KAK BENNY DAN KFC…

KFC kat Malaysia ni, era manapun harganya tetap mahal. Alangkan miskin bandar pun rasa harganya mahal inikan pula yang duduk kat luar bandar. Apapun, KFC ini menjadi kesukaan ramai, khususnya kanak-kanak. Kau faham aje kanak-kanak, kalau tekak dia nak makan, dia bukan kira mak abah dia ada duit, dah bergaji ke belum dan faktor-faktor lain.

Sekitar akhir 80-an membawa ke 90-an, bilangan cawangan KFC ini tidaklah semeriah sekarang. Asal lalu aje shop lots, Insya Allah ada restoran KFC kat situ. Dulu kalau adapun dalam satu zon/daerah hanyalah beberapa cawangan aje. Contoh mudah, masa aku duduk di Taman Permata, Hulu Kelang, lokasi KFC paling dekat ialah di Setapak. Sekarang deret-deret kedai situ penuh kedai motor dengan keranda aje.

Adapun kejadian untuk makan KFC hanya berlaku pada hari raya sahaja. Kami ketika itu yang hanya 3 beradik akan share duit raya yang kami dapat untuk bayar teksi dan bayar sebahagian dari harga makanan yang kami ambil. Mama dan abah akan tambah dengan duit mereka untuk baki kos makanan. Dulu tak payah beratur kat kaunter untuk pesan makanan. Pelayan restoran akan datang untuk ambil pesanan.

Kami hanya dapat makan ayam paling tidak 2 ketul seorang, adalah secoet kentang putar kongsi ramai-ramai dan air pun sama – kongsi kekdahnya. Janganlah feeling-feeling nak tabung Colonel Sanders sebab kalau tak mahal untuk beli serba 3, abis stok belaka. Walaupun setahun sekali, itulah outing famili yang amat berharga dan sangat aku nantikan.

Tidak lama kemudian, sekitar tahun 90-an, KFC bukak cawangan di Taman Melawati. Kali ini kami tidak perlu ke sana dengan menaiki teksi. Beronot-robot adik-beradik ke sana dengan berjalan kaki sementara mama dan adik yang paling kecil (siapa juga yang dah wujud masa tu) akan naik motor dengan abah dan mama. Masih, kami bertiga akan keluarkan porsi duit raya yang kami dapat untuk makan KFC bersama ahli keluarga.

Apa yang mahu aku cakap adalah, KFC ini makanan mewah zaman aku kanak-kanak. Aku rasa zaman sekarang pun sama. Datanglah ayam goreng RM1 pasar malam yang mendakwa guna tepung KFC, tetaplah rasa dan perasaannya tak sama. Yup, aku sendiri ada episod menjejes-jejes air mata merayu nak ayam KFC dan permintaan itu kena rejek. Sedih dowh…budakkan. Masa tu mana fikir mak abah ada duit ke tak. Sampai aku berazam bila aku berkerja nanti, aku mahu makan KFC ni macam makanan ruji 🙂 Iyalah…dah keja penat-penat biarlah aku makan apa yang boleh buat aku happy.

So aku faham pasal kesanggupan beratur dari Perlis sampai Sabah ini. Ini peluang untuk beri anak-anak dan keluarga makan ayam dengan harga yang sedikit murah. Walaupun kau buat promosi ni dalam keadaan belum gaji, takpelah. Zaman GST dulu, set ayam 2 ketul Snack Plate kau boleh dapat dengan harga lebih kurang RM13. Bila kita guna SST, harga yang kononnya menjadi lebih rendah menjadikan KFC jatuh harga antara RM17-RM20. Mahal siak…akupun tak mampu nak makan hari-hari.

Dan yang buat kelakar kalau tak beli jimat RM20, itu pilihan korang. Betul la jimat. Kalau tak spend langsung untuk beli apa-apa dalam dunia inipun jimat. Akkai…!
#apabilakakbennymenulis
#baniayamoriginal

P/s: ikut perasaan aku nak aje bebel pasal faraid. Kang ada yang panas montot pulak.

11 JANUARI…

 

Bukan 11 Januari yang aku nantikan.
Dan bukannya sebab bulan Januari lagu ini dilagukan – walau Januari mencatat detik-detik penting dalam kehidupan aku. Ia bawa aku balik ke lorong kenangan…

Ia satu masa yang agak kelam. Ujian alam rumahtangga memang bertimpa 3 tahun pertama perkahwinan. Itu bukan kata aku, anekdot dari entah siapa.

Yup…menduga.
Baharu sahaja berkahwin, aku kena tinggal 6 bulan. Kerja pula, dicampak ke sana sini. Kejap SPM, kejap Galeri Nasional, kejap karang talkshow Isu la, Bicara mak nenek bagai-bagai. Setiap sudut kehidupan ada bumper yang tersendiri. Boleh kira berapa kali sangat aku dapat jumpa Hadi dalam tempoh itu. Pishang abis…emosi memang memberontak.

Tapi aku tak sendiri. Kalau boring, ada sahaja kawan yang boleh diajak karoke, layan live band atau makan malam bersama. Hidup kala itu berkisar 3 elemen ini sahaja.

Sampailah aku rapat dengan seorang manusia yang buat hidup aku terisilah sikit. Aku ingat lagi saat kami bercerita tentang muzik, dia mengusai berjam-jam perbualan padahal knowledge akupun boleh aje mencelah kalau rasa mahu. Aku biarkan dia bercakap. Aku biarkan dia selesa dengan ruang yang ada. Memang passionate habis. Oh, dia datang dari selatan usai habis kerjanya semata-mata mahu berjumpa dengan aku. Itu gile…

Dilatari 11 Januari, Dengar Bisikku (track lain aku tak ingat tp konfem ada Ketulusan Hati-Annuar Zain sebagai muzik latar) perbualan kami merayau ke galaksi seni dan drama bersiri antarabangsa. In short, kami ada kimia dan citarasa pun sama.

Aku rasa berada pada track yang betul sebab pertemuan yang aku jangkakan sekali sahaja itu mempunyai episodik yang sangat convincing. Memang 2 jiwa yang hilang berenang dalam balang ikan. Aku ada tempat mengadu.

