Happy Birthday Abang Raziq 2.0

image

Sepatutnya semalam kami sekeluarga sambut hari lahir Raziq. Tapi semalam aktiviti aku sangat padat. Pagi pergi sekolah kena berdebat bagai, petang pulak berkejar ke Putrajaya untuk larian KFC.

Menu ringkas, KFC dan air oren. Kek birthday boy sudah pilih siap-siap. Lepas makan terus aku ajak Hadi balik. Badan sangat letih. Aku mahu berehat-rehat sahaja hari ini. Menulis pun aku agak culas 🙁

Apapun…happy birthday utk Abang Raziq. Semoga Raziq suka hadiah yang mak ngah kasi.

Selamat Hari Lahir Raziq!

image

3 Oktober 2006…
Ulangtahun Raziq yang ke-4. Anak anak saudara aku yang pertama dan yang utama. Waktu itu kami sekeluarga menyambutnya di Bukit Beruntung. Hari ini Raziq sudah 10 tahun…

Rup-rupanya mak ngah takde gambar berdua dengan Raziq bila Raziq dah besar. Nanti kita jumpa kita bergambarlah bersama.

Happy birthday Raziq…Mak ngah sentiasa sayang pada kamu selamanya. Jadilah anak yang taat dan bahagiakan keluarga bila dewasa nanti. Tiada apa yang boleh mak ngah berikan hanya usaha berterusan agar Raziq cemerlang dalam pelajaran.

image

Temu : Kalau Tak Kenal Alamat Pupus Ulam Ini..

Temu Pauh

 

Aku bukannya manusia yang gemarkan rumput-rampai dan ulam-ulaman bagai. Setakat petai, jering dan kerdas itu boleh aku gagahkan. Tapi yang lain-lain memang agak berat untuk aku cuba makan, meskipun berkali-kali tuab tabib gesa kerana ianya baik untuk kesihatan.

Temu ini kisahnya aku mula berkenalan dengannya ketika majlis tahlil arwah abah. Ketika itu adik beliau membawa lauk-pauk disusuli dengan ulam yang baru aku tahu, temu namanya. Rupa paras temu seperti halia. Rasanya tidaklah pula seperti halia, kadangkala kelat dan tawar, ada pendapat mengatakan pedas. Menurut makcik aku itu, arwah abah gemarkan ulam ini. Itu menyebabkan aku mencuba dan menghargainya. Tolak ketepi apa khasiat temu kerana ketika itu aku hanya mahu hargai apa yang arwah abah hargai.

Hari ini aku balik ke rumah mama kerana aku sudah berhajat membawa dia bercuti. Mama minta kami makan dahulu dan kemudian dia mengeluarkan satu plastik temu.’Eh, temu…’ kataku sedikit terperanjat. Sudah beberapa tahun aku tidak menjamah ulam ini. Kalau nak cari kena ke pasar tani. Itu aku tidak rajin.

Adalah beberapa ulas aku makan disulami dengan rendang daging dan kentang berlada. Terasa panas seketika perut. Temu dipercayai boleh membuang angin dalam badan dan mengecutkan rahim. Temu pauh juga dikenali dengan nama lain iaitu temu mangga. Ok, fakta itu baru aku google.

Mama ada menanam temu. Ia sudah mula tumbuh segar dan aku mohon tanamlah banyak lagi. Bila rumah aku di Bandar Saujana Putra dan Tangga Batu Perdana siap aku mahu tanam di situ juga-bersama-sama dengan longan, kunyit, serai dan apa juga yang mudah aku keluar rumah petik dan masak!

 

Temu, Sambal Kelapa, Kentang Berlada, Nasi Putih dan Kicap..Memang formalin!

Malam Sabtu, Malam Minggu

image

Asalnya aku dan beberapa penjaga tonggak berjanji untuk berjumpa dengan penguasa keamanan dunia di Raju. Seorang dari kami tidak dapat hadir kerana berperang dengan sudu garfu pisau di Chillis bersama keluarga mertua. Kisahnya penjaga keamanan dunia ada mesyuarat pulak. Tinggallah kami menghanjeng duniawi dengan isu bajet dan hal-hal bersangkutan. Lepas nie kalau ada lagi pertemuan seperti ini yang bertudung pastikan oren dan menutup mulut separuh jika mahu menghanjeng benda yang tidak diketahui umum.

image

Tuan tabib pula asalnya mahu melepak di Ecoba memberi sokongan pada Adeq yang menyanyi di sana. Sempat singgah di Raju demi sotong goreng. Disebabkan plan asal bantat dan malam minggu yang panjang, sudahnya aku setuju mengheret diri aku ke sana bersamanya.

