DEPRESI SEORANG AKU?

 

IYALAH TU KEMURUNGAN…AKU OKAY AJE!

Topik ini besar gaban tapi aku tulis secara ringkas mengikut pemerhatian aku sahaja yang tidak begitu menyeluruh. Aku memahami masalah manusia walaupun manusia tak berapa peduli dan faham masalah aku. Tak apalah tu…

Kalau aku nak cerita terperinci perihal murung ini aku perlu menulis secara bersiri. Kemurungan seorang anak, isteri, suami, pelajar, pekerja hatta pesara – murung ini berlaku. Lebih menyakitkan kalau kau ada pakej murung yang tak diundang kerana kau adalah anak, isteri/suami, menantu, pekerja dan belajar pada masa yang ada dan dilenyek tanpa sedar oleh satu faktor lain yang semua orang akan lalu iaitu masalah kewangan.

Kemudian akan ada faktor-faktor lain yang akan trigger waras dan akal sihat kau iaitu konflik kerja, trafik yang macam saitan nakharom macam dikawasan perumahan aku di Bandar Saujana Putra dan perangai manusia keliling kita seperti adik-beradik, keluarga, ipar-duai, jiran tetangga dan lain-lain lagi, Dalam pada kau cuba untuk bertenang dan bersabar, kau diuji dengan kalah. Bila kau kalah berkali-kali dan kerap, kau koyak. Bila kau koyak – kau tak sedar kau jadi hijau!

Bila kau sedar kau jadi hijau dan terlepas pada manusia yang kau sayang, kau mulalah maki diri sendiri dan berusaha untuk memperbaiki diri. Kemudiaaan….kau kalah lagi dengan ujian yang seolah-olah sengaja aje bakar fius sabar engkau dan lama-kelamaan tabiat termarah pada orang yang kau sayang tu jadi terbiasa. Sebab kau tak sedar…Sampailah kau rasa sebenarnya dalam hidup ini susah betul kau nak rasa bahagia. Masalah memanjang…Then kau jadi dingin dan tak seperti yang orang lain pernah kenal. Masa ni konflik diri memang bantai fikiran kau siang malam.

Kau mula persoalkan macam-macam…kenapalah kau kahwin? Kenapalah kau ada anak? Kenapalah kau tak mampu nak bahagiakan family? Kenapa tak mampu nak bagi duit pada mak bapak dan korang sendiri boleh senarai soalan yang pernah membelenggu diri korang. Kalau kau yang jatuh sakit, kau akan tone down kejap (tapi kau penyumbang faktor kemurungan pada pasangan kau pulak). Tapi kalau ahli keluarga kau yang sakit kronik, mulalah kau mula berdialog dengan tuhan dan iman kau sedikit demi sedikit goyah. Kenapa kau kena lalu semua ini?

Bayangkan pula kalau seseorang itu ada ciri-ciri kemurungan yang teruk dan dia pula terpisah jauh dengan pasangan disebabkan faktor kerja…Ini aje aku boleh tulis lagi 150km sejam sebab banyak sudah kes kemurungan dicatatkan disebabkan faktor ini.

******
Apabila terjadinya satu insiden/tragedi/peristiwa yang membahayakan orang lain atau melibatkan kehilangan nyawa, kemurungan adalah antara faktor penyumbang kepada tindakan tadi. “Dia kemurungan kerana masalah ditempat kerja….dia stress sebab ada masalah kewangan (siapa yang tidak) dia stress sebab uruskan anak-anak. Then orang akan cakap janganlah beranak kalau macam tu….haih. Beranak takde masalah kawan…cuma pertimbangkanlah faktor bilangan kalau kewangan tak berapa kukuh. Ini pun ada juga bantai aku siap cakap setiap anak ada rezekinya dan ulat dalam batu pun boleh hidup. Ulat dalam batu tak bayar PTPTN dan sewa umah, jahanam.

Majikan cenderung dipersalahkan kerana tidak mengambilkira masalah pekerja yang mempunyai isu kemurungan. Hmmm…begini ajelah. Kerja yang diwujudkan bukannya tailor made dengan masalah pekerja. Aku yakin majikan pasti akan cuba bantu tapi bila banyak sangat part kerja kita orang lain yang buat atau kita dirasakan tidak ‘suits’ dengan sesuatu jawatan – faham-faham ajelah sebab itu bukan syarikat kita sendiri.

Secara peribadi, aku rasa insiden yang menyebabkan manusia dengan kemurungan bertindak di luar kawalan adalah disebabkan dia penat – mental dan fizikal! Takde siapa peduli sangat faktor ini sebab semua orang akan sedaya upaya bandingkan diri kita dengan orang tadi.

Aku ulang macam Abang Non…
Takde siapa peduli sangat faktor ini sebab semua orang akan sedaya upaya bandingkan diri kita dengan orang tadi.

Dia penat sebab uruskan anak-anak seorang diri…
Aku pun uruskan semua sendiri, okay aje.

Dia penat sebab uruskan semua sendiri, pasangan dia duduk kat Kelantan.
Suami ai duduk Landen, ai urus semua sendiri, okay aje. (Laki kau maybe bagi duit belanja yang mencukupi berbanding dia).

