2/3 :Viva Voce!

Me-36 weeks-Viva

Pada catatan yang lalu telah aku khabarkan aku diberi kelonggaran untuk membuat pembentangan awal, sekiranya aku setuju. Ini disebabkan aku benar-benar sarat dan pihak fakulti juga khuatir aku terbersalin sebelum 27 Jun. Akulah pula rasa macam beban. Takkan semata-mata aku seorang.. Jadi aku beritahu aku akan cuba dapatkan beberapa rakan yang sanggup bentang awal, sekiranya pihak fakulti benar-benar mahu membantu aku menyelesaikan Viva awal.  Jadi aku berjaya tarik Fariq dan Farah untuk buat awal. Memang geng Spank yang asli!

Sehari sebelum Viva, aku dan Fariq ke fakulti untuk menjalani “pra-viva”. Ini dilakukan dengan bantuan supervisor kami yang kebetulan SV yang sama. Pendek cerita, boleh dikatakan apa point-point bahaya yang mungkin ditanya telah kami tangani dengan awal. Dalam masa yang sama, kami menyiapkan slide power point untuk memastikan pembentangan kami tidak meleweh, straight to the point dan mantap. Malam itu, memang aku tak lena tidur. Dalam mimpi pun seolah sedang membuat pembentangan. Pantang celik, nota kecil di meja sebelah aku capai dan cuba mengingati apa yang akan aku cakap esok – sampailah membawa ke alam mimpi. Proses itu berulang sampai pukul 5.30 pagi!

***

Pagi itu, 21 Jun 2013 Hadi menghantar aku ke Intekma Resort Shah Alam. Dia mahu bawa aku bersarapan terlebih dahulu. Dalam keadaan aku mulai cemas dan panik, memang aku langsung takde selera nak makan. Mujur aku sudah makan sebungkus biskut keju dan air kosong segelas untuk mengalas perut. Pembentangan aku dijadualkan jam 10.45 pagi. Tapi seawal 8.15 pagi aku sudah sampai kerana mahu melihat rakan-rakan lain membentang kajian mereka. Sedikit sebanyak surut juga kebimbangan bila sampai giliran aku nanti. Oh, aku adalah pembentang ke 4 dari 5 pelajar sarjana lain. Rupa-rupanya ada 2 pelajar Part 3 yang bentang awal atas urusan masalah masing-masing.

Side untuk pembentangan..Ringkas, padat dan tepat ke sasaran

Akhirnya giliran aku tiba juga. Memang aku gementar. Ayat sedikit huru-hara tapi yang nyata pembentangan kali ini aku tak sebut “harjadlanch” seperti pembentangan-pembentangan yang lalu. Menggigil tak payah cakap..Ini adalah topik berkaitan Human Security yang pertama dibentangkan untuk Viva. Jadi kadar kerisauan aku kalau tidak mencapai kehendak pemeriksa sangat maksima. Selepas 20 minit pembentangan dan 10 minit sessi soal-jawap, akhirnya aku lepas ujian ini 🙂 Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan aku kala itu. Rasa nak menangis, nak sujud syukur dan nak terbang pun ada juga. Sambung belajar dalam keadaan sarat mengandung ini bukan mudah sebenarnya. Alhamdulillah ia dipermudahkan kali ini. Tapi setiap kali aku teringat kenangan mengandungkan arwah Cahaya Balqis semasa Part 2 dahulu, sebak juga dibuatnya.

Diperingkat ini aku hanya perlu memperbaiki beberapa bahagian yang diminta oleh pemeriksa. Minor aje pun..Itupun aku agak culas nak buat sebab faktor cuaca kini membuatkan badan aku sangat lesu. Oh, ya..selepas Viva berakhir, barulah aku sedar langit warnanya biru, daun hijau cemerlang dan baju kahwin aku dahulu warna oren. Kemarahan aku pada pejabat yang menyebabkan aku sambung belajar luput sama sekali.

Alhamdulillah..tinggal 1/3 sahaja lagi, iaitu menghantar final tesis 🙂

 

1/3 : Hantar Tesis!

Setelah berbulan-bulan mencuba dengan gigih untuk menyiapkannya, tesis aku usai juga. Isnin lalu, berakhirlah seketika tersentap tengah awal pagi, membuka PC dan memerah otak membuat halaman demi halaman. Kerana itu jugalah kehidupan aku akhir-akhir ini sedikit berkecamuk. Dengan mana nak menyiapkan kerja sekolah dan cabaran melakukannya dalam keadaan aku sudah sarat amat ini sangatlah menduga. Jangan tak percaya, aku sudah lupa minggu ini minggu keberapa. Pagi semalam sewaktu di PPUM baru aku tersentak hakikat amuk, ya rabbi sudah 36 minggu rupanya!

Sepatutnya Viva Voce dijadualkan 20 Jun. Aku sudah bersedia ke arah itu sebab lagi cepat habis lagi cepat aku boleh siapkan diri untuk menyambut orang baru pula. Tiba-tiba dilanjutkan pula tempoh itu seminggu lewat, yang menyebabkan rakan-rakan lain lompat NSYNC, aku pulak tepuk dahi! Tak apalah, aku sudah berjaya siapkan ikut jadual asal pun sudah sejuta rahmat.

12% similarity index

Disebabkan faktor fizikal itu, aku ditawarkan untuk melalui acara Viva lebih awal dari rakan-rakan yang lain.  Hmmm…kalaulah boleh diusahakan, memang aku mahu menghabiskannya secepat mungkin. Aku minta diberi masa untuk bincang dengan doktor bilakah tarikh jahitan cerclage akan dibuka. Sayangnya semalam Dr. Valli pula ada hal di Klang. Jadi pagi ini aku akan ke PPUM sekali lagi untuk berjumpa Dr. Valli. Harap-harapnya dapat tarikh bulan Julai. Tak kisahlah satu tarikh dengan bapanya, emak-emak saudaranya atau kakaknya, Cahaya Balqis 🙂

Semoga semuanya berjalan lancar. Aku mahu memiliki kesemuanya..!