Selamat Hari Raya!

kad-raya

Sebagai tuan punya tanah blog ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin buat semua rakan-rakan dan pembaca blog ini. Saya mohon maaf sekiranya ada penulisan saya yang tidak sealiran dengan tuan puan semua.

Maaf, tiada istilah kosong-kosong. Sebelum UAI berceramah pasal itu lagi saya sudah menyimpan perasaan yang sama. Kalau buat salah, jumpa/sms/WA atau apa juga medium media sosial dan lafaz sendiri permohonan maaf itu.

Saya beraya di Melaka tahun ini selama seminggu. Kalau ikutkan tahun ini giliran KL. Memandangkan rumah sudah siap, kami sepakat beraya di sana. Saya bawa sekali Mama dan adik-beradik lain beraya di sana.

Sejak abah meninggal dunia, adalah sekali dua beraya “di kampung” abah. Tak apalah, yang lepas itu tinggal kenangan. Yang penting memori akan datang. Mulai tahun ini sohehlah Melaka menjadi kampung kami semua.

Tahun ini juga merupakan hari raya yang pertama buat anak kedua kami, Ezzudin Dzulfikar, menjadikan hari raya pertama kami berempat! Ya Allah…cepat sungguh masa berlalu.

Yang pasti tahun ini Syawal kami raikan dengan kesyukuran yang tidak terhingga atas semua rezeki yang dikurniakan Yang Esa. Alhamdulillah atas segalanya…

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Kami
Kami

 

Tak terasa pantasnya masa berlalu. Hari ini sudah 18 Syawal. Kurang lebih tinggal 2 minggu sahaja untuk kita rayakan kemenangan berpuasa selama sebulan bagi yang cemerlang amalnya, lompong-lompong dan gagal habis. Aku sendiri perlu mengganti hari-hari yang ditinggalkan atas faktor kesihatan. Siapa yang mengandung dan tetap berpuasa, memang tahniah badak aku ucapkan. Aku tidak punya kekuatan sebegitu.

Tahun ini kami beraya di Melaka. Tahun kedua beraya dengan Eskandar Dzulkarnain. Jujur bagitahu, baju raya ED harganya RM 15 sahaja. 2 pasang kami beli Januari yang lalu kerana kebetulan masa itu Jaya Jusco buat jualan penghabisan stok. Baju Hadi adalah baju raya yang sama – 3 tahun berturut-turut manakala baju raya aku memang terpaksa beli sebab perubahan struktur badan menyebabkan baju lama memang tak muat untuk aku pakai. Tapi, Hadi sempat membeli lagi 2 pasang baju melayu di KL. Itu pun sebab 2 pasang RM90. Makanya 2 tahun mendatang dia tidak perlu beli baju raya lagi dah.

Baju raya ED yang susah betul nak cari yang sepadan. Sudahnya masuk adik-beradik cokelat..
Baju raya ED yang susah betul nak cari yang sepadan. Sudahnya masuk adik-beradik cokelat..

 

Raya di Melaka memang meriah. Raya pertama hujan di awal pagi, jadi agenda wajib ke kubur di tunda dan kami terus beraya dirumah saudara-mara belah suami yang kerap dikunjungi pada pagi pertama hari raya. Beraya dalam keadaan membawa anak yang semakin membesar dan banyak ragam sememangnya satu cabaran buat kami berdua. Mujur Hadi sentiasa memegang ED. Aku dah tak larat nak dukung dia. Dah berat macam sekampit beras! Lagi pula memang dinasihatkan oleh doktor aku tak boleh angkat berat-berat, sebab jahitan yang dibuat Mac lalu.

Oh, ini catatan untuk aku dan sesiapa yang sealiran.

Aku memang tidak agresif beraya dirumah orang dengan niat mengumpul duit raya untuk anak. Bila dia meningkat kanak-kanak pun akan aku terapkan ‘duit raya itu duit yang orang sedekah, jadi jangan paksa dan harap – berdosa!’ Apapun kepada yang ikhlas memberi memang aku berterima kasih banyak-banyak. Sejak hari pertama dia lahir, seposen duit dia tidak pernah aku usik, hatta untuk membeli kain baju dia sekali pun. Setakat ini kami juga belum mengajar dia menggunakan gajet dan mainan. Betul, takut bila dia takde dia nak orang punya. Tapi itu nanti-nantilah kami cari mekanisme untuk menanganinya. Kalau dia ada, orang lain nak dia punya pun parah jugakan..

