Hanya Rindu…

Sejak akhir-akhir ini kami jarang bergambar bersama. Bila mula sahaja nak bergambar berdua, pasti anak-anak akan datang dan menempel bersama. Gambar ini diambil pada bulan November tahun lepas, ketika kami bercuti untuk menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-13.

Sehari selepas bercuti, Hadi terus sakit. Ingatkan sakit biasa-biasa aje. Makin lama, makin teruk. Bermula kehidupan aku berulang-alik ke hospital setiap kali dia mengaduh sakit perut. Bahagian kecemasan tu sudah jadi macam rumah nombor 2 aku. Disebabkan itu, banyak urusan yang sepatutnya dilakukan bersama, aku kena kayuh sorang-sorang. Mujurlah aku tak sakit sepanjang tempoh itu. Berat Hadi turun drastik, 8 kilo hilang dalam tempoh sebulan.

Aku kena pastikan Hadi makan mengikut waktu yang ditetapkan. Kalau aku nampak dia penat atau sakit, aku akan bawa lari anak-anak dan beri masa untuk dia rehat. Aku juga akan sentiasa masak bubur untuk dia, terutama Sabtu dan Ahad disebabkan banyak benda yang dia tak boleh makan. Asyik makan bubur McD pun muak juga.

Selalu dia minta maaf kerana keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik.
“B, sorry i tak dapat tolong you…”
” Sorry you kena buat semua benda…”
Dan macam-macam jenis maaf lagi setiap kali aku urut dia bila dia tengah sakit.

Bila permohonan aku bertukar tidak berjaya, aku memang rasa down. Macam mana dia nak uruskan anak-anak dalam keadaan dia sendiri tidak sihat sepenuhnya? Sudahlah dua-dua anak OKU. Aku hanya mampu bersabar dan berharap keluarga mentua akan bantu Hadi dan anak-anak di sana. Tak semua orang faham masalah kita apa. Nampak aje aku tenang, dalam hati memang tsunami. Semoga Allah kembalikan kesihatan semula pada dia…

Ini bukanlah permulaan 2020 yang ada dalam impian aku. Tetapi tidaklah itu menjadi punca untuk aku mengalah dan meratap sepanjang masa. Hidup kena terus…Tengah hari tadi aku tinggalkan anak-anak dan suami dengan perasaan yang bercampur-baur. Mujur anak-anak tidak menangis. Tetapi Eskandar seperti dapat mengagak aku tidak akan menidurkan dia malam ini.
“Mama kerja…mama sayang kita”. Aku akan ingat ayat itu setiap kali aku belek gambar-gambarnya dalam galeri telefon.

2020 – walau apapun dugaannya, aku tetap akan cuba menjadikan tahun ini tahun yang indah untuk dikenang. Tahun ini, genap 20 tahun aku dan Hadi bersama, melebihi separuh dari usia aku sendiri. Kita telah terbiasa bersama jadi bila aku seorang diri tanpa kamu di sisi, aku rasa terasing.

Satu hari nanti, aku pasti kita akan bersatu kembali menjadi sebuah keluarga yang sempurna. Penat sama-sama melayan karenah anak-anak dan bersandar bersama mengenang perjalanan hidup yang kita lalui.

Tempat aku, selayaknya disebelah kamu. Hmmmm….rindu.
#apabilakakbennymenulis
#abbyhadi
#20yearsoflove
#forevermeansforever
#baladaperindu
#5of365

HARUSKAN DIUJI 1…

Hari ini ulangtahun perkahwinan aku yang ke-13. Untuk mencapai ke hari ini, bukanlah semudah yang semua sangkakan. Dan tahun inilah tahun yang sangat menguji hubungan kami berdua.

Kami sudah cuba sehabis daya…
Memang takde cara lain.

