sikit barang-barang dapur dan mujurlah ada spageti instant jual dalam tu. Terus balik rumah dan uruskan makan tengah hari dia.

Hari ini, aku start makan oat secara berjadual. Kalau dah lama hidup tak rasa hampa dan tawar, kau makanlah oat. Memang terasa nikmat tuhan yang mana yang telah engkau dustakan. Patutlah Hadi pesan nak makan tu potonglah buah atau racik kurma sambil makan. Rasa dia, kesedihan abadi…menitik-nitik air mata aku makan oat tu. Yang menangis tu sebab kebetulan tengok video yang En. ST share pasal macik bertemu pacik di sempadan disebabkan PKP ni. Alang-alang oat tu pun buat aku sedih, sekali toyak aje senang. Oh, spageti instant tu memang sedap dan murah. Pasti aku borong kalau jumpa lagi.

Jadi aku dan Eskandar kemudiannya pasang video klip lagu dan kami nyanyilah sama-sama rangkaian lagu Didi and Friends, Everybody Knows (soundtrack Justice of League), Zou Bisou Bisou, Country Road Take Me Home, Hurt Johnny Cash dan lagu wajib Eskandar, Those Were The Days. Selera lagu dia memang macam tu, memang mengikut aku. Pandai dia…bila part aku dia akan cakap “mama pulak” dan bila dia nak nyanyi dia akan cue part dia.

Kemudian, dia akan menyelongkar syiling dan kami sama-sama masukkan syiling tu dalam tabung. Aktiviti tu elok untuk exercise jari dan latih dia untuk bersabar. Lepas tu aku pun tak boleh sabar. Dia punya hiper tu tak terkejar. Mainan tak payah cakaplah habis bersepah. Pujuk tidur tak mahu. Sudahnya aku uruskan dapur dan biarkan dia buat apa yang dia nak. Bila tiba-tiba aku termarah, pandai dia pujuk mintak nak hug. Haih sangat dia ni…

So Eskandar dah tidur. Sekejap aje lena lepas aku bagi makan, mandikan dan siapkan air coklat. Tangan masih pegang aku, takut aku hilang agaknya. Lama aku tak rasa moment macam ni.

Disebabkan gambar raya kami berdua tahun ni takde, aku belanja gambar tahun lepas. Memang beza dengan gambar kami yang terkini. Eskandar rambut dah macam Bieber sekarang ni. Aku? Well masih cute macam selalu…

Selamat Hari Raya guys…
#apabilakakbennymenulis
#myADHDson
#forevermeansforever
#supermomyangcengeng

Sungkai Terakhir di Pejabat

Iftar terakhir di pejabat. Terima kasih anak-anak  yang komited. Udah macam kilang kita proses bahan kali ini. Terima kasih banyak-banyak semoga diberi balasan sebaik-baiknya oleh yang kuasa.

Mohon ampun dan maaf sekiranya ada tersalah dan silap sepanjang kita semua berurusan. Maklum sahaja dengan limitasi yang ada, tak terkayuh nak buat semua.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin…
#unitpromodankreatif
#myAteam

Langit Runtuh

Such a lonely day
And it’s mine
The most loneliest day of my life
Such a lonely day
Should be banned
It’s day that I can’t stand
The most loneliest day of my life…

Lagu raya tahun ni 🙁

Aku tahu kita tak boleh dapat semua dalam hidup ini. Banyak pengorbanan yang kita kena buat dan kebanyakannya tidak memihak pada diri sendiri.

Malam tadi aku down…walaupun ada sedikit rasa yakin untuk balik berjumpa keluar pagi Sabtu nanti.

Aku dah call IPD Banting pagi tadi, bertanya mana-mana sumber yang credible dan sumbu cahaya seolah ada, walaupun tak benderang.

Lepas sidang media tadi, ia malap…dan kemudian hilang. Dunia aku gelap. Sama ada meredah dengan kepercayaan budi bicara yang ada pada pihak berkuasa atau berpatah balik dengan kompuan – walaupun kebenaran rentas negeri sudah aku peroleh sejak Isnin lepas.