Tahun ini memang tiada perancangan untuk buat rumah terbuka. Jujur aku cakap, aku tak larat. Tapi rumah memang terbukan untuk semua yang sudi hadir. Cuma maklumkan dulu ya..Karang ada yang kena makan ulam raja petik sendiri depan rumah tu karang 🙂

Untuk itu, Salam Syawal 🙂

 

Hari Raya Aidiladha..

ujian

Sesungguhnya banyak benar pengorbanan yang dilakukan pada minggu lepas membawa ke Hari Raya Korban. Terkorban juga perasaan aku dihambat dugaan oleh-Nya. Syukur teramat kerana punya suami yang sentiasa berada kala susah dan senang.

**

Berjaya berpuasa pada Hari Arafah. Satu hari yang sukar sebenarnya. Terima kasih Tuhan atas kekuatan dan restu-Mu. Ingatkan nak berbuka di San Francisco Pizza di Wangsa Maju. Tapi mama masak pajeri noneh dan sambal petai. Petai pula kiriman keluarga mertua. Dek kerana mama kenangkan aku berpuasa, dimasakkan pula telur dadar. Aku selalu kata, masakan ibu hatta lempeng sekalipun pastinya sedap, nikmat dan berkat kerana itu masakan dari syurga.

**

Hari Raya yang sangat sederhana. Selepas 3 bulan tidak aku kunjungi pusara Cahaya Balqis dan abah, pagi raya itu aku ke sana. Aku sangkakan aku tidaklah sesedih selalu kerana hadirnya Eskandar Dzulkarnain menghiasi hidup kami. Nyatanya perasaan itu masih sama…Tidak keterlaluan aku katakan ia sangat menghiba. Serasa seolah aku mempunyai seorang anak perempuan berusia 1 tahun 3 bulan yang tidak pernah aku dakap wujudnya. Sedih dan sebak sepanjang aku berada dipusara kecil itu. Suami meminta aku bersabar..

Sabar itulah yang menjadikan penguat semangat aku hari ini..

Pusara abah pula aku kunjungi. Ada sebabnya mengapa dia tidak dipinjamkan lama kepada aku. Aku sedekahkan al-fatehah dan memohon dimaafkan atas dosa-dosa yang aku lakukan dan kegagalan aku menjalankan amanahnya. Tidak peduli sampai atau tidak, setidaknya aku rasa sedikit lega selepas kunjungan ke Tanah Perkuburan AU4 semalam.

***

Terima kasih kepada kawan-kawan yang datang rumah semalam. Ina dan adik, Mamal, Maikel dan adik serta Leiya. Maaflah menu yang sederhana. Adaha juga yang susah betul nak berjumpa. Tak ketemu titik tengah digaris dua sama serenjang.

***

Ada yang perlu aku pelajari sebagai insani detik Korban lalu. Tanda-tanda awal diberi tetapi tidak aku peduli kerana sangkakan ia hanyalah halangan kecil dalam kehidupan. Aku harus lebih berhati-hati di masa hadapan.

Ada sebabnya mengapa Mama belum menunaikan Haji..

Ada sebabnya mengapa cadangan melalukan korban tidak terlaksana..

Ada sebabnya mengapa senyum Eskandar Dzulkarnain mampu menyabarkan hati walang aku.

****

Semoga kita semua dibawah lindungan dan kasih sayang-Nya

 

Pertama Syawal Ini..

image

Sebelum mengarang lebih panjang, aku ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin buat para pembaca blog sederhana ini, rakan-rakan yang dihormati serta para stalkers yang kepingin mengetahui perkembangan hidup aku yang meriah ini.

