Ohai, Desaru..

Dalam banyak-banyak negeri di Malaysia, Johor adalah satu negeri yang susah amat rezeki untuk aku sampai ke sana. Walaupun boleh ke sana dengan jaringan jalanraya yang memudahkan, tapi belum ada ruang kerja yang kerap ataupun lokasi percutian spesifik yang mengikat aku ke sana. Ada sekali aku ke UTM,Skudai kerana mesyuarat penerbitan, 2 minggu di Tenang sempena pilihanraya kecil dan sekali aku ke rumah abang ipar di JB. Tidur semalam di JB kerana ke Universal Studio, Singapura rasanya tak layak dikira. Begitu juga singgah di Air Hitam kerana misi membeli kura-kura juga aku enggan kira. Apapun, kunjungan ke sana sangat minimal berbanding negeri lain.

Jadi bila Hadi mengajak ke Desaru, aku langsung setuju. Dalam keadaan cuti sekolah, hotel pun tidak ditempah dan kami yang sama-sama tak tahu hala tuju, kami bertolak dari rumah jam 9.00 pagi dan singgah di Hainan Kopitiam untuk brunch. Akhir-akhir ini aku memang suka makan mee kari. Padahal dulu mee kari nie kalau nampak memang sebelah mata pun aku tak peduli. Kemudian baharulah perjalanan ke selatan bermula. Sekitar jam 3.30 petang kami sampai ke Desaru. Parkir awam di sini kategori mahal iaitu RM 4 sekali masuk. Disebabkan dah sampai dan malas berkira, kami bayar tanpa berbasa-basi.

Reaksi aku, kali pertama melihat laut di sana ialah seolah mahu terjun dan melompat-lompat NSYNC digigi pantai.. Sangat biru, Subhanallah cantiknya! Sebelum sessi mengambil gambar, kami makan dahulu di salah satu gerai di kawasan ini. Menu ringkas, murah dan sedap. Sayangnya tak banyak resort dikawasan ini. Semuanya penuh disebabkan cuti sekolah.

Oleh kerana tiada hala tuju, kami kemudiannya terus ke Kota Tinggi. Takde tujuan khusus, semata-mata sebab tak pernah sampai sana.

Bersambung..

Perigi Hang Tuah..

Perigi Hang Tuah

Kalau minat berkunjung ke tempat bersejarah dalam negara, silalah ke Melaka. Melaka mungkin negeri yang kecil, tapi kalau diselongkar sejarahnya seminggu tak cukup kalau bercuti ke sana. Kampung Hadi memang di Melaka, tapi itu sikit pun tak membantu penjelajahan aku di sana. Aku dah lama mahu mencari kubur Hang Tuah. Lebih 13 tahun berkasih dengan dia baharu beberapa tahun sudah dia tunjukkan kubur tu tak sampai 5km pun dari rumah dia! Perigi Hang Tuah nie pun merupakan kunjungan kami berdua yang pertama. Sangat aku tak faham…Ia ibarat duduk di Hulu Kelang tapi tak pernah pergi Zoo Negara!

Perigi Hang Tuah ini terletak di Kg. Duyong, dikatakan digali sendiri oleh Hang Tuah. Perigi ini tidak pernah kering, walaupun kawasan ini pernah dilanda kemarau. Airnya jernih dan dikatakan dapat menyembuhkan penyakit dan juga kegunaan membayar niat. Jujurnya aku agak aneh di situ. Ramailah yang datang membasuh muka dengan air ini dan berniat dengannya. Aku hanya bersyukur sampai ke sini dan melihat sendiri – oh, inilah Perigi Hang Tuah.

Insyaallah jika ada kesempatan aku mahu melihat semua kesan sejarah di tanah bertuah ini. Kalau luar negara aku boleh bersungguh-sungguh mencari masa dan mengumpul dana, kenapa tidak di Melaka 🙂

Mee Tarik Warisan Asli..

