Happy Birthday, Eskandar Dzulkarnain!

Baby ED#1, Baby Alex, Debok, Kanda dan lain-lain nama panggilan untuk dia. Rasa macam sekejap sangat dia sudah berumur 5 tahun. Dari langsung tak boleh bercakap, keluar juga sikit-sikit Mama, Abah, susu, Mishka. Sekarang semakin petah. Sejak masuk tadika, tatabahasa pun semakin bertambah. Cuma dia belum mahu bersembang dengan kami seperti kanak-kanak lain seusia dia. Belum masanya untuk mama dan abah impart wisdom untuk anak kecil ini.

Tahun ini, untuk pertama kalinya kami tidak sambut hari lahir Eskandar. Tunggulah minggu depan kita sambut dengan birthday Abah, ya…Mujur dia belum pandai minta dan demand. Bila kami wish “Happy birthday, Eskandar!” dia hanya balas “thank you, mama” tanpa nada excitement. Haih, sangat…

Sesungguhnya Julai adalah bulan yang memberi pelbagai warna dalam kehidupan aku…

Jadi malam itu aku mengajak Hadi untuk bawa anak-anak berjalan dengan pergi melawat dinosaur di Selayang. Tak silap aku, beberapa bulan dahulu kami pernah berusaha untuk ke sini semasa promosi masuk percuma, tapi gagal teruk. Dah sampai depan pintu pun, tapi kami patah balik sebab seramai-ramai umat dan kereta bersepah-sepah di kiri-kanan jalan.

Ramai yang tanya, apa nama tempat yang aku pergi ini. Selalunya aku rajinlah maklumkan nama tempat kepada khalayak tetapi malam itu aku memang fully rockupied menjaga dan mengawas Ezzudin. Dia moody teruk. Kami terpaksa ikat dan sorong dia sepanjang masa. Buatnya datang semangat dia nak terjun tasik, aje jahanam hidup aku. Jadi peluang untuk pegang telefon di sana amat terbatas.

Ok, tempat ini namanya 99 Wonderland Park, terletak di Selayang. Dekat aje dengan Pasar Borong Selayang. Kos masuk untuk dewasa tidak tetap, mengikut hari jua adanya. So bolehlah rujuk jadual. Kos kami malam itu ialah RM21 sahaja untuk 2 dewasa dan 1 kanak-kanak. Ezzudin mereka tidak cas sebab Judin baru 3 tahun.

 

Taman ini tidaklah besar sangat dan tidaklah kecil juga. Kalau berjalan satu kawasan, konfem berpeluh ketiak. Jangan risau, ada aje gerai-gerai yang menjual air, makanan dan aiskrim di dalam ini. Tujuan kami sangat jelas – dinosaur!

Jenuh aku pusing…mana dinosaur? Sepatutnya dari pintu masuk, terus belok ke kanan untuk ke kawasan yang menempatkan sekeluarga dinosaur, tetapi kami terus belok kiri. Sebabnya kebetulan masa sampai, ada persembahan bunga api. Nak dapat angle yang menarik kena ke kiri kawasan, baharulah dapat menonton dengan lapang dan selesa.

 

Kemudian kami bawa anak-anak pusing kawasan ini. Jangan risau, konfem tak sesat. Macam tawaf satu pusingan aje. Dapatlah tengok ayam, itik, angsa, rusa dan beberapa binatang lain. Bau agak tengik, tapi terkawal.

Di sini juga banyak patung haiwan. Boleh dikatakan semua yang ada dalam tu semua dia nak tunggang. Tapi kami hanya sempat ambil gambar ditempat yang tidak ramai budak. Bukannya apa, tak kuasa nak berebut dan menunggu.

Akhirnya jumpa juga dinosaur….tarikan utama kami ke tempat ini. Tidaklah statik kejung aje binatang ini, bolehlah kepala dia pan left and pan right dan adalah audio juga. Tapi Eskandar punya penakut, samalah macam masa kami bawa pergi Deerland. Suara dia aje!

Habis tawaf, kami pun balik. Sebelum balik sempat ada drama. Eskandar meluru menuju ke arah tempat bot sebab tiba-tiba dia nak naik bot pulak. Kemudian dia terbaring (seperti biasa) tanda protes dan aku biarkan sahaja sampai dia boring. Ezzudin pula menangis-nangis tak mahu balik (padahal bukan dia berjalan pun, dalam stroller semata). Kedua-duanya meragam dalam kereta. Kebetulan aku memang tak bawak botol susu sebab nak biasakan mereka minum dengan botol air. Tidak lama kemudian, birthday boy terus tertidur manakala adik dia masih meragam macam incredible hulk. Mujur ada Pikin dan senyaplah dia sekejap.