Persahabatan yang pada mulanya indah kemudian jadi macam gula-gula hi sour. Aku cuba membetulkan keadaan tapi gagal teruk. Dia ni punca aku menangis 30 minit di bawah pancur mandi semasa aku cuba cari ketenangan di Bali. Semua salah aku, terima sahaja begitu…

P/s:lepas tu kami baik balik…lepas tu jdi arnab

#11januari
#ukenamedAB
#11of365

Sebelas Januari Bertemu
Menjalani Kisah Cinta Ini
Naluri Berkata Engkaulah Milikku
Bahagia Selalu Dimiliki
Bertahun Menjalani Bersamamu
Kunyatakan bahwa Engkaulah jiwaku
Akulah Penjagamu
Akulah Pelindungmu
Akulah Pendampingmu
Di setiap langkah-langkahmu
Pernahku Menyakiti Hatimu
Pernah kau melupakan janji ini
Semua Karena kita ini manusia
Akulah Penjagamu
Akulah Pelindungmu
Akulah Pendampingmu
Di setiap langkah-langkahmu
Kau bawa diriku
Kedalam hidupmu
Kau basuh diriku
Dengan rasa sayang
Senyummu juga sedihmu adalah Hidupku
Kau sentuh cintaku dengan lembut
Dengan sejuta warna

LUKA LAMA…

 

Kau tahu ‘secret admirer’ tu apa? Ala, kau suka satu manusia, tapi manusia tu tak tahu kau suka kat dia. Paling cemerlang untuk sembunyikan kesukaan yang jelas adalah dengan menyamar untuk meng’angkat’kan manusia itu. Kakak angkat, abang angkat atau adik angkat – ini semua bermatlamat sekadar untuk mewajarkan komunikasi antara dua manusia aja.

Well, aku tak buat macam tu.

Tapi bila kau rasa, kau suka satu manusia dan manusia itu kerap berada dalam radius yang kau lalu, makanya hati kau yang nakal itu mulalah mencabar waras yang ada. Pasti malu tetap ada. Siapalah aku…berbanding dia yang semua manusia kenal.

Setiap hari, kecuali Jumaat aku akan berdiri disatu tangga. Aku tahu, itulah laluannya setiap hari sampaikan pukul berapa dia akan turun juga aku tahu. Jika dia tidak muncul, aku andaikan mungkin dia sakit dan satu hari itu aku akan tertanya-tanya sendiri, kenapa dia tiada.

Petangnya pula, aku sentiasa memerhatikan dia bermain badminton. Bila dia perasan dan memandang aku, aku dengan pantas akan pandang tempat lain.

Hari-hari!

Lama-kelamaan, dia mula acknowledge ada perempuan giler yang setia memerhati dia dari jauh dan mula berikan aku senyuman setiap kali kami berbalas pandang. Jadi tidaklah aneh sangat untuk mulakan hubungan yang normal.

Aku tidak pasti siapa yang mulakan, kalau aku yang mula pun aku tak terkejut. Akhirnya aku dapat peluang untuk kenal dia secara berdepan. Seperti satu permulaan perhubungan yang indah, kami kerap bertemu. Kenal diri masing-masing dan aku rasa dia antara manusia yang sangat dekat dalam hati aku.

Aku tak simpan ramai manusia dalam hati. Jadi bila aku mula berikan ruang maknanya aku mahu manusia tu lama dalam hidup aku.

Dalam pada kami cuba tidak menunjukkan hubungan rapat yang ada pd masyarakat, aku mula rasa tak selesa. Macam dapat rasa sesuatu sedang berlaku. Aku mula dpt evil eyes dari entah mana-mana perempuan. Selisih langgar-langgar bahu dan bila ada selonggok tengah bersembang dan kelibat aku di situ, mulalah mereka berbisik-bisik macam aku buat something dalam kehidupan diorang yang aku tak kenal pun kau siapa. Paling akhir, aku dapat surat ugut..minta aku tidak teruskan hubungan aku dengan dia.

Satu hari, kami bertemu seperti biasa. Apa yang tidak biasa adalah nada-nada yang keluar semasa kami berjumpa. Dari seorang yang mudah tersenyum dan sering buat aku ketawa menjadi dingin dan jauh. Sangat jauh…dia minta semua ini berakhir. Well, aku ingat alasan apa yang dia beri. Tak payahlah aku tulis. Nanti aku pulak jatuh sedih. Aku simpulkan semuanya sebab aku. Aku memang jauh kalau nak dibandingkan dengan manusia-manusia keliling dia. Aku kalah…aku sedar.

Aku masih menunggu dia lalu di tangga selepas peristiwa itu. Aku tidak give-up walaupun sebenarnya dia minta untuk tidak mahu apa-apa hubungan. See…bukan benda senang untuk aku terima. Bila dia nampak kelibat aku, dia akan tarik muka. Esoknya, dia turun dengan beberapa rakan berbanding selalu turun sendirian dan dengan sengaja tidak memperdulikan kehadiran aku.

Aku ingat muka aku berubah teruk bila dia turun dan bertepuk-tampar dengan perempuan lain. Hati aku…air mata aku….Haaih sangat. Untuk mengelakkan aku berselisih dengan dia lagi, aku gunakan tangga yang lain. Aku ingat aku boleh tenang di sana, dia pulak gunakan tangga itu!

Lama-lama aku okay. Kalau selisih, aku buat tak kenal aje. Lebih mudah begitu. Mana-mana event yang aku tahu dia hadir, aku takkan datang. Kalau terselisih juga, aku akan lari dari situ. Memang aku heart broken…Makan tahun untuk aku recover balik dan aku tutup hati aku untuk mana-mana manusia.

Kemudian hati nakal aku berbunyi lagi. Seorang lelaki berjaya menangkap pandangan aku setelah bertahun aku tutup rapat pintu hati. Dan dialah penjaga hati aku sampailah hari ini.

***

‘So…yu dah dengar cerita ai, yu dah tahu apa yang jadi. Ada nak cakap apa-apa?’
Aku menunggu dengan tenang. Dia yang mahu tahu punca kenapa mata aku membengkak siang tadi.

“Entah…i rasa bersyukur i ni sekolah lelaki tak lalu semua benda ni…”. Disusuli beberapa baris ayat memujuk aku sepanjang perjalanan kami dari RTM ke BSP. Kerana itu aku sedar kenapa kita masih bertahan lama.

Haih…??