Dia penat sebab travel jauh hari-hari nak pergi pejabat pastu kena balik awal uruskan sekolah anak. Ok ini aku akan tulis panjang hahahahaha…..
1. Ai pun travel jauh hari-hari..okay aje.
2. Keluarlah awal kalau tak nak sesak dalam jem. Ai ok aje buat macam tu…
3. Pindahlah dekat sikit kalau rasa duduk jauh…
4. Tukarlah kereta seken hen nak jimat kos (kau ingat kereta seken hen tak rosak?
5. Sekolahkan anak-anak dekat dengan tempat kerja. Gerak sekali aje…Ai ok aje buat macam tu.
6. Tukarlah keja lain…
7. Semua yu buat, pasangan yu buat apa? Suami ai, bantu ai…ok aje.

Masalahnya kau berjaya, tenuk. Dia tidak.
Masalah setiap orang tak sama.
Berat badan manusia lagikan tak sama inikan pula gaji dan tanggungan.

Jadi kesnya dia gagal kawal diri…dia kemurungan teruk!

Dan kebiasaan kelompok Melayu Islam akan memberi nasihat seolah dia dibarisan nombor 1 untuk masuk surga – kau tak dekat dengan Tuhan ni, tu sebab jiwa kau tak tenteram…kena banyak zikir….amal kau tak cukup…kau banyak dosa dan hukum tembak yang lain.

Aku tak nafi konsep kepercayaan kepada tuhan dan kembali kepada agama yang korang akan hujahkan – betul belaka sebab kau sekolah tinggi hafal Al- Quran, puasa zakat tak tinggal. Kalau kau masih mampu nak bersolat dan baca Al-fatehah, fahamlah ada yang tak boleh nak ingat surah lazim pun bila kepala otak tengah tak betul. Belum kira siri bercakap dengan jin yang dia tengah lalu yang kita tak nampak masalah dalamannya apa. Dengan mudahnya kita kata dia gila atau kena buatan orang bila kelakuan dia sudah membuatkan kau takut sendiri.

Jadi kalau tak boleh nak membantu, jangan menjadi punca.

#apabilakakbennymenulis
#kemurunganitubenar

HAVE YOU EVER THINK OF SUICIDE?

 

Aku sepatutnya menghadiri pentaulihan sebagai ahli AKRAB Khamis lalu. Sebenarnya aku sudah adapun dalam majlis nan gemilang itu. Tetapi pagi itu tidak bermula seperti yang aku harapkan….

Seawal bangun 4:30 pagi, aku terasa macam tak best. Terasa macam susah nak bernafas dan sakit dada. Penat memang sahabat aku jadi aku lawan sahaja perasaan pelik yang aku rasa. Dahi aku panas…Konfem nak demam ni. Untuk tidur balik dan tidak hadir tiada langsung aku consider. Maju terus…

Hari ini aku pakai baju oren pic yang aku beli di GM Klang beberapa bulan lepas. Habis cun dah tu…hajat berkebaya nyonya aku simpan sebab tiada tudung yang sesuai dan menanti moment indah yang lain.

Disebabkan geng kentin kebetulan semuanya akan berada dalam majlis itu, rutin sarapan berlangsung di Ipptar sahaja. Acara pentauliahan akan berlangsung sesi petang manakala paginya diisi dengan seminar Laugh Therapy.

Aku mula rasa lemas bila seminar yang sepatutnya menjentik fius lelucon aku tidak berfungsi! Something is wrong with me. Aku tak gelak dan terhibur langsung 10 minit pertama. Bila mana peluh yang tidak diketahui jantan betinanya mula merembes dan pernafasan aku terasa macam wheezing, pantas aku capai beg dan terus keluar dewan. Aku duduk berteleku sendirian sebelum disapa seorang sahabat dari TV2 yang memberikan aku 2 biji pil Panadol Soluble. Thanks beb…

Disebabkan aku rasa macam tak steady, HMK terus tanya sama ada mahu hantar aku ke klinik atau hospital. Klinik sahajalah…mungkin selepas ambil gas akan reda. Jadi kami terus ke klinik. Disebabkan keadaan aku agak teruk pada penglihatan mata kasar, maka cepatlah aku dituntun ke tempat mengambil gas.

Pertama kali dalam sejarah pengambilan gas, doktor tunggu aku sedut gas sampai selesai. Aku yang mencungap-cungap mencuri nafas terasa sangatlah pelik. Speciallina amatkah? Usai mengambil gas, doktor ambil tekanan darah aku dan di sinilah bermula cerita selepas 7 perenggan korang dihikayatkan dengan pendahuluan aku.

Bacaan BP aku…. 197/97!  Iya, tinggi meroket. By the way, ini hari keempat aku tak makan gula jadi angin lintang pelbagai arah cepat aje menggugat bot-bot kecil dipelabuhan. Tak larat explain lebih-lebih. Faham aje bergasak dengan 2 anak OKU hari-hari. Penat giler…

Selepas doktor tanya beberapa soalan tentang family history, dia tanya aku soalan yang aku tak sangka aku dapat pagi itu. Transcript lebih kurang cenggini. Pigi mampus grammar walaupun aku lulus MUET.

