Sungkai Terakhir di Pejabat

Iftar terakhir di pejabat. Terima kasih anak-anak  yang komited. Udah macam kilang kita proses bahan kali ini. Terima kasih banyak-banyak semoga diberi balasan sebaik-baiknya oleh yang kuasa.

Mohon ampun dan maaf sekiranya ada tersalah dan silap sepanjang kita semua berurusan. Maklum sahaja dengan limitasi yang ada, tak terkayuh nak buat semua.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin…
#unitpromodankreatif
#myAteam

Selamat Hari Pekerja!

1 Mei 2020….Selamat Hari Pekerja buat semua yang berada di sektor awam, swasta mahupun berkerja sendiri.
“Still having an income during this crisis is a huge blessing”.

Kerjalah sebaik mungkin dan sumbanglah tenaga pada negara walaupun kecil, tak terlihat dan tak terzahir. Kita tahu apa yang kita buat. Tuhan pun tahu. Orang tak tahu tak mengapa…mereka boleh assume.

Dan mereka assume kita PnP masuk servis dengan permulaan gaji 12k. Aku tak marah. Aku cuma nak tanya kerajaan mana tawar gaji macam tu sebab aku kecik hati tak tahu ada skim permulaan dengan gaji taraf itu.

Hari ini, walaupun selayaknya bercuti, masih ramai di pejabat menyiapkan segala mala kerja yang ada. Kerja jalan seperti biasa. Hari ini aku tak bawak kek cheese leleh sebab takde stok. Tapi aku sempat beli durian crepe kat Kak Nora. So siapa nak join berbuka boleh datang tingkat 1 dan berbuka dalam keadaan masih mengamalkan penjarakan sosial.

So siapa kerja boleh kejar Kak Nora petang ni. Itu macik sejenis penyelamat juga…
#apabilakakbennymenulis
#apabilakakbennycalitkuku

Essential Services : Aku Kerja Macam Biasa

Hari ini aku saja nak cerita pasal kerja. Korang asyik mengadap gambar makanan yang jadi dan tak jadi pun boring jugakan.

Aku sudah mukadimah seawal Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama bahawasanya aku berkerja seperti biasa dengan memuatnaik gambar aku memakai topeng muka. Itu standard…

Umum tahu dalam tempoh PKP ini bukan semua manusia dalam essential services akan berbondong-bondong ke pejabat. Akan ada jadual yang disusun untuk memastikan ada manusia menjalankan kerja yang memang tak pernahnya habis. Dan unit aku beroperasi dari bermulanya waktu fleksi masuk pejabat sampailah larut malam.

Kalau semua kerja serentak, dengan ruang yang kami ada tidak memungkinkan untuk ada penjarakan sosial. Malas pulak aku nak justify konsep jadual ni panjang-panjang sebab keputusan bukannya aku buat seorang diri. Aku amat bersyukur sebab bukan sahaja dapat ketua yang memahami, tetapi anak buah yang komited dan sentiasa bagi kerjasama setiap kali kesibukan melanda macam diserang garuda.

So, apa sibuknya?

Fuuuuh…dalam tempoh PKP ini sahaja unit aku berkerja lebih sibuk dari biasa (sebenarnya hampir semua unit dalam jabatan aku sibuk macam ni.) Kami bertanggungjawab menguruskan beratus-ratus kapsul Covid-19 yang datang dari pelbagai sumber antaranya penerbitan TV, berita dan dari kementerian. Dalam pada masa yang sama, tetap kena kayuh kerja hakiki iaitu menyediakan bahan-bahan promo TV untuk 5 saluran selain mengejar bahan untuk kempen-kempen perayaan seperti program Ramadan, Syawal, Merdeka dan lain-lain. Dengan kekangan tenaga kerja dan fasiliti, apa juga arahan yang datang tetap akan dilaksanakan sebaik mungkin. Pernah kejadian kami berkerja macam kilang membaiki semua bahan kapsul yang ada, 2 kali – kerana arahan semasa. Ada anak buah aku sampai pukul 5:00 pagi baru selesai kerja disebabkan volume bahan yang kami urus terlalu banyak.