Aku tak pernah benci dia atas apa yang berlaku. Aku tak simpan apa-apa perasaan lagi sebab masa mungkin sudah menghakis rasa sedih dan kecewa yang pernah dia beri. Aku maafkan semuanya….semuanya tiada satupun yang tinggal. Kesudahannya aku tahu juga kenapa dia buat keputusan macam itu. Dan semua itu sudah sangat terlambat…

Kepada yang mahu meneka-neka dan mencari dia itu siapa, aku mohon janganlah. Kalau ada yang terasa tahu bicara ini tentang siapa, juga jangan bertanyakan dengan jelas sang pelaku. Kisah lamakan…Sebab aku yakin masa itu hubungan ini bersifat sembunyi-sembunyi, tak ramai yang tahu. Kecuali kalau kau yang bagi surat ugut tu pada aku, kau yang dengan sengaja berlaga bahu denga aku – yu ken go to hell tengkat tujuh. #tiberr

#apabilakakbennymenulis
#firstlove
#imokay
#nowyouknow

Kaset Pertama Benny

 

Umum mengetahui aku memang peminat setia M.Nasir sejak kanak-kanak lagi. Namun, tahukah awda kaset pertama yang aku beli ialah album Salih Yaacob – Romantika Di Tampoi . Kalau tak silap, harganya RM12.90 dan aku beli di pasar malam Taman Permata. Pasar malam tu pun sudah jadi kenangan dan kini Giant Taman Permata masih tersergam indah di tapak pasar malam yang aku maksudkan.

Untuk mendapatkan kaset ini, aku harus berusaha mencari duit. Ketika itu, aku belum mahir mengecat kain rentang. Oh, keluarga kami ada perniagaan sampingan iaitu membuat kain rentang, bendera dan sekali-sekala buat tempahan masakan juga. Jadi, kadar upah yang aku dapat tidaklah begitu lumayan.

Satu hari, peluang tiba. Aku ditawarkan menjadi model dengan upah RM10. Kerja tak lama, dalam 4 jam aje. Ha, jangan ingat Hadi aje pernah jadi model. Sebelum dia sunat lagi aku sudah dulu jadi model . Yang offer job inipun bukan orang lain, mama yang minta bantuan.

Sebelum hari kejadian, aku beberapa kali terfikir untuk tarik diri. Perasaan tak mahu, malu dan sedikit takut bersarang dalam hati. Mama berkali-kali pujuk supaya aku tak tarik diri. Mana dia nak cari pengganti lagi kalau last minute aku buat perangai tak mahu.

Akhirnya aku layankan aje. Aku sudah usha kaset ni lama kot. Memang aku nak beli, yang original. Cetak rompak tak mahu. Aku minta mama up payment RM3 sebab aku tak cukup duit. Tengok tu…awal kerjaya sebagai model dah pandai demand.

Hari yang dinanti tiba juga. Pagi Sabtu itu, aku dan mama berjalan ke Tadika Al-Ansar di Taman Permata. Orang belum ramai. Mama datang awal sebab dia urus setia. Menjelang pukul 9:00 pagi, hampir 15-20 orang juga peserta-peserta yang hadir. Sebagai model, kedudukan aku ditengah-tengah. Malu ai…jadi bahan tumpuan.

Aku berbaring. Kemudian dibalut dengan kain putih. Makcik ni pegang kain, makcik tu pegang kain. Aku diam aje…Membatu. Lepas itu, bahagian kaki tu terasa macam diikat. Mereka kemudiannya bertanya macam-macam soalan kepada ustazah dan diakhiri dengan bacaan doa. Selesailah pekerjaan pertama aku hari itu sebagai model jenazah untuk kursus pengurusan jenazah…

“Terima kasih, Benny”. Mama menghulur sampul berisi duit RM13. Malam itu juga aku ke pasar malam dan beli kaset ini. Perasaannya? Happy giler. Kaset ini aku dengar sepanjang masa sama ada dirumah dan aku bawa bersama semasa kami sekeluarga bercuti di Alang Sendayu. Itu antara memori kami sekeluarga yang manis kerana dipinggir hutan nan sunyi, lagu-lagu Salih Yaacob menghiburkan mengisi kesunyian hutan. Sampai low bateri radio aku lanyak, kaset ini punya pasal.

Kaset ini berkhidmat lama. Sampailah ajalnya tiba terputus urat murih bahana radio murah beli dekat Mydin punya angkara.

Sekian.
#apabilakakbennymenulis
#memori

Sang Naga…

 

11 tahun lalu, aku ke Bali untuk menenangkan perasaan sambil bercuti. Sangat perfect timing. Aku melalui satu episod kekecewaan dalam perhubungan yang membuatkan aku rasa hidup aku sangat kelam. Seperti biasa, aku salahkan diri aku sebab aku terlalu percaya perasaan terapung yang aku rasa magisnya mampu bertahan selamanya.

Aku salah…dan sampai hari ini aku tidak belajar dari kesilapan lampau. Bezanya luka terbaharu ini tidak sedalam mana. Hanya subdural hematoma dan boleh sembuh cepat berbanding torehan yang dibuat oleh orang lain.

Ok abaikan…intro sahaja sudah cukup untuk gambarkan betapa naifnya hidup aku zaman Renaissance dulu.

Hari ini dalam ruangan memori, gambar-gambar percutian itu timbul. Aku perhati satu demi satu dan automatik perasaan aku kala semua foto diketik mengetuk ingatan tanpa aku pinta. Sedekad lebih semuanya terjadi dan aku masih belum moved on sepenuhnya…haih sangat.

Mujur tiada gambar aku memegang botol kicap di Pantai Sanur pada waktu senja dan disalak anjing berjaya dirakamkan. Itu antara moment melalui stages of grief paling rendah yang aku rasa. Kalau tak silap, ada satu malam aku berendam dalam kolam mandi dan perasaan tidak mahu timbul balik itu ada. Gilalah penangan satu perhubungan yang sepatutnya indah tetapi menyayat perasaan aku yang terdalam sekali.

Aku cuba merendah diri-memujuk dan memperbaiki keadaan dan menanam ego aku dalam-dalam. Seriously, ini bukan istilah cinta, tapi kimia yang tak terhurai. Yang lalu aje faham. Padahal aku juga berjanji untuk menoktahkan semua keserabutan ini. Biasalah hati…mengarah membuat sesuatu yang lari dari prinsip diri.

Aku pengumpul replika kura-kura, dia penggemar naga. Aku yakin naga ini mampu melembutkan hati dia. Jiwa kami sama. Aku tahu point untuk mengusik jiwa dia. Tanpa prejudis aku beli naga ini. Penyesalan hanya timbul masa packing bag untuk balik ke Malaysia – jadah mananya aku nak usung naga ni balik tanpa mencederakan integriti pembuatannya? Apapun, naga hanya mengalami patah sehelai janggut (yang boleh dibaiki) dalam kembara ke Jalan Gasing. Dia aku tempatkan dalam almari baju dalam keadaan masih dalam kotak.

Aku yakin amat aku mampu jernihkan semula suasana. Aku mahu mengulang berertinya hidup apabila dia dalam ruang lingkup aku. Semua sharing sessions dan sesi lepak yang kami lalui – aku mahu semua itu lagi!