“Have you ever think about suicide?”
Yes…
“Do you think of how to do it?”
Yes…
[Reaksi doktor ini membuatkan aku terus sambung jawapan.]
No worries doctor, i dont have any plan to execute that idea.

Kemudian dia tanya pasal kerja. Dan kemudian baharulah tanya pasal diri aku dan keluarga. Aku terangkan rutin harian aku dan beritahu aku ada seorang anak dengan ADHD dan seorang autistic. Dalam bercerita tu, aku terkoyak sekejap sebab sumpah beb…aku tak larat.

Doktor itu mengeluh…
Aku cakap, aku penat dan mungkin badan akupun penat. Sebelum sesi berakhir, dia berikan nombor telefon personal dia untuk aku hubungi sekiranya aku ada masalah atau apa-apa jugalah. Dan dia minta aku check balik dengan mana-mana doktor kalau BP aku masih tinggi Isnin ini, dia minta aku consider makan ubat.

Haih…

Aku dapat doktor yang sangat understanding, no judgement, sangat malaikat dalam jasad manusia yang concern dengan pesakit dia walaupun aku dengan dia berbeza agama dan bangsa. Sangat berbeza nak dibandingkan dengan doktor yang tazkirahkan aku 500km pasal dosa, balasan tuhan, awak kena zikir bla bla bla…di klinik yang aku pangkah dengan X paling besar depan pintu klinik dia.

Dipendekkan cerita, aku terus maklumkan pada urus setia aku terpaksa balik rumah untuk berehat. Memang lepas makan ubat aku tidur tak sedar diri. Berkonvolah rakan-rakan aku yang lain dalam keadaan aku memerhati gambar mereka dalam FB dan berbisik sendiri “that should be me, I should be there…” Apapun, tahniah guys!!! We’ve made it finally…

Sampai hari ini aku masih tidak berhubung dengan doktor budiman itu.

Bermula semalam aku amalkan minum segelas jus epal+batang saderi dan BP turun sikit 150/90. Masih tinggi, give it a time hopefully by Monday bacaan lebih cantik macam Demi Moore masa muda.

So, tadi baharulah aku sempat bersembang dengan Hadi tentang soalan suicide doktor tu tadi. Dan jawapan dia akan aku consider menjadi template jawapan incase aku ditanya soalan yang sama lagi.
“Rasa bunuh diri takde…rasa nak bunuh orang adalah…”

You dont have to die to be dead to me. I have mental funerals on a daily basis…Easy peasy Sarkozy

#kakbennyisunwell
#apabilakakbennymenulis

Sang Naga…

 

11 tahun lalu, aku ke Bali untuk menenangkan perasaan sambil bercuti. Sangat perfect timing. Aku melalui satu episod kekecewaan dalam perhubungan yang membuatkan aku rasa hidup aku sangat kelam. Seperti biasa, aku salahkan diri aku sebab aku terlalu percaya perasaan terapung yang aku rasa magisnya mampu bertahan selamanya.

Aku salah…dan sampai hari ini aku tidak belajar dari kesilapan lampau. Bezanya luka terbaharu ini tidak sedalam mana. Hanya subdural hematoma dan boleh sembuh cepat berbanding torehan yang dibuat oleh orang lain.

Ok abaikan…intro sahaja sudah cukup untuk gambarkan betapa naifnya hidup aku zaman Renaissance dulu.

Hari ini dalam ruangan memori, gambar-gambar percutian itu timbul. Aku perhati satu demi satu dan automatik perasaan aku kala semua foto diketik mengetuk ingatan tanpa aku pinta. Sedekad lebih semuanya terjadi dan aku masih belum moved on sepenuhnya…haih sangat.

Mujur tiada gambar aku memegang botol kicap di Pantai Sanur pada waktu senja dan disalak anjing berjaya dirakamkan. Itu antara moment melalui stages of grief paling rendah yang aku rasa. Kalau tak silap, ada satu malam aku berendam dalam kolam mandi dan perasaan tidak mahu timbul balik itu ada. Gilalah penangan satu perhubungan yang sepatutnya indah tetapi menyayat perasaan aku yang terdalam sekali.

Aku cuba merendah diri-memujuk dan memperbaiki keadaan dan menanam ego aku dalam-dalam. Seriously, ini bukan istilah cinta, tapi kimia yang tak terhurai. Yang lalu aje faham. Padahal aku juga berjanji untuk menoktahkan semua keserabutan ini. Biasalah hati…mengarah membuat sesuatu yang lari dari prinsip diri.

Aku pengumpul replika kura-kura, dia penggemar naga. Aku yakin naga ini mampu melembutkan hati dia. Jiwa kami sama. Aku tahu point untuk mengusik jiwa dia. Tanpa prejudis aku beli naga ini. Penyesalan hanya timbul masa packing bag untuk balik ke Malaysia – jadah mananya aku nak usung naga ni balik tanpa mencederakan integriti pembuatannya? Apapun, naga hanya mengalami patah sehelai janggut (yang boleh dibaiki) dalam kembara ke Jalan Gasing. Dia aku tempatkan dalam almari baju dalam keadaan masih dalam kotak.