Tapi anak-anak buah aku ni semua memang rezeki yang tuhan bagi pada aku. Perangai memang macam-macam perangai, tapi bila kerja tiada lain yang mereka dapat dari aku hanya rasa respect yang paling tinggi. Setiap dari mereka ada keistimewaan yang tersendiri.

Yang hebat dalam grafik, yang ada sentuhan magis bila buat showreel, yang komited datang ke pejabat uruskan bahan promo kerana ada perubahan dan lain-lain kecemasan kerja. Korang bayangkan jadual berbuka puasa dan imsak yang telah disiapkan awal terpaksa buat semula sebab ada perubahan waktu berbuka puasa di Kelantan. Beza saat aje takpelah juga, ini beza sampai 4 minit. Atas rasa tanggungjawab tak mahu tanggung dosa kalau rakyat Kelantan berbuka puasa lebih awal dari waktu, 2 manusia dalam gambar ni berusaha untuk sediakan bahan baru supaya dapat dijadualkan yang betul.

Begitu juga ketika kami sudah sediakan promo melihat anak bulan, tiba-tiba ada perubahan lokasi sehari sebelum tarikh lihat anak bulan. Benda dah roll beberapa hari kot. Again, 2 manusia tadi menjalankan peranan mereka dengan cemerlang. Kat unit aku, kalau sawan kami sawan berjemaah kaedahnya.

Aku tahu mereka punya kerisauan untuk berkerja selain penat kerana harus kerja lebih dari biasa. Takde siapa nak kerja petang ke malam, tinggalkan keluarga dan bergasak di pejabat dalam keadaan virus Corona tak tahu ada pada siapa. Percayalah, aku pun takut macam semua yang berkerja. Tapi korang semua tak sendiri. Aku hari-hari di pejabat. Aku takkan biarkan korang berjuang kat pejabat sambil aku tergolek berkerja dari rumah membelek handphone memberi arahan. Even bos aku sendiri hari-hari ke pejabat memantau perjalanan seksyen kami begitu juga ketua kluster yang lain. Dan aku bangga sebab ramai saing-saing aku turut menampakkan unsur-unsur kepimpinan yang sama dengan turut ke pejabat – memantau anak buah masing-masing. Kadang-kadang, kami pula bertemu dan melepaskan tekanan kerja kami dengan mengarut level tertinggi.

Bila lagi masa untuk bertenang dan bersembang secara manusiawi? Waktu berbuka puasa guys…ya ada hal kerja terselit jika urgent tapi lebihnya berinteraksi dan catching up sebanyak yang boleh. Ini masa untuk aku lebih dekat dengan mereka semua. Bukan sebagai ketua, tetapi sebagai keluarga. Mereka pun ada famili, ibu dan bapa yang dirindui yang tak dapat jumpa disebabkan PKP ini. Sementara menanti detik itu, korang semua tetap keluarga aku di sini.

Terima kasih semua. Aku tak mahu tagged sesiapa. Semua tahu peranan masing-masing dan semua ada kelebihan dan kekurangan. Aku pun sama…Selagi kita ada keseronokan berkerja dan aman dengan cabaran yang datang, kita akan bahagia waima di unit manapun kita ditempatkan. Terima kasih kerana kehebatan korang menyebabkan aku sekali terpalit hebatnya. Juga kepada rakan-rakan dari pelbagai unit lain yang memahami kerja kami dan turut sama bertungkus lumus dalam memastikan yang terbaik itu ada di kota penyiaran nan tersergam ini.

RTM Jenama Media Paling Dipercayai

#apabilakakbennymenulis
#unitpromosidankreatif
#bahagianpemasarandanpromosi
#mifamilia
#ilovemyjob
#lifeastvproducer

 — at Wisma TV Angkasapuri.

PKP:51 Hari Tak Jumpa Family…

Hi, apa khabar semua cef-cef handalan dan rakan taulan? Dah demok ke?

Kak Benny kau macam ni la…sekali-sekala belanja selfie untuk membuktikan yang aku tak rasa terancam sangat setakat belum pergi salon dan buat facial. Kau kalau helok, heloklah juga. Kalau tak helok, tampalina la temulawak pun gitu gak ropenya. Terima aje kejadian seadanya. Kot sedih sangat, kau buatlah bideo sambil kupas mangga dan bertanya “orang Malaysia ni memang suka kecam ya?”