Lembutkanlah hati-hati mereka yang menilai dan membuat keputusan. Kepada Allah jugalah aku berserah.
Semoga keputusan memihak kepada aku

Selamat Tinggal 2018…

Beberapa jam lagi, 2019 akan menjelma. Tahun baharu tidak ubah seperti hari-hari yang aku lalui. Kalau nak kata tahun baharu masa terbaik memasang azam, pun tidak. Kalau aku rasa aku perlu lalukan sesuatu yang baharu dan bersifat muktamad, bila-bila sahaja aku boleh mulakan azam itu tanpa perlu menunggu kalender bertukar tahun. Ha, Benny sudah memahami alam sekarang ini 🙂

2018…

Banyak yang aku lalu tahun ini. Seperti biasa, aku akan recap apa yang aku lalui untuk aku jadikan kenangan. Yang baik, kita simpan. Yang buruk, kita tanam dalam-dalam. Boleh ingat, tapi kalau menyemakkan otak, tanam balik. Banyak benda lain nak fikir.

Januari

  • Eskandar dan Ezzudin mula bersekolah. Walaupun berumur 5 tahun, Eskandar langsung tak mahu bercakap. Tatabahasa dia sangat sedikit. Doktor menyarankan kami menghantar dia masuk tadika supaya dia bergaul dan lama-lama mungkin dia akan boleh bercakap lancar. Sudah setahun dia bersekolah, adalah perubahan. Cakap alien masih ada, tetapi ada beberapa aspek yang perlu kami teliti. Tapi ini aku positif, tahun depan akan ada lebih banyak perubahan drastik. Ezzudin pula hanya mampu bertahan 2 bulan di tadika ini. Pihak sekolah tak mampu nak beri perhatian pada dia. Mujur kami jumpa tadika swasta yang mampu menjaga anak istimewa macam dia. Hasilnya – banyak. Tahun depan, dia pindah sekolah baru. Rasanya akan lebih banyak perubahan sebab sekolah ini memang banyak pengalaman menguruskan anak autisme. Dan misi aku sendiri tahun depan ialah mencari keistimewaan dia dan menggilap potensi dia berdasarkan bakat yang dia ada.

  • Ucapan Tahun Baharu 2018 yang aku tulis keluar dalam majalah PREX. Lebih bermakna, aku dapat dapat bentuk hardcopy yang Nakatani kirimkan pada wakil PREX yang datang ke Malaysia, Ms.Akiko Sakai lewat pertemuan kami di Hotel Istana.

  • Aku menyambut hari lahir ke-37 di Phuket, Thailand. Terima kasih kepada sahabat aku, Aie Sarkase kerana menghadiahkan pakej hotel berkenaan. Itulah percutian dan rehat yang sebenar-benarnya yang aku lalui. Walaupun ada masalah dengan pihak hotel, semuanya berjaya diselesaikan dan tetaplah Phuket menjadi kenangan manis dalam hidup aku.

 

Februari

  • Punyalah bersusah-payah mengatur masa dan meredah kesesakan jalanraya, dapat juga kami meraikan ulangtahun perkenalan kami yang ke-18. Jadilah…daripada takde apa langsung.

Mac

  • Bertitik tolak dari pengalaman Februari, kami merancang untuk meraikan ulangtahun percintaan kami di BSP sahaja. Mujurlah BSP ada Pizza Hut.

  • Bermula Mac, kami berdua struggle dengan kehidupan.

 

April

  • Setelah hampir 3 tahun berjuang, Hadi konvo juga. Tak dapat aku gambarkan kegembiraannya macam mana. Masa dia sibuk belajar, aku dengan sarat mengandungkan Ezzudin menumpang di rumah Nana ataupun Kak Ayu sementara menunggu dia habis kelas.

  • Aie Sarkase paksa aku buat satu catatan ADILA tentang arwah anak aku, Cahaya Balqis. Sebenarnya dia minta banyak kali, tapi aku tak tergerak nak buat. Akhirnya, catatan kenangan itu berjaya aku layarkan dan aku minta semua ahli keluarga aku dengar, dan tentunya aku minta Hadi dengar sekali. Disebabkan catatan itu, aku dan Hadi akhirnya boleh bercakap tentang arwah Cahaya Balqis dengan lebih terbuka. Hmmm…kalau Cahaya Balqis masih ada, tahun depan dia berumur 7 tahun.