Aku hanya tersedar dan cium bau kopi beberapa bulan selepas itu. Berapa lama aku sahaja perlu put an effort atas segala benda? Aku perlu adil pada diri sendiri dan memberi peluang pada manusia lain yang betul-betul menghargai kehadiran aku dalam hidup mereka.

Satu hari, aku mengemas almari baju. Kotak berisi naga aku buka. Aku tatap dengan hanya satu perasaan – kau bukan milik aku. Hmmm …aku tong sampahkan! Aku menyerah dan aku mengalah.

Hubungan kami pulih kembali, tetapi langsung tidak indah seperti dulu. Kasual dan formal. Jauh dilubuk hati aku tahu dia masih ingat pada aku seperti mana aku mengingatinya.

I wish you nothing but best…semoga kau dipelihara yang kuasa, diberikan kesembuhan atas kesakitan dan diberikan kegembiraan dalam kehidupan.

Dan catatan ini muncul pada bulan April. Lagu Brett Dennen on my Mp3 dan kebetulan-kebetulan yang tak boleh aku tulis. Come on, Benny. Kebetulan-kebetulan ini semua setan.

KISAH SPAGHETTI…

Hari ini aku nak cerita pasal spaghetti. Aku sudah lama sangat tak menulis jadi dalam kehujanan di Bandar Saujana Putra dalam keadaan anak menjerit-jerit sesama sendiri dan suami istirahat tanpa mahu aku ganggu, hah – mendapatlah korang yang sudi baca.

Pertama kali aku makan spaghetti adalah pada tahun 1995/1996 dirumah terbuka kawan mama. Masa itu rumah terbuka hari raya dirumahnya dan aku mendapat upah menjadi tukang bersih meja makan. Kadar upah kalau tak silap RM20-RM50 dan untuk zaman RM50 penuh troli gebangnya, itu lumayan.

Antara menu yang dihidangkan ialah spaghetti. Istimewanya spaghetti ini dimasak oleh ibu kepada kawan mak aku tu. Dia punya sedap….sampaikan setiap kali raya aku tunggu aje makcik ni buat open house semata-mata nak makan spaghetti ini dan of course peluang jadi pelayan sehari.

Sepanjang hayat aku membesar, mama memang tak pernah masak spaghetti. Ini bukan menu kami. Zaman dahulu juga, pengetahuan aku pasal makanan ini sangat minimal. Sudah besar baharulah aku tahu ada pelbagai jenis pasta-pasti ilmi rupanya dalam dunia ni.

Dulu juga, kalau terasa nak mencari resepi kenalah cari dalam majalah. Ini bukan masalah besar sebab setiap kali aku nampak orang buang majalah yang masih elok, aku akan bawa balik dan gunting resepi mana yang aku rasa mudah untuk aku buat. Tengok tu….betapa logiknya pemikiran aku dalam mengumpul resepi.

Itu sebab bila aku jumpa resepi cara untuk masak kuah spaghetti tetapi bahan-bahannya aku tak pernah dengar pun, aku pendamkan sahaja hasrat suci dan tulus untuk mencuba masak makanan ini. Jadahnya daun bay, oregano dan mak nenek lain yang mak aku tak pernah tanam pun luar rumah. Nak cari kat TC Permata pun aku tak tahu rupa parasnya macam mana. Kot la taruk daun karipuley ke, daun inai hatta daun setawar boleh jugak aku usahakan.

Ada satu zaman ketika ikatan persahabatan masih kuat dan bermakna, aku dan beberapa rakan bercuti di Genting Highlands. Aku pernah bercerita pasal kisah spaghetti ini kepada kawan aku yang seorang ini. Memang dia seorang yang sangat memahami aku, sangat baik dan segala sempurna – itu dia. ?

Dia ajar aku dari A-Z. Macam mana mahu menjadikan kuah itu rasanya kena dengan tekak melayu, apa jenis sayur-sayur yang boleh aku lambakkan dalam kuah dan ilmu-ilmu lain yang masih aku ingat sampai sekarang. Pengalaman pertama kali makan masakan dia di situ adalah antara memori yang tak mungkin aku lupa. Sumpah sedap! Sampai sekarang setiap kali aku masak kuah spaghetti aku pasti akan teringatkan dia dan menyesali takdir. Kami putus kawan atas sebab yang aku tak tahu sampai sekarang.

Mungkin salah aku 🙁

P/s: Aku jumpa dia 2 kali selepas peristiwa itu. Tapi semua tak sama. Mungkin salah aku ??

CIKGU LEGENDA: CIKGU AINON…

Hari ini pada dahan memori, adanya gambar aku semasa dalam kelas 4 Raya. Sengaja aku tidak kongsi gambar tersebut di akaun FB peribadi semata-mata kerana catatan kenangan yang akan kalian baca ini. Jadi di sini sahajalah gambar itu aku tampal.

Dalam pada kesedihan yang tidak menyusut kerana kepergian Cikgu Misel, ada satu sudut aku bersyukur dan gembira kerana catatan aku yang lalu telah menemukan aku dengan seorang cikgu yang bukan sahaja banyak meninggalkan kesan nyata dalam hidup, kesan-kesan cubitan yang halimunan juga masih tersisa – yang banyak mencorak kehidupan aku zaman sekolah rendah dahulu. Siapa tak kenal Cikgu Ainon…

Siapa yang tidak pernah merasa jemari mulusnya memulas telinga, lengan atau sudut-sudut badan lain, maknanya korang lurus pembaris, baik budi dan genius. Hanya insan-insan terpilih sahaja (percayalah, senarainya sangat ramai!) yang pernah merasa pelajaran duniawi ini.

Cikgu Ainon sangat terkenal dengan kegarangannya. Siapa nampak garang, itu ajelah yang jelas. Tapi kalau bernasib baik macam aku, boleh nampak betapa Cikgu Ainon ini sebenarnya sangat baik, selayaknya perilaku seorang pengajar. Cuma cara sahaja yang berbeza. Cikgu Ainon adalah guru kelas aku semasa dalam darjah 3 Kenanga di SK Lembah Keramat.

Sangat banyak cerita dan kenangan dengan cikgu seorang ini. Satu yang epik, aku dipaksa masuk gimrama sekolah. Sumpah, nangis-nangis tak mahu. Badan keras kayu keruing diminta melakukan rutin meliuk lentok mengelepai-ngelepai! Ish…sangatlah bukan aku. Sungguhpun begitu, aku dan kakak aku adalah antara ahli pasukan sorak sekolah. Itu takpe, sebab seronok main pom-pom ?

