Untuk Dikenang – Adik Wani :)

The great thing about new friends is that they bring new energy to your soul.

Aku mengambil masa setahun untuk menzahirkan rasa syukur dan beruntung yang teramat kerana mengenali adik manis yang sentiasa tersenyum ini. Kenali dia dengan nama Aifa sahaja. Setahun lalu kami bersama-sama menjejak bumi Nihon dan dari situ aku mula rasa sesuatu yang sangat istimewa tentang dia.

Hari pertama kami bertemu adalah semasa sesi taklimat kursus yang dibuat di JICA, Jalan Ampang. Andaian aku masa itu ialah aku mungkin boleh berkawan dengan dia, tetapi agak sukar untuk rapat. Sisi pembawakan kami sangat berbeza. Aifa seorang yang soft spoken, baik hati, berani dan sangat huznuzon. Ohai, dia syantik.  Dia juga syariah compliance manakala aku liberal.

Semasa sesi memperkenalkan diri, dia memberitahu dia pernah pergi Jepun bersama keluarga dan familiar dengan dunia di sana sementelah dia ini rupanya minat K-Pop dan J-pop juga. Ok, jauh dengan aku sebab aku suka country music. Jadi bila dia cerita pengalaman dia pernah ke sana dan Korea, ternganga-nganga aje aku mendengarnya. Tapi aku dapat rasa macam boleh ngam sebab dia macam suka travel ke tempat-tempat yang ada sejarah macam aku juga.

Hari pertama itu juga aku sudah nampak dia ini sangat istimewa. Dia mendahulukan tempahan Grab Car kepada kawan-kawan lain semasa kami kalut macam mana mahu bergerak ke Kedutaan Jepun dari Jalan Ampang. Aku selalu percaya kalau seseorang mendahulukan dan mengutamakan orang lain dari diri sendiri, itu adalah perbuatan yang sangat mulia. Apatah lagi untuk orang yang kita tak pernah kenal. Mahal nilainya di situ.

Di Jepun, tidaklah semuanya bermula dengan pantas. Hari kedua kami di sana, dia duduk disebelah aku. Mereka menggunakan sistem nombor untuk menentukan kedudukan kami di dalam kelas. Dia nombor dua, aku nombor tiga. Satu aku perasan, dia sentiasa ada bekalan. Gula-gula ke, air ke…pokok pangkal dia pemakan macam aku. Ok, aku suka itu sebab senang nak paw.

Ketika kebanyakan antara kami excited mahu berjalan-jalan melihat kehidupan malam di Osaka selepas kelas Prof Emeritus Odano, dia dengan selambadaknya langsung tidak mahu ikut kami. Dia mahu balik dan berehat. Ada satu hari minggu yang kami membuat rencana untuk berjalan-jalan di Kyoto, dia memilih untuk meneroka bumi Kobe – seorang diri. Giler kental awek ini. Dari situ, jujurnya aku semakin mahu mengenali adik Aifa.

Dia jugalah manusia yang memperkenalkan aku dengan satu makanan di Jepun yang membuatkan saka makan aku menggila di sana iaitu Garlic Naan, Chai dan Mutton Massala Curry di Naan Inn, Kobe. Entah berapa kali kami mengulang makan di sana walaupun bukanlah murah juga harganya. Tapi sumpah sedap. Yes! Aku jumpa geng makan. Itu sangat indah sebab bukan mudah untuk dapat kawan yang sanggup melayan citarasa dan selera kita sepanjang masa. Oh, dia juga pemesan Kitsune Udon yang setia….sesetia aku memesan Bukakke Udon setiap kali kami melepak di San Plaza.

Ohai, dia penggemar kopi macam aku juga! Setiap kali dia keluar masuk combini, pasti ada kohii yang dibawa keluar dan hidup aku meriah dengan ajaran-ajaran cara membeli kohii yang agak renyah juga sebenarnya. Dialah yang memudahkan aku menyesuaikan diri semasa sebulan di sana.

Kembali kepada sisi perhubungan aku dan Aifa di dalam kelas. Kebetulan, kami berada dalam satu kumpulan kajian kes yang sama termasuk Kak Radin dan AJ. Jadi komunikasi lebih kerap terjadi. Semasa kunjungan ke Okanmuri Elementary School, Yusli dan Aifa kebetulan satu kumpulan yang sama dengan aku juga.

Lama-kelamaan aku rasa sangat selesa dengan Aifa. Kelakar juga dia ini sebenarnya. Satu aku akan ingat, imej dia dengan topi Sia hahahaha!

topi Sia hahaha…

Semasa kami berada di Tokyo, badan aku memang tengah tak fit. Penat sebenarnya berkursus mengejar masa ini. Saat kawan-kawan lain setiap malam penuh dengan aktiviti berjalan, aku dan Aifa hanya di bilik sahaja. Dialah yang aku harapkan untuk menampal plaster masa badan aku sudah rasa macam ranap minta ampun. Aifa juga yang memperkenalkan aku dengan bath salt yang katanya kalau sakit-sakit badan, berendamlah sekejap selepas campakkan garam tadi dalam bath tub. Aku selalu cerita kehebatan bath tub di Hotel Monterey Kobe and i’m not gonna lie – macam berada dalam sanctuary perasaannya. Sejak itu, aku pula sibuk dapatkan stok aku sendiri sebab hari-hari berjalan kaki dari satu eki ke eki yang lain buat aku rasa penat.