Selain rupa semakin manis, dagu meruncing dan kesabaran pun belum terhakis, dengan rasa happynya berlaku pengurangan kilo yang sangat dinantikan. Saat orang lain mulai susah hati ada dabel cin, aku bersenang hati sebab target untuk hilang berat holiday sebulan lalu berjaya aku capai dalam tempoh tak sampai 2 bulan. Takde rahsia jon…aku tak cukup makan aje. Dah tak kuasa nak masak. Makan apa ada kat pejabat aje.

Tapi aku masih menantikan ayam masak merah yang dijanjikan sang mergastua. Begitu jua kalau dapat Tealive barang sebekas dua. Lama teringin tak dapat-dapat lagi. Teringin nak makan udang tempoyak dan sambal petai yang aku masak sendiri sudah berjaya aku capai minggu lepas. Siap bawak sambalina ke pejabat Sabtu lepas untuk bagi anak-anak buah merasa. Baru kau tahu podeheh namatey rasanya.

PKP Fasa 3 ini lebih tegas pelaksanaannya. Tapi aku takde masalah langsung setiap kali berdepan dengan sekatan jalan raya baik abam polis atau abam askar. Sampai ada dalam kalangan mereka sudah cam aku ni siapa dan koje kat mana. Itu belum masuk yang bergurau mengajak selfie bersama. Aku tahu diorang penat. Sekali sekala bergurau-gurauan mungkin boleh melupakan sekejap penat yang mereka rasa.

Eh, yang di depan menanti kita dengan infrared thermometer sebelum masuk kota penyiaran tu pun sama. Penuh sopan menyantuni dan tak lekang dengan senyuman. Bila dah scan suhu kita, siap tanya ‘takmo amik gambar ke rekod bacaan ni?

Macam itu ajelah rutin hidup aku sehari-hari. Tidaklah suram sangat, dan tidaklah meriah sangat. So far 21 hari tanpa gagal aku ke pejabat dan menyelaras beberapa rutin kerja. Baik yang hakiki, yang ad-hoc, kluster pari-pari kayangan semua aku dah hayak dalam regim PKP ini. Mungkin aku beruntung sebab dapat bos yang memahami, lebih beruntung sebab anak-anak buah semua beri kerjasama dan rakan-rakan penyiar yang sentiasa ada…caring, baran la jugak kalau stress dan kontrol Ayu/ayu dalam mensorat. (Dua makna yang relevan…)

Aku tak rasa sendiri. Macam semua orang, aku pun takut juga dengan corona virus. Tapi tak semua orang bernasib baik untuk kerja dari rumah. Setiap antara kita ini pemimpin. Di bahu kita ada tanggungjawab. Galaslah gaya kuak lentang mana kau nak. Bila aku tengok tim aku datang kerja baik yang pagi, yang petang dan yang pagi membawa ke petang adakala sampai malam, aku tetap ada dengan mereka. Diorang balik, aku pun balik kecuali kalau pagi ada meeting, aku akan balik awal sikit. Moga Allah lindungi kami semua dalam jihad kerja.

Good people make sacrifices for others…bukan aku yang cakap. Aku dapat masa tengok NCIS New Orleans tadi…Jadi pengorbanan itu luas konsep jajahan takluknya. Aku boleh sahaja menggunakan keistimewaan yang ada untuk kepentingan sendiri. Tapi dalam pada keluarga adalah segala-galanya, aspek lain pun kau kena jaga juga. Tak mahu ulas panjang…kang bengkak lagi mata aku.

Sudah beberapa pagi jalan menuju ke Kuala Lumpur dari Bandar Saujana Putra memberikan pemandangan yang Subhanallah cantiknya…Yang warna pink, yang oren kebiruan semua aku berpeluang tatap dengan biji mata. Sambil ditemani dengan lagu etnik super syahdu dari Pakistan yang sempat aku muat turun, memang tak sedar emosi aku kalah. Sudah berapa tahun aku rindu nak nampak pemandangan seperti itu. Musim PKP ini aku dapat hampir setiap pagi…aku tak tahu nak explain rasa terharu dan syukur tu macam mana.