Plan untuk makan mee tarik ini sudah lama. Cuma empunya cadangan itu akhir-akhir ini sangat sibuk kerana beliau baru menukar tempat berkerja. Jadi kami sebagai rakan-rakan yang memahami akur dengan kesibukan masanya yang tidak terluang untuk kami lewat malam semalam. Jadinya semalam, 8 manusia yang lapar kerana belum makan malam atau lapar kerana tidak kenal apa itu kenyang berkumpul di rumah Fariq sebelum kami semua menderu mencari lokasi yang dimaksudkan – Mee Tarik Warisan Asli yang terletak di Sungai Besi. Mujur dengan bantuan GPS kami langsung tidak sesat.

Sabtu malamnya Ahad…berbondong-bondong manusia membanjiri kedai dua pintu ini. Itupun ramai lagi menanti giliran di luar kedai untuk menunggu meja kosong. Mungkin kerana kami ramai, dan kerana niat suci murni ingin mencuba mee tarik maka adanya satu meja panjang untuk kami, walaupun sedikit bersempit. Maklum, orang sangat ramai…Jadi pesanan kami tiba hampir sejam menunggu. Namun, pesanan diuruskan mengikut meja, jadi tidak akan ada ahli gerombolan yang tertinggal makanan. Itu aku setuju.. Dapurnya juga kecik jadi aku memang bersiap-sedia dengan kemungkinan makanan akan lambat.

Aku bukan penggemar mee. Aku juga tidaklah begitu sangsi dengan rasa dan rupa mee tarik. Tapi untuk singgahahan pertama, aku cuba Mee Tarik dengan Fungus dan Daging. Oh, fungus tu kulat ya..macam adik-beradik cendawan sikit. Rasanya sedap walaupun bahagian mee yang datang agak banyak dan besar. Sedikit pedas, tetapi tidaklah sampai mematahkan selera. Harganya sekitar RM 8.00

Untuk minuman pula, aku memesan air teh Cina, Ba Bao Tea kalau tak silap namanya. Rasanya seperti teh chamomile, bercampur teh jasmine dengan sedikit tambahan buah aprikot, sebiji longan kering, buah tin dan unsur-unsur lain yang gagal aku kenalpasti. Rasanya sedap dan ia datang dengan mode panas. Air ini serasi dengan aku sebab aku rasa tenang selepas menghirupnya 🙂 Harganya RM 3.50 segelas.

Farah, sahabat aku yang super sibuk dan mencadang pot makan di sini mengusulkan kami mencuba hidangan kambing yang dicucuk dengan pengumpil gigi. Mungkin sebab kami semua bukan penggemar kambing, atau pun sebab ia percubaan pertama justeru cadangan itu diabaikan. Tapi sepanjang sejam menunggu, mata tak lari memandang berpinggan-pinggan kambing yang dipesan oleh pengunjung lain. Yang itu, insyaallah lain kali aku cuba.

Errr…jangan tanya tempat ini area mana, landmark dan tok nenek yang lain sebab aku sendiri tidak arif dengan kawasan ini. Ini alamatnya, gi gugel, gi gugel!

Restoran Mee Tarik Warisan Asli

51A Jalan Tasik Utama 3,

Medan Niaga Tasik Damai,

Sungai Besi,

57000 Kuala Lumpur.

KFC World Hunger Relief 2012

Lautan ungu,,

 

Setelah beberapa kali diadakan, baharu tahun ini aku berpeluang untuk menyertainya. Tahun-tahun yang lampau, hujung minggu sentiasa penuh dengan kerja. Sebelum menyertai program berjalan entah berapa kilometer ini aku sendiri sangsi laratkah, ada kudratkah nak berjalan tanpa ada peluang untuk mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental?

Sabtu lalu, selepas sekolah berakhir, Hadi bercadang untuk terus ke Putrajaya. Dia sudah 4 kali menyertai program seumpama ini. Jadi katanya kami perlu sampai awal untuk mengambil baju, mudah letak kereta dan lain-lain alasan. Aku pula belum makan satu apa pun dari pagi. Aku mohon makan dahulu. Kami makan nasi ayam yang super sedap di hadapan bangunan LBS Sungai Way. Selepas itu baharulah kami bertolak ke Putrajaya dan saing sama Fariq dan Yana.