Tanpa suami
Tanpa anak-anak
Tanpa abah
Tanpa menziarah pusara anak syurga yang teramat dirindui…

Raya tahun ni amat pahit. Mujur masih dapat berjumpa Mama dan Eskandar.

Mungkin aku salah dan mungkin aku lambat. Aku patut tinggalkan kerja, ambil cuti awal dan balik dengan girangnya. Tapi aku bukan macam tu dan tak boleh macam tu. Anak buah aku masih bertungkus lumus dipejabat dan kebanyakannya tak dapat balik ke kampung halaman masing-masing. Dah 3 kali raya, aku pastikan bahan-bahan penting semua sudah proses dan masuk sistem baru aku terhegeh-hegeh balik rumah dan bersiap balik Melaka. Aku tak berseorangan. Ada abang-abang aku di radio dan berita yang masih belum balik dan sawan kerana kerja belum menampakkan surut sibuknya. Orang media aje faham malapetaka bidang kita macam mana.

Dalam pada aku mencuba untuk jadi kuat, akhirnya aku koyak juga 🙁

Sabarlah Benny…insya Allah ada balasan yang manis.

Tuan Tabib Buat Butter Cookies!

Pemirsa semua, butter cookies yang biadap adalah butter cookies yang masih lembab-lembab berminyak, belum dibakar dan buat kita rasa nak makan walaupun belum azan maghrib. Begitulah logline gambarajah yang akan Kak Benny kongsikan. Betapa seorang lelaki berbaju T Nightwish begitu teruja membuat kukis mentega untuk dimakan oleh anaknya.

Haih, memang aku terasa kagum juga dengan tuan tabib. Aku yang tak berapa nak feminin ini pun tak kuasa nak duduk mengacu kuih. Dia boleh buat…! Please korang jangan rasa macam “ha, laki kau ajelah perfect 10, terbaik dari ladang.” Adore laki sendiri kot. Aku puji laki orang karang ada yang merentan…

Tuan Tabib Buat Semperit!

Selamat datang ke dapur tuan tabib…Dalam episod Suami Masak Apa Hari ini, dipersembahkan kuih semperit dengan penampilan khas Cef Judin. 14 tahun beraya, sekalipun kitorang tak pernah buat kuih raya. Hikmah PKP tahun ini, dah macam-macam juadah Hadi belajar buat. Tinggalkan sikit tau…nanti sehari sebelum Syawal ai akan merentas negeri ke hati yuuu…

#abbyhadi
#forevermeansforever
#meloveyoulongtime
#hadicancook
#haditakdefb
#judinjudika
#judinhensem
#myautisticson
#supermomyangcengeng

Cantik kejadian dia

Kebenaran Rentas Negeri : Perasaannya Macam Culik Anak Sendiri!

Sementara korang masih kenyang bentak dan lepas solat dengan keluarga, aku nak cerita satu kisah yang terjadi Sabtu lepas. Kisah ini biasa sahaja. Tapi bagi aku yang lalui perkara ni, ia besar dan beri aku pelbagai emosi.

Perintah Kawalan Pergerakan telah ditambah lagi selama 2 minggu. Aku sendiri tak tahu, bila aku dapat peluang untuk jumpa anak-anak, peluk cium mereka dan lepaskan rindu yang lama aku simpan. Hampir 2 bulan tak jumpa…separuh gila aku memikirkan keberadaan mereka di sana siang dan malam. Nampak aje aku tergelak-gelak bersuka-suki, tapi dalam hati aku memang ranap. Tempat isteri, tetaplah di sisi suami dan bagi seorang ibu, anak-anak tetap ada dalam hati sejauh manapun aku pergi.

Bukan mudah untuk Hadi dan keluarga menguruskan 2 anak OKU. Tiap-tiap minggu….setiap kali ada insiden yang tidak diingini berlaku aku akan minta Hadi turun KL dan hantar Eskandar Dzulkarnain pada aku. Biarlah dia di sini. Mama dan adik aku boleh jagakan, dan dia boleh bagi perhatian pada Ezzudin Dzulfikar. Kadang-kadang bukannya apa, Eskandar ni hiper jadi dia memang tak boleh duduk diam. So, dia ada tendency untuk trigger Judin.