Hari ini juga sudah 51 hari aku tak jumpa tuan tabib dan anak-anak…
Sudah seminggu juga orang jauh merajuk dengan aku.

Dan aku masih takde semangat untuk menulis dalam blog.

Aku ada sabar…
#apabilakakbennymenulis
#aboutlove

Tuhankan Ada…

Dalam kehidupan ni, begitulah. Siapa yang emosi koyak, kita sokong dan bagi semangat balik. Kalau ada yang tak kena, bawa berbincang dan musyawarah agar dapat jalan penyelesaian yang memihak kepada semua. Salah sikit aje dari mana-mana entiti ini, semua kena tempias dan kena jawab.

Of course la kalau ada berbeza pendapat tu kami bertegang-tegang vokal melahar sesama sendiri keluar segala binatang yang haram dipegang dan genitalia makhluk yang bernyawa…Tapi lepas tu kerja balik macam biasa. Kau tak akan nangis sorang-sorang dan kau tak akan gembira sorang-sorang dalam zabatan yang dicintai ini.

Aku rasa ada juga silver lining dak kobit ni sebab setidak-tidaknya semua maklum bagaimana bersilatnya duduk di post aku tu dan bagaimana sukarnya tim mereka menyediakan bahan kapsul yang berkaitan. Bila semua saling faham dan memahami, komunikasi menjadi mudah. Tergelincir di sana dan sini itu normal…

Apapun, terima kasih pada Alex Reza yang bagi rasa butter cake yang dia buat. Sedap gile moist semua ada. Kalau tak ditahan-tahan tangan tu, konfem habis. Sudahlah itu, sepanjang PKP ni kalau ada extra bahan makan memang aku tidak dilupakan since aku memang ada kat pejabat hari-hari. Cubaan mintak 1.5 liter Coke aje gagal tadi…

Ellia Norni Elias Ayyue Wahid tanda pagar tuhankan ada ???

 

Selamat Ulang Tahun RTM Ke-74!

Hampir 16 tahun berkhidmat di sini, tak pernah aku rasa sebegini sayu menyambut hari lahir tempat aku mencari rezeki. Semua kakitangan berjuang dengan menyediakan info terkini tentang Covid-19. Sambutan serba sederhana dalam keributan kerja. Tabahlah semua sahabat penyiarku…perjuangan kita belum berakhir lagi…

Eksplorasi Bahasa (Media) BBK 2017

Sepanjang berkerja di RTM,  aku tidak pernah terlibat dalam pertandingan ala-ala Amazing Race. Bawa kereta pun tak tahu, nak berlumba apanya?

Minggu lepas, untuk pertama kalinya aku sertai juga pertandingan seumpama ini. Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) telah menganjurkan Ekplorasi Bahasa (Media) bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2017. Sebanyak 15 kumpulan menyertai pertandingan ini dan Bahagian Pemasaran & Promosi telah menghantar 2 kumpulan. Tapi kalau tak silap, sebenarnya ada 3 kumpulan mewakili RTM. Yang satu lagi kumpulan tu aku tak kenal datang dari unit mana.

Niswani yang uruskan semuanya. Aku hanya bagi nombor kad pengenalan dan saiz baju sahaja. Kumpulan aku terdiri daripada Kak Wan Wizana, Abang Dil, Niswani dan aku sendiri. Aku tak tahu nak jangkakan apa sebab aku tak pernah masuk pertandingan macam ini. Jadi aku hanya bersedia dengan membawa kamus dan buku peribahasa sahaja.

Eksplorasi Bahasa ini mudah. Setiap kumpulan dikehendaki mengumpulkan cap disetiap lokasi yang ditentukan. Tapi sebelum itu, mereka dikehendaki menyelesaikan tugasan yang diberi. Nampak mudahkan..kan…kan…

SALAH!