Kami sampai sangat awal di Putrajaya. Lepas mengambil t-shirt, ada lebih kurang 3 jam waktu tersisa sebelum larian bermula. Sudahnya kami membuang masa di Alamanda. Nampaknya, ramai pejalan-pejalan kaki lain mengambil langkah yang sama. Setiap sudut Alamanda, penuh dengan makhluk berbaju ungu. Disebabkan hari ini hari lahir Fariq, kami semua menyambutnya di Superstar. Kemudian kami patah balik ke Istana Kehakiman. Mujur cadangan untuk membatalkan aktiviti berjalan seperti menonton wayang tergendala. Kalau tak, tak menepati sasaran aktiviti hujung minggu aku kala itu.

Mini Groupie Fuzzy..

 

Di sana kami berjumpa Kimi dan isteri bersama rakan-rakannya yang lain. Aku sangat seronok sebab selain beraktiviti, seolah perjumpaan kecil Groupie Fuzzy sedang berlangsung. Apabila belon dilepaskan, kami mulai berjalan beramai-ramai. Sesungguhnya orang sangat ramai..Lautan ungu membanjiri laluan sepanjang Istana Kehakiman. Sampaikan aku berpisah dengan rakan-rakan yang lain.

Penatnya jangan cakap…Tapi aku tekad tak mahu berhenti. Sekali mula berhenti alamat aku akan sentiasa berhenti dan lambatlah sampai kembali ke garisan penamat. Sempat aku pesan pada Hadi, apa jadi pun dia kena pastikan aku terus berjalan dan pegang tangan aku kalau aku mulai menjadi badak semput jumanji. Bukan setakat berpeluh, berlecah sudah tangan kami. Yang penting, jangan berhenti. Kalau orang yang lebih berusia boleh jalan dengan gagah, inikan aku yang masih belia 🙂

I made it!

 

Hampir satu jam berjalan, akhirnya aku sampai di garisan penamat. Perasaannya sangat indah…Sudahlah kala itu senja menyonsong malam. Dapatlah sekeping sijil dan bergambar dengan Vanidah Imran. Ohai, dia super jelita…jelita ya amat! Secara peribadi aku bangga dapat berjalan sebegini untuk tujuan amal. Aku tak punya harta yang banyak untuk disedekahkan. Jika dengan sedikit sumbangan penyertaan dapat memberi makan satu mulut pun aku sudah rasa sebesar rahmat.

Ohai, Vanidah Imran..

 

Pasca berjalan, badan terasa macam kena pukul. Sakit belaka sampaikan nak berjalan ke kereta pun terasa malas. Ingin sahaja aku minta diheret tapi mengenangkan Hadi pun tak kurang sengsaranya, aku teruskan juga ke kereta. Sebelum balik, Hadi mahu makan burger bakar. Aku ikutkan sahaja sebab aku dah tak larat.

Hahaha..sempat bergambar

Pasar Terapung Hatyai…

image

Sudah beberapa kali keluar masuk Hatyai, akhirnya aku merasa melepak di Pasar Terapung, Hatyai. Dari pekan itu ia terletak lebih kurang 5km sahaja. Kalau tak tahu jalan ke sana lebih naik tuk tuk sahaja sementelah agak payah nak mencari parking di sana.

image

image

Aku rasa seronok di sini sebab setiap hari umpama pesta makan. Memang formalin! Harganya murah dan rasa memang sedap. Sempat aku membeli air dalam mug tembikar dengan harga RM 2.50 sahaja! Kalah ikut hati nak aje membeli dua tiga mug lagi tapi cawan hadiah masa kahwin dulu pun ada lagi tak dirasmikan walaupun sudah 6 tahun berlalu.

Aku mahu kembali ke situ…Aku rindukan ketenangan jiwa di sana..

image

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...