Aku yakin amat aku mampu jernihkan semula suasana. Aku mahu mengulang berertinya hidup apabila dia dalam ruang lingkup aku. Semua sharing sessions dan sesi lepak yang kami lalui – aku mahu semua itu lagi!

Aku hanya tersedar dan cium bau kopi beberapa bulan selepas itu. Berapa lama aku sahaja perlu put an effort atas segala benda? Aku perlu adil pada diri sendiri dan memberi peluang pada manusia lain yang betul-betul menghargai kehadiran aku dalam hidup mereka.

Satu hari, aku mengemas almari baju. Kotak berisi naga aku buka. Aku tatap dengan hanya satu perasaan – kau bukan milik aku. Hmmm …aku tong sampahkan! Aku menyerah dan aku mengalah.

Hubungan kami pulih kembali, tetapi langsung tidak indah seperti dulu. Kasual dan formal. Jauh dilubuk hati aku tahu dia masih ingat pada aku seperti mana aku mengingatinya.

I wish you nothing but best…semoga kau dipelihara yang kuasa, diberikan kesembuhan atas kesakitan dan diberikan kegembiraan dalam kehidupan.

Dan catatan ini muncul pada bulan April. Lagu Brett Dennen on my Mp3 dan kebetulan-kebetulan yang tak boleh aku tulis. Come on, Benny. Kebetulan-kebetulan ini semua setan.

Ohai, India – Ohai, This Is Nubra Valley!

22 September 2018 – Hari ini, hari terakhir bersarapan dengan berlatarbelakangkan jajaran Himalaya di Hotel Kusyu. Kusyu ni, maknanya epal. Tapi setakat hari ini, aku belum dijamu dengan epal lagi. Oh, kami tak jadi berpindah hotel kerana semua hotel ada masalah wifi. Alang-alang kami sudahpun bayar penuh secara dalam talian. Walaupun terseksa hidup tanpa dapat melayari internet, alhamdulillah Benny selamat (ok, poyo giler!). Beberapa posting lepas, aku ada bagitahu yang kami telah membeli simkad semasa di Amritsar. Sayangnya, semua simkad prabayar tidak boleh digunakan ditempat yang bersempadan dengan negara lain – dalam kes ini, sempadan Pakistan. Maka simkad itu statusnya mereput tanpa belaian.

Menu sarapan pagi ini istimewa sedikit. Mungkin sebab kami yang banyak ragam ini akan daftar keluar, maka kami dapat makanan yang amat meriah – termasuk dengan sebaldi buah-buahan tempatan dan paratha nan gebu. Bertemankan kopi panas, kami menanti pemandu kami, Karma Sonam yang berjanji untuk datang pada pukul 9:00 pagi. Dia sedikit lewat tetapi kami tak kisah langsung kerana pengembaraan akan bermula beberapa detik sahaja lagi. Aku dan Farah berebut mahu duduk depan. Tapi disebabkan Farah cakap dia muak kalau duduk belakang, maka aku beralah dan duduk belakang dengan senyap dan sopan. Disebabkan hanya kami berdua, Karma siap bawa raga pick nick yang berisi epal (yeay!), jus buah-buahan, tisu basah, hand sanitizer, termos, madu dan lain-lain lagi. Dah macam poket doraemon raga dia tu. Kos sewaan kereta dengan pemandu lebih kurang RM1000 – RM1200, 3 hari 2 malam full day tour. Kalau naik 4-6 manusia lagi jimat sebab boleh split harga. Hotel di Nubra Valley nanti tak termasuk dalam kos itu. Itu kena cari sendiri atau minta bantuan pemandu untuk cadangkan mana hotel yang sesuai. Kami memang percaya sepenuhnya kepada pemandu kami ini. Nanti dalam posting akan datang, aku akan buat satu catatan khas untuk dia.

Sebaik sahaja kenderaan kami keluar dari pagar hotel, aku sudah membayangkan perjalanan merentas gunung-ganang seperti yang kami lalui beberapa hari lalu. Ya, betul sebijik-sebijon seperti dalam imaginasi aku. Tetapi, dengan berlatarbelakangkan Himalaya, permandangan yang aku hadap sangat cemerlang. Perjalanan ke Nubra Valley agak lama – antara 4-5 jam bergantung keadaan jalan. Karma memberhentikan kami di tempat tumpuan pelancong bergambar. Tapi aku tidak banyak bergambar di sini hanya ambil video sahaja sebab sudah banyak gambar dalam telefon aku yang lebih kurang sama.

 

Dalam perjalanan, Farah dan Karma banyak bersembang. Aku dengar dan mencelah sekali-sekala. Karma adalah rakyat Tibet yang mendapat perlindungan di India. Dia seorang Buddhist yang aku sifatkan sangat taat, alim dan beriman. Memulakan perjalanan dengan doa, di awal perjalanan mendengar lagu chanting dan sangat menghormati perempuan – pada aku itu sudah cukup perfect. Kami berdua sangat selesa dengan dia. Bila dia dan Farah bercerita pasal Dalai Lama, monastery, Tibet dan China, aku tidak banyak mencelah. Maklum sahaja ilmu tidak cukup. Jadi aku hanya mendengar sahaja sambil melayan pemandangan yang indah di luar sana.

