Yeay! Dapat Kunci…

house

“A house is made of walls and beams
A home is made of love and dreams”

Akhirnya setelah 3 tahun menunggu siap juga rumah idaman ini. Aku ingat lagi. Aku beli rumah ini semasa aku mengandungkan arwah Cahaya Balqis. Ketika itu, aku mulai membuat beberapa keputusan terbesar dalam hidup. Membeli rumah yang jauh dari keluarga, pejabat dan rakan-rakan ini adalah satu daripadanya.

3 minggu lalu, urusan pemberian kunci selesai. Alhamdulillah tiada kecelaan pada rumah itu. Semuanya ok dan baik-baik sahaja. Kalau ada yang pelik pun hanya sinki dan paip di bilik mandi tidak dipasang lagi. Juga di luar rumah tidak disediakan paip. Itu sedikit ridiculous pada aku.

Disebabkan ini rumah baharu, tentunya ia memakan kos yang agak besar untuk menyediakan rumah ini untuk diduduki. Aku mengharapkan paling tidak sebelum puasa sudah selesai semuanya. Tidaklah beriya-iya sangat. Yang paling penting mesti pasang grill dan ada letrik dan air. Cerita pasang grill aje boleh menitik-nitik airmata dibuatnya. Nak tak nak, aku terpaksa dahulukan yang penting dahulu kerana kekangan kewangan. Agak ralat sikit sebab peruntukan itu ada, tapi sebab janji manusia semuanya tertangguh.

Aku kemudiannya diminta menguruskan permohonan letrik dan air sendiri kerana pemaju tidak melakukannya. Ketika mengambil kunci, mereka sertakan sekali beberapa dokumen penting untuk dibawa semasa memohon letrik dan air. “Semuanya complete kak…bawa aje dan bayar pada mereka” kata adik yang menyelaraskan pemberian kunci itu. Disebabkan proses permohonan perlu dibuat pada hari berkerja, maka aku terpaksa mengambil cuti untuk menguruskan hal itu.

Ingatkan boleh selesailah satu hari. Tak maunya…permohonan air berjalan lancar. Tapi bila nak uruskan letrik tak boleh. Pemaju rupanya tidak memberikan apa ke benda entah pada TNB. Jadi proses tersangkut di situ. Bila aku telefon pemaju tanya kenapa tak hantar apa ke benda yang TNB nak tu, minah yang tak berapa mesra tu cakap ‘kenapa akak tak maklumkan kami akak nak apply api’? I was like kepala hotak kau…hari tu cakap ambil aje kunci dah boleh terus apply. Kata pakcik di situ, hari yg aku uruskan permohonan letrik sebenarnya ada 4 orang dari kawasan yang sama terpaksa balik atas masalah yang sama. Mereka takpelah juga orang Melaka. Aku ni dari KL kot…

Makanya seminggu selepas itu aku ke sana lagi. Kali ini dengan misi menguruskan hal letrik pula. Kebetulan sehari sebelum itu pemaju ada telefon memberitahu proses pemasangan air di rumah aku sudah selesai. Terpaksalah aku bercuti sehari lagi. Memang agak rushing sebenarnya. Ambil dokumen rumah mertua dan terus ke UTC. Memang aku tawakalillah aje. Dokumen pun aku tak semak sebab dalam hati tu yakin sangat ‘semua dokumen sudah disediakan’. Tak maunya….

Salinan SNP pulak takde! Tapi abang yang jaga kaunter tu very helping. Dia minta aku call pemaju suruh fax apa yang tiada. Rasanya tak sampai 15 minit semuanya selesai. Selesai urusan di UTC, singgah dahulu ke pejabat pemaju untuk tinggalkan kunci. Mereka sudah minta kontraktor yang bertanggungjawab untuk pasang sinki dan paip di bilik air.

Insyaallah esok aku balik ke Melaka lagi. Tak sabar rasanya nak pasang lampu dan kipas. Cuma rumah itu belum cuci lagi. Nantilah…grill dah pasang baharulah cuci berjemaah. Aku terpaksa minta bantuan? Siapakah yang sudi?

“Kita Tidak Perlu Beli Cawan..”

Download-Funny-Baby-Pictures-HD-Wallpaper
Aku susah nak jawab soalan ‘kenapa perempuan suka pinggan mangkuk dan Tupperware banyak dalam rumah’? Satunya sebab aku bukan macam semua perempuan yang gilakan pinggan/mangkuk/Tupperware bagai-bagai ni dan jajahan dapur tu kalau ditawarkan sang lelaki menjadi pengerusi tetap pun mereka tak teringin nak bersilat dalam tu. Secara logikanya, kita mahukan set pinggan mangkuk dan perkakas yang bersifat untuk diguna sekiranya ada tetamu datang ke rumah. Kalau kental sangat, guna pinggan mangkuk pakai buang pun tak mengapa sebab tetamu pun maklum situasi kami. Baru pindah rumah, kotak-kotak pun belum habis punggah lagi.