Best benda ni…hilang semua sakit badan

Hari yang betul-betul aku mengenali Aifa secara peribadi ialah pada hari ke-20 – Abby Exploring Kobe Part 2. Part 1 aku lakukan dengan Aiesa. Kami berjalan kaki berkilometer dan bersembang untuk lebih mengenali diri masing-masing. Dia belanja aku kohii Starbucks atas sebab yang aku sudah tidak ingat kenapa, makan Luke Lobster dengan penuh kesyukuran dan aku menemani dia membeli cek mek molek Jepun di kedai acik hensem yang rupanya sebijik “Tunku Zain”. Bila aku beritahu misi aku gagal mencari Memorial Gempa Bumi di Pelabuhan Kobe, dialah yang tunjukkan lokasi. Dia banyak buat aku happy masa di Jepun…

Mujur saka Uniqlo yang menyerang semua rakan-rakan hanya tempiasnya sedikit sahaja kena pada aku. Disebabkan ada satu hari aku temankan Aifa shopping, aku pulak terjebak. Saka beli jam G-Shock memang aku terpelihara jua. Satu-satunya jam yang aku beli ialah jam oren yang kalau dinilai harganya tak sampai RM12 di DonQ. Sayangnya jam ini hilang… Dia ni, kalau aku tak hep..hep mahu sebakul kasut pula dia nak beli.

Dengan Aifa aku terbuka untuk bercerita. Kalau dia bertanya apa-apa juga soalan, aku tidak pernah berahsia dan berselindung. Kesedihan aku yang terbesar semasa di Jepun ialah berpisah dengan pak angkat, Nakatani san dan dia tempat aku bercerita dan melepas rasa. Itu berlarutan sampai kami kembali ke tanah air. Ya, Allah…aku melalui detik sukar untuk move on. Jepun tu bukannya harga tiket seringgit dua yang aku boleh pergi setiap kali aku rindu manusia di sana. Jadi sejak balik dari Jepun, aku lebih kerap berjumpa dia untuk sesi trobek berkala walaupun Kak Dilla Nawawi kerja dalam RTM ini jugak. Kami akan pergi mengopi dan melepak dan mengenang kembali ristaan sejarah silam – gittew.

Terima kasih untuk semua itu, Aifa. Kalau ada yang akak harapkan masa depan ialah merealisasikan impian akak untuk ke Hiroshima bersama awak. Tapi akak faham awak pernah ke sana, so mungkin nak cuba meneroka tempat lain pula. Semoga tuhan memberkati hubungan persahabatan kita dan harapnya ia berkekalan.

You are a beautiful person, inside and out… Arigato gozaimasu!

Akemashite Omedetou!

Masih lagi dalam mood tahun baharu 🙂

Sebulan lalu aku diminta oleh wakil PREX untuk membuat ucapan tahun baharu untuk dimasukkan dalam newsletter mereka bagi edisi Januari 2018. Dalam ucapan itu, diminta masukkan mood tahun baharu dan sedikit pengalaman masa berkursus di Jepun. Aku jadi stuck kejap, sebab tak tahu nak tulis apa dengan limit perkataan sebanyak 150 patah perkataan aje kot. Kalau nak cerita pengalaman, aku boleh terbitkan buku sebab terlalu banyak cerita menarik di sana.

*Pemilihan tiada kena-mengena best students hahahaha…

Adalah dalam 3 kali bertukar tajuk penulisan, maka akhirnya aku putuskan untuk menulis pasal ‘positive vibes’. Ini sebab bos aku sekarang ini tersangat melekat aura positive vibes dan aku dapat idea dari situ.

Satu yang aku tak sangka ialah ia akan diterbitkan dalam nihonggo! Akak confident dalam bahasa Inggeris. Jadi bila terjemahkan balik dengan google translate, jadilah sebegini 🙂

Sebenarnya, teks asal ialah seperti berikut :-

Selamat Tahun Baharu!

It’s time to start the New Year with positive vibes and appreciate life no matter what obstacles we are facing at work or in our personal life. Running away from problems is the worst thing we can do to deal with the challenges in front of us. New Year is a great time to reflect on the changes we need to make.

After attending the LEP2.0 Management Training for Junior Officer in Kobe last August, the way I perceived work-related stress changed entirely. I never thought a simple exercise like identifying our problems and put it on a “problem tree” can lead to clearer decisions and multiple solutions. It’s true; the problem is not the problem. The problem is your attitude about the problem. Thanks to PCM Method and Prof. Nakaya sensei for emphasizing the importance of teamwork and ethics as a government officer.

Now, it’s time to gear up with new energies and start setting new goals for the New Year. Be the transformation that you wish to see at your workplace and take the initiatives to make things better. Remember, positive vibes always attract positive results in life.

Terima kasih kepada Farah Zamira yang membantu membetulkan tatabahasa nan tunggang terbalik dalam jangka masa yang singkat. Nanti kita lepak Kak Mah Tomyam Kg Baru ya.. 🙂

p/: tak pasti macam mana dari Nakaya sensei boleh jadi Dr. Nakatani huhuhu….rindu pak angkat 🙂

Sayonara Japan…

Here’s to us, here’s to love

Sangat sukar untuk aku mulakan catatan pengalaman terakhir di Jepun ini. Bukannya kerana tidak tahu mana nak mula, tapi lebih pada sarat emosi yang aku rasa setiap kali aku cuba mengingat apa yang perlu aku catat…untuk mengenang pengalaman manis aku 26 hari dibakar mentari Jepun.

Aku masih lagi terbawa-bawa rasa kesedihan semasa mengarang teks ucapan untuk majlis penutup nanti. Walaupun hari sebelumnya aku tidur pada pukul 3.00 pagi, aku tetap bangun pukul 6.30 pagi. Teks ucapan itu aku tambah dan pinda mengikut kesesuaian. Yang penting, teks itu akan mewakili kami semua dan sampai kepada sasaran. Point-point yang Yasmin dan Yus minta, aku masukkan mengikut mood penceritaan.

