Radio Baru…

image

Selepas kelas tamat, beberapa rakan kelas bersetuju melepak di Empire Shopping Gallery. Aku memang tak kisah ke sini sebab kebetulan Sony ada buat jualan gudang. Hajat hati memang nak beli radio..

Oleh kerana sangat kelaparan,kami melepak di Madam Kwan. Lebih setahun aku tak makan di sini. Dalam kepala otak dah terbayang foo yong eggs dan sambal ikan bilis. Aku tak tahu kami sembang apa semasa menanti makanan tiba. Itulah lazim bila keroncong sedang bertali rebab. Yang aku ingat asyik makanan Kak Ros sampai dulu!

Lepas makan, dengan gigihnya kami mencari kedai Sony. Takde potensi jualan gudang langsung. Macam kedai lepas kena zakat dengan Sadiq Segaraga pun ada. Pekerja kedai kemudian memaklumkan lokasi jualan gudang di ruang masuk Empire rupanya.

Terpaksalah misi mencari dan berjalan dalam keadaan kenyang bentak. Ingatkan segudang besar tempat jualan gudang tu. Adalah satu khemah separa tutup seolah jualan barang curi pun ada. Dengan hujan renyai dan manusia bersesak, hampir putus sumber oksigen aku rasakan.

Aku memang tak reti usha lama-lama. Nampak aje barang,puashati harga terus test dan bayar. Disebabkan tempat sempit dan orang ramai, agak lambat urusan mudah ini selesai. Dapatlah sebuah radio dengan harga yang sangat berpatutan.

Dah lama nak beli radio sebenarnya. Radio di dapur tu dah tak bole fungsi langsung. Nak baiki kosnya seolah beli radio baru. Tapi radio ini bukan di dapur letaknya, di dalam bilik tidur. Akhir-akhir ini Hadi susah nak tidur malam. Kesian dia selalu kerja tak tentu masa. Bila badan letih tapi mata tak mahu lelap, tidur aku yang terganggu. Jadi dengan adanya radio ini, hanya satu stesyen yang berkumandang yakni KlasikNasional. Pasti dia cepat tidur dan aku juga begitu hendaknya..Apapun, aku sangat tenang sebab aku bole dengar siaran KlasikNational tanpa batas. Aku memang jiwa lama dan aku segar begitu…

Kesibukan Itu Pemisah..

6 minggu hampir berlalu…Aku rasa tak sabar menanti akhirnya minggu ini. Bukan kerana rakan-rakan kursus yang indah semuanya. Bukan kerana penceramah yang komited jua adanya. Tapi kerana aku terasa seksa duniawi bangun sebelum cicak berdecit dan berkejaran untuk kelas malam. Ia sangat letih dan meletihkan. Ia membuatkan aku cepat seput dan hujung minggu terasa amat pantas. Yang utama, ia membuat aku rasa dukacita kerana aku memanglah benak matematik dan statistik.

Dugaan pulak datang bertimpa-timpa. Tak habis yang mengikut datang pula balak-balak lain yang menjadikan langit aku runtuh. Letih amat…rasa nak lepak tepi pantai, makan sata atau berjalan sampai aku rasa macam badak semput Jumanji. Walaupun badan sakit tapi mata dan jiwa rasa tenang menikmati keindahan alam.

Hadi pula maha sibuk bulan ini. Jangan kata nak ajak beli barang dapur, nak ajak beli nasi lemak pagi Ahad pun payah. Kerja seolah 7 hari seminggu dan aku terkontang-kanting macam amah – bezanya setiap kerja aku tak tuntut RM 700. Err,alang-alang ditopik ini, dengan segan-segan siamang aku mohon pertimbangkan permintaan menaikkan nafkah ya sementelah pelaksanaan gaji baru bermula bulan depan 🙂

Aku rindu nak habiskan hujung minggu bersama – dalam ertikata tiada panggilan telefon banjir, langit retak, orang nak berhimpun dan bala-bala duniawi yang lain. Tapi itu hanyalah angan-angan palsu penjawat awam 🙁

Cuti semester yang mendatang insyaallah kami akan ke Kuching. Walaupun tak lama, aku harap ia dapat memberi keselesaan sementara kepada kami berdua. Apa yang penting, mee kolok akan aku baham sepuas-puasnya dan Gunung Santubung tu kalau ada kederat kita panjat ya..

Cherating-Seolah Keluarga Itu Besar..

image

Hari kedua di Cherating,aku bangun agak lewat. Tapi jam 6.00 pagi tadi sudah terjaga,sebelum tidur semula. Pandang ke luar hari masih gelap.Nak mandi kolam,sangat sejuk. Nak ke pantai,ombak pula menggila.

Sarapan pagi dengan nasi goreng. Sempat mama masak dan perangatkan lebihan tempoyak udang dan telur masak berlada. Pekena dengan kopi Radix,terasa segarnya permulaan hari dua di Cherating.

Kami bercadang untuk ke Kemaman untuk mencari sata. Sempat singgah di Pantai Mok Nik dan melihat ombak di sini. Ya,Allah…tinggi dan ganas sungguh. Beberapa gambar cuba aku ambil,tapi ini aje abis cantik untuk aku selitkan. Kemudian barulah misi mencari sata bermula.

Sampel dibeli dari 3 kedai.Semua orang menjadi juri dan sah,kedai kedua paling sedap. Mama pantas terus keluar kereta dan menuju ke gerai kedua. Lagi 30 biji kami beli dan makan terus dalam kereta. Aku memang kenyang sata di sini.

image

Apa yang buat aku gembira,Zhafrie beritahu dia mahu mengopi bersama aku dan keluarga! Sementara tunggu pengantin baru datang,kami melepak di Pasaraya Tunas Jaya dan membeli stok kopi Kemaman secukupnya.