Kalau nak diikutkan, gelas dalam rumah ni sangat banyak. Ini termasuk berian rakan-rakan masa hari perkahwinan kami 7 tahun dulu, mug jabatan/agensi/syarikat (koleksi sangat banyak semasa aku jadi penerbit SPM) dan yang paling meriah pastinya gelas McD sewaktu promosi Piala Dunia dan promosi gelas lain. Juga masih ada berkotak-kotak hadiah masa kahwin dulu masih elok terpelihara belum dirasmikan. Pendek kata, gelas memang banyak, set cawan sahaja yang tak ada.

Jadi bila aku suarakan hasrat ‘kita perlu beli cawan’, ia disambut dengan hujah yang panjang tanpa henti bersifat 34 kilometer sejam akan mengapakah kita tidak perlu membeli cawan.
Antara sebabnya :-
a) Rumah kita ada banyak mug.
b) Kawan-kawan kita tak kisah
c) Kenapa kena beli? Bukankah rumah kita banyak gelas. (Gelas dgn cawan lain la..)
d) Kita baru pindah, mereka faham..
e) Hahahahaha…beli cawan

Paling syahdu adalah saranan yang menyusul..
“Kita tak payah beli cawan. Mereka faham kita baru pindah..”
Habis kalau orang datang rumah nak bagi minum air panas nak guna apa – kata aku.
“ Kita gunakan tempurung….”

Aku harap suatu hari nanti bos dia sudi datang rumah untuk aku gunakan tempurung itu.

Hampir Siap!

Dia sangat gembira..

Petang tadi kami ke Bandar Saujana Putra untuk melihat-lihat perkembangan rumah yang bakal kami duduki, insyaallah Julai ini. Rasanya sudah 95% siap. Kali akhir aku dibawa ke sana sekitar perkembangan rumah 80%. Banyak yang berubah.. Tapi imaginasi aku tetap sama dan kedatangan tadi meyakinkan ya-itulah rumah yang bakal menjadi tempat teduhan kami sekeluarga kerana tidak mempunyai rezeki membeli berdekatan dengan tempat kerja aku yang tercinta.

Itu juga penanda aras beberapa perkara tunjang melibatkan kewangan perlu disemak semula kerana gaji akan mula  dipotong dalam tempoh terdekat. Beberapa pengubahsuaian perlu dibuat dan ia bukannya murah. Tesis juga harus diusahakan agar yang hampir siap menjadi siap. Juga penantian orang baru yang perlu diambil kira.

Mohon tuhan, permudahkanlah.. Amin!

Errr..Rasanya Aku Terbeli Rumah!

Minggu lepas, alang-alang Hadi berkursus di Melaka aku turut mengikut meneman dia di sana. Selepas 3 hari berkursus, kami singgah balik rumah mak mertua di Tangga Batu. Simpang sebelum masjid, aku perasan seolah ada kawasan perumahan baru yang bakal dinaikkan. Dalam hati, aku sudah berkira-kira apa kata aku membeli sebuah rumah di sini sementelah sedang berbadan dua, nanti tidak perlu kami anak-beranak berebut bilik dengan ipar-duai yang lain.

Sesampai dirumah, salah seorang adik ipar memberitahu dia dan kakaknya membeli satu unit rumah dikawasan yang sama. Kemungkinan abang ipar aku juga akan membeli (disaran/dipujuk) satu unit di sekitar kawasan Bukit Rambai. Ketika itu, memang aku fikir untuk beli sebuah rumah yang paling murah sekali, setidaknya untuk balik raya dan kaum keluarga menyinggah jika berkunjung ke Melaka. Maklum sahaja, hotel di sini mahal. Tambahan bila cuti sekolah, mengarut-ngarut harganya.

Aku pujuk/desak/hasut dan berusaha tanpa gagal meminta Hadi membawa aku melihat kawasan yang hanya 3 minit dari rumah keluarganya. Kami terus melihat rumah contoh yang ada. Oklah..cantik dan besar kalau pandai hias. Terus kami ke pejabat jualan. Alang-alang nak ambil yang paling murah, hajat hati nak beli corner lot. Harga rumah 138k, tapi sebab nak corner lot kena tambah 100k lagi. Kalau aku memang duduk di sini sampai tua, memang aku angkat harga tu. Tapi aku pun sekadar singgah raya/cuti sekolah atau hujung minggu aje. Paling epik, mungkin kerja outstation di Melaka, aku heret semua krew tidur di sini.

Adik jurujual itu mencadangkan kami amik rumah Semi D, harga yang lebih kurang sama, tapi lebih besar. Hadi juga menggalakkan aku ambil rumah itu. Bagaikan sudah suratan, perjalanan membeli rumah ini sangat lancar. Semuanya selesai sehari. Aku harap tiada masalah-masalah lain yang timbul. Sebab gaji aku sudah ada potongan personal loan – yang akan aku selesaikan paling lambat Januari tahun depan – lump sum!

****

Semalam aku bawa mama dan adik-adik melihat kawasan rumah baru aku. Mulut dua beradik tu tak berhenti “besor rumah deme” dari luar pintu sampailah ke bilik mandi. Aku akui..rumah ini memang cantik dan besar. Tak mungkin aku dapat saiz yang sama di KL. Sabarlah..2014 bukan lama mana. Pejam celik,pejam celik siaplah rumah tu..Bolehlah adik-adik datang bercuti di sini 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...