Katayama san dan Kitamura san tetap setia menanti kami di lobi. Cuma hari itu Kitamura sedikit berbeza sebab dia pakai blazer. Nampak formal sikit…aku aje pakai blazer nak bagi nampak bijak 🙂

Aku berjalan seiringan dengan Katayama. Dia ucapkan terima kasih sebab aku bantu mereka kemas bilik kuliah lepas sesi makan kek dan game yang lalu. Alahai…hal kecil aje tu. Apapun, sebelum sampai ke pejabat JICA aku kena top-up caffeine dalam badan dahulu. Takde rasa mengantuk pun…sekadar memulakan hari dengan aroma yang memukau, gitu. Selepas ini tiada lagi iced latte Lawson 🙁

Hari ini kami diminta memberi maklum balas berhubung beberapa aspek antaranya taklimat sebelum ke Jepun, logistik, jadual dan apa juga komen untuk pihak PREX dan JICA baiki program ini. Kemudian kami melawat sebentar ruang kerja JICA sebelum berkumpul di tingkat 3.

Selamat konvo 🙂

Acara yang semua nantikan pun tiba – majlis penutup dan penyampaian sijil. Pertama kali dalam sejarah hidup aku terima sijil kursus macam dengar lafaz majlis nikah! Kami dapat 2 sijil iaitu dari JICA dan PREX. Mereka baca satu demi satu apa benda yang tulis dalam sijil itu sebelum menyerahkannya kepada penerima. Yusli penerima pertama diikuti oleh Wani (hahahahaha…), aku, Kak Dilla dan lain-lain. Ah, sudah…biar betik mereka akan buat macam itu untuk 20 peserta.

Nasiblah tidak…setakat sebut nama, ucap tahniah dan ‘seperti disijil’ sahaja. Masa Yusli diserapahkan pun aku dan Kak Dilla sudah gigil-gigil nervous. AJ in the house, terima kasih kerana gunakan kamera cantik untuk ambil gambar kami semua. Sangat aku hargai…memang menyesal gila dengan kualiti gambar ASUS yang kelabu asap.

Kemudian, Yusli dipersilakan untuk menyampaikan ucapan penutup. Sejak semalam aku dan Yasmin sudah pesan, baca sahaja, make it light and fun dan gunakan pacing yang betul sebab ini menutup diri kita semua. Dia sempat pinda yang mana patut dan sampaikan dengan cemerlang! Terima kasih yang sesungguhnya. Aku rasa terapung bila mereka cakap, mereka suka dengan ucapan itu. Memang aku lepaskan semua apa yang aku rasa logik untuk dikongsi dalam teks itu.

Thank you so much!

Kak Dilla dah banjir masa ucapan penutup. Aku sedih tapi boleh control lagi. Yang lain-lain aku tak pasti tapi beberapa peserta memang personally bagitahu teks itu memang santai, tapi sedih. Aku sudah sedih dulu huhuhu…

Kemudian, acara pemberian cenderamata kepada JICA, PREX dan koordinator. Ooi san, Musha san, Nakatani san, Sekino san, Katayama san dan Kitamura san…inilah insan yang bersama-sama kami dalam semua aktiviti sepanjang 26 hari kami di Jepun. Aku langsung tak sangka akan ada satu jalinan perasaan dan emosi yang kuat dengan mereka. Kalau tidak, pasti sudah aku sediakan cenderamata khas buat mereka dari Malaysia. Menyesal gila tak prepare hadiah siap-siap.

Bila bagi pada Musha, Leza tadah muka. Nakatani pun mcm tu, Ooi dan Sekino pun sama. Ohai, Leza…tak menahan setiap gambar semua selit muka dia! Acik pegang paper bag sangat 🙂

Bila bagi pada Katayama, dah macam musical chair semua peserta berlari nak menyelit bergambar dengan dia! Weh, dia nangis….aku pun dah mula-mula empangan retak.

Kitamura (left) and Katayama (right)

Kemudian kami menjemput Kitamura untuk menerima cenderamata. Pertama kalu aku tengok dia pakai blazer…pertama kali aku tengok dia cakap dengan perasaan sebak dan pertama kali aku tengok dia menangis….Aku memang rapat dengan Kitamura kerana selalu berjumpa disebabkan hobi yang sama. Masa di Ginza, Tokyo, aku kampai dengan dia dan Nakatani. Itu sebab bonding kami kuat.

Aku tengok semua mula keluarkan cenderamata peribadi untuk diberikan kepada peserta. Aku mulakan dengan berikan pada Sekino. Mujur paper beg Starbucks tajaan Leza membantu menampakkan exclusivity hadiah yang aku beri. Kemudian Ooi, Kitamura dan Katayama. Akhir sekali baharulah aku menuju generasi abah-abah ini. Musha nampak sangat berbesar hati. Masa ini memang aku dah banjir. Pak angkat dapat last…paper bag paling kecil dan gelap. Langsung tak nampak aku tulis nama dia di luar beg.

Kami kemudiannya naik ke tingkat 3 untuk acara makan tengah hari. Aku langsung tak makan apa. Tembikai sepotong dan segelas coke. Perut aku masih sebu. Seperti biasa, kampaaaai! 

Makan time…halallan toyyiban jua
Siapa tadah kamera, kami tadah muka
Kampaaaai!

Tiba-tiba Kitamura datang pada aku. Dia tanya, jadi tak aku ke Kyoto November nanti sebab dia dapat kerja luar pada bulan itu. Macam serba salah masa dia nak bagitahu aku benda tu…Aku cakap pada dia, kalau ada rezeki kita akan jumpa juga. Tak tahu bila, tak tahu di mana..tapi percayalah kuasa tuhan. Ohai, dia peluk aku…aku banjir lagi.

Semua mengambil kesempatan untuk bergambar. Konsepnya- siapa ada,kamera kita semua tadah muka. Aku dah tak kuasa nak guna handphone aku. Patah hati sangat rasanya.

Kebanyakan peserta sudah berkumpul di luar bangunan JICA untuk ambil gambar. Aku tak join. Nakatani bagitahu dia akan bawa aku berjalan hari ini. Sebenarnya kalau dia tak ajak pun aku memang ada niat nak ajak dia keluar spend time sama sebelum aku balik Malaysia. Nasib dia cakap dulu, tak adalah rasa macam memaksa pula. Jadi aku, Nakatani dan Mr Okamoto berjalan bersama-sama ke Iwaya Eki sebelum berpisah di situ. Mula-mula dia nak ajak pergi sky building apa nama entah di Osaka tapi aku tak mahu….jauh. Aku nak santai aje…minum kopi, karaoke macam itulah.

Masa lepak kampai dengan Kitamura di Ginza, Tokyo

Sebenarnya sejak di Tokyo dia dah janji nak bawa aku pergi karaoke. Puncanya simple aje, wishlist apa nak buat di Jepun yang ramai cakap nak pakai kimono la, nak makan makanan Jepun la dan lain-lain. Aku aje nak merasa karaoke di Jepun. Tapi masa di Tokyo tu aku tengok dia pun macam dah letih, aku cakap before balik KL di Sannomiya sahajalah kita pergi. Disebabkan cuaca panas gile, dia ajak lepak minum kopi dahulu di San Plaza. Kami pesan kopi ais dan sembang dekat 1 jam 30 minit.

Sembang macam-macam topik dari sekecil-kecil cerita sampailah melarat pasal disaster, kematian dan topik-topik macam itu. Dia banyak tanya kenapa aku suka sangat sesi Disaster Risk Reduction minggu lepas. Aku bagitahu seperti mana yang aku catat dalam blog terdahulu. ‘What to do…have to live with that‘. Banyak kali juga aku dengar ayat tu. Dia cerita masa The Great Hanshin-Awaji Earthquake 1995 dia ada di Nagoya manakala masa The Great East Japan Earthquake dia ada di Singapura (kalau tak silap).

Baru lepas tengok video disaster…

Kemudian…hahaha ini agak kelakar sedih. Dia kata dia tak dengar langsung aku nyanyi waktu dia round check sorang-sorang. Aku memang tak suka menyanyi ke? Nak karoke macam mana kalau tak menyanyi? Aku ceritalah pasal lagu tu…pasal Cahaya Balqis dan cerita personal lain. Kami lebih kenal sesama sendiri secara peribadi. Cerita duka lara ni tak lama. Banyak sembang pengalaman dia kerja di Malaysia aje. Citer acik pachinko, kopi o kosong dan tempat cuti mana best di Malaysia. Macam ada harapan kunjungan balas aje tu…Oh, juga trivia penyanyi asal Sukiyaki itu maut dalam nahas kapal terbang pada tahun 1985.

Kemudian baharulah dia ajak aku karaoke dekat-dekat dengan Ikuta Road. Tak reti aku sistem karaoke sini. Mujur ada dia yang kaki mikrofon juga sebenarnya. Nak pilih lagu pun banyak tertib. Kalau kat tempat lain klik sekali aje. Ini lepas kita pilih ada arahan lain pula. Sure kau pilih lagu tu? Nasib takde soalan tambahan, kau boleh tarik ke lagu tu tinggi, hanat?

Tuan rumah kenalah buka pentas. Ok, dia memang kaki, suara dia best tapi semua lagu Jepun. Akak memang tak boleh jumpa mic…so, ngam 🙂

Ambil 2 jam aje...lama dah tu, konon. Sempat dia order takoyaki dan semangkuk besar macam ABC, tp ada aiskrim dan kek-kek bertabur atasnya. Weh, siapa nak makan ni…kita 2 ketul aje. Lama-lama tu habis juga. Tengah hari tadi aku tak makan sangat. Tahu-tahu aje 2 jam berlalu…menambah lagi sejam. Setakat Utada Hikaru dgn lagu Sukiyaki aje lagu Jepun yang aku pilih, lain semua lagu Inggeris. Nyanyi pun secara gilir-gilir…ikut peraturan sangat. Tapi tak ada satu keping gambar pun yang aku ambil. Tak usik handphone langsung. Rasa menyesal pulak tak rekod video atau snap beberapa gambar. Lepas karaoke, baharulah kami berpisah. Oh, sedih….speech akhir tu aku simpan sendiri. Kemudian aku balik hotel dan dengan malasnya mulalah mengemas beg.

Oh, funny…

Malamnya, aku, Yasmin, Aifa, Radin dan Ain sudah berjanji untuk berjumpa di Naan Inn. Aku gerak seorang dari hotel. Masa aku sampai, seorang pun takde. Aku memang dah janji dengan Amin akan datang sebelum hari Jumaat. Dah aku toyak kat situ pulak sementara menanti jemaah yang tak sampai-sampai tu…nasiblah Yasmin sampai cepat sebelum macam-macam soalan pelik yang aku dapat. Kemudian Aiesa dan Shaq pun sampai.
Ingatkan tak mahu makan..sekadar minum air sahaja. Tapi disebabkan aku makan seharian ini bukanlah sejenis makanan yang bersifat, maka aku order juga garlic naan dan mutton curry masala. Ini konfem last…Aku pun tak faham punca, malam tu dah macam pasar bollywood dalam kedai ni. Lepas satu lagu Hindi melarat ke lagu Hindi yang lain. Eh, kita ni kat Jepun..bukan Calcutta! Siap ada yang fefeeling tarik-tarik kain saprah. Penutupnya kami semua bergambar dan itu betul-betul sayonara, Naan Inn…Sesungguhnya kami semua akan rindukan masakan dan layanan yang diberikan.

Sedih-sedih pun makan garlic naan juga

Tetapi aku, Yasmin dan Aifa tidak terus balik hotel. Ada saka arimasu nak beli tumbler Starbucks pula. Sementara Wani (Wani..?) sibuk membelek, aku dan Yasmin berjus gosip dah baharulah aku faham kenapa banyak benar yang tanya kenapa aku prefer sangat topik disaster tu…Korang tak tengok lagi saka aku kalau topik cult leader…boleh taubat nasuha.

My group members
Panasonic, Tokyo

Aku menutup catatan berjemaah pengalaman di Jepun dalam catatan ini. Maaf yang sesungguhnya kalau ada salah dan silap. We are only human. Yang indah untuk dikenang. Yang sejuk gedi macam udon salah pilih tu, kambus ajelah. Afterall kita tak tahu bila ada kesempatan untuk berjumpa lagi.

Musha-Linda-Nakatani and me

Truly, i’m gonna miss u guys…geng lepak taman tingkat 3, geng menceceh bujang lapok Kyoto, geng rompak sambal pedas kak Dilla dan Nina (Nina boleh menang kategori cicir barang), kari dan rendang dalam tin serta serunding sekilo, geng lompat bergambar dan tadah muka bila perlu, geng Marugame Udon, geng pinjam kamera untuk ambil gambar sebab handphone kelabu asap, geng onigiri-Luke Lobster dan iced latte Lawson, geng combini…aduhai banyak lagi tapi aku harus beri kredit pada Aiesa atas banyak sumbangan video dan nyanyian Christine dalam penutup video yang setiap kali aku tengok balik, aku akan hiba 36 kilometer…

To-daiji Temple, Nara
Jalan-jalan Osaka
Kelas PCM method
Semua kerumun koordinator

Koordinator kita, Katayama dan Kitamura. Kadang-kadang aku terlepas juga ichi ni san tak semena-mena sebab teringat pada acik Katayama. Juga Ooi, Sekino, Musha san dan pak angkat aku, Hiroyuki Nakatani.

I look up when I walk

Counting the stars with tearful eyes

Remembering those happy summer days

But tonight I’m all alone

Sayonara semua…

The End Is Very Near – Owari Wa Totemo Chikaku Ni Aru

Entahlah…rasanya cepat sangat masa berlalu. Tahu-tahu hari ini kami semua perlu membentangkan pernyataan masalah secara berkumpulan dan juga pelan tindakan individu. Sekali lagi kami semua bergasak dengan Nakaya sensei. Mula-mula tu, ingatkan tahap dewa sangat sesi ini. Tetapi Alhamdulillah…semuanya berjalan lancar. Mana tak panik, 3 minggu lalu Nakaya sensei beritahu selagi dia tidak berpuas hati dengan Action Plan yang dibentangkan, dia akan duduk secara seorang demi seorang bagi memastikan mencapai standard yang ditetapkan.
Setiap kumpulan diberi 20 minit untuk membentangkan tajuk manakala untuk individu diberi 5 minit untuk menerangkan pelan mereka. Isu yang dipilih kebanyakannya adalah isu lazim pengurusan dalam sebuah organisasi. Pendek kata, make believe punya masalah.

Kumpulan pertama melantik Ain sebagai pembentang diikuti kumpulan lain iaitu Aifa, Azwan, Fatta dan Aiesa. Kumpulan Ain bentang pelan kumpulan dalam 20 minit, manakala individu tak sampai 5 minit seorang. Jadi banyak masa yang kurang di situ. Soalan dari Nakaya sensei dan peserta lain pun tidaklah banyak mana. Sedang elok kata orang…

Kumpulan 2, iaitu kumpulan aku memilih Aifa sebagai pembentang. Ini memang ekspress rakyat – tak sampai 5 minit! Yang penting semua maklumat dapat disampaikan. Pembentangan individu sahaja yang lama sebab masing-masing menerangkan pelan mereka secara terperinci. Siap dengan halangan dan cara mengatasi. Kemudian, aku membentang pelan individu diikuti oleh Radin dan AJ in the house. Tibalah detik soalan-soalan cepu emas dibuka. Aduh, rasa macam pop star kejap sebab ramai sudi bertanya pasal pembentangan aku. Penerangan kumpulan kami memang hangat sebab banyak soalan dan ramai yang suka cara AJ beri pendapat. Dia cakap aje kita boleh rasa, ish…logik dia ni. Tanya bukan sebab nak tahu sangat pun tapi lebih suka tengok dia keluarkan pendapatnya. Akupun turut memberikan tumpuan penuh setiap kali dia bersuara. Apapun terima kasih kepada Yusli kerana beri pinjam blazer untuk nampak bijak semalam.

Kumpulan-kumpulan lain meneruskan pembentangan mereka sampailah semuanya tamat hampir pukul 4.00 petang. Tadi macam dengar boleh habis awal, boleh pergi Osaka dan lain-lain kata-kata memujuk. Apa nak buat..macam aku kata tadi, Nakaya sensei akan pastikan semua pembentangan mengikut standard yang mereka mahukan.

Usai semua pembentangan, ucapan terima kasih dibuat oleh wakil kami, Kak Sue. Untunglah dia…beri ucapan terakhir. Lepas ini kami tidak akan jumpa Nakaya sensei lagi. Sebelum kelas berakhir, aku beritahu Nakaya sensei kalau dia datang Malaysia, beritahulah kami. Nanti kami bawa minum teh tarik dan buat mini reunion sekali.

Ingatkan dah tamat…eh, belum juga!  Meja tiba-tiba disusun rapat dan kemudian Musha san, Nakatani san dan koordinator kami masuk bawa plastik berjinjit-jijit. Rupa-rupanya wakil PREX dan koordinator mahu belanja kami semua makan kek! Ohai….sweet giler! Peserta perempuan diminta datang ke depan dan pilih kek yang mereka mahu. Tapi aku perasan ada yang tak berapa perempuan pun dah ke depan sebab tak sabar nak pilik kek. Aku tak pasti apa nama kek ini…tapi sedap! Sedap…sedap dan sedap sangat! Aifa dan aku dapat kek yang sama. Punyalah sedap sampai dia langsung tak kongsi dengan sesiapa 🙂 Terima kasih pak angkat sebab ini semua idea dia. Semanis dirimu, okay 🙂 (itu over…i know!)

Kamera Shaq..cun abes
Aku amik yg ni..sumpah sedap!
Kampai aje kojenya

Kemudian kami diberikan sekeping kertas, lagu Jepun katanya. Aku dah agak, mesti lagu Sukiyaki. Memang betul..lagu yang sama sensei language kami ajar 3 minggu lepas. Nakatani san minta kami menyanyi selepas dia. Dia ingat kami tak tahu kot lagu ini. Ok nampak sangat dia memang kaki karoke dan suara dia sedap. Punyalah nak pastikan kami boleh nyanyi lagu itu, dia menuju seorang demi seorang untuk mendengar suara kami. Sampai dekat aku, aku diam beku kejap. Macam aku cakap dahulu, Sukiyaki waima apapun bahasanya pasti akan buat aku sedih. Ini lagu masa aku kehilangan Cahaya Balqis.

Kehilanganmu…hilang Cahaya.                                  Dihatimu kini bukan aku 🙁

Kemudian kami bermain game yang tidak diketahui namanya dengan menggunakan dadu. Nombor apa yang kami dapat, kami kena jawap soalan itu berdasarkan soalan yang telah ditulis di papan putih. Soalan paling kerap orang dapat ialah no 3 – tempat yang paling disukai di Jepun dan kenapa. Teddy kalau tak salah tercabut nombor aku. Dadu dibaling dan aku dapat no 3 juga. Wooo..bising semua orang suruh baling lagi sekali. Ok la…dadu itu aku baling sekali lagi dan dapat no 6. Soalannya kalau tak silap apa yang awak suka tentang lelaki / perempuan Jepun. Tergelak-gelak aku menjawab. Perempuan Jepun ni cantik…kulit bersih, pandai bergaya dan fesyen sangat up to date. Lelaki Jepun pula smart dalam berpakaian, berjalan sangat laju dan kuat minum.

Sebelum menutup acara hari ini, seperti biasa kami akan bergambar secara berkumpulan. Tukang ambil gambar ialah koordinator kami yang setia dan juga Nakatani san. Last sekali, semua ada dalam frame, dia aje tinggal untuk ambil gambar. Mujurlah Aiesa ada tripod kamera dan dia boleh juga bergambar bersama-sama kami. Tak menahan acik ni, dia terdampar dugong depan aku. Eh, korang jangan ingat aku tak dengar ayat-ayat membahan aku dari belakang itu 🙂

Tapi memang menghiburkan…

Kelas kemudian bersurai. Aku menunggu Aifa solat dahulu dan membantu urus setia membersihkan bilik kuliah yang penuh dengan sisa makanan dan lekat-lekit makan kek tadi. Musha san ajak aku minum selepas semuanya selesai tapi aku dah kenyang sangat…aku bantai coke bergelas-gelas tadi.

Sebelum balik, Aku dan Aifa singgah San Plaza untuk makan Marugame Udon tapi entahlah…sama ada aku terlalu sedih untuk makan hari ini atau faktor lain, aku makan tak habis. Macam tak luak sangat pun ada. Even tempura yang aku suka sangat tu pun macam tak boleh masuk. Ingatkan aku aje, Aifa pun ada masalah makanan hari ini.

Saka arimasen!

Malamnya, aku dan Aifa ke DonQ untuk membeli cenderamata buat orang-orang Jepun yang kami rapat. Aku tak tahu nak beli apa sebenarnya..Apapun aku harap apa yang aku hadiahkan itu mereka sudi terima seadanya…
Perasaan bercampur baur..sedih kerana segalanya bakal berakhir dan gembira kerana akan berjumpa dengan keluarga tersayang. Mengelamun….mengelamun pukul 3 pagi waktu Jepun baharu aku terlelap…Aku habiskan masa memikirkan teks ucapan penutup untuk esok.

Esok hari yang penuh dengan emosi. Perpisahan itu pasti terjadi…

Taufan Noru – Kelas Tetap Terus!

Hari ini kami berkumpul di lobi seperti biasa – masa yang sama, drill yang sama. Cuma bezanya suasana di lobi tidak setenang hari biasa. Semua penglihatan tertumpu kepada papan peringatan notis Taufan Noru yang dijangka akan melanda sekitar kawasan Jepun. Kobe dan Osaka dijangka akan menerima tempias Taufan Noru yang dikatakan semakin melemah. Lemah tak lemah pun hujan tidak berhenti sedari semalam dan angin kencang mengiringi perjalanan kami hari ini.


Yang tiada payung, sibuk cari atau beli payung. Ada yang beli baju hujan. Aku tanpa persiapan apa-apa. Kalau hujan, redah ajelah. Apa nak buat. Alangkan di Malaysia pun aku tidak berpayung. Aku tengok Musha san pun hari ini bawa payung besar. Nakatani san pun sama. Amaran seperti ini biasa bagi mereka. Aku tenang-tenang aje sebab hujan tanpa henti ini bukannya hujan lebat seperti di KL yang berpotensi mengundang banjir kilat – sangkanya!

Kelas tetap terus. Jadual yang mereka sediakan tetap kami patuhi walaupun ada sedikit pindaan lokasi disebabkan faktor amaran taufan. Hari ini hari terakhir kami ke Osaka. Kami akan melawat Maishima Incineration Plant. Walaupun hujan, trafik tidaklah teruk sangat. Kami tetap sampai mengikut masa yang ditetapkan.

Semasa perjalanan, aku terpandang satu bangunan seolah-olah kubah masjid yang cantik dan unik. Dalam hati terasa seperti mahu ambil gambar, tapi disebabkan hujan, aku sekadar mengamati bangunan itu dari kejauhan. Tanpa aku sangka, itulah sebenarnya Maishima Incineration Plant!

Stuktur bangunan dan rekaannya memang cantik. Sayang…hujan! Kalau korang nak tahu bangunan ini macam mana rupa parasnya, google la sendiri. Aku boleh payung gambar replika aje. Menariknya bangunan ini tiada satu pun rekaanya mempunyai garis lurus. Semuanya senget-benget tetapi disebabkan ia direka seolah dalam taman tema, kita langsung tidak akan perasan hakikat itu. Masa jejak kaki sahaja aku dah rasa macam A Whole New World sangat. Kata Kak Linda, memang ada yang kata bangunan ini macam Aladin!

Di sini kami diberi pendedahan tentang pelupusan sisa di Osaka. Seperti biasa, tayangan video tentang tempat ini yang dibuat dalam versi Jepun. Aku dah boleh agak video itu ceritanya pasal apa. Cuma aku serabut dengan shot movement shot tilt up, tilt down, terus pan left, pan right kemudian zoom in, zoom out sepanjang video Langsung tak ada statik…moving memanjang. Ingatkan aku aje…rupanya ada lagi seketul dua yang berperasaan yang sama. “Dah macam tengok sinetron” kata seseorang yang aku tak ingat siapa. Terjemahan yang dibuat oleh Kitamura san juga menambahkan kadar kesembaban yang ada.

Kami kemudiannya dibahagikan kepada 2 kumpulan. Aku memilih untuk berada dalam kumpulan Katayama san sebab sure aku mengantuk kalau Kitamura san yang terjemah. Wakil Maishima Plant yang  membawa kami menjelajah kawasan ini ialah “Mamat Khalid”..tak pasal-pasal. Di Jepun, kami sudah jumpa muka-muka yang seakan-akan selebriti Malaysia. Antaranya Esma Daniel, Datin Seri Maznah Rais, Azalina Othman, Maman Teacher’s Pet dan ramai lagi.

Kami berada ditempat pelupusan sampah, tapi bau sampah takde! Maksud aku, bau tengik nirrojim nak muntah tu takde. Bau-bau pelik sikit itu adalah, terutama dikawasan terbuka. Tetapi disebabkan ada taman dikeliling kawasan itu, tidaklah kronik sangat rasanya. Kami melihat sendiri proses bagaimana pelupusan sampah dibuat dari lori sampah datang, sampa itu hala ke mana dan proses pengasingan yang semuanya automation belaka. Memang konsep kaizen diamalkan dengan meluas di sini. Sebesar-besar tempat ini, pekerja mereka hanya 101 orang sahaja – beroperasi 24 jam.

Di sini, mereka merawat sendiri air yang tercemar, 40% tenaga yang terhasil digunakan dalam bangunan ini manakala bakinya dijual kepada Osaka Electric. Sisa aluminium dan besi juga dijual manakala yang mana boleh dikitar semua, dikitar semula.

Tour guide kami memang kelakar, tapi kelakar Jepun. Yasmin aje faham. Yang lain berkerut-kerut juga nak hadam lawak dia. Agaknya dah lama sangat tak jumpa lelaki sampaikan ada yang nampak menarik juga dia ni. Saspek itu dirahsiakan untuk keamanan sejagat 🙂

Tapi macam aku cakap, sayangnya hujan.Tak dapat nak mengabadikan sendiri kecantikan tempat pelupusan ini. Ia sengaja di reka sebegitu untuk membuatkan masyarakat keliling selasa dan turut menjadi tumpuan keluarga membawa anak-anak bersiar-siar di sini. Tiada siapa yang selesa kalau duduk dekat dengan tapak pelupusan sampah. Tetapi dengan odorless macam itu ditambah dengan rekaan bangunan yang menarik, ia menjadi tumpuan ramai.

Selepas itu kami berhenti makan di Asia & Pacific Trade Center untuk makan tengah hari. Pertama kali aku tidak bawa bekal bila ada field trip. Jadi aku ke combini untuk membeli sandwich telur dan udon sejuk kejung.Masa aku amik sandwich, tiba-tiba Shaq berada di belakang aku dan cakap, “mana boleh makan”. Eh, apasal? Telur aje kot..

“Tak, maksud aku, mana yang boleh makan?”.

La…nada tadi tu macam menidakkan pilihan aku aje 🙂

Sudahlah aku dikhabarkan Mos Burger pun tak boleh makan sebab minyak yang digunakan itu ada bahan terlarang. Tapi yang dah makan tu, makan ajelah. Mujur aku beli 2 makanan..udon sejuk tu rasa macam kapur kasut. Ya, aku pernah makan kapur kasut hehehe…

Kami kemudiannya ke pejabat Hitachi Zosen dan diberi penerangan tentang Waste Power Management and Tide Gate. Rupa-rupanya yang jaga slides tu orang Malaysia! Tersengih-sengih dia kena bahan…Aku baru nak cakap, kadet PTD mana jaga slides tu, rupa-rupanya orang Sepang. Ada beberapa soalan yang teknikal, jawapannya pun sama juga. Laju aje diorang suruh Faiz ni terjemah. Sebenarnya tak sesuai buat macam tu…dia ada senior. Amalan ‘senpai and koohai’ ini tidak begitu dikisahkan khalayak sangat. Bila dia explain dalam bahasa Malaysia, aku tengok Jepun-Jepun lain dan gelak-gelak sebab diorang tak tahu kami sembang apa. Comel dia ni..boleh buat adik ipar.

Apapun aku respect dengan Mr Toyohito Fushita yang berusaha membuat pembentangan dalam bahasa Inggeris. Dia ini generasi muda, semangat dia lain sikit. Macam aku cakap dahulu, perbezaan generasi antara Malaysia dan Jepun sama sahaja. Belum lagi effort dia belajar beberapa salutation. Patutlah banyak aje ayatnya, ini mesti Faiz dah bantu dia.

Ceramah seterusnya ialah berkenaan Tide Gate. Aku tak pasti siapa yang beri ceramah sebab dia duduk depan, sederet dengan kerusi aku. Aku dengar aje apa yang dia diterangkan. Disaster Risk Management memang topik yang aku gemar. Jadi aku abaikan faktor-faktor lain. Sepatutnya kami dibawa ke kawasan mereka beroperasi tetapi atas faktor cuaca dan keselamatan, mereka gantikan dengan ceramah ini.

Ini adalah kelas terakhir kami bukan sahaja di Osaka, malah untuk keseluruhan kursus. Waah, cepatnya masa berlalu. Semasa kami turun ke lobi, barisan panjang seakan menutup laluan kami untuk keluar dari lif. Eh, apa berlaku ni?

Semua pekerja diminta balik awal kerana ancaman Taufan Noru. Osaka antara tempat yang berpotensi menerima impak taufan ini, Walaupun dikatakan Taufan Noru semakin melemah, aku rasa angin semakin kuat dan kincir angin di luar berpusing laju. Kalau mereka lambat, kemungkinan besar lambat sampai rumah sebab banyak tren yang delayed.

Dikhabarkan 400 penerbangan terpaksa ditunda disebabkan faktor cuaca, 2 mati dan 9 dilaporkan hilang. Sepanjang perjalanan aku tawakal ajelah. Aku tengok air longkang dah semakin naik. Kawasan Osaka ini macam Pattaya, keliling semua laut. Kot ada pokok bakau tu lambatlah sikit impaknya. Yang nyata kalau tsunami membadai, memang pelabuhan-pelabuhan dan kilang-kilang di pesisir ini kena dulu. Aku dapat tengok orang yang berjalan  bawa payung pun berusaha mengawal payung agar tidak diterbangkan angin. Itu belum masuk payung-payung jahanam yang ada di pinggir jalan.

Hujan masih tak berhenti. Dalam takut-takut tu, perut sudah lapar dan saka Marugame Udon menjelma tak menahan. Mujur pakcik bas yang setia ini sudi memberhentikan kami di Sun Plaza untuk kali ketiga dan kali terakhir. Tertunduk-tunduk aku ucapkan terima kasih pada dia. Dia memang sangat baik.

Usai makan, aku balik ke hotel seorang diri. Yang lain saka shopping masih tak hilang. Dalam 10 minit juga aku ditimpa hujan dengan angin yang agak kuat. Terus aku mandi dan tidur. What’s App bertalu-talu masuk pun aku tak sedar. Dalam pukul 8.40 malam aku terbangun dan capai handphone, beratus-ratus pesanan masuk. Semua dah mengaruk pasal Indivual Action Plan tak buat lagi! Terus aku buka laptop dan buat dengan segera. Esok tiada kelas…jadi aku nak berehat seharian. Kalau nak berjalan setakat area Motomachi aje.

Panjang sembangnya. Dari assigment membawa ke persembahan, melarat pasal bunyi-bunyi pelik dalam hotel kami yang lama ini. Aduh, aku dah la pentakut. Ada pulak yang kasi gambar budak Ju On dengan pompuan The Ring tu. Terus aku minta mereka stop. Kita ni, kadar ketakutan masing-masing berbeza. Korang mungkin nampak badut tu kelakar, tapi aku pandang padut tu seram sebab aku dah tengok badut yang tak senonoh macam tu dalam It dan American Horror Stories – The Carnival.

Aku tidur pukul 3.00 pagi melayan berita. Sebenarnya aku dalam mode berjaga-jaga. Lepas tengok video The Great Hanshin-Awaji Earthquake dan The Great East Japan  Earthquake, aku jadi paranoid sikit. Apapun syukurlah tiada apa yang major melanda Kobe.

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...