Semua peserta dilepaskan di premis Dewan Bahasa dan Pustaka. Kereta kami adalah kereta yang di depan sekali. Destinasi pertama ialah Muzium Negara. Dengan semangat yang tinggi kami mencari lokasi yang dimaksudkan di dalam Muzium itu dan bertanya kepada sesiapa yang logik di depan mata. Pegawai kesalamatan…kakak cleaner

Oh, kakak cleaner

“Naik atas..tempatnya di atas” begitulah ayat yang dikhabarkan oleh kakak cleaner itu.

Rasanya 3 kumpulan yang pertama terus naik ke atas tempat yang dimaksudkan dan urus setia terus memberikan kami soalan untuk dijawab. Seribu Sesalan, Sesal Separuh Nyawa dan Separuh Jiwaku Pergi, i tell you….

Rupanya kami salah lokasi! Hampeh geduak…Yang urus setia pun konfiden aje bagi kami kertas soalan. Apabila kami patah ke lokasi yang pertama – yang benar dan sejati, kami adalah kumpulan ke-14! Bayangkan dari nombor satu tadi terus terkebelakang kedudukan kami kerana kakak cleaner muzium!

Menunggu giliran bersyair dengan riang walaupun ditinggal gerabak lain

Setiap kumpulan dikehendaki menyampaikan syair / gurindam / nazam berdasarkan teks yang telah dipilih. Ini lagi satu azab duniawi. Nak bernazam dengan gurindam, haram tak reti. Rata-rata semua bersyair…syair pulak paling sikit ada 5 rangkap! Semua pulak pilih Syair Siti Zubaidah sebab itu rangkap paling sikit. Macam-macam bunyi….tengok reaksi juri aje aku dapat rasa betapa azabnya dia mendengar syair yang pelbagai nada.

Disebabkan giliran kumpulan kami laaaaaaama lagi, kami sempat juga merancang strategi. Siap ada muzik latar, pembahagian rangkap dan gayanya sekali. Akhirnya giliran kami tiba juga selepas hampir sejam menunggu. Aku penyair keempat. Kononnya rangkap kelima tu nak bersyair berjemaahlah kami berempat. Eh, juri tu suruh berhenti…..cukup katanya.

Kami pulak tak puas hati. “Ada satu rangkap lagi ni,” kata Niswani.

“Sebenarnya kalau puan tu (akulah tu) baca awal sekali, dua rangkap pun saya akan lepaskan kumpulan ini, “kata acik juri tu.

Ok, selesai tugasan pertama. Kami kembali ke lokasi kedua dan cuba menyelesaikan 10 soalan objektif berkenaan bahasa yang diberi. Selagi tak betul semua, kami tidak akan dapat cap. Ini satu hal…soalan pertama aje mereka dah salah. Bila kami beritahu akronim IPTAR yang mereka tulis tu salah, urus setia pun terpinga-pinga. Akronim untuk Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak ialah IPPTAR dengan 2 P besar.

Seterusnya, kami dikehendaki pergi ke ASWARA untuk tugasan membina kata dan kemudian ke Perpustakaan Negara untuk cabaran swafoto dengan 2 buku terbitan DBP. Mesti buku terbitan DBP…kalau terbitan lain, tak boleh.

Ini kacang buncis, botak dan tanah….

Akhir sekali kami harus kembali ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk cabaran terakhir. Ada 2 cabaran di sini. Pertama ialah membetulkan poster dan kedua menulis 5 rangkap pantun nasihat. Membetulkan poster itu tak rumit sangat sebab aku selalu betulkan poster / tulisan / tesis orang. Ada kumpulan lain siap kena eja tomyam, kuetiau dan pelbagai makan ruji lain.

Cabaran Swafoto

Menulis pantun dan membacakan pantun pun mudah. Sekejap sahaja cabaran ini selesai. Tapi itulah…angkara kakak cleaner muzium itu, kami tersasar ke belakang. Sebenarnya aku bergurau aje pasal kakak cleaner ni. Dia tak salah…kami yang gelojoh sangat. Yang penting pada aku ialah menyelesaikan cabaran ini dan pengalaman bersama 3 manusia tadi. Bukan senang untuk kami berempat duduk bersama untuk acara santai selain bermesyuarat.

Errrr…entah aku kena paksa ikut ajelah

Semoga ini adalah permulaan yang baik untuk menjalin hubungan kami berempat. Ini aja 4 ketul manusia yang kena hadap semua masalah pengurusan di BPP kerana kami tidak ada ramai B41 di sini.