Mei

  • Aku berpeluang menghadiri Asia Media Summit di New Delhi, India. Pertama kali dalam kehidupan aku serabut hendak menguruskan visa untuk ke sana. Bila aku sudah sampai di New Delhi, aku tidak terasa sangat untuk kembali ke India. Boleh baca catatan aku pada Mei 2018 tentang semua pengalaman aku di sana. Kalau suka shopping, India memang syurga. Tapi entahlah…aku memang bukan manusia macam itu. Aku suka mencari tempat-tempat bersejarah dan mencari port makan. Itulah syurga aku kalau berjalan…

 

Jun

  • Weh, dah kenapa Jun aku lesu? Aku takde cerita ke? Oh, banyak cerita bersifat terlalu peribadi.

 

Julai

  • Aku ke Brunei melawat bapa angkat yang sakit. Alhamdulillah kini dia semakin sihat. Insya Allah kalau ada rezeki aku mahu ke sana lagi.

 

Ogos

  • Aku tak sangka, pengalaman 10 tahun dahulu berulang kembali. Sampai sekarang aku rasa sakitnya!

  • Aku mula merancang melakukan kembara solo kedua dengan lebih serius. Mula-mula merancang hendak ke Pakistan. Disebabkan urusan visa serabut dan mengarut, terus tukar destinasi ke India. Jujurnya, pengetahuan aku tentang tempat yang bakal aku pergi adalah kosong.

 

September

  • I love September. September aku bermula semula. 17 hari mengembara ke India, melihat tempat-tempat menarik dan berjumpa macam-macam manusia. Ini betul-betul masa untuk diri sendiri. Aku dapat apa yang aku nak dan lepas balik, aku start fresh.

  • Telefon pecah di Pangong Lake. Sedih giler 🙁
  • Judin didiagnos dan sah, autisme. Aku dan Hadi bersembang panjang tentang masa depan anak-anak. Kesimpulannya, kami kena cari sekolah khas untuk Judin. Ok, hal ini selesai.

 

Oktober

  • Telefon aku baiki, tetapi mula menunjukkan tanda-tanda alzheimer. Disebabkan banyak keperluan lain yang mendesak, aku pakai juga. Tak apalah, kalau ada rezeki, adalah. Aku juga mengucapkan selamat tinggal pujaan kepada idaman hati, Blackberry Key2. Harga tak turun-turun. Walaupun aku bani Blackberry sejati, ada keperluan lain perlu aku utamakan yang melibatkan anak-anak. Dengan harga yang sama, aku boleh dapat telefon lain dengan spek lebih baik dari BB Key2. Of course aku sangat sedih sebab aku suka ambil gambar dengan handphone. Bila kualiti gambar tidak secantik yang aku harapkan, aku hanya mampu mengeluh.

 

November

  • Kami menyambut ulang tahun perkahwinan ke-12 di Melaka. Memang lepas ini tidak merasa dah bercuti di luar negara.  Sambutan ala kadar, asal anak-anak gembira. Kami berdua? Biasa sahaja…tetapi lebih memahami antara satu sama lain. Cukuplah dulu…dan bergembiralah kamu dengan Nintendo Switch itu.

  • Hari yang sama, aku mendapat khabar Cikgu Misel meninggal dunia. Hmmm…sedih. Nak tulis pun aku sedih 🙁

  • Kerana posting berkenaan Cikgu Misel, ia menemukan aku dengan seorang cikgu yang sangat banyak memberikan kesan dalam hidup aku iaitu Cikgu Ainon. Tak tahulah bila aku dapat jumpa dengan Cikgu Ainon. Kena plan ni…

 

Disember

  • Jujurnya, aku melalui bulan yang sukar. Aku rasa sangat ranap bila mama sakit. Kebetulan pula waktu yang sama, aku pun sakit.
  • Menguruskan hal sekolah anak juga antara cabaran yang hebat. Mujur rezeki anak-anak sentiasa ada. Untuk mereka berdua, bergolok-bergadai pun aku tetap akan buat asalkan mereka mendapat pendidikan yang terbaik.