Cikgu selalu cakap, aku ni banyak sangat main. Ha, betullah tu. Dari nombor 2 dalam kelas, berkongi tempat dengan Radeyah Emran terus jatuh nombor 7 pada peperiksaan akhir.

Semalam aku ada cerita pasal pindah kelas masa darjah 4. Asalnya, aku berada dalam kelas 4 Kenanga. Rasanya pembahagian kelas dibuat mengikut petempatan murid-murid sebab majoriti yang ada dalam kelas itu semuanya duduk di Taman Permata, termasuklah adik Fauziah Latiff yang duduk sebelah aku masa dalam kelas. Ya, kelas itu agak cramp sebab ramai umat di dalamnya. Tiba-tiba kami dikhabarkan beberapa pelajar akan berpindah kelas dan guess what, beberapa pelajar itu, akulah antaranya. Yang menariknya, semua yang pindah tu, kawan-kawan sekelas aku masa darjah 3 dan semuanya masuk kelas 4 Raya yang cikgunya ialah…..Cikgu Ainon.

Aku tak ingat yang lain, tapi aku antara yang tak berapa nak redho dengan pertukaran ini. Asal masuk kelas aku jadi diam. Menangis aje (apa jenis kememeh masa sekolah ni aku pun tak tahu…). Cikgu Ainon entah berapa kali jumpa dan tanya masalah aku apa. Entahlah…aku tak berapa seronok sebab masa itu, tidak semua manusia dalam kelas itu aku kenal. Sejak darjah 1, aku tak pernah pindah kelas. Itulah kot puncanya bila aku kenang-kenangkan sekarang ni. Oh, selain Cikgu Ainon tu garang…!

Oh, serabut isu ni. Abah sampai datang sekolah sebab rasa sedih aku tu melarat sampai ke rumah. Aku siap mengadu pada abah, aku tak mahu duduk kelas tu. Cikgu Ainon tu garang, dia tak suka aku. Aku asyik kena piat aje. Yang tak berapa nak hadamnya, masa abah berbincang dengan Cikgu Ainon, cikgu siap pujuk kalau aku duduk kelas ni, dia akan lantik aku jadi penolong ketua darjah. Itu ok lagi…wait for it.

Eh, tiba-tiba keputusan muzakarah itu, abah hantar aku kelas tambahan dengan Cikgu Ainon, 3 kali seminggu – dekat rumah dia – dan aku tak boleh tolak!

Weh, apakah apakah??? Ini macam menganiaya fobia yang sedia ada.

Lama kelamaan aku okay. Dan kerana kelas tambahan itulah, aku dapat seimbangkan antara sukan dan pelajaran. Tertinggal kelas masa siang, malamnya aku catch up balik. Cikgu Ainon ni, boleh dikatakan semua subjek dia ajar. Dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris, Matematik dan juga Alam dan Manusia. Ada sekali tu, Agama pun dia ajar juga. Tapi itu masa dalam kelas tambahanlah.

Itulah antara kenangan aku dengan insan mulia yang bernama Cikgu Ainon. Dalam riwayat hidup aku, tinggi tempatnya cikgu yang seorang ini. Aku harap di masa akan datang aku akan sentiasa berhubungan dengan Cikgu Ainon seperti mana aku menjalin hubungan dengan cikgu-cikgu yang lain. Kalau ada perbuatan saya yang membuat cikgu terasa, mohon Maafkanlah DJ Dave ya.

Korang, watch out. Siapa yang biadap-biadap dalam timeline, aku minta cikgu cubit korang! ?

CIKGU MISEL DALAM KENANGAN…

Semuanya bermula pada tahun 1989. Aku berusia 8 tahun, bersekolah di SK Lembah Keramat dan berada dalam kelas 2 Kenanga. Petang itu, seorang guru baharu akan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris kepada hampir 50 orang murid-murid.

Saat dia masuk kelas, kami semua yang semula jadi riuh dan bingit langsung diam dan terpana. Figura seorang lelaki tinggi dan tegap berdiri sambil mengepit beberapa buku. Dia memperkenalkan dirinya dan membenarkan kami bertanya soalan sebelum dia memulakan kelas yang pertama. Kelas ini adalah kelas terakhir sebelum waktu rehat.

Hari itu juga, aku ke sekolah tanpa membawa duit belanja. Semua murid-murid berbondong-bondong ke kantin sementara aku duduk di batu antara laluan dari kelas untuk ke kantin. Perut memang lapar menggila. Maklumlah…budak. Makan sejam sekalipun tak pernahnya kenyang. Aku menguis-nguis tanah dalam kebosanan dan tiba-tiba seseorang berdiri dan menegur aku.
“Kamu tak pergi makankah?”

Oh, Cikgu Misel rupanya. Aku pandang dia dan menggeleng. Tangan masih leka menguis tanah.
“Kenapa?”
‘Saya tak ada duit…’aku balas perlahan. Aku malu nak pandang muka cikgu.

Cikgu seluk poket. Dia rendahkan badannya dan memandang aku sambil menghulurkan sedikit duit.
“Ambil duit ni, pergi beli makanan.”
Aku menggeleng. Tak mahu. Dia capai tangan aku dan nota berpindah tangan.

Serentak aku terus menangis. Aku malu. Hari pertama berkenalan dengan Cikgu Misel adalah hari pertama dia berikan aku duit untuk makan pada waktu rehat.

Sejak itu, Cikgu Misel menjadi cikgu yang sangat aku sayang. Aku sentiasa aktif dalam kelas. Cikgu juga suka panggil nama aku untuk jawab soalan. Sampailah suatu hari, aku diserang demam panas. Hampir 3 hari aku tidak hadir ke sekolah. Dalam tempoh 3 hari itu juga, rupa-rupanya cikgu dalam proses membuat pilihan wakil kelas untuk pertandingan rhyme citation. Aku sendiri tak pasti kaedah pemilihan yang dia buat itu macam mana sebab aku difahamkan cikgu sudah memilih Irwan Azmi sebagai wakil kelas 2 Kenanga.

Hari pertama aku hadir ke sekolah selepas cuti sakit, Cikgu Misel datang ke meja tempat aku duduk ketika aku sedang sibuk menyiapkan kerja sekolah yang dia beri. Dia bertanya sama ada aku berminat untuk masuk pertandingan rhyme citation itu. Aku jawab, aku tak mahu. Aku tak tahu baca sajak dalam bahasa Inggeris. Kalau dalam bahasa Melayu, aku tahulah.