Sebaik sampai rumah, kedua-dua mereka langsung bongkang. Mereka kemudiannya kami dukung masuk ke dalam bilik dan kemudian aku dan Hadi menghabiskan masa di luar rumah.

“Ai, tak larat…” Dia mengadu. Dia sandarkan kepada ke bahu aku.

Kita boleh lalu semua ini, kita boleh lalu…Call it a day. Tomorrow is a new day.

Kami pun pandang langit malam dan mengeluh bersama-sama.

Happy birthday, Eskandar Dzulkarnain. Mama, abah dan Ezzudin sayang kamu sentiasa.

 

6 Tahun Cahayaku Pergi…

 

How do parents go on when they lose a child? You know, when I would see that stuff on the news, I’d shut it off because it was just too horrible to think, but I would always think, ‘How do they wake up every day?’ I mean, how do they breathe, honey? But you do wake up, and for just a second, you forget. And then, oh, you remember. And it’s like getting that call again and again, every time. You don’t get to stop waking up. You have to keep on being a parent even though you don’t get to have a child anymore.

Carole – Glee

Jawapannya – every time!

Setiapkali tibanya 5 Julai, setiap kali adanya berita bayi meninggal di rumah pengasuh atau tersedak susu, setiap kali melihat posting gambar anak rakan-rakan yang mengandung sama garis masa dengan aku 6 tahun lalu – aku pasti teringatkan bidadariku ini yang telah pergi.

Pedihnya tetap sama….

Aku banyak menulis tentang dia namun tahun ini aku tidak merancang untuk melakukannya pada hari ini. Catatanku buatnya dalam rancangan Adila di Radio Klasik beberapa bulan lalu jelas aku singkapkan kembali kisah dan kenangan bersama Cahaya Balqis. Kerana catatan itu juga, Hadi mulai terbuka bercerita tentang ujian tuhan 6 tahun lalu yang pernah membuatkan kehidupan kami ranap seketika.

5 Julai 2012….sudah enam tahun dia pergi. (Sebenarnya aku cuba menulis tentang kisah semasa aku melahirkan Cahaya Balqis tetapi terlalu pedih pula bila aku ingat. Lepas beberapa kali padam dan tulis, aku padam terus.)

Selamat Hari Lahir bidadari syurgaku, Cahaya Balqis Abdul Hadi. I miss you so much and i really hurt me. Tunggu kami di sana nanti, sambutlah tangan kami, aduhai anakku.

Happy Father’s Day!

Dalam kemeriahan Syawal (yang tak berapa meriah untuk kami sekeluarga), semalam merupakan Hari Bapa. Selamat Hari Bapa kepada semua yang masih ada bapa, seorang bapa, bapa saudara dan bapa gula yang diingati sekalian.

Sepatutnya catatan ini aku layarkan semalam. Tapi semalam aku melalui satu detik yang mencemaskan. Dengan jalan sesak dari Melaka – Bandar Saujana Putra, anak yang super aktif sebaik menjejak rumah, episod merenjis susu soya dalam rumah dan Hadi tiba-tiba jatuh sakit. Sumpah….dalam banyak-banyak serabut lain, masa Hadi mengadu dia sakit semalam aku rasa risau dan takut yang menggila. Badan dia seram sejuk, dahi berpeluh-peluh dan ulu hati rasa pedih. Masa itu pula semua masyarakat doktor mengambil keputusan untuk tidak buka klinik dan menjadikan panik aku naik seganda.

Memang rumah dan anak-anak aku abaikan sekejap. Sebaik balik dari kedai Speedmart dan Hadi terus rehat selepas makan Gaviscon, aku terus siapkan anak-anak untuk tidur dan gelapkan ruang tamu. Mungkin budak-budak keletihan sebab perjalanan jauh tadi, mereka terus layu dan membiarkan Masha and Bear tengok mereka. Aku terus naik bilik. Hadi ok sikit…tapi badan dia sejuk. Perasaan aku masa tu, Allah aje yang tahu. Macam-macam yang pelik-pelik aku rasa semalam. Jadinya malam tadi selang sejam aku turun dan naik rumah untuk memastikan Hadi dan anak-anak okay. Aku memang separuh ranap – tapi masih boleh bertahan.