Sabtu pagi itu, aku dapat satu mesej dari Hadi – Judin campak laptop Hadi. Aku tak tahu sebab apa. Mungkin ada benda yang dia tak puas hati. Sebelum itu, dia juga rendam vacuum cleaner dalam kolam, patahkan jarum insulin bapa mentua aku dan pecahkan cermin kereta kami. Eskandar tak kurang sama naik…setakat kunci kereta dan deodorant hilang itu biasa. Dia dah mula campak-campak batu pada kereta jiran sebelah. Mungkin dia bosan ya amat…entahlah aku takde penerangan yang logik. Nak cakap macam mana…dua-dua anak istimewa. Takkan termampu seorang nak jaga 2 bom jangka macam ini.

Serentak itu aku terus bersiap. Aku menuju balai polis berhampiran untuk mohon kebenaran merentas negeri. Balai polis tutup…tetapi ditampal notis makluman nombor telefon IPD Kuala Langat untuk dihubungi sekiranya ada kecemasan. Terus aku telefon dan ceritakan masalah aku. Aku diminta ke IPD Kuala Langat untuk bertemu ketua balai dan cerita masalah aku kat sana. Di sini baharu aku faham bila tengok drama ada dialog “apa-apa cerita kat balai”. Inilah dia salah satu situasi.

Terus aku pecut ke Jenjarom. Bayangkan dalam keadaan aku memang tak senang hati nak uruskan hal keluarga, hal kerja pun tak berhenti-henti beri salam. Beberapa kali aku berhenti di sisi jalan untuk selesaikan hal kerja. Sampai sahaja di balai, dalam keadaan tersemput-semput aku cerita semua…A-Z. Aku diminta kemukakan bukti yang mengatakan anak-anak aku OKU. Mujurlah aku ada simpan soft-copy kad OKU mereka. Urusan selesai dan dipermudahkan. In fact, 5 roadblock yang aku tempuh turut dipermudahkan juga.

Beberapa jam memandu, aku tiba di Taman Tangga Batu Perdana, Melaka. Anak-anak berlari-lari dan menjerit melihat aku di depan rumah. Aku sebak tak tahu nak cakap macam mana. Punyalah anak-anak berhimpit dengan aku sampai aku lambat sikit untuk peluk syurga aku. Hadi nampak sangat susut…tapi masih handsome pada mata aku.

Kami akhirnya bersatu….sekejap. Hal kerja bertalu-talu masuk dan aku perlu lari ke pejabat untuk uruskan kerja. Eskandar sangat seronok sebab dia akan ikut aku balik. Tapi Judin…
Dia mula menangis dan menjerit-jerit. “Nak mama…nak mama…” Grill dikunci memisahkan kami. Aku memang tak sampai hati. Dari celah jeriji aku pegang dan cium dia. Aku bagitahu, “Mama kerja sayang…nanti kita jumpa lagi..” Dia meraung-raung dan pegang tangan aku tak mahu lepas. Dengan aku sekali menangis depan rumah. Penuh berat hati aku lepaskan Judin dan sepanjang memandu dari Melaka ke KL, aku menangis dalam kereta teringatkan Judin. Eskandar tak berhenti-henti cakap “adik nangis, mama…” setiap kali dia pandang muka aku. Aku pegang tangan Eskandar setiap kali ada ada peluang sambil aku memandu. Rindunya tak tahu nak cakap…dia cinta pertama aku.

Terus aku memandu ke Taman Permata untuk tinggalkan dia dengan mama. Aku tak boleh nak jaga sebab aku tidak hari-hari berkerja dari rumah. Setiap kali aku duduk rumah, setiap kali itulah kerja masuk tak berhenti-henti. Biarlah dia dengan mama. Boleh juga dia bermain dengan sepupunya di sana. Masa aku tinggalkan dia, aku bagitahu ‘Eskandar kena tinggal dengan Tok Mama tau. Mama kena kerja.” Mula-mula tu dia hampir protes dan ikut aku ke kereta. Aku keluarkan semua mainan yang ada dalam kereta dan terangkan dengan dia sekali lagi, dia kena tinggal sini. Alhamdulillah…dia tidak menangis macam Judin. Kemudian tu baharulah aku ke pejabat dan menguruskan hal kerja sebelum aku dan anak-anak buah yang kerja berbuka puasa bersama-sama.