Cikgu nampak tak puas hati. Dia pujuk aku dan minta aku cuba juga. Untuk tidak menghampakan dia, aku baca juga. Terus dia pilih aku untuk bergandingan dengan Irwan untuk pertandingan itu nanti. Tajuk sajak itu, kalau tak silap “Once I Saw A Little Bird”. Agak panjang! Tapi mungkin kerana kerap berlatih, hafallah juga. Dalam pertandingan itu, kami dpt nombor 3. Pertama, tentunya genius SKLK iaitu Nurul Zaynah dan kedua pasangan Anna Roslan dan Emma Shazwin. Cikgu Misel tahniahkan kami dalam kelas. Aku rasa bangga dan gembira…

Darjah 4 adalah tahun persekolahan yang serabut bagi aku. Aku yang pada awalnya ditempatkan di 4 Kenanga diminta bertukar ke kelas 4 Raya, yang cikgu kelasnya ialah Cikgu Ainon. Fuuh, kecoh…melibatkan keluarga jugalah sebab aku sudah selesa dengan Cikgu Baharin, tiba-tiba kena pindah ke kelas yang cikgunya terkenal dengan kegarangan dan cubit ketam yang tak berapa nak manja. Cikgu Misel panggil untuk jumpa dengan aku di satu hari dan berikan aku nasihat. Akupun mengadu pada dia apa yang aku rasa. Walaupun dia tidak mengajar aku, tapi hubungan kami tetap baik.

Semua warga SKLK tahu aku atlet sekolah. Semua jenis sukan aku sauk selagi ada. Wakil rumah sukan, wakil zon, daerah dan negeri semua muka akulah juga. Cikgu Misel adalah guru pengiring untuk hampir semua acara sukan yang aku masuk. Dia juga coach untuk team bola dan bola tampar lelaki. Aku pula pemain bola tampar sekolah sejak darjah 4. Hubungan kami memang sangat baik.

Sampailah masa darjah 5 kerana satu isu, aku merajuk dan berhenti main bola tampar. Langsung aku tidak merayu utk masuk tim bola tampar yang akan mewakili Gombak ke peringkat Negeri. Tahun itu Ismazura dipilih mewakili Selangor. Sekali lagi aku panggil mengadap. Dekat satu jam dia luahkan rasa tak puas hati dgn keputusan aku. Yup, serius dia sangat marah sangat sebab aku keras kepala. Tapi peliknya, dengan dia aku tidaklah macam itu. Aku diam aje…Dia cakap, kalau aku pergi juga main masa tu, mesti aku dapat wakil Selangor.

Tapi memang aku nekad sangat2. Aku bergaduh besar dengan Cikgu XXX masa itu.
“Kalau kamu berhenti main bola tampar, kamu nak main sukan apa lagi?”
Laju aku jawab.
‘Banyak lagi sukan lain. Kalau takde sangat saya main Ping-pong pun takpe, cikgu’.
Dalam pada marah itu, dia tergelak juga bila aku balas macam itu.
Punya panjang Cikgu Misel tarbiahkan, dan paling aku ingat dia cakap – jangan pentingkan diri sendiri. Mungkin sebab aku perempuan, dia tidaklah keras sangat. Umum maklum Cikgu Misel sejenis garang dan tegas yang macam mana kalau tidak kena dengan prinsip dia.

Jadinya masa aku darjah 6, hampir semua sukan aku masuk dan dipilih mewakili sekolah. Dari olahraga ke bola jaring, bola baling dan hoki (asal masuk). Tapi paling jauh aku pergi hanya peringkat daerah. Forte aku bola tampar! Sampailah kejohanan bola tampar mula menjelma. Beberapa cikgu secara peribadi mula memujuk untuk aku masuk tim bola tampar semula. Aku enggan. Itu belum masuk kunjungan beberapa rakan yang juga meminta aku pertimbangkan keputusan aku semula. Akhir sekali, Cikgu Misel pujuk aku. Demi sekolah katanya…Aku enggan pada mulanya. Sebab bulan itu boleh dikatakan tiap-tiap minggu aku asyik bersukan aje. Tahun ini UPSR. Bilanya aku nak belajar?

Akhirnya aku setuju. Ingat lagi perlawanan peringkat zon menentang SK Taman Permata. Dengan aku tak pernah training tahun itu, aku diletakkan dalam first 6, dan orang pertama yang akan buat servis. Set pertama, 15-0! Aku seorang yang buat servis mula. Set kedua, Cikgu Jamaluddin letakkan pasukan simpanan sahaja melawan SK Permata.

Satu demi satu perlawanan kami lalu. Menang belaka. SK Lembah Keramat memang jaguh bola tampar. Era itu, tiada siapa boleh kalahkan kami. Dari zon, ke daerah dan kemudian peringkat negeri. Pelawanan akhir Gombak menentang Sabak Bernam memang tak mungkin kami satu tim lupakan. Sabak Bernam pasukan yang kuat. 95% cina. Semasa pelawanan itu, tak ubah seperti pesta. Segala-mala petani pesawah semua turun memberikan sokongan kepada pasukan Sabak Bernam. Kami yang kononnya hebat sangat terus jadi patung. Beberapa servis dari pihak lawan hanya kami pandang sahaja.

Cikgu Misel sebenarnya coach untuk tim lelaki. Agaknya dia panas hati sangat melihat kami yang sudah hilang semangat terus minta time out.
“Apa benda yang korang buat ni? Main macam biasa. Kamu semua lebih bagus dari mereka. Cuma kita main di padang mereka aje.”
Sebenarnya, kami semua takut juga, sebab provokasi dari penyokong Sabak Bernam boleh tahan menakutkan!

“Main macam biasa. Kira bola tu, abaikan yang diluar…”

Kami main jugalah. Kalah, tetapi tidaklah mengalah. Gombak dapat nombor dua tetapi tidak pulang kosong kerana aku, Ismazura dan Faridah dipilih untuk mewakili Selangor. Cikgu Misel antara yang paling gembira dengan pemilihan itu. “Kalau kamu tidak keras kepala, tentu 2 tahun berturut-turut kamu mewakili Selangor” kata beliau kepada aku ketika pasukan kami diraikan di kantin sekolah.

1993…tamatlah persekolahan aku di SK Lembah Keramat. Sebelum meninggalkan sekolah, Cikgu Misel antara cikgu yang aku jumpa untuk mengucap salam pisah. Banyak salah dan silap aku pada insan istimewa ini. Semuanya aku minta maaf dan mohon halalkan.