Nak kata Hadi makan banyak, tak juga. Berkawal-kawal juga sehari dua ini. Aku rasa dia penat. Apapun dia sudah okay, dan aku lega kembali. Please don’t leave me… Ai tak boleh hidup kalau yu takde 🙁

Alhadihamzah, Selamat Hari Bapa…. Terima kasih kerana menjadi bapa yang sangat ohsem untuk anak-anak kita Eskandar Dzulkarnain dan Ezzudin Dzulfikar dan tak pernah kita lupakan, arwah Cahaya Balqis. Sementara anak-anak hendak membesar, kita lalulah bersama turun naik kehidupan ini. It’s not easy but as long as we have each other, we can do this.

Me love you long time….

Remember when we vowed the vows and walked the walk
Gave our hearts, made the start, it was hard
We lived and learned, life threw curves
There was joy, there was hurt
Remember when….

It’s Your Day, Love!

Ini adalah satu kisah tentang pengorbanan dan kesabaran. Ia mungkin kisah biasa bagi orang lain, tapi bagi aku kisah ini membuatkan aku rasa kuat – Kuat dalam erti kata walaupun pernah dipanah racun, harimau itu nekad melayan kesakitan yang ada dan meneruskan kehidupan seperti harimau-harimau terancam yang lain. Fuuuh…tinggi kashafnya ni.

Lama aku dan Hadi nantikan saat ini. Bukan satu perkara yang mudah untuk belajar dan berkerja dalam satu masa yang sama. Walaupun beronak liku dan meniti perjalanan yang sangat panjang, akhirnya Hadi habis belajar juga!

Sedari aku menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana aku sudah mengajak dia untuk menyambung pelajaran bersama-sama. Masa itu kami tiada anak. Sepatutnya pengurusan masa menjadi lebih mudah dan tidak membebankan kedua-dua belah pihak. Tetapi Hadi tidak mahu. Belum tiba masa katanya.

Hidup Spank!

Tetapi semua itu berubah apabila hari konvokesyen aku pada tahun 2013. Aku konvo dengan rakan baiknya – Fariq, yang juga member Spank Intelligence aku dalam kelas dan seorang lagi sahabat yang sangat banyak aku berhutang budi, Farah Zamira. Terus dia memutuskan untuk sambung belajar dengan perbelanjaan sendiri. Aku raikan keputusan itu dengan kegembiraan yang tidak terungkap. Akhirnya ada punca juga untuk dia sambung belajar. Bukannya apa…Untuk skim perkhidmatan dia, eloklah ada sarjana. Ada nilainya. Skim aku lain.

Dia mengambil jurusan yang sama seperti yang aku ambil dahulu iaitu Sarjana Perangsaraf Media dan Informasi. Pada tahun 2014, Hadi masih lagi berkhidmat di MKN Selangor jadi kalau ada kelas malam tidaklah susah sangat untuk dia atur masa untuk ke kelas di Shah Alam. Hanya aku sahaja yang perlu berkorban sikit. Balik kerja, aku selalu tumpang rumah Nana atau rumah Kak Ayu sementara menunggu Hadi habis kelas. Ada sekali tu, aku terpaksa menumpang rumah Ona bila Hadi berkerja di luar kawasan. Dalam pukul 10.30 malam, dia akan ambil aku yang memang selalunya keletihan. Aku letih sebab masa itu aku sedang mengandungkan Ezzudin. Bila aku fikirkan balik, akupun pelik mana datangnya tenaga untuk bertahan seperti itu hampir tiap-tiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Mujurlah masa itu Eskandar dijaga oleh mama dan kami akan mengambil dia pada malam Jumaat atau Sabtu pagi.

Semuanya berubah bila Hadi naik pangkat dan bertugas di Putrajaya. Kami kena susun balik pergerakan kehidupan. Tidaklah berubah mendadak kerana hanya dia sahaja berkejar masa untuk ke kelas selepas habis berkerja. Rutin aku menanti dia masih sama. Dia mula dihambat kerja. Mula sibuk dan mula rasa susah untuk meneruskan pengajian. Sudahnya dia terasa seperti mahu berhenti belajar.