Ketahuilah…sesungguhnya ia adalah satu hari yang sangat panjang dan memenatkan. Aku terasa sebijik macam video klip kumpulan The Cranberries – Animal Instinct. Perasaannya macam culik anak sendiri. Walaupun tempoh aku berjumpa anak-anak sangat sekejap, tapi aku rasa bersyukur dapat jumpa mereka semua. So, Hadi…take care B..jagalah Judin untuk ai. Maybe raya ini kita masih tidak bersatu lagi, tapi you tetap ada dalam hati ai. Me love you long time…Setidak-tidaknya separuh you ada dengan ai, dan separuh ai ada pada you 🙁

Dan tangisan Judin hari tu masih tak dapat aku lupakan…
#apabilakakbennymenulis
#mifamilia
#myADHDson
#myautisticson
#abbyhadi
#meloveyoulongtime
#kakbennyisokay

p/s: terima kasih “kanda” sebab PM saya dan bagitahu macam mana untuk melakukan proses ini. Saya sangat appreciate bantuan dan keprihatinan abang pada saya…

PKP:51 Hari Tak Jumpa Family…

Hi, apa khabar semua cef-cef handalan dan rakan taulan? Dah demok ke?

Kak Benny kau macam ni la…sekali-sekala belanja selfie untuk membuktikan yang aku tak rasa terancam sangat setakat belum pergi salon dan buat facial. Kau kalau helok, heloklah juga. Kalau tak helok, tampalina la temulawak pun gitu gak ropenya. Terima aje kejadian seadanya. Kot sedih sangat, kau buatlah bideo sambil kupas mangga dan bertanya “orang Malaysia ni memang suka kecam ya?”

Selain rupa semakin manis, dagu meruncing dan kesabaran pun belum terhakis, dengan rasa happynya berlaku pengurangan kilo yang sangat dinantikan. Saat orang lain mulai susah hati ada dabel cin, aku bersenang hati sebab target untuk hilang berat holiday sebulan lalu berjaya aku capai dalam tempoh tak sampai 2 bulan. Takde rahsia jon…aku tak cukup makan aje. Dah tak kuasa nak masak. Makan apa ada kat pejabat aje.

Tapi aku masih menantikan ayam masak merah yang dijanjikan sang mergastua. Begitu jua kalau dapat Tealive barang sebekas dua. Lama teringin tak dapat-dapat lagi. Teringin nak makan udang tempoyak dan sambal petai yang aku masak sendiri sudah berjaya aku capai minggu lepas. Siap bawak sambalina ke pejabat Sabtu lepas untuk bagi anak-anak buah merasa. Baru kau tahu podeheh namatey rasanya.

PKP Fasa 3 ini lebih tegas pelaksanaannya. Tapi aku takde masalah langsung setiap kali berdepan dengan sekatan jalan raya baik abam polis atau abam askar. Sampai ada dalam kalangan mereka sudah cam aku ni siapa dan koje kat mana. Itu belum masuk yang bergurau mengajak selfie bersama. Aku tahu diorang penat. Sekali sekala bergurau-gurauan mungkin boleh melupakan sekejap penat yang mereka rasa.

Eh, yang di depan menanti kita dengan infrared thermometer sebelum masuk kota penyiaran tu pun sama. Penuh sopan menyantuni dan tak lekang dengan senyuman. Bila dah scan suhu kita, siap tanya ‘takmo amik gambar ke rekod bacaan ni?