Punyalah azab nak mencari lokasi. Kami tak biasa kawasan Damansara Perdana. Sudahnya sampai juga dengan bantuan GPS. Ramai orang melepak sambil melihat persembahan. Aku turut layan sama. Lagu pun best..Sudah lama aku tak keluar lihat live band seperti itu.

Malam yang sama rupanya ada event Oktoberfest. Ada yang giler cuba naik kerbau dan tergolek dog. Aku hanya memandang dan menggelakkan sahaja. Sambil layan band sambil main sudoku.

image

Ikutkan hati lepas habis melepak
mahu menurut Adeq dan rakan-rakan main skate. Tapi disebabkan Ahad pagi kami akan ke Melaka, langsung niat itu terhenti..

Malam itu aku tidur yang sangat lena dan panjang. Perasaan sedikit tenang..

Hadap Harta : Episod Finale

Sudah lebih 5 tahun aku sering bercerita tentang kisah klasik ini. Kisahnya mudah…Harta anak yatim yang disesah oleh saudara mara yang mempunyai masalah kewangan atau bahasa Kasim Baba – sesak! Oh, ini bukan kisah harta keluarga aku, yakni anak-anak arwah Khairi yang menjadi yatim dan berebut harta. Ini kisah lain.. Dan kisah ini mungkin tidak sama dengan kisah-kisah yang selalu anda tonton di kaca televisyen. Hatta hakim yang menjadi tuan bicara turut mengatakan ia kes ganjil dalam mahkamah bersabit tuntutan harta,yakni duit Amanah Raya yang kalau disifatkan membeli rumah flat dibandar besar pun tak cukup.

Aku pernah katakan. Sekiranya kes tuntutan Amanah Raya ini selesai, aku akan ceritakan apa lama aku pendam dalam jiwa. Harta boleh menyebabkan keluarga porak-peranda, putus saudara dan menyebabkan episod menyorok di Giant atau pura-pura tak nampak semasa iftar di Hotel Seri Malaysia, Ipoh. Yang nyata, keluarga aku bukan dibahagian yang kehilangan besar dalam kisah ini. Arwah pun sudah lama meninggal. Semasa hayatnya juga pernah diperlakukan seperti manusia tak berharta oleh yang berharta. Jadi setakat tidak mempunyai saudara mara jalur dia, perkara biasalah. Mungkin generasi mereka era kini banyak bertelagah disebabkan kes yang lebih kurang kes harta. Cuma kronik tak kronik ialah jumlah harta yang dituntut..

Sewaktu aku menyambut ulangtahun perkahwinan pertama di Pulau Pangkor, aku dikhabarkan 5 kereta datang ke rumah. Pelbagai tuduhan dilemparkan dan kejiranan yang senyap sunyi tiba-tiba kecoh. Sampai ada tetangga yang tertinjau-tinjau melihat apa kes rumah mama tiba-tiba macam tempat sabung ayam. Dipendekkan cerita, ada yang bertanya tentang duit tanah yang sepatutnya milik mereka, adakah entah-entah sudah mama belanjakan.

Jujurnya..mereka memang dolmat main belon. Arwah abah penama tanah yang telah diambil oleh kerajaan kerana menjadi laluan keretapi. Pampasan diberi atas penama tanah. Disebabkan dia sudah meninggal, ia harus dibahagikan secara faraid dan kami terpaksa menunggu panggilan mahkamah untuk hal selanjutkan. Dolmatnya mereka kerana menyangkakan kami sengaja melengah-lengahkan urusan mahkamah. Apa ingat mahkamah tu pedicure manicure ke boleh telefon sesuka hati mintak temujanji. Untuk bersangka baik, aku merasakan mereka tidak pernah mendengar istilah ‘fail timbul’. Hakim/majistret (aku tak pasti) sampai naik marah mendengar cerita kisah kami dan meminta mereka sendiri datang ke mahkamah kalaulah tak puas hati sangat. Aku ingat lagi katanya, kalau kes ini dibawa ke mahkamah memang boleh menang. Tak payah…buang masa dan duit aje sementelah bukannya berkoyan-koyan pun duit yang dituntut.