Aku tidak mahu memaksa kalau dia tidak mahu, tapi dalam hati aku memang tak setuju. Aku cadangkan dia tangguh belajar satu semester atau kurangkan subjek. Dia setuju dan aku lega kembali.

Kemudian dia mula sibuk dan mula serabut menguruskan semua benda apabila Ezzudin lahir. Sekali lagi dia menangguh dan bertangguh. Ini memang leceh sikitlah sebab kalau sudah mula bertangguh, lama-lama akan rasa nak quit. Pada masa yang sama, aku sudahpun menarik diri dari pengajian PhD atas faktor-faktor di atas. Aku kena berikan masa pada anak-anak yang masih kecil. Tak terdaya aku nak kejar semua dalam satu masa.

Lama-kelamaan, perbualan bila nak habis belajar hanya akan menyebabkan kami bertegang leher dan bermasam muka. Kesudahannya aku mengambil keputusan untuk biarkan sahaja dia membuat keputusan sendiri. Nak sambung, sambung. Tak mahu sudah. Situasi ini terpakai untuk semua perkara-perkara berbangkit yang membuatkan aku malas mahu menyesakkan kepala aku.

Kemudian, satu per satu kawan dia habis belajar. Semuanya raikan kemenangan itu di media sosial masing-masing. Aku tahu itu tamparan untuk dia. Aku kembali sokong dia mana yang terdaya. Walaupun kami mengambil jurusan yang sama, aku tidak pernah bantu dia buat apa-apa tugasan. Semua dia buat sendiri. Aku cuba bantu sikit aje masa buat tesis, itupun Chapter 3. Yang lain, aku tak campur apapun kajian yang dia buat.

Tadi, majlis konvokesyen Hadi. Hanya aku yang hadir. Anak-anak memang tak boleh bawa. Mahu diorang panjat pentas kalau tidak dibendung. Anak-anak kami bukan macam anak orang lain yang dengar kata dan taat. Mereka belum sampai peringkat itu lagi. Jadi baiklah kami tinggalkan sahaja.

Aku memerhati dari Aras 2 Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM Shah Alam. Saat aku lihat paparan wajah Hadi pada layar skrin semasa pergerakan graduan masuk dewan, aku memang terasa sebak sangat. That’s my man! Nasiblah acara penuh istiadat. Kalau tidak memang aku teriakkan namanya:)

Hari ini aku biarkan Hadi terapung dan raikan kemenangan menghabiskan pengajian sarjana. Aku buat 2 tahun, itupun sebab ada kertas aku terpaksa ulang kerana keguguran arwah Cahaya Balqis. Hadi buat 3 tahun! Aku mahu anak-anak tahu bukan mudah untuk berjaya dalam pelajaran. Tapi semua kesakitan dan pengorbanan itu akan dibalas dengan semanis-manis kejayaan.

Akan datang masih misteri. Jika Hadi mahu teruskan ke kayuhan terakhir PhD, aku tetap setia di sini. Jika dia mahu kami berpimpin tangan dan buat bersama, mungkin juga aku akan lalui sawan dunia ilmu sekali lagi. Tapi dalam dunia ini, not all is about you. Aku sanggup beri laluan pada Hadi. Go for it! Kalau kamu jatuh, aku bangkitkan balik.

Hari ini hari kamu, Hadi. Raikanlah..terapunglah menebak langit setinggi mana kamu mahu. Tapi esok Isnin koje. Cuti dah kena beku. Jejak bumi balik ya.

Hadi, tahniah yang sesungguhnya. Me love you long time!

Aku, Dia & Lagu

Sometimes, it’s not the song that makes you emotional, it’s the people and things that come to your mind when you hear it.

Bukan mudah untuk aku singkap balik kenangan lama ini. Tapi kenangan sifatnya tetaplah menjadi kenangan. Yang baik dikenang, yang pahit itulah pengajaran paling agung. Itu yang menjadikan aku hari ini.

Banyak kali Aie Sarkase minta aku berkongsi pengalaman, banyak kali juga aku tolak. “Cerita kau lain..kau kena tulis,” katanya. Setiap kali itu juga aku menolak dan mengelak. Tetapi disebabkan dia telah bersusah-payah mendapatkan aku satu video khas, maka permintaannya kali ini dengan senang hati aku usahakan. Sebagai tanda terima kasih dan sebagai menghargai persahabatan kami. Dalam seminggu ini baharu kerap kami melepak dan bersembang. Hilang sekejap duka lara kami dengan lawak-lawak tak bermoral dari dua-dua belah pihak yang kebanyakannya hanya kami sahaja yang faham.