Ketika hampir sampai di Khardung La, dia memberhentikan kenderaan. Banyak kenderaan lain tersangkut di hadapan. Rupa-rupanya ada falling rocks di hadapan sana. Kami berhenti betul-betul di puncak gunung dengan pemandangan gunung bersalji yang sangat cantik. Masa ini, salji tidak turun tetapi angin sejuk menelusup tulang-temulang aku – walaupun sudah berbaju 3 lapis! Punyalah sejuk…Apa lagi, memang aku bergambar dan mengambil video sepuas-puasnya. Aku betul jadi kanak-kanak riang di situ. Tetapi tidak lama kenderaan kami berhenti kerana pembersihan hampir selesai dalam 15 minit sahaja. Jadilah…memang rezeki aku diberi peluang bergambar di puncak-puncak gunung yang kalau dalam keadaan biasa, kenderaan memang tidak boleh berhenti.

Di Khardung La, semua kenderaan wajib berhenti. Di sinilah semua pengunjung bergambar macam nak gila sebab suasananya yang cantik dan bersalji. Kebetulan…memang kebetulan sangat sebaik sahaja kami sampai, salji turun! Jadi korang boleh bayangkan 2 perempuan dari Malaysia yang eksaited macam nak giler bergambar dan main salji bagai. Aku rasa macam keajaiban sangat sebab kalau ikutkan, salji tidak turun di bulan September. Suhu lebih kurang -5 darjah selsius. Aku mula-mula tak pakai sarung tangan tapi sebelum aku beku jadi patung cendana di sana, aku sarungkan juga. Setelah puas bergambar, kami kembali ke kereta dan Karma membuatkan kami berdua teh halia madu panas. Disebabkan aku tengah sejuk, dapat teh halia madu panas adalah situasi kenapa tidak (rupanya ada cerita kenapa dia buatkan kami air di sini..nanti aku ceritakan dalam posting akan datang).

Kami meneruskan perjalanan kembali. Selang beberapa jam, aku pula minta Karma berhenti sebab aku nampak satu permandangan yang sangat cantik. Aku aje yang bergambar di sini. Entah kenapa, aku rasa tempat ini sangat familiar. Aku pernah mimpikan tempat ini beberapa kali. Ok, tak apalah tu. Kami kemudiannya berhenti makan di satu tempat yang takde sekeping pun gambar aku ambil di sini. Sebabnya, tengah lapar teruk. Walaupun menu makan aku itu menu biasa iaitu nasi putih, dhal, palpadom dan aloo gobi, aku tetap berselera makan dengan ditemani chai panas. Tapi, ada satu tapi di sini. Abang yang jaga kedai tu sebijik muka dia macam Loque Butterfingers. Setiap kali dia lalu, ekor mata aku ni sentiasa mengejar kelibat dia. Helok kau! Masa ini, Karma tidak join kami makan. Aku tak biasa sebenarnya makan tanpa pemandu bersama sebab aku layan manusia macam kawan tak kisahlah dia siapa. Mungkin dia segan sebab ini pertama kali dia keluar dengan kami. Perempuan…muslim pulak tu.

 

Kami sempat singgah di Diskit Monastery yang pemandangan di sekeliling kawasan itu seolah-olah aku berada di Rohan! Sangat cantik dan menenangkan. Seperti biasa, kami bergambar di sini.

Kami kemudiannya sampai di satu hotel di Nubra Valley. Aku tak pasti namanya apa. Macam tak ada nama. Kami percaya pada Karma, jadi okay sahajalah mana yang dia cadangkan. Ha, satu nak bagitahu. Perangai hotel di sini ialah kita boleh tawar harganya berapa. Jadi tawar punya tawar, dapatlah harga yang ok. Tak ingat berapa. Nanti dalam posting terakhir aku cuba untuk buat breakdown costing kami selama 14 hari ini berapa. Cuma masalah kawasan ini, letrik hanya berfungsi pukul 7 – 11 malam sahaja. Masa itulah baharu dapat wifi percuma. Haih, sabar ajelah. Sementara itu, aku merengek-rengek pada Karma mahu teh halia madu panas yang super sedap itu. Dengan senang hati dia sediakan untuk kami berdua. Baik betul Karma ni. Ok, masa ini, ais aku dengan dia belum mencair lagi. Aku masih ada rasa tak payahlah kenal sangat – tak reti aku nak bersembang.

Kami berehat seketika sebelum mengambil keputusan untuk ke Sand Dune. Kena bayar tapi tak mahal mana, tak sampai RM6. Tak ingatlah pulak spesifik berapa, tapi mereka cas ikut kepala. Sand Dune ialah kawasan padang pasir dan kita boleh naik unta di sini. Serius tak mahal…dalam RM20 untuk 30 minit. Tapi kami berdua memang taubat nasuha untuk naik binatang. Ala, padang pasir ajepun. Jalan cukup. Cantik tempat ini. Kita boleh sewa ATV kalau mahu. Aku setakat bergambar riang dan menghabiskan masa sahaja. Balik hotel pun bukannya boleh online. Nak tidur, noooo….sayang kot datang jauh-jauh tapi kau tidur. Daaan, ada oisis di sini. Aku rasa macam sempurna betul kembara aku di sini. Segala macam benda aku merasa nampak dan alami.

