Penantianku : Eskandar Dzulkarnain Abd Hadi

Baby ED baru lahir. Putih macam Jepun..

Setiap pasangan yang berumahtangga pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata bagi melengkapi kehidupan. Namun tidak semua orang bernasib baik, memiliki anugerah itu seawal setahun dua perkahwinan. Ada yang berkahwin 10 tahun, namun rezeki belum lagi memihak pada mereka. Sekali dua orang bertanya, bolehlah dipamer muka manis dan dengan sabar menjawab ‘belum ada rezeki’. Lama kelamaan mulalah keluar jawapan sinikal. Aku maklum semua itu..Aku menunggu 6 tahun untuk kehamilan pertama. Sayangnya anak itu bukan rezeki aku di dunia, dia menjadi bidadari syurga dan saham aku dan suami di akhirat sana. Dialah kesayangan kami, Cahaya Balqis Abd Hadi. Peristiwa itu berlaku 5 Julai 2012, sudah setahun pun menjadi memori.

Dan tahun ini, alhamdulillah…Eskandar Dzukarnain lahir pada 7 Julai 2013, jam 1053 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selang setahun 2 hari selepas kelahiran Cahaya Balqis. Aku tahu, ramai yang tidak menyedari kehamilan aku kali ini. Sebenarnya memang sengaja tidak aku canangkan. Yang mana tahu, tahulah. Aku lebih risaukan jika diduga dengan peristiwa yang sama untuk kali kedua. Jadi kehamilan kali aku mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya seperti yang disaran oleh doktor di PPUM dan klinik swasta yang aku kunjungi untuk pandangan kedua. Aku menjalani pembedahan ‘cervical cerclage’ pada minggu ke 14 untuk memastikan rahim dapat menampung berat bayi ini sepanjang masa dia dalam kandungan.

Eskandar Dzulkarnain…macam-macam cerita pelbagai warna terjadi sepanjang aku mengandungkan dia. Pagi Sabtu bila aku menyedari aku sudah berbadan dua, aku dan Hadi masih dalam mode tidak percaya, sedikit panik dan keliru. Jujurnya kami belum cerna sepenuhnya berita itu. Tiada siapa pun aku khabarkan dengan berita kehamilan itu. Dalam hati, aku mahu rahsiakan pada semua, termasuk pada ahli keluarga yang lain. Aku terus ke kelas yang kebetulan berlangsung dari pagi sampai petang. Tapi kerana fikiran aku sudah menerawang aku mohon balik awal dan berbincang dengan Hadi tentang apa langkah seterusnya selepas ini. Malam itu, kami mengambil keputusan untuk menenangkan fikiran dan Hadi membawa aku berjalan-jalan tanpa tujuan dengan menaiki Iswara kami. Malam itu jugalah kami terlibat dalam kemalangan. Kereta berpusing tiga kali sebelum merentang longkang berdekatan Kepong. Mujur kami tidak cedera, tapi kereta hampir total loss di situ. Aku menelefon adik-beradik yang kebetulan ada di rumah mama di Taman Permata. Semuanya datang ke lokasi kejadian untuk membantu kami. Nak tak nak, aku lepaskan berita kehamilan aku di situ. Reaksi mama dan kakak memang lejendari! Mama menjerit terkejut dan beristifar entah berapa kali. Beberapa hari selepas itu baru aku beritahu pada rakan-rakan sekelas dan beberapa rakan terdekat.

Baby ED selepas mandi..

Mengandung dalam keadaan menjadi pelajar agak memenatkan. Tapi berjaya juga aku lalui semua itu. Paling menduga, menyiapkan tesis dan VIVA dalam keadaan aku sudah sarat 36 minggu. Mujurlah rakan-rakan sekelas sangat memahami dan sanggup membantu sepanjang proses pembelajaran berlangsung. Memang tiada ruang rehat langsung untuk aku selagi VIVA tak selesai. Sudah selesai hal itu, kena uruskan hal hard copy pula. Maka Sabtu, 6 Julai aku menguruskan semuanya – sarapan di Lontong Kelang, print di Seksyen 2, petang di Festival Bon Odori di Seksyen 16 dan malamnya makan di Foodilicious Seksyen 7, Shah Alam. Kala itu memang terasa senak dan semput. Tapi aku sangkakan sebab hari ini aktiviti sangat padat. Mungkin aku dan anak keletihan. Tak cukup dengan itu, selepas makan malam aku dan Farah Zamira sempat berhugah-hugah di Putrajaya dan bersembang hal pelajar yang baru saja berakhir. Aku pula sangat kerap terasa untuk buang air kecil. Selepas melepak di Putrajaya, kami makan lagi sekali di Pantai Dalam, itu berlaku sekitar jam 12.00 malam.

Malam membawa ke pagi, aku mulai sakit perut. Pergerakan anak seakan aktif sangat tapi aku sikit pun tidak sangka itulah tanda-tanda kelahiran sebab aku dijadualkan bersalin pada 15 Julai. Hadi pula keluar dengan kawannya. Bertabahlah aku menanti dia balik sambil mencuba untuk tidur, mengerekot ke kiri dan ke kanan. Menjelang 7.30 pagi, aku sudah tidak boleh tahan. Aku minta Hadi hantar ke PPUM. Biarlah aku ditahan kerana duduk dirumah pun apa sangat yang boleh dilakukan.

Tak sangka pula, aku ditahan, dikhabarkan sudah terbuka beberapa cm dan terus dalam mode standy untuk bersalin. Tak payahlah aku ceritakan pengalaman melahirkan bagai-bagai. Cuma aku bersyukur aku ditahan sekitar 8.00 pagi. Jam 9.15 pagi sudah mulai terasa sakit bersalin dan semuanya selesai jam 1053 pagi. Masa misi tunjukkan ‘inilah anak awak’ perasaan aku bercampur-baur. Aku bersyukur semuanya berlaku dengan pantas. Sebab aku sudah tak boleh menanggung sakit lagi.

Eskandar Dzulkarnain…aku minta Hadi pilihkan nama. Dia memilih nama itu, aku menentukan ejaannya. Adil bukan. Kami tidak mempunyai senarai nama yang panjang. Beberapa nama telah dikenalpasti dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Lebih mudah begitu. Mungkin kerana ini anak lelaki, jadi biarlah bapanya yang tentukan.

Apapun, penantian aku sudah berakhir. 7 tahun menanti, Eskandar Dzulkarnain lahir 7 Julai dan seminggu selepas itu adalah hari lahir Hadi. Nampaknya 7 itu membawa tuah kepada kami..Bulan 7 tahun lepas aku diuji dengan pemergian Cahaya Balqis, tahun ini aku dikurniakan dengan Eskandar Dzulkarnain.

Hari ini, hari ke 25. Barulah aku berpeluang menulis di sini. Bukan kerana tiada masa, Di Facebook dan Twitter juga begitu. Tiadalah hari-hari aku bercerita tentang Eskandar Dzulkarnain di sana. Kerana aku memahami perasaan rakan-rakan yang belum ada anak. Masakan tidak, aku menjadi penanti selama 7 tahun. Eskandar Dzulkarnain sangat beruntung, dia mempunyai ramai ibu dan bapa angkat yang menyayanginya sedari dia dalam kandungan lagi. Aku berdoa supaya rakan-rakan yang lain mendapat peluang yang sama menjadi ibu dan bapa berkat kesabaran mereka menanti.

Alhamdulillah…akhirnya penantian kami berakhir dengan kelahiran Eskandar Dzulkarnain 🙂

Outing pertama Baby ED..

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...