Untuk pengetahuan, coretan pengalaman itu selamat disampaikan oleh DJ Klasik iaitu Safura Draoh. Terima kasih yang teramat kerana menyampaikannya sedemikian rupa. Entah berapa kali aku kesat air mata yang memang tak tertahan. Sampaikan ada bekas staff Hadi di pejabat lamanya turut menzahirkan kesedihan setelah mendengar coretan pengalaman kami itu. Aku sempat meminta ahli keluarga, saudara mara terdekat dan rakan-rakan untuk mengikuti siaran itu semalam. Kalau siapa yang tidak sempat dengar dan mahu salinan, aku boleh send melalui What’sApp. Tapi lagu yang mengiringi cerita itu tidak pula adik aku, Ameera rekod. Mungkin panjang sangat 🙂

Tetapi bila Hadi sendiri beritahu dia sedih mendengar catatan itu, baharulah aku sedar yang jauh di sudut hatinya dia juga teringatkan anak kami, Cahaya Balqis. Selama 6 tahun ini, reaksi Hadi hanya penuh dengan kesabaran dan ketenangan. Pernah awal-awal dahulu aku terasa dia macam dia sudah lupa pada Cahaya Balqis.

“I yang tanam dia, i yang pegang dia sebelum dia dikebumi. Takkan I lupa!” Sejak itu aku jarang bersembang pasal hal ini lagi.

Lagu-lagu yang aku pilih ketiga-tiganya memang dekat di hati dan menzahirkan perasaan aku sepanjang masa. Lagu itu adalah Hujan dan Airmata – Datuk Sudirman Hj. Arshad, Aku dan Kesepian – Azlina Aziz dan lagu terakhir Aduhai Sayang – Tan Sri P.Ramlee. Walaupun aku akan bersedih mengenangkan kisah lalu setiap kali mendengarnya, tetapi tidak boleh tidak, lagu-lagu itu juga membuatkan aku kuat dalam melalui semuanya.

Terima kasih Aie Sarkase atas peluang ini dan percaya pada cerita aku,  terima kasih juga kepada Radio Klasik.

****

Setiap pasangan yang berumahtangga pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata bagi melengkapi kehidupan. Namun tidak semua orang bernasib baik, memiliki anugerah itu seawal setahun dua perkahwinan.

Aku dan Hadi berkenalan dari zaman di universiti. Selepas 6 tahun bercinta, kami disatukan dalam satu majlis yang penuh gilang-gemilang. Kami sudah bersedia memulakan hidup bersama dengan harapan dikurniakan cahaya mata seperti rakan-rakan yang lain.

Mencecah 6 tahun usia perkahwinan, harapan hanya tinggal harapan. Kami masih belum berjaya mendapatkan zuriat sendiri. Sudah habis ikhtiar yang kami buat. Kalau dengar mana-mana makcik yang pandai mengurut, semuanya aku cuba. Produk kesihatan tak payah cerita. Selagi ada yang menawarkan harapan, kami tidak pernah putus asa mencuba.

Setiap kali orang tanya “eh, takde anak lagi ke? ” atau “kamu tidak mencuba nak dapatkan anak ke? ” perasaan aku rasa bagai disagat-sagat.

Aku jadi malas untuk berjumpa saudara mara. Malas menghadiri kenduri dan malas bersosial. Sampai satu tahap, kalau ditanya bila kamu nak dapat anak, mahu sahaja aku jawab “malam ini kami cuba, 9 bulan lagi makcik bawang boleh cuba tanya”.

Aku sudah tidak punya air mata apabila memikirkan nasib kami yang masih belum berjaya mendapat anak. Pernah aku berikan Hadi kebenaran untuk berkahwin lain, andainya dia mahu. Tetapi dia enggan. Susah senang, kita lalulah bersama, itu janjinya.

Aku kemudiannya memutuskan untuk cuti belajar dan menyambung pengajian di peringkat sarjana. Satu hari, aku diminta membuat pembentangan di dalam kelas dan aku diserang gemuruh yang sangat teruk. Selalunya, usai pembentangan perasaan gementar akan hilang. Tapi gemuruh itu melarat sampai dua hari dan aku kerap loya muntah!

