BENIH CILI DAN BENDI : LEPAS SEMINGGU…

 

Balik Melaka semalam, fikiran aku memikirkan beberapa hal. Pertama pastinya keberadaan suami dan anak-anak. Keduanya, benih-benih tanaman yang aku semai minggu lepas.

Tanam pokok ni tak semudah main Farmville. Aku ingat habis hebat di alam siber sampai beratus-ratus level, dalam realiti aku sehandal itu. Tidak pemirsa…banyak elemen yang perlu dititikberatkan sebelum terus masuk gear 5 nak agresif bertani.

Ada masa terluang, aku menonton video tutorial ringkas menamam cili di Youtube. Terus pucat lesi dan tepuk dahi Kak Benny kau. Ingatkan tanam dalam botol mineral kira save the earth la sangat. Aku buat rookie mistake. Aku tak tebuk lubang pada botol tu ???

Haih…10 kali haaaih sangat! Terus buat mental note supaya tak berulang kesilapan ni. Nak mudah pergi aje beli bekas tanaman kat Kedai RM2. Tak payah sakit-sakit kepala.

So pagi tadi aku mengintai tanaman dengan perasaan nervous. Jangan la tak jadi, jangan la tak jadi, jadi mantra aku. Alhamdulillah…benih bendi memang cantik bercambah. Cili yang disemai pada bekas tanaman pun mula berputik. Yang tanam dalam bekas air mineral, haram tak jadi apa. Jadi kaku dan membisu macam boifren yang kantoi ada skandal, terdiam tak boleh nak bela diri. Gagal di situ dengan markah kosong…seperti kertas pertama exam masa matrikulasi dulu sebelum dinasihatkan untuk berhenti dan ambil course lain. Zero telur hayam!

Tapi Kak Benny kau ni sejenis yang pantang menyerah. Macam mana kegagalan dari kosong itulah dia bangkit balik macam phoenix. Ganbatte kudasai ya Kak Benny…try again. Aku akan buktikan aku boleh menanam cili dari benih kosong yang rendah diri menjadi tinggi macam pokok kacang ajaib Jack.

Memandangkan benih bendi boleh dikatakan dalam 25 biji tu, 20 yang jadi, aku mula memikirkan untuk pindahkan ia pada rumah yang sendiri. Kang berebut kasih sayang dan nutrien, majuk bunuh diri pulak. Pantas aku tanyakan pada satu group yang suka berkebun-kebun ini sama ada pindahkan satu benih satu pasu atau 3 benih dalam satu pasu. Iyalah..kang sorang-sorang boring pulak benih tu. Kalau ada kawan-kawan boleh buat menyembang. Pada Mama pun aku layangkan pertanyaan yang sama.

Jawapan yang aku dapat solid dari semua – satu benih, satu pasu – non sharing – single is awesome! Jadi Kak Benny kau berulang ke kedai Eco membeli pasu comel, secomel adik viral yang nyanyi lagu mengantuk mengantuk nak tidur mana tu.

Hasilnya, tadaaaaa….
10 bekas bendi. Ada separuh lagi aku tak sempat pindahkan sebab tanah hitam dan pasir aku tak cukup. Esok-esoklah aku usahakan. Semoga minggu depan pokok-pokok ini selamat membesar dan serasi di rumah baharu.
#apabilakakbennymenulis
#kakbennyadakebun
#11of365

MISI DURIAN MONTHONG…

Okay…hari ini nak cerita santai. Asyik sedih-sedih keluh kesah mak esah tak bagus untuk perkembangan minda.

2 hari lepas Kak Benny kau asyik fikir pasal durian monthong. Aku ni bukannya rajin nak ke tapak semaian untuk tengok pokok apa yang ada. Kalau kebetulan jumpa kat pasar tani, rajinlah usha-usha, mana tahu ada hasrat nak beli. Taubat beli kat Cameron Highlands sebab memanjang aje tak jadi bila tanam kat KL. Jadi pada malam nan sepi pi pi itu, akupun carilah kat FB kot ada orang jual benih durian monthong kat sekitar Lembah Kelang.

Dari satu page ke satu page, tak jumpa. Yang ada di Pahang, Terengganu dan Perak. Bila zamannya pulak nak ke sana? Hampir rasa give-up. Sampailah aku gatal membaca komen-komen pada posting yang ada.

Jumpa juga dengan seseorang yang bukan sahaja menjual benih durian monthong, malah segala-mala jenis benih durian semua dia ada. Juga tanaman-tanaman lain seperti longan, mata kucing, jambu air, mangga, lemon dll. Lebih menarik, boleh delivery kat rumah.

Pantas aku layangkan What’s App. Selepas bersoal jawap, terus aku order 4 pokok durian monthong dan satu pokok lemon. Tengok…citarasa tanaman, tak menahan.

Petang tadi sebaik balik dari pejabat, pokok-pokok yang aku tempah selamat mendarat. Kalau nasib baik, antara 1-3 tahun pokok ini sudah boleh berbuah. Pokoknya pula tidaklah tinggi menggalah, lebih kurang akan tinggi-tinggi aku aje.