Disebabkan kebosanan, kami kembali ke rumah inap semula. Tapi tak masuk bilik, aku dan Farah bersembang di luar sahaja. Kemudian, Karma datang menyertai kami dan membawa sepiring epal. Sambil sembang, sambil makan. Baharulah aku merasa makan epal di India. Oh, di hotel ini penuh dengan pokok epal. Yang merah, yang hijau dan kuning semua warna ada. Dan pemiliknya pun sudah beri kebenaran untuk kami makan, kalau mahu. Masih di sini, hanya Farah dan Karma meneruskan perbualan politik dan sosioekonomi mereka. Aku hanya mendengar sahaja, sambil memangkah Candy Crush. Aku rasa macam dalam kelas Dr. Munis pun ada…belajar segala masalah perang, wilayah autonomi dan lain-lain lagi. Sempat kami memesan chai masala panas kepada adik yang menjaga rumah inap ini. Handsome! Aku tak tipu..muka dia sebijik sebijon macam Bruce Wayne masa muda dalam drama Gotham.

Akhirnya pukul 7:00 malam menyapa dan teranglah suasana senja di sini. Aku terus online tanpa segan silu sambil menantikan waktu makan malam. Harga sewa bilik ini termasuk makan malam dan sarapan pagi. Jadi berbaloilah dengan harga yang kami bayar. Ditambah dengan adik super cute yang menjaga tempat ini, indah-indah belaka jamuan mata aku di sana. Oh, petang tadi, aku cakap kat adik tu, awak ni handsome. Amik kau, sepanjang masa bertanya kami nak apa-apa lagi tak. Mintak aje dekat dia, dengan pantas dia bawa keperluan yang kami minta. Nampak tak ciri-ciri kemengada-ngadaan sang musafir di bumi Ladakh?

Sebijik sebijon

Capaian wifi dalam bilik tak kuat. Ada aksi-aksi melekap di dinding macam cicak kerana mendakwa laju di situ (seriously?). Aku pula sanggup bersejuk di luar balkoni sambil berwhat’sapp dengan beberapa manusia yang aku rindui. Tiba-tiba Karma muncul depan mata aku. Terkejut sekejap. Dia cakap something like – sejuk luar ni, dan dah malam. Tak mahu masuk bilik ke? Aku beri alasan tengah uruskan hal kerja. Tak lama kemudian, aku masuk bilik juga. Bukan sebab sudah puas online, tapi sebab sejuk yang menggila. Sekali angin bertiup, aku rasa kesejukan yang melampau. Kalau lama-lama, boleh demam aku begini atau semput. Sebelum tidur, aku makan dahulu beberapa pil wajib sambil berharap badan aku mampu bertahan untuk beberapa hari lagi.

Ok, setakat ini dahulu…Esok aku akan ceritakan pengalaman di Pangong Lake yang macam mimpi bila aku sampai situ.

 

Ohai, India – Dari Srinagar – Kargil – Leh…

19 September 2018 – Pagi terakhir di Kashmir Inn. Sedih sikit sebab di sini kami jumpa chai masala paling sedap dalam dunia (setakat tarikh ini). Bas ke Kargil akan bertolak pada pukul 8:00 pagi, jadi kami perlu ada di stesen bas pada pukul 7:30 pagi. Tak jauh sangat, lebih kurang 5 kilometer. Tapi pemandu tuk-tuk ni pun satu hal. Dah bagitahu, kami nak ke stesen bas, haih dia boleh nak tinggalkan kami di kawasan teksi sapu untuk ke Jammu! Tak pasal pagi-pagi ini kena mulakan dengan episod penegasan diri.

Sampai sahaja di stesen bas, aku dan Farah bersembang-sembang pasal bas yang bakal kami naiki – super deluxe tajuknya. Aku dengan penuh yakin tunjukkan bas yang baharu sikit, yang aku nampak semalam berbanding bas-bas lain yang sudah agak lama rupa parasnya. Sebaik sahaja Farah maklumkan imaginasi aku itu tersasar dari realiti, kami berdekah-dekah ketawa pagi itu. Kami adalah manusia pertama yang sampai di stesen bas. Masa nak letak beg pun masih ketawa tak henti-henti. Belum lagi tengok tempat duduk belakang penuh dengan guni-guni. Bas ini boleh memuatkan 25 orang katanya. Bila aku tengok balik, macam mustahil sebab ini bukan bas panjang. Ok, abaikan. Kebetulan, ada sekumpulan lelaki dari Malaysia menaiki bas yang sama. Ok, ada geng lepak. Mereka juga akan ke Leh dan menyewa motor di sana.

Perjalanan dari Srinagar ke Kargil dianggarkan mengambil masa antara 7 ke 8 jam. Selepas 1 jam 30 minit perjalanan, bas berhenti seketika untuk minum pagi. Di belakang kawasan perhentian tersebut, adanya satu sungai yang cantik, macam di Pahalgam. Disebabkan kami telah dipukau suasana semalam, ia nampak biasa-biasa sahaja. Geng lelaki itulah yang super excited sebab mereka baharu sampai semalam dari New Delhi. Terus aku tunjukkan gambar-gambar di Pahalgam kepada mereka.