Ah, sudah… Tiba-tiba aku terdetik untuk membuat ujian kehamilan. Sah, dua jalur kelihatan. Aku ingat lagi masa berita itu aku khabarkan pada Hadi. Dia menangis dan memeluk aku dengan kuat. 6 tahun kami nantikan detik ini. 6 tahun! Aku dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh. Mintalah apa sahaja, Hadi akan usaha belikan.

Aku terlalu gembira sampaikan aku lupa, suka adakalanya boleh membawa duka.

Satu hari aku terasa seolah-olah air ketuban mengalir tanpa henti. Kandungan masa itu baharu berusia 5 bulan. Aku dikejarkan ke hospital dan doktor memberitahu air ketuban telah pecah.

“Kandungan puan tidak dapat diselamatkan…bayi terlalu kecil dan organnya belum matang. Jika hidup, anak mungkin akan cacat dan tidak akan hidup lama.”

Masa itu, aku rasa langit runtuh! Aku menangis semahu-mahunya. Ya, Allah… Ujian apakah yang kau berikan serasa terlalu berat untuk aku tanggung. Aku dipaksa melahirkan anak kami yang berusia 5 bulan pada keesokan harinya – secara normal. Paling menyedihkan, dia masih bernyawa dan aku terpaksa melepaskan dia pergi bertemu ilahi. Aku masih terbayang-bayang lagi bayi merah yang pernah menghuni rahimku itu. Aku tatap tubuh kecil itu tanpa jemu. Turun naik nafasnya cuba bertahan, tapi takdirnya dia bukan milik kami. 2 jam selepas dia dilahirkan, dia kembali ke pangkuan ilahi. Dia kami namakan, Cahaya Balqis….

Sejak itu, tiada satu malampun yang aku lalui tanpa menangisi kehilangan Cahaya Balqis…

Aku mengalami kemurungan yang serius. Doktor menyarankan aku mendapatkan khidmat kaunseling, tapi aku enggan. Aku bukannya gila, aku tidak meroyan. Aku hanya perlukan masa untuk lalui semua detik hitam ini.

Apapun, doktor memberitahu sekiranya aku mengandung lagi, aku perlu melalui proses mengikat rahim bagi mengelakkan risiko keguguran. Tiga bulan kemudian, aku disahkan mengandung sekali lagi. Aku dan Hadi langsung terpana. Kami nekad menyembunyikan kehamilan ini dari pengetahuan sesiapa termasuk ahli keluarga.

Namun rahsia terpecah juga. Satu malam, kereta Iswara yang kami naiki dilanggar lari oleh sebuah lori. Kereta kami berpusing tiga kali sebelum kemudiannya terbabas dan merentang longkang. Kereta remuk teruk, tapi syukurlah kami berdua selamat tanpa sebarang kecederaan. Ia seperti satu keajaiban dan peluang kedua buat kami.

Saat keluargaku sampai ke tempat kejadian, Hadi terlepas cakap “Tengokkan Baini tu mama..dia mengandung!” Mama beristighfar tanpa hanti dan memeluk aku di situ.

Kali ini aku sangat berhati-hati. Pengalaman lalu membuatkan aku takut sesuatu yang tidak diingini terjadi pada kandungan ini. Aku melalui proses mengikat rahim seperti yang disarankan doktor ketika usia kandungan mencecah 14 minggu.  Aku juga masih sibuk dengan pengajian semester akhir. Bayangkan, aku membentangkan tesis pengajian dalam keadaan sarat mengandung 36 minggu.

Akhirnya pada 7 Julai 2013, selepas 3 jam berjuang di hospital, aku selamat melahirkan seorang cahaya mata lelaki yang sangat comel yang dinamakan Eskandar Dzulkarnain selang setahun 2 hari selepas kelahiran arwah Cahaya Balqis. Setahun kemudian, seorang lagi bayi lelaki mungil menghiasi hidup kami pada tanggal 12 November 2014 yang diberi nama Ezzudin Dzulfikar. Bila diingatkan, aku sepatutnya sudah ada 3 cahaya mata berbeza kelahiran selang setahun.

Akhirnya penantian kami selama 7 tahun itu berakhir jua. Eskandar dan Ezzudin, kamulah cahaya yang sebenarnya bagi kami…

Adila…aku dia dan lagu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...