 

Apapun yang akan terjadi, 2019 nanti aku akan kayuh dengan semangat yang berbeza. Ada perkara yang aku tidak berani lakukan, akan aku buat pada tahun hadapan. Apa yang menyemakkan kepala aku, aku akan tinggalkan. Target tahun depan ialah kemajuan anak-anak dan kerjaya. Kalau ada rezeki, aku mahu ke Pakistan. Pun kalau ada rezeki, aku mahu handphone yang boleh berikan aku gambar dengan resolusi terbaik. Itu sudah cukup buat hidup aku terisi, seperti ukulele yang menemani hari-hari sepi.

Sekian.

 

Ohai, India – Pangong Lake!

Hari ini kami akan ke Pangong Lake. Karma ada ceritakan akan tempat ini adalah antara lokasi dalam filem 3 Idiots lakonan Aamir Khan. Alahai, Kak Benny ni sejenis gagal dalam arena perfileman Bollywood. Bukannya tak minat. Tetapi sejak kecil,mama tak berapa galakkan sebab satu, durasi lama sangat. Kedua kebanyakan filem Hindi kala aku membesar dahulu lebih banyak mengkhayalkan sahaja ceritanya. Hmmm….betullah tu. Jujurnya, tak eksaited sangat pasal lokasi filem – tak pergi pun tak apa kaedahnya. Aku hanya mahu meneruskan pengembaraan dan melihat apa lagi pemandangan indah yang bakal aku kecap.

Kami bergerak tepat pukul 9:00 pagi. Cuaca agak mendung. Karma ada cakap pasal semalam bersalji, mungkin jalan akan ditutup kalau salji semakin banyak turun. Ini adalah kali pertama salji turun dalam bulan September. Mujur aku dan Farah ada bawa baju sejuk – tapi asas ajelah. Yang beriya-iya macam mahu duduk di Eskimo tu tidaklah pula kami bawa. Sebagai persediaan menahan sejuk, aku pakai 3 helai baju dan 3 helai seluar serentak. Apa ada, itu aku belasah seadanya.

Cuaca tidak sebaik semalam. Mendung memayungi perjalanan kami. Kalau buka tingkap, memang terasa angin sejuk menampar muka. Pemandangan masih cantik dan mana ada ruang bergambar yang cantik, kami akan berhenti. Kali ini kami tidak perlu merengek kerana Karma seolah-olah faham jenis suasana bergambar macam mana yang kami mahukan. Ada juga kami berhenti dan sekali lagi kami dimanjakan dengan teh halia madu panas dan hirisan epal. Haih, baik sangat awak ni.

Kami berhenti makan di Durbuk. Salji mulai turun dengan lebat. Agak sejuk. Tetapi dua perempuan yang baru pertama kali main salji ini peduli apa. Kami bergambar, mengambil video dengan riang dan terjerit-jerit ‘snow! snow!’ macam nampak lori aiskrim. Sudah puas bersejuk dan bergambar, baharulah kami masuk dan memesan makanan.

 

