Permulaan 2019…

Bermula 2 Januari, penuh timeline dengan posting rakan-rakan berkongsi keterujaan anak-anak mereka memasuki alam persekolahan. Aku tidak terkecuali, sungguhpun bukanlah tahun pertama mereka ke tadika. Cuma istimewanya, ini tahun pertama Ezzudin bersekolah di sekolah khas swasta kerana dia autisme.

Bermula Disember, aku sudah mula menukar pola waktu kerja. Kalau dahulu WP2, bermula Januari bertukar WP1. Sebelum lalat bangun sudah keluar rumah untuk mengejar LRT. Merasalah berjalan dari stesen LRT Kerinchi atau Abdullah Hukum dalam suasana nan tenang dan syahdu sambil ditemani beberapa lagu Hindi yang sengaja dipasang dengan volume maksimum tanpa earphone. Risau juga ralit pakai earphone, tiba-tiba jadi sesuatu dalam keadaan aku tidak sedar dengan persekitaran.

Juga setiap pagi mengingatkan aku suasana seolah-olah masih di Jepun setiapkali aku berada dalam tren. Bila sampai di Kerinchi, aku melalui satu ‘angkringan’ seolah di Yogyakarta dan ketika melintasi kuil, seolah-olah aku di Amritsar. Ha, begitulah perasaannya setiap pagi, setiap hari. Jujurnya, sangat tenang dan mengimbau nostalgia.

Semalam hari pertama aku berkejar balik kerana sekolah Ezzudin mengenakan kos lebih masa RM15 sejam bermula pukul 5:40 petang. Mujur ke stesen LRT dapat menumpang rakan yang kebetulan laluan yang sama. Jadi, masa yang diambil kalau berjalan kaki belum diuji lagi. Juga kalau cuaca tidak mengizinkan. Hampir satu jam perjalanan, aku tiba di stesen LRT Putra Heights dan terus menempah Grab. Mujurlah sekarang Grab boleh berhenti di dua lokasi.

Mungkin rezeki anak-anak, aku dapat pemandu yang sangat baik. Sayangnya, aku tak ingat di mana aku simpan nombor telefon pemandu tersebut sebab semalam sangat memenatkan. Dari LRT Putra Heights, terus ke sekolah Judin. Judin pula mungkin kerana tidak biasa dengan “kereta” yang dinaiki agak berperangai juga. Hmm…hampir 6:00 petang juga aku sampai di sekolah ini.

Mungkin kerana dia kasihan pada kami, dia tidak keberatan mengambil Eskandar di lokasi ketiga pula. Aku hanya perlu tambah RM2 sebab jarak antara rumah dan tadika Eskandar tidak sampai 2km. Selesai 2 masalah besar walaupun cas lebih masa tetaplah kena satu jam semalam.

Sampai sahaja di rumah, terus ke dapur memasak makan malam. Sempat aku maklumkan pd Hadi aku sudah amik Eskandar jadi dia hanya perlu balik terus sahaja. Terkejut besar dia semalam. Usai uruskan anak-anak, baharulah aku dapat curi masa 30 minit untuk diri sendiri. Fuuuh, barainya tak tahu nak cakap. Insya Allah bila jadi rutin, semuanya macam angin lalu.

Tidak habis di situ, hari ini bermula kami sekat masa anak-anak menonton TV. Aku terus bawa Eskandar naik atas, sementara Hadi menguruskan Judin. Ini adalah masa mengulangkaji pelajaran untuk anak-anak. Kalau dua-dua anak ada serentak, alamat apapun tak jalan sebab salah seorang akan menggangu seorang lagi.

Pertama kali, pukul 9:00 malam Eskandar sudah merayu-rayu nak susu, menguap dan mahu tidur. Aku sempat habiskan satu buku sahaja untuk dia baca. Itupun buku bahasa Inggeris. Bahasa Melayu langsung dia tidak mahu. Dia menghafal masalahnya, dia tak boleh ingat banyak dalam satu masa. Serius aku cuba bersabar, dan terlepas jerkah juga barang 5km. Sabar lagi Benny, sabar!

Judin pun sama. Masa suruh mengulangkaji bukan main panjang menguapnya. Jadi kami berdua dapatlah formula untuk tidurkan anak awal iaitu dengan mengulangkaji dengan mereka sampai mereka letih.

Disebabkan itu, aku sendiri lena awal. Tersedar pukul 2:00 pagi sebab Eskandar minta susu. Pukul 4:00 pagi bangun untuk menyiapkan bekalan Judin pula. Oh, kami kena sediakan sarapan untuk Judin setiap pagi. Semalam Hadi beli nasi dagang, langsung tak luak. Mungkin sebab dalam nasi tu ada halia, bawang dan awas-awas lain jadi dia tak mahu makan. Maka dapur Kak Benny lekung-lekang dengan bunyi lesung tumbuk sebab aku masak nasi goreng pagi tadi. Harap-harap bekal tu kosonglah dia makan…

Hari pertama agak memenatkan…Aku hanya berpeluang bersembang dengan Hadi masa dia hantar ke stesen LRT sahaja. Jadi semalam misi untuk ambil Judin sebelum 5:40 petang gagal. Maknanya memang setiap harilah gagal. Jadi Hadi macam pegawai pitidi tanya “apa solution yang yu rasa?” Ewah-ewah mak embong sangat.

Ai rasa you kawen lagi satu ajelah untuk tolong ai…

“Eh, kesitu pulak perginya!”

Kami pun berhuhuhu di subuh yang hening bersama-sama…

Sekejap aje semua ini sementara anak-anak hendak membesar. Aku akan lalu dan berharap tuhan berikan kesihatan yang baik dan bantu aku melalui semua laluan yang disuratkan ini. Ganbatte kudasai ya Kak Benny!

Happy Birthday, Eskandar Dzulkarnain!

7 Julai lalu, Eskandar menginjak usia 4 tahun. Alhamdulillah..dia membesar dengan baik, sihat dan banyak keletah walaupun percakapannya tidaklah lancar sangat dan masih ada unsur-unsur alien. Apa juga progresnya, aku terima seadanya dan bersyukur dengan peluang dan kurnia yang diberi ini.

Cadangan asalnya, petang selepas balik kerja baharulah kami mahu sambut hari jadi Eskandar. Tapi akhir-akhir ini kami berdua sangat sibuk dengan urusan sendiri. Aku dengan kerja dan persiapan untuk berkursus manakala Hadi betul-betul tengah sibuk pulun urusan tesis dia. Lagi pula adik-beradik aku yang lain tidak balik rumah mama. Macam tak meriah aje kalau sambut minggu ini. Jadi aku rancang untuk sambut minggu depan sahaja – sekali sambut dengan hari jadi Hadi.

Eskandar semakin tinggi, sel-sel otak tak menyempat-nyempat berhubung dan semakin berperangai. Suka benar mengacau Ezzudin. Bila adik tu membalas dan jerit-menjerit mula berlaku, mulalah aku rimas. Kadang-