Sepanjang perjalanan ke Kargil, bas ini akan merentas gunung dan melalui Zojila Pass. Aku difahamkan, Zojila Pass adalah antara laluan berbahaya di India. Aku sudah membayangkan bas akan melalui lereng-lereng gunung dan tayar bas hanya beberapa nanometer sahaja dari gaung. Permandangan sepanjang jalan, Subhanallah, cantik sangat. Seperti di Pahalgam, tetapi aku dapat melihat suasana petempatan manusia di kawasan gunung. Bila sudah nampak puncak gunung bersalji, kamera tanpa henti aku ketik untuk mendapatkan gambar yang terbaik.

Sebenarnya, masa di Malaysia lagi aku sudah bayangkan alangkah seronoknya kalau bas dapat berhenti untuk aku mengambil gambar di Zojila Pass. Mungkin Law of Attraction, mungkin rezeki kami semua. Bas terpaksa berhenti betul-betul di laluan tertinggi Zojila Pass kerana tanah runtuh dan di depan mata aku – gunung snow cap!!!! Hilang rasa muak, nak muntah, sebu dan laparudin yang aku rasa sebelum ini. Hampir sejam tersangkut tetapi aku tidak kisah langsung. Sempat kami berkenalan dengan seorang askar India yang bertugas di Siachen Glacier.

 

Perjalanan diteruskan kembali. Salah seorang dari geng lelaki memberikan aku pil tahan muntah. Tapi aku tolak sebab aku rasa macam boleh tahan lagi ni. Kami berhenti seketika di Drass  untuk makan tengah hari. Aku sebu. Setakat minta capati sahaja, itupun tak habis. Di sini, aku merasa chai masala mini yang sangat sedap dan segelas hanya berharga 10 rupees / 60 sen. Haih, nangis-nangis aku kenangkan harganya yang mampu milik itu berbanding kentin pejabat aku yang serba-serbi cekik darah.

Beberapa jam kemudian, kami sampai di Kargil. Mulalah drama kedua selepas edisi di Zojila Pass – bas diminta lalu lalauan bypass kerana ada perarakan awal Muharram. Pemandu bas sudah bertekak-tekak dengan polis sebab aku rasa dia tak tahu jalan itu, dan mungkin juga dia risau minyak tak cukup. Sepanjang perjalanan, bas tak pernah berhenti untuk isi minyak! Akhirnya pemandu mengalah. Jalan bypass pulak punyalah sempit hazab. Ada sekali, terpaksa berhenti di selekoh sebab berj laluan kenderaan lain untuk menggunakan jalan. Lepas itu, dia masuk kawasan yang dalam imaginasi aku macam tanah lapang di El Paso…sesat sekejap. Akhirnya jumpa juga jalan kebenaran. Sebelum berpisah, pemandu meminta kami berada di stesen bas Kargil pada pukul 5:30 pagi. Tepat 6:00 pagi, tayar golek.

Dari stesen bas, kami berjalan kaki hampir 40 minit untuk ke Silk Route Hotel. Oh, bermulalah episod kesabaran diuji berkali-kali. Pertama kali dalam sejarah hidup aku,
1. Masuk hotel pintu yang hanya dibuka separuh.
2. Tidak ada orang jaga kaunter masuk.
3. Kunci daftar masuk bilik diberi oleh tetamu hotel yang sudah 12 hari tinggal di hotel. Difahamkan semua tempat tutup kerana menyambut awal Muharram. Tapi hotel kot…bukannya tak tahu kami akan daftar masuk hari ini sebab tempahan dibuat secara dalam talian.

p/s: Benny, jangan lupa kau kena buat posting pasal simptom-simptom hotel The Shining 🙂

Tapi bilik hotel memang selesa. Air panas dia memang terbaik. Suasana di Kargil sangat sejuk, lebih kurang 8 darjah selsius suhu malam itu. Aku sangat lapar, tapi kedai semua tutup. Mujur Farah ada bawa kopi segera, jadi tidaklah aku cranky sangat. Wifi laju kalau duduk lobi. Kami di tingkat 3 jadi tidaklah cemerlang sangat. Dalam pukul 10:00 malam macam tu, tiba-tiba wifi tidak berfungsi. Aku syak ada orang tutup, mungkin staff hotel. Terus aku turun lobi tepi sayangnya aku tak jumpa plug utama! Rupa-rupanya, plug itu sederet dengan plug lampu yang jauh kedudukannya dari modem. Haih, pelik betul. Selepas berjaya posting beberapa updates di Facebook, aku terus tidur sebab esok kena bangun awal. Risau sedikit kerana awal Muharram, mungkin tiada orang yang berkerja. Kami kena dapatkan teksi juga. Tak sanggup aku nak berjalan kaki dan bersejuk-sejuk pagi esok. Mujur pemilik hotel berjanji akan membantu kami mendapatkan teksi untuk ke stesen bas.