Setiap kali ada reunion, kami akan berjumpa dan cerita-cerita lama akan melatari perbualan kami. Pernah sekali aku telefon cikgu selepas bertahun-tahun tidak mendengar khabar. Aku perkenalkan diri, “Saya Siti Norbaini, agak-agak Cikgu ingat lagi tak?”
Nama kamu saya tak pernah lupa…?

Facebook banyak menghubungkan kami. 4 tahun lepas, aku sekeluarga bersama beberapa rakan sekolah seperti Mar Izwan, Ayen dan Da’a melawat Cikgu di rumahnya. Dia cakap aku sudah lain. Dulu nampak kasar dan boyish. Sekarang nampaklah perempuan sikit. Ketika itu aku baharu beberapa tahun berhijrah dan kebetulan sedang mengandungkan Ezzudin. Kami bersembang lama.

Sebelum balik, aku sempat tanya cikgu, kalau dia mahu jumpa siapa-siapa aku boleh tolong carikan. Dia cakap, dia nak jumpa senior aku, abang Wan Fandi Rendra. Aku terus berhubung dengan beberapa senior sekolah dan turut membuat carian di FB. Aku nampak ada gambar cikgu dengan abang Wan, jadi berjaya juga mereka bertemu.

Selepas itu, aku dan Cikgu Misel hanya berhubung melalui WhatsApp. Setiap hari lahir dan setiap hari guru dia tidak pernah aku lupakan. Ketika aku mendapat berita cikgu koma dan berada di Unit Rawatan Rapi, aku berbincang dengan Hadi untuk melawat. Maklum sahaja, dengan Eskandar yang lasak dan Ezzudin yang super aktif, susah untuk kami melawat. Berkesudahan, hanya aku yang melawat cikgu minggu lalu. Itupun aku minta pengawal keselamatan bertanyakan kepada ahli keluarga cikgu yang berada di dalam kalau boleh aku masuk sekejap untuk menziarah.

Aku dibenarkan masuk. Hanya isteri cikgu yang ada di situ. Ya, Allah…aku menangis tak berhenti. ? tuhan sahaja tahu perasaan aku masa itu. Aku tidak berlama-lama di sana. Saat aku diminta untuk memaafkan semua salah dan silap cikgu, aku jadi lebih sedih. Cikgu tiada apa-apa salahpun dengan aku. Aku yang banyak berhutang budi dengan dia.

18.11.2018…Aku mendapat perkhabaran yang sangat sedih. Cikgu Misel sudah tiada. Aku tidak sempat memberikan penghormatan terakhir kepadanya kerana aku sekeluarga berada di Melaka. Sepanjang malam aku menangis tak henti-henti. Cikgu pergi pada tarikh ulangtahun perkahwinan aku. Pastinya tarikh ini akan aku kenang sampai bila-bila.

Cikgu, berehatlah. Saya pasti akan rindukan cikgu selamanya. Semua kenangan yang pernah tercipta tetap akan terpahat dalam memori dan menjadi kenangan abadi. Saya sangat beruntung kerana mendapat perhatian dan kasih sayang cikgu selama di SKLK.

Kepada ahli keluarga cikgu, salam takziah saya utuskan. Walaupun cikgu sudah tiada, saya akan tetap menjalinkan silaturrahim yang sama.

Al-fatehah ???

Sekali-Sekala Terkenang Jua

Minggu lepas dia jadi pengurus pasukan bola PTD. Aku duduk rumah menguruskan anak-anak. Petangnya dia balik, membawakan kami makanan. Masa aku makan, dia duduk sebelah dan bersembang tentang hari yang dia lalui.

Mula-mula cerita tim bola kalah. Kemudian cerita dia pengurus pasukan yang sibuk makan ayam goreng (dia tak minat bola-semua sukan dia tak gemar) dan kemudian pasal geng-geng skim M.

Handphone dikeluarkan dan dia buka Galeri. Gambar-gambar perlawanan bola kebanyakannya sampailah gambar dia dengan anak perempuan seorang rakan. Anak kami kalau masih ada, umur mereka sebaya.

Dia cerita dia seronok hari ini. Melayan anak kecil itu bersembang dan bermain bola. Aku perhati sahaja. Nampak dia gembira dengan hari yang dia lalu.

Beberapa hari lepas semasa melepak di kantin, aku disapa seorang rakan yang mahu sarapan bersama isteri dan anak perempuannya. Dia sangat cantik…senyum sentiasa dan pemalu. Aku masih rasa okey. Sampailah petang itu aku bersembang dengan kawan tadi dan bertanya pasal keluarganya. Tapi tak lama. Aku rasa lain.

Aku lepak tangga dan aku text Hadi.

Redha tak redha ini sudah banyak kali aku cakap. Entah, macam gagal lagi. Mungkin kita akan sentiasa mahukan apa yang kita tak dapat. Aku pula mahu mensyukuri apa yang aku ada. Balik rumah, aku melayan Eskandar dan Ezzudin dan beri ruang untuk Hadi berehat.

Aku bersyukur dgn apa yang ada. Tapi itulah, sekali-sekala akan terasa juga pedihnya sepi lalu luka ini akan berdarah lagi. Dan sekali sekala akan terfikir juga segala-galanya.

Untuk Dikenang – Adik Wani :)

The great thing about new friends is that they bring new energy to your soul.

Aku mengambil masa setahun untuk menzahirkan rasa syukur dan beruntung yang teramat kerana mengenali adik manis yang sentiasa tersenyum ini. Kenali dia dengan nama Aifa sahaja. Setahun lalu kami bersama-sama menjejak bumi Nihon dan dari situ aku mula rasa sesuatu yang sangat istimewa tentang dia.

Hari pertama kami bertemu adalah semasa sesi taklimat kursus yang dibuat di JICA, Jalan Ampang. Andaian aku masa itu ialah aku mungkin boleh berkawan dengan dia, tetapi agak sukar untuk rapat. Sisi pembawakan kami sangat berbeza. Aifa seorang yang soft spoken, baik hati, berani dan sangat huznuzon. Ohai, dia syantik.  Dia juga syariah compliance manakala aku liberal.

Semasa sesi memperkenalkan diri, dia memberitahu dia pernah pergi Jepun bersama keluarga dan familiar dengan dunia di sana sementelah dia ini rupanya minat K-Pop dan J-pop juga. Ok, jauh dengan aku sebab aku suka country music. Jadi bila dia cerita pengalaman dia pernah ke sana dan Korea, ternganga-nganga aje aku mendengarnya. Tapi aku dapat rasa macam boleh ngam sebab dia macam suka travel ke tempat-tempat yang ada sejarah macam aku juga.