Kami tidak balik dengan tangan kosong. Kumpulan kami dapat hadiah saguhati. Aku yakin markah lebih itu kami kutip semasa cabaran syair dan bina kata. Sampai habis semua huruf vokal, tinggal konsonan sahaja. Kumpulan BPP satu lagi itu yang memang tempat nombor dua. Tahniah, badak korang…

Sekian dahulu. (Bukan senang nak dapat ritma menulis setelah sekian lama papan kekunci tidak diketuk).

Berita tentang Ekspolari Bahasa DBP ini boleh dibaca di sini.

Model Gandalf

Majlis Apresiasi Bahagian Pemasaran & Promosi

Pemimpin datang dan pergi tetapi kerja tetap terus. Sebulan ini, banyak pergerakan besar-besaran yang berlaku dan unit baharu aku tidak terkecuali menerima tsunami kecil itu. Yang pergi dirai dan yang datang di’welkami’. Untuk itu Unit Pemasaran dan Promosi telah mengatur Majlis Apresiasi pada Selasa lepas untuk meraikan yang pergi sambil menyambut kami-kami yang baharu di unit ini.

Urusan pelaksanaan majlis dibuat pada Jumaat minggu sebelumnya. Tugas-tugas juga selamat dibahagi-bahagikan mengikut unit dan bermulalah cabaran aku yang pertama – meminta kakitangan promo untuk membuat video perpisahan untuk mantan boss mereka, En. Yusari Ameer dan memohon mereka membuat satu persembahan. Satu permintaan yang agak susah sebenarnya untuk aku buat memandangkan aku kenal mereka semua tak sampai sebulan. Edah 28 hari menanggung pun tak habis lagi ni. Takkan terus tuju-tuju nama untuk buat persembahan. Aku serahkan semuanya atas mereka dan syukur sangat – aku dapat kerjasama yang sangat baik daripada mereka semua.

Pagi Isnin, bermulalah proses penghantaran tempahan secara ekspress rakyat dan bersepadu. Kakitangan Unit Promo sibuk dengan persiapan dewan bermula tengah hari dan ramai juga menyusul membantu menjelang petang. Tema juga telah ditetapkan. Kami dikehendaki memakai pakaian berwarna pink dan ungu. Disebabkan berita kemangkatan yang baru diterima, aku membenarkan staff yang mahu berkabung memakai warna hitam.

Aku pun tak pasti nak pakai baju apa. Nak pakai baju pink terang benderang, baju itu ada unsur biru cair. Mujurlah Ahad yang lalu aku sempat membeli yukata berwarna hitam pink dan obi yang aku pilih berwarna ungu. Cantik! Kena dengan tema…

Majlis dimulakan setelah semua tetamu yang diraikan tiba di Balai Perdana iaitu Puan Kalsom Semon yang akan bersara, Encik Yusari Ameer yang berpindah ke Unit Hiburan dan Puan Zeti Fazlia yang berpindah ke Unit Kandungan & Kreatif. Kemudian, tetamu kami KP Penyiaran Dato Abu Bakar memberikan ucapan diikuti bos kami, Puan Wan Wizana dan ucapan daripada 3 tetamu yang diraikan tadi.

Kami kemudiannya menyambut hari lahir Puan Kalsom dan makan bersama-sama selepas itu.

Majlis ini sangat ringkas dan santai. Terima kasih yang sesungguhnya kepada kakitangan Unit Promo atas persembahan lagu dan sajak khas untuk Encik Yusari. Ada jugalah persembahan daripada tuan rumah.

Sebelum penulisan ini berakhir, saya ucapkan Selamat Hari Lahir dan Selamat Bersara buat boss saya, Puan Kalsom Semon. Selamat menjadi YB dan mengusahakan ladang di belakang rumah 🙂 Mohon ampun dan maaf atas semua kesalahan semasa saya menjadi staff di bawah seliaan boss dahulu. Nanti kalau masak Mee Bandung, mohon rojer-rojer ya….

Retirement can be a great joy if you can figure out how to spend time without spending money – Author Unknown

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...