Kali ini aku memang cakap ‘please join us’ pada Karma. Dia mengiyakan tetapi meminta kami untuk tidak membayar apa yang dia makan dan minum. Ini kerana seolah menjadi mutual understanding setiap pemandu yang membawa pelancong akan diberi makan dan minum secara percuma. Kalau bawa ke hotel pun sama kaedahnya cuma mereka mungkin akan berkongsi lojing dengan pemandu yang lain. Menu wajib tengah hari di mana-mana juga lokasi di Ladakh ialah nasi putih, kuah dhal, aloo gobi dan bawang. Aloo gobi ialah kentang dan kobis bunga dimasak ala-ala kari kering. Aku memang tak tahu menghargai dhal. Aku terus minta Karma tanyakan kot ada telur, gorengkanlah barang 2 biji untuk aku. Karma memesan chomin. Chomin ini kalau bahasa mudahnya ialah mee goreng mamak – versi basic giler, kosong dan pucat – tapi nampak macam sedap. Tengkuk aku mulai tegak bila makanan dia sampai, terasa macam nak rasa barang sesudu dua. Tapi aku batalkan sebab tak sempat aku minta, dia sudah tuang segala sos jalapeno dan sos cili pada mi itu. Ok bye jawabnya…

Di sini, kami juga sempat mencuba butter salt tea yang rupa parasnya macam teh tarik tapi rasanya masin dan bermentega. Serius, satu sedut aje. Tak lalu tekak aku menerimanya. Farah memang steady…secawan habis. Perasaan dia semasa berusaha menghabiskan air itu biarlah menjadi kenangan masin bermentega untuk dirinya. Selalunya, mereka akan minum air ini untuk memanaskan badan. Pertama kali aku dengar ada air teh mentega masin tu. Selain itu, kami sempat bersembang dan berkenalan dengan seorang kakitangan Border Roads Organization (BRO). Banyak juga yang kami tanyakan tentang penyelenggaraan jalan dan skop kerja mereka. Akan datang, aku akan tuliskan tentang kata-kata khidmat BRO yang ada pada batu jalan yang membuatkan kita rasa seronok menanti batu jalan seterusnya.

Perjalanan diteruskan lagi dan salji semakin lebat turun. Kami berdua masih dalam mode suka sebab salji turun. Haih, tak sedar diri betul! Takpe, abaikan dahulu masalah esok. Perjalanan kami masih jauh.

 

Sebaik kami melalui pemeriksaan permit di satu kawasan yang tidak aku ingat namanya, banyak kenderaan yang tersangkut. Rupa-rupanya, jalan balik ke Leh telah ditutup kerana tanah runtuh dan salji tebal. Makan masa satu atau dua hari juga untuk jalan dibuka semula. Jadi, semua pelancong yang datang arah Pangong Lake dan mahu balik ke Leh, kena bermalam di kawasan itu atau balik semua ke Pangong Lake. Dalam hati, aku rasa susah hati juga sebab kalau esok jalan masih ditutup, bermakna nasib kami juga sama seperti manusia yang lain di sini. Jalan untuk ke Pangong Lake pula masih okay, boleh aje lalu dengan aman. Apapun, Karma mulai memperlahankan pemanduan dan berhenti untuk mendapatkan maklumat dari orang tempatan atau pemandu lain. Dia risau tentang diesel. Kami tak nampak sebenarnya dalam fikiran dia, dia sudah fikir jauh macam mana keadaannya kalau jalan masih tutup esok.

Kami menyusuri Panggong Lake dengan tenang. Masa ini, aku rasa biasa aje. Ala, ada tasik…ada gunung belakang tu bersalji tetapi ditutup kabus. Serius aku rasa – Oh, inikah Pangong Lake? Kami sempat melalui satu restoran yang dinamakan 3 Idiots Restaurant. Karma tanya, mahu berhenti atau tidak. Dengan yakin kami jawab, maybe tomorrow. Jujurnya, tak rasa macam nak singgah pun. Kedai makan aje kot. Maafkanlah kami berdua yang tidak faham signifikan 3 Idiots ini tuan-tuan dan puan-puan.

Kami terus mencari hotel untuk bermalam. Tak pasti apa nama hotel ini kerana ia baru sangat-sangat dibuka. Selepas tawar-menawar harga berlaku, kami bersetuju untuk daftar masuk. Masa ini, memang terasa sejuk aje kawasan ini. Bilik kami, betul-betul mengadap Pangong Lake dan jajaran Himalaya cemerlang di depan mata. Tapi ada satu insiden kecemasan berlaku, telefon aku terjatuh dan terus fade to black…Oh, tuhan…terdiam aku seketika. Tetapi aku tidaklah terus hiba, hilang mood atau rasa percutian ini telah tercalar. Aku tenang dan redha. Semua ini aku dapat dari Karma la…dia punya positif, lain macam sikit.