Macam itu ajelah rutin hidup aku sehari-hari. Tidaklah suram sangat, dan tidaklah meriah sangat. So far 21 hari tanpa gagal aku ke pejabat dan menyelaras beberapa rutin kerja. Baik yang hakiki, yang ad-hoc, kluster pari-pari kayangan semua aku dah hayak dalam regim PKP ini. Mungkin aku beruntung sebab dapat bos yang memahami, lebih beruntung sebab anak-anak buah semua beri kerjasama dan rakan-rakan penyiar yang sentiasa ada…caring, baran la jugak kalau stress dan kontrol Ayu/ayu dalam mensorat. (Dua makna yang relevan…)

Aku tak rasa sendiri. Macam semua orang, aku pun takut juga dengan corona virus. Tapi tak semua orang bernasib baik untuk kerja dari rumah. Setiap antara kita ini pemimpin. Di bahu kita ada tanggungjawab. Galaslah gaya kuak lentang mana kau nak. Bila aku tengok tim aku datang kerja baik yang pagi, yang petang dan yang pagi membawa ke petang adakala sampai malam, aku tetap ada dengan mereka. Diorang balik, aku pun balik kecuali kalau pagi ada meeting, aku akan balik awal sikit. Moga Allah lindungi kami semua dalam jihad kerja.

Good people make sacrifices for others…bukan aku yang cakap. Aku dapat masa tengok NCIS New Orleans tadi…Jadi pengorbanan itu luas konsep jajahan takluknya. Aku boleh sahaja menggunakan keistimewaan yang ada untuk kepentingan sendiri. Tapi dalam pada keluarga adalah segala-galanya, aspek lain pun kau kena jaga juga. Tak mahu ulas panjang…kang bengkak lagi mata aku.

Sudah beberapa pagi jalan menuju ke Kuala Lumpur dari Bandar Saujana Putra memberikan pemandangan yang Subhanallah cantiknya…Yang warna pink, yang oren kebiruan semua aku berpeluang tatap dengan biji mata. Sambil ditemani dengan lagu etnik super syahdu dari Pakistan yang sempat aku muat turun, memang tak sedar emosi aku kalah. Sudah berapa tahun aku rindu nak nampak pemandangan seperti itu. Musim PKP ini aku dapat hampir setiap pagi…aku tak tahu nak explain rasa terharu dan syukur tu macam mana.

Hari ini juga sudah 51 hari aku tak jumpa tuan tabib dan anak-anak…
Sudah seminggu juga orang jauh merajuk dengan aku.

Dan aku masih takde semangat untuk menulis dalam blog.

Aku ada sabar…
#apabilakakbennymenulis
#aboutlove

Tuhankan Ada…

Dalam kehidupan ni, begitulah. Siapa yang emosi koyak, kita sokong dan bagi semangat balik. Kalau ada yang tak kena, bawa berbincang dan musyawarah agar dapat jalan penyelesaian yang memihak kepada semua. Salah sikit aje dari mana-mana entiti ini, semua kena tempias dan kena jawab.

Of course la kalau ada berbeza pendapat tu kami bertegang-tegang vokal melahar sesama sendiri keluar segala binatang yang haram dipegang dan genitalia makhluk yang bernyawa…Tapi lepas tu kerja balik macam biasa. Kau tak akan nangis sorang-sorang dan kau tak akan gembira sorang-sorang dalam zabatan yang dicintai ini.

Aku rasa ada juga silver lining dak kobit ni sebab setidak-tidaknya semua maklum bagaimana bersilatnya duduk di post aku tu dan bagaimana sukarnya tim mereka menyediakan bahan kapsul yang berkaitan. Bila semua saling faham dan memahami, komunikasi menjadi mudah. Tergelincir di sana dan sini itu normal…

Apapun, terima kasih pada Alex Reza yang bagi rasa butter cake yang dia buat. Sedap gile moist semua ada. Kalau tak ditahan-tahan tangan tu, konfem habis. Sudahlah itu, sepanjang PKP ni kalau ada extra bahan makan memang aku tidak dilupakan since aku memang ada kat pejabat hari-hari. Cubaan mintak 1.5 liter Coke aje gagal tadi…

Ellia Norni Elias Ayyue Wahid tanda pagar tuhankan ada ???

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...