Pertama Syawal ini…pertama kali beraya bertiga, pertama kali juga berpantang dihari raya. Semuanya berbeza sejak hadirnya Eskandar Dzulkarnain dalam hidup kami. Sehari sebelum raya, kami bawa ED balik ke PJ Oldtown untuk kali pertama. Maklum ajelah, mama dan kakak sibuk dengan persiapan raya. Apa sangat boleh aku bantu. Baik aku balik PJ dan siapkan essei yang diminta oleh pihak universiti.
Malam itu ED sentiasa berjaga setiap jam. Jenuhlah aku dan Hadi bergilir-gilir menjaga anak. Memang tak cukup tidur dibuatnya sampai pagi raya kami terlajak tidur. Tidur itu sangat nikmat dipagi Syawal. Adik-beradik lain semuanya sudah siap dan mulai bersarapan diikuti sessi meminta mamaaf Terasa bersalah dalam hati bila tengok ED dah siap berbaju baru..Aku dan Hadi pulak mengantuk tahap mega. Disebabkan ED sudah comel dipagi raya, dengan pantasnya kami berdua bersiap dan memulakan kunjungan ziarah pertama, ke rumah Mamak Tahir di Kuala Selangor. Kemudian kami ke rumah Mamak Kamal di Kajang. Di situ, kebetulan Maksu dan keluarga ada. Makanya pada Syawal pertama dapatlah dia berjumpa 3 adik-beradik dari 9 bersaudara.

Esoknya, kami balik ke Melaka untuk beraya di sana. Aku bawa Mama dan Ameera sekali. Mujur masih ada hotel yang boleh disewa,meskipun harganya luarbiasa mahal. Alang-alang di sini, kami melawat Adeq yang sudah seminggu berkerja di Melaka dan
Mami, kakak Mama. Saudara-mara belah suami turut kami kunjungi iaitu rumah nenek dan Pak Long. Nyatanya semua orang teruja melihat ED. Itu belum masuk Makcik Ella dan Maksu yang kebetulan beraya dirumah mak.

Setelah dua hari di Melaka, kami kemudiannya ke Tapah untuk menghadiri majlis persandingan adik kepada Abang Jas. Kemudian kami beraya di rumah Hasina di Parit Buntar. Bermalam di homestay sana membuatkan aku rasa malas nak berjalan. Rumah itu sangat selesa. Mahu rasanya terus bermalam dan berehat di sana. Malam itu kami dibawa pekena Mee Udang Berasap. Memang berasap-asap bila sampai dan ia sangat sedap dimakan ketika panas.

Keesokan harinya kami bergerak ke Alor Setar, rumah adik ipar aku. Kemudian, kami beraya ke rumah Akmal dan dijamu dengan laksam kedah. Itu adalah kali pertama kami semua makan laksam kedah. Sumpah sedap, sampaikan anak Saudara yang konon-konon tak suka makan pun menambah berkali-kali. Kami bermalam 2 hari di Kedah. Sepatutnya Hadi mempunyai agenda melepak dengan rakan-rakannya termasuk seorang sahabat beliau yang balik dari Australia. Tapi agenda itu gagal sebab member tu beraya di Baling. Apapun mujur pagi itu kami melawat Menara Alor Setar dan Kemudian meraikan hari lahir Faiz.

Sebelum balik KL, kami beraya di Anak Bukit dan Kemudian ke Manjung. Raya kali ini padat dengan kunjungan ziarah ke rumah kawan-kawan Hadi. Adalah juga kawan,dari aku yang berapa kerat aje tinggal.

Pertama Syawal ini memang baru untuk aku dengan kehadiran ED. Apa juga yang dibuat semuanya mengambil kira keselesaan ED. Kadangkala bila dia meragam tu aku susah hati juga, seolah aku bukan mama yang baik sebab tak faham apa yang dia nak. Dalam pada masa yang sama, aku kena adil pada bapanya juga. Kasihan Hadi berulang KL-Klang sepanjang aku berpantang. Jadi Sabtu lepas kami mencuba trial run untuk bermalam di PJ. Kalau beraya, aku sudah boleh menguruskan diri dan ED di sana sahaja. Tidaklah jauh sangat Hadi berulang ke pejabat.

Nan hado…misi gagal. Aku hampir tension sebab kerja semua terbengkalai dek ED yang tak mahu tidur sendiri. Asyik nak kena pegang aje.

Kepada rakan-rakan yang mengirim ucapan raya dan berkunjung ke rumah, terima kasih diucapkan. Kisah Syawal kami belum habis lagi. Mana tahu seminggu dua depan lebih meriah dan terisi.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin 🙂

Meriahnya Bunga Api di PJ Oldtown..

image

image

image

Meriah padang depan rumah..mercun tak berhenti-henti. Kanak-kanak dan semua bersorak gembira. Sempat juga snap beberapa gambar. Sudah 4 tahun duduk di sini,ini kali pertama aku merasa meriahnya krismas di kejiranan ini. Selalunya waktu ini aku bercuti di negara jiran…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...