Perlu aku tegaskan..sedari kecil kami adik-beradik tahu ia bukan milik kami. Sekelumit pun aku dan adik-adik tak terdetik untuk merembat apa juga hatta kos tanaman, rumah atas, rumah bawah dan dapur dikampung nun. Aku masih boleh toleransi atas dasar orang tua, pakcik makcik dan apa juga kata umum menghormati orang yang terdahulu daripada aku. Tapi apabila tindakan mereka menyebabkan mama menangis setiap kali solat, hati anak mana yang tak rasa gundah?

Aku bertekad menamatkan semua kisah karut ini. Keluarga ini diperlakukan seperti tidak bermaruah rasanya. Sudahlah bapa tiada, jalur yang ada sikit pun tak hormatkan kedudukan mama sebagai balu arwah. Aku membuat pinjaman di Bank Rakyat – secukupnya. Cukup untuk membayar dahulu nilai tanah yang belum kami dapat, cukup untuk menyelesaikan hutang piutang yang ada dan cukup membuatkan aku rasa cinabeng betul saudara yang aku ada kerana mencalarkan slip gaji yang suci murni.

Aku ingat saat aku sekeluarga berjumpa yang tertua sekali dalam kumpulan ‘tuntutan’ itu. Aku nyatakan, lepas ini jika tak berjumpa dan tak bersaudara sekalipun tak mengapalah. Dan kami tak mahu pun bahagian arwah.  Yang keluar dari mulut dia pada aku macam angin lalu. Takde makna dan tak mendamaikan.

Saat salah seorang dari mereka datang ke rumah danmenyerahkan bahagian mama, aku terkejut beruk dengan nilai yang diterima. Aku tak tahu matematik sekolah mana yang mereka belajar dan aku terkilan yang belajar tinggi sampai luar negeri pun merelakan cara pembahagian itu. Suka aku nasihatkan pada diri aku sendiri dan pada orang yang membaca, kalau tak ikhlas nak renovate rumah orang tua, jangan buat. Kalau nak buat juga, bincang dengan adik-adik supaya masing-masing dapat menyumbang. Kalau rasa kaya sangat, nak juga ubah suai rumah tu, jangan pulak dituntut duit atap, simen, kapur dan paku. Tak senonoh sangat!

Sangat lucu bila upah fotostat sampai RM 550.00 dan kos petrol pun setiap seorang ambil dalam RM500.00 sedangkan yang seorang tu naik kereta bersama pasangannya dan juga pejabat tanah tu bukannya dekat Putrajaya. Betullah kata suami aku, diorang fotostat atas kain songket apa!?

Kesimpulan, nilai yang salah 6 daripada mereka dapat tak cukup untuk buat down payment kereta Iswara pun. Salah dua iaitu mama dan seorang lagi lebih sikit dari nilai PTPTN pelajar ijazah dapat satu semester. Dan satu nama, yang bukan berbin dan bintikan arwah atuk aku pun dapat – lebih banyak dari mereka bertujuh kerana dialah insan yang membuat renovasi rumah. Jadi rakan-rakanku yang belajar bertahun-tahun menjadi peguam syariah, adilkah ini? Memang aku kata aku tak hadap pun dengan duit pampasan tu. Tapi matematik yang diberikan ini sangat menguji akal aku yang sekolah tak tinggi sangat nie.

Untuk itu, aku tutup kisah harta Ismet Ulam Raja ini. Apapun aku tak harap dari mereka hatta kemaafan sekalipun. Selagi slip gaji aku masih menolak biro Angkasa, selagi itulah ia menjadi ingatan tentang peristiwa yang menyebabkan semuanya huru-hara. Jangan ingat kami ini budak-budak yang boleh tutup sebelah mata aje atas apa yang terjadi. Aku telah menyelesaikan semua ini sesuai dengan janji aku pada arwah abah. Aku harap ia tidak terjadi pada galur generasi aku pula kerana apa yang aku tinggalkan untuk mereka hanya ilmu, salinan pemberian harta ini di ruang tamu rumah aku dan rumah mama serta kisah klasik ini untuk kamu semua jadikan ingatan.

Al-fatehah buat ayahanda Khairi Bin Tak.. aku sudah lakukan apa yang aku rasakan terbaik untuk keluarga kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...