Seperti hotel semalam di Nubra Valley, bekalan elektrik pun ada jadualnya. Tetapi di sini lain, wifi langsung tak ada. Mana nak ada…Kami berada pada ketinggian 4,250 meter / 13,940 kaki  dari paras laut! Boleh berdarah hidung kalau tidak biasa dengan suhu dan ketinggian ini. Tak apalah, alang-alang telefon akupun sudah jahanam. Kami kemudiannya bergambar di depan Pangong Lake. Macam aku beritahu tadi, aku rasa biasa aje. Tak nampak amazing sangat sebab berkabus (kau tunggulah esok!). Bergambarlah kami seadanya dan kembali ke hotel.

Tetapi kami bertiga tidak terus masuk bilik. Kami melepak dalam kereta dan bersembang-sembang sesama sendiri. Sekali lagi aku rasa macam ada dalam kelas Dr. Munis untuk belajar pasal Perang Dunia, hubungan antarabangsa, religion and society dan lain-lain yang sangat ilmiah. Tiba-tiba, Karma bertanyakan tentang signifikan nombor 786. Ha, soalan ini aku yang jawab sebab Farah tak tahu. Tak payahlah aku cerita apa yang aku beritahu Karma, rasanya ramai yang boleh agak. Cuma aku bagitahu dia, aku tidak percayakan nombor tapi aku percaya pada aura warna yang mampu membawa mode positif. Kan aku sudah bagitahu tadi, Karma ini manusia yang sangat positif. Dari perbualan inilah aku dan Karma mula mesra alam.

Kami kemudiannya masuk bilik masing-masing dan menanti waktu untuk makan malam. Bila sejuk-sejuk ni, manusia cepat lapar. Aku sempat terlena dalam sejam dan Farah rupanya sudah lapan ratus kali keluar masuk ke dewan makan untuk usha makanan sudah sedia atau belum. Cuma aku tersedar sekejap sebab macam ada kecoh-kecoh di lobi. Mungkin orang sakit, mungkin bilik kena rembat atau masalah-masalah lain. Lantakkan…aku dan Farah terus ke dewan makan. Nampaknya makan malam kami belum sedia lagi. Disebabkan hari semakin gelap dan kesejukan yang sebenarnya mula dirasakan, aku terus ke dapur dan bertanyakan jika mereka boleh sediakan chai masala untuk aku dan Farah. Oh, abang nan helok itu terus tunjukkan flask dan aku layan diri tanpa malu. Kuncinya – berbalas-balas senyum macam di lapangan terbang Srinagar yang lalu. Jadi aku dan Farah bersembang di ruang makan sementara menanti makan malam disediakan. Agak lama kami menunggu, masih juga tidak siap. Jadi, salah seorang dari penjaga hotel memberikan kami sup kosong panas yang aku rasa sangat sedap – kalah sup Pizza Hut. Padahal sup bengong aje…ada hirisan lobak merah yang super kecil, kentang pun sama dan sayur-sayur sikit. Tapi aku rasa macam sedap sangat dah tu. Mungkin sebab sejuk, dapat pula sup panas memang indah.

Kak Benny hampir beku masa ini..sejuk giler!

 

Tidak lama kemudian, Karma masuk ke dewan makan. Kami bersembang kembali. Sebelum itu, dia dengan penuh sopan dan berhati-hati bertanyakan tentang diri kami. Dia tanya, kami okay ke tak? Perlu selimut tambahan atau tidak dan yang paling penting, adakah kami berdua memerlukan tabung oksigen. Aku dan Farah rasa macam okay. Tidaklah rasa senak, sebu, pening atau tanda-tanda Accute Mountain Sickness (AMS). Macam masuk air aje perangai kami di sini. Dia nampak macam risau bila aku kata, aku ni semput. Tapi jujurnya di sini aku rasa sihat dan bahagia. Rupa-rupanya kekecohan yang kami dengar tadi adalah kerana ada 2 tetamu yang datang dengan motor mengalami AMS dan salah seorang dari mereka nampak sangat tidak sihat. Jadi Karma mahu menawarkan tabung oksigen yang dia bawa untuk kami, kepada tetamu yang sakit itu. Aku dan Farah benarkan sahaja sebab bayangkan naik motor bersejuk meredah salji macam itu, tentu dia beku tahap dewa. Ok, aku berhenti di sini dahulu sebab cerita aku dengan Karma ini panjang dan di dewan inilah punca semua cerita.

Malam itu, aku dan Farah tidur bertemankan selimut tambahan. Keseluruhan 3 selimut tebal dan aku masih rasa sejuk sampai menggigil. Suhu masa ini kalau tak silap antara -5 hingga -7 darjah selsius. Habis semua baju yang aku bawa, aku pakai. Seluar sampai 3 lapis dan Benny masih menggigil sejuk! Ada sekali aku terjaga, aku rasa macam jantung terberhenti sebab terlalu sejuk. Dalam hati hanya berdoa, cepatlah pagi…nak balik! Tapi esok sangat menduga, tidak seperti yang aku bayangkan!

Sekian dahulu.

 

Super Excited!

Beberapa jam lagi aku akan memulakan kembara solo 2.0 selepas kali terakhir aku lakukan 2 tahun lepas. Kali ini tempat yang aku pergi agak tersasar dari comfort zone. Kebetulan tiket yang aku dapat 50% murah dari kebiasaan, maka aku tamsilkan itu adalah satu seruan /epiphany / petanda untuk aku meneroka bumi sana.

Anak-anak akan diuruskan oleh Hadi. Mereka sudah bersekolah, rugi untuk dipontengkan. Itu antara lapan belas sebab aku bergerak solo. Lagi pula dia sudah ke Bangkok beberapa bulan dahulu dengan gegurls yang memahami. Jadi dia kena fahami hasrat setempat HSBC aku pula.

Bermula malam tadi, anak-anak sangat extra manja. Macam faham-faham aku akan tinggalkan mereka untuk satu tempoh yang agak lama. Cadangnya kami mahu tidurkan mereka di bawah sahaja. Tapi Ezzudin pantas naik bilik, menemani aku berkemas dan tidur diribaan aku. Eskandar pula, tetaplah dengan manja memeluk dan bermanja setiap kali ada kesempatan.

Kerja…aku tinggalkan dahulu. Inilah baharu aku berkesempatan untuk bercuti kerana sejak Februari hingga Ogos, aku hanya cuti kalau sakit sahaja. Cuti am pun kadang-kadang sibuk dengan kerja juga. Sampaikan raya Aidilfitri dan Aidiladha pun aku tak boleh nak bercuti kerana beberapa kempen promo yang berlangsung serentak. Cuti kepit yang 3 hari dapat 10 tu, aku khaskan untuk anak-anak buah yang pun ramai tak sempat bercuti. Jadi kalian dah selamat bergumbira, ini masa aku pula.

Aku mengharapkan yang indah, bahagia dan baik-baik sahaja dalam kembara ini. Pelihara keselamatan dan kesihatan aku, temukan aku dengan manusia yang baik-baik dan jadikan aku lebih manusiawi selepas kembara ini berakhir. Aku mahu lihat dunia dan syukuri diri dengan sesungguhnya. Semoga aku dapat melihat keindahan dunia di negara penuh misteri dan sejarah ini.

Untuk itu, sampai di sini dahulu. Aku akan cuba untuk berkongsi cerita-cerita menarik di sana. Semoga kita semua dilindungi yang kuasa dan bertemu kebahagiaan yang dicari…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...