Hari pertama itu juga aku sudah nampak dia ini sangat istimewa. Dia mendahulukan tempahan Grab Car kepada kawan-kawan lain semasa kami kalut macam mana mahu bergerak ke Kedutaan Jepun dari Jalan Ampang. Aku selalu percaya kalau seseorang mendahulukan dan mengutamakan orang lain dari diri sendiri, itu adalah perbuatan yang sangat mulia. Apatah lagi untuk orang yang kita tak pernah kenal. Mahal nilainya di situ.

Di Jepun, tidaklah semuanya bermula dengan pantas. Hari kedua kami di sana, dia duduk disebelah aku. Mereka menggunakan sistem nombor untuk menentukan kedudukan kami di dalam kelas. Dia nombor dua, aku nombor tiga. Satu aku perasan, dia sentiasa ada bekalan. Gula-gula ke, air ke…pokok pangkal dia pemakan macam aku. Ok, aku suka itu sebab senang nak paw.

Ketika kebanyakan antara kami excited mahu berjalan-jalan melihat kehidupan malam di Osaka selepas kelas Prof Emeritus Odano, dia dengan selambadaknya langsung tidak mahu ikut kami. Dia mahu balik dan berehat. Ada satu hari minggu yang kami membuat rencana untuk berjalan-jalan di Kyoto, dia memilih untuk meneroka bumi Kobe – seorang diri. Giler kental awek ini. Dari situ, jujurnya aku semakin mahu mengenali adik Aifa.

Dia jugalah manusia yang memperkenalkan aku dengan satu makanan di Jepun yang membuatkan saka makan aku menggila di sana iaitu Garlic Naan, Chai dan Mutton Massala Curry di Naan Inn, Kobe. Entah berapa kali kami mengulang makan di sana walaupun bukanlah murah juga harganya. Tapi sumpah sedap. Yes! Aku jumpa geng makan. Itu sangat indah sebab bukan mudah untuk dapat kawan yang sanggup melayan citarasa dan selera kita sepanjang masa. Oh, dia juga pemesan Kitsune Udon yang setia….sesetia aku memesan Bukakke Udon setiap kali kami melepak di San Plaza.

Ohai, dia penggemar kopi macam aku juga! Setiap kali dia keluar masuk combini, pasti ada kohii yang dibawa keluar dan hidup aku meriah dengan ajaran-ajaran cara membeli kohii yang agak renyah juga sebenarnya. Dialah yang memudahkan aku menyesuaikan diri semasa sebulan di sana.

Kembali kepada sisi perhubungan aku dan Aifa di dalam kelas. Kebetulan, kami berada dalam satu kumpulan kajian kes yang sama termasuk Kak Radin dan AJ. Jadi komunikasi lebih kerap terjadi. Semasa kunjungan ke Okanmuri Elementary School, Yusli dan Aifa kebetulan satu kumpulan yang sama dengan aku juga.

Lama-kelamaan aku rasa sangat selesa dengan Aifa. Kelakar juga dia ini sebenarnya. Satu aku akan ingat, imej dia dengan topi Sia hahahaha!

topi Sia hahaha…

Semasa kami berada di Tokyo, badan aku memang tengah tak fit. Penat sebenarnya berkursus mengejar masa ini. Saat kawan-kawan lain setiap malam penuh dengan aktiviti berjalan, aku dan Aifa hanya di bilik sahaja. Dialah yang aku harapkan untuk menampal plaster masa badan aku sudah rasa macam ranap minta ampun. Aifa juga yang memperkenalkan aku dengan bath salt yang katanya kalau sakit-sakit badan, berendamlah sekejap selepas campakkan garam tadi dalam bath tub. Aku selalu cerita kehebatan bath tub di Hotel Monterey Kobe and i’m not gonna lie – macam berada dalam sanctuary perasaannya. Sejak itu, aku pula sibuk dapatkan stok aku sendiri sebab hari-hari berjalan kaki dari satu eki ke eki yang lain buat aku rasa penat.

Best benda ni…hilang semua sakit badan

Hari yang betul-betul aku mengenali Aifa secara peribadi ialah pada hari ke-20 – Abby Exploring Kobe Part 2. Part 1 aku lakukan dengan Aiesa. Kami berjalan kaki berkilometer dan bersembang untuk lebih mengenali diri masing-masing. Dia belanja aku kohii Starbucks atas sebab yang aku sudah tidak ingat kenapa, makan Luke Lobster dengan penuh kesyukuran dan aku menemani dia membeli cek mek molek Jepun di kedai acik hensem yang rupanya sebijik “Tunku Zain”. Bila aku beritahu misi aku gagal mencari Memorial Gempa Bumi di Pelabuhan Kobe, dialah yang tunjukkan lokasi. Dia banyak buat aku happy masa di Jepun…

Mujur saka Uniqlo yang menyerang semua rakan-rakan hanya tempiasnya sedikit sahaja kena pada aku. Disebabkan ada satu hari aku temankan Aifa shopping, aku pulak terjebak. Saka beli jam G-Shock memang aku terpelihara jua. Satu-satunya jam yang aku beli ialah jam oren yang kalau dinilai harganya tak sampai RM12 di DonQ. Sayangnya jam ini hilang… Dia ni, kalau aku tak hep..hep mahu sebakul kasut pula dia nak beli.

Dengan Aifa aku terbuka untuk bercerita. Kalau dia bertanya apa-apa juga soalan, aku tidak pernah berahsia dan berselindung. Kesedihan aku yang terbesar semasa di Jepun ialah berpisah dengan pak angkat, Nakatani san dan dia tempat aku bercerita dan melepas rasa. Itu berlarutan sampai kami kembali ke tanah air. Ya, Allah…aku melalui detik sukar untuk move on. Jepun tu bukannya harga tiket seringgit dua yang aku boleh pergi setiap kali aku rindu manusia di sana. Jadi sejak balik dari Jepun, aku lebih kerap berjumpa dia untuk sesi trobek berkala walaupun Kak Dilla Nawawi kerja dalam RTM ini jugak. Kami akan pergi mengopi dan melepak dan mengenang kembali ristaan sejarah silam – gittew.

Terima kasih untuk semua itu, Aifa. Kalau ada yang akak harapkan masa depan ialah merealisasikan impian akak untuk ke Hiroshima bersama awak. Tapi akak faham awak pernah ke sana, so mungkin nak cuba meneroka tempat lain pula. Semoga tuhan memberkati hubungan persahabatan kita dan harapnya ia berkekalan.

You are a beautiful person, inside and out… Arigato gozaimasu!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...