Zhafrie membawa kami melepak di kedai makan yang menjual nasi dagang terlazat di Kemaman. Memang sedap,tapi aku dah kenyang dan hanya cuit sikit-sikit nasi Ameera. Semua bersembang macam dah kenal lama. Ish,macam gile pulak aku macam mencari pengantin di sini..Tapi memang kesudian mereka berjumpa famili aku membuatkan aku rasa seronok di sini. Aku terasa keluarga aku besar sebenarnya..

Sesudah itu,pengantin meneruskan perjalanan ke Dungun dan kami masih mencari sata lagi. Tiada kebosanan di sini. Semuanya tenang belaka..Malamnya mama masak sardin dan itulah menu malam tadi. Sumpah sedap! Esok mungkin balik KL tapi tengoklah..kalau masih seronok mungkin tambah sehari lagi..

Cherating: Agenda Makan-Makan..

image

Hari ini baru aku berpeluang bawa mama untuk bercuti. Cadangnya mahu ke Taiping, tapi Cherating lebih menggoda. Kami tinggal di Mercu Resort, tempat yang sama kami bercuti sekeluarga pada hari raya tahun lepas.

Gerak agak lewat dari rumah sebab aku kesiangan. Jam 9.45 baru bergerak ke rumah mama. Sampai-sampai aje, kentang berlada dan tempoyak udang sudah memanggil-manggil. Harus makan dahulu. Kalau cuti dengan mama,anak-anak ada potensi debab sebab mama pasti bawak bekal dan agenda masak itu pasti.

Elok sampai di Cherating,misi pertama ialah mencari sata. Itu memang wajib…kami beli 48 biji sata dan semuanya habis tak sampai 10 minit.. Ini adalah antara sebab utama Cherating dipilih menjadi lokasi bercuti.

Selepas check-in di resort,terus terjun kolam. Ini sebab-sebab utama Mercu menjadi lokasi wajib di Cherating. Aku sempat call Impiana dan Residence,tapi mengarut sangat harganya. Sangat keletihan aku selepas berendam. Lauk bekalan yang dibawa aku baham sampai perut bentak. Mungkin renang setempat banyak menggunakan tenaga.

Lepas mandi dan bersiap,kami ke Kemaman. Ameera nak cari seluar untuk mandi katanya. Kami kesebuah pasaraya dan ternampak satu van sate. Makan lagi…Tenat perut aku dengan acara makan-makan ni. Itu belum masuk ice-blended milo yang sedang menanti giliran untuk disedut.

Tak kisahlah.. asal semua happy di sini. Esok belum ada agenda..Tapi makan-makan mesti ada..

The Girl With The Dragon Tattoo..

Aku tak tahu sama ada filem ini ditayangkan di Malaysia atau tidak. Mungkin kerana masa ia dikeluarkan aku tidak punya masa ke panggung wayang menjadikan aku banyak ketinggalan filem-filem dari dalam mahupun luar negara. Semalam aku berkesempatan menyaksikannya dan kalau boleh diberikan gred, ini filem kelas A yang sangat hebat jalan ceritanya.

Filem ini diangkat dari novel Stieg Larsson dari Sweden, yang juga merupakan seorang wartawan. Novel bertajuk “Millennium Series” mendapat sambutan yang hebat, terutama di Amerika Syarikat. Sewaktu berumur 15 tahun, Stieg Larsson menyaksikan satu kejadian rogol yang mana kekesalannya menggunung kerana tidak dapat menyelamatkan gadis itu. Jadi sentimen anti-keganasan terhadap wanita terutamanya rogol sangat kuat dalam karya-karya beliau.

The Girl With The Dragon Tattoo mengisahkan seorang wartawan, Mikael Blomkvist (Daniel Craig) kalah dalam satu kes fitnah melibatkan seorang usahawan, Hans-Erik Wennerström. Di kemudiannya didatangi oleh Henrik Vanger, untuk menyiasat kehilangan anak saudaranya, Harriet, 40 tahun lalu. Sebelum mengupah Mikael, latar belakangnya telah disiasat oleh Lisbeth Salander (Rooney Mara), seorang penyelidik dari Milton Security. Kedua mereka menyiasat kisah silam keluarga Wennerström dan menemukan rantaian kes pembunuhan yang belum selesai lanjutan membawa kepada kisah sebenar apa yang berlaku pada Harriet.

Kalau google cerita ini, tak boleh tidak semua akan memberikan pendapat tentang adegan rogol yang sangat mendebarkan. Ya, itu betul…Aku sangat terkesan dengan cara adegan itu ditunjukkan dan perasaan takut tidak dapat lari bila mana keadaan menyebabkan seseorang terpaksa rela atas apa yang dilakukan terhadapnya oleh pemangsa. Adegan balas dendam oleh Lisbeth kerana diperlakukan sedemikian kepada peguam yang merogolnya memang hebat. Tak banyak mangsa sanggup berdepan dengan pemangsa dan membalas dendam (sila tolak negara kita ada undang-undang punya pendapat).

Daniel Craig pelakon yang bersahaja. Aku rasa ramai lagi boleh melakonkan watak yang sama. Dia berjaya membawa watak ini selayaknya. Kredit memang aku berikan khusus buat Rooney Mara kerana melakonkan watak Lisbeth dengan berkesan. Patutlah ramai tak puas hati dia gagal menang Golden Globe. Tindikan di kening dan bibir memang asli, dibuat semata-mata untuk filem ini.

Kepada yang belum tengok, silalah tengok..Sangat puas hati. Aku sendiri akan mencari novel “Millennium Series” untuk lebih memahami jiwa Stieg Larsson.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...