20 September 2018, tepat pukul 4:50 pagi, teksi kami tiba. Bukan teksi pun, dia macam saudara-mara pemilik hotel yang diminta untuk menghantar kami ke stesen bas oleh pemilik hotel. Bil hotel pun kena bayar dekat dia. Inipun punca bajet lari, mahu bayaran dengan tunai. Padahal dalam website tidak dinyatakan pun kena bayar secara tunai. Pengesahan hotel, semuanya kami gunakan kad kredit. Takpelah, malas nak bertekak-tekak disubuh syafie.

Seperti biasa, kami manusia paling awal. Tepat 6:00 pagi, tayar golek. Rupanya pemandu bas tidur dalam bas itu sahaja. Aku menjangkakan akan menikmati panorama seperti semalam. Jadi aku tidur sahajalah dalam bas. Kami sepatutnya berhenti untuk bersarapan kira-kira satu jam selepas perjalanan dari Kargil. Tapi kedai semua tutup! Terpaksalah kami semua berlapar. Selang beberapa jam, bas berhenti di satu kawasan yang macam rumah tinggal pun ada, rumah tak siap pun ada. Aku memang lapar giler sebab malam semalam tak makan apa. Tapi aku cuak juga nak makan. Terus aku capai biskut dan lihat tarikh luput. Selamaaat….aku capai cokelat Cadbury pula. Pun selamaaat. Ada satu pakcik Buddhist yang bersama-sama kami, dia sangat baik. Aku tanyalah dia makan apa. Dia cakap, dia makan paratha. Ok, aku minta dia pesankan untuk aku dan Farah. Sampai sahaja makanan, dia hulur pada aku. Eh, dia order dahulu…dialah patut makan. Dia kata takpe, dia suruh aku makan. 3 carik aje aku makan. Pedas giler! Sudahnya Farah yang habiskan. Dia cakap, paling sedap dalam dunia. Hmmm…tapi chai masala dia memang terbaik. Dan satu cawan kecil 10 rupees sahaja walaupun dia meniaga di kawasan yang pandang keliling semua gunung aje. Yang geng lelaki lagi best, diorang beli biskut expired dan tawakal aje makan. Bila aku cakap biskut tu dah expired, salah seorang jawab ‘dah lapar sangat,kak. Makan ajelah. Paling-paling jadi taik’. Lantaklah…dia tak kisahkah kot sementara jadi taik tu, 3 hari badan boleh merana. Sudahlah datang untuk bercuti. Buat rosak mood aje kalau sakit.


Selepas sarapan, bas terus bertolak ke Leh. Aku dan Farah bergilir-gilir ambil gambar. Tak sama macam semalam, hari ini dapat gambar cold desert, gunung-ganang pelbagai warna dan struktur muka bumi yang sering aku nampak seperti dalam atlas. Ada sekali, bas terpaksa berhenti sebab tanah runtuh dan batu besar menghalang jalan. Mujur tak lama sangat.

Selepas 8 jam perjalanan, kami sampai di Leh. Apapun, kami isi perut dahulu. Aku makan nasi goreng telur dan chai masala. Rasanya, chai masala memang minuman wajib aku di sini. Selepas makan, kami menaiki van untuk ke hotel. Yang ini memang menduga…wifi down! Sudah 2 hari katanya. Kami memang nekad, kalau malam ini takde wifi, esok kami nak cari hotel lain. Kami kemudiannya berjalan ke pekan berhampiran dan melepak di restoran yang ada wifi. Di sana, Farah menghubungi pemilik hotel dan juga pemandu yang akan membawa kami ke Nubra Valley, 22 September nanti. Wifi di kafe ini memang sendu. What’sapp sahaja okay, FB haram tak loading. Aku hanya maklumkan pada keluarga yang aku sudah selamat sampai sahaja.

21 September 2019 – Selamat pagi, Leh! Sejuk amat di sini. Selepas mandi, aku dan Farah terus keluar mencari hotel lain. Yang penting, kena ada wifi. Rupa-rupanya seluruh kawasan ini menghadapi masalah wifi down. Jadi Farah terpaksa meminjam telefon hotel untuk berhubung dengan pemandu yang akan membawa kami ke Nubra Valley. Pemandu itu, namanya Karma Sonam. Dia datang hotel untuk mengambil passport kami untuk urusan menguruskan permit masuk. Alang-alang, aku dan Farah minta ditumpangkan ke pekan untuk mencari kafe yang ada wifi.

Fuuuuh….sebaik sahaja dapat line, Benny segar semula. Hampir 3 jam melepak dan upadate perkembangan diri di Facebook. Mujurlah wifi di sini sedikit laju. Tiba-tiba, wifi hilang! Rupa-rupanya bekalan elektrik terputus. Haih, macam-macam hal. Oh, tujuan kami bermalam di Leh adalah untuk acclimatization untuk membiasakan badan dengan suhu baharu dan mengelakkan terkena Accute Mountain Sickness kerana tempat yang bakal kami pergi itu kedudukannya tinggi. Kot badan tak biasa, berdarah hidung, berbuih-buih pulak mulut ditempat orang. Alhamdulillah..kami berdua macam okay aje.

Setakat itu dahulu, nantikan esok catatan ke Nubra Valley.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...