Pokok ini nanti aku akan bawa balik ke Melaka. Tanam pun dalam pasu aje, tak perlu gali tanah. Doakan pokok ini akan menjadi semoga ramai yang akan dapat manfaat darinya.
#apabilakakbennymenulis
#kakbennyadakebun
#6of365

SAKA BERKEBUN SUDAH MARI…

 

Sejak duduk kat sini, aku memang sudah lama berhajat nak berkebun. Dapat mini pun jadilah. Buat makan sendiri dan sedekah hasil pada rakan-rakan, bukan nak meniaga pun.

Jadi semalam sebelum ambil Judin, aku singgah kat satu kedai Jepun RM2 yg namanya aku tak ingat, terus aku beli kelengkapan untuk berkebun. Sempatlah beli 2 benih iaitu cili dan bendi. Aku tak reti sangat nak tanam ikut SOP, jadi aku campak-campak aje kekdahnya.

Saja nak cuba, kot-kot menjadi. Ada jugalah hobi baru sambil keluarkan peluh. Jadi semuanya selamat aku tanam pagi tadi.

Doa-doakanlah jadi…kalau Ella boleh jadi tokey cili, kenapa tidak Kak Benny. Iyakan?
#apabilakakbennymenulis
#kakbennyadakebun
#4of365

POKOK KARI NAN SEBATANG…

Ini belakang rumah yang baru aje selesai aku kemas. Gambar sebelum tak ambil. Tapi ringkasnya adalah semak ya amat macam Villa Nabila atau Mimaland sekarang. Takut nak kemas semalam…risau bertemu hewan nan berbisa. Mujur tiada.

Pokok kari tu, asalnya besar lengan aku aje. Tanam kat rumah aku di Bandar Saujana Putra. Siram dan siram, tak hidup. Kering kelayuan menanti gugur menyembah pasu aje. Induknya aku beli di Pasar Tani Taman Melawati pada tahun 2013.

Pelik aku…kenapa tak mekar macam tanaman yang mama tanam? Aku ni anak dia. Logik akal aku, bakat menanam dan menyubur hasil bumi ini perlu aku jadi pewarisnya. Ada yang cakap, nak tanam pokok ni hanya tangan-tangan tertentu aje akan menjadi. No…dakyah ayah Pin aje semua tu.

Aku bawak balik Melaka. Tanam belakang rumah. Sama juga kisahnya. Siram dan siram, nan hado. Aku kecil hati…merajuk. Tapi tak bawa diri. Macam kau minat orang, tapi orang tak minat kau balik walaupun kau bagi hadiah dan memberi rasa caring. Kau sabar ajelah dan berharap satu hari nanti dia akan sedar kewujudan kau di mayapada ini.

Duduklah kau…mereput di situ. Begitu aku tunduk mengalah sementara.

Tapi….
Usaha yang kerap dan tak putus itu satu hari nanti akan ada hasilnya juga. Seperti kesedaran terhadap orang yang kau minat tu…bila kau stop bagi attention, dia pun sedar betapa ada juga insan suci berdarah sakti, sedikit comel dan baik hati yang ikhlas mencintai dari jauh, dekat dan hujung simpang.

Lama-lama tu, dia mula hidup kembali. Makin lama, makin tinggi. Macam kasih sayang juga, makin lama makin subur bercambah bertuntas dan membiak. Kini pokok kari itu sedar bahawa hidupnya akan jadi lebih bererti dengan memahami konsep kasih sayang antara 2 hati dan juga fotosintesis. Dan aku tak pernah berdendam pada pokok kari nan sebatang ini.

Demikianlah pemirsa…buat baiklah sesama makhluk yang bernyawa. Hidup bersendiri, sombong dan bongkak hanya akan merugikan diri sendiri dan kuranglah nikmat hidup. Bukankah semua orang berhak merasa bahagia? Untuk itu, bahagialah bersama-sama.

Samarenda, kain samarenda
Samarenda darilah seberang…

Sekian catatan melepas lelah pasca menebas dengan kutipan 8 karung rerumput dan lelalang secara total.Kak Benny is super tired, lengan calar-balar dan bakal merengek memohon booba perisa strawberry pada Hadi kejap lagi. Pasti dia akan tunaikan. Bukan sebab aku ini isteri dia, tapi sebab aku dah bagitahu dia pagi tadi aku nak booba lagi.

#apabilakakbennymenulis
#kakbennyadakebun

MISI MENEBAS LELALANG DAN RERUMPUT

Servis potong rumput mintak RM50 untuk bersihkan laman semi-D yang dah berbulan tak bertebas. Aku cuma mintak Hadi belikan booba aje sebagai upah dan kasih sayang tak berbelah bagi.

The end is very near…

Bermula semalam kami berhijrah ke Melaka. Aku masih kerja di KL. Mungkin berulang, mungkin nomad. Hanya takdir akan menentukan. Tapi aku yakin tuhan Maha Pemurah dan Maha Mengasihani hamba-Nya. Doa aku hari-hari yang tak akan berhenti.

Satu masa nanti takdir kami akan bertaut kembali. Itu yang aku khayalkan sambil tulang 4 kerat menebas rerumput dan lelalang yang ada. Belum siap sepenuhnya. Mungkin esok atau lusa akan bersih laman ini. Tempat anak-anak bermain dan tempat Kak Benny bercucuk tanam.

Ada chilly…ada brendi…ada pelatok. Semualah aku nak tanam, termasuk durian mohtong. Kalau boleh cheese pun aku nak tanam. Cheese tak boleh tanam, gile. Kena bela ghambing. Hmmmm….
#apabilakakbennymenulis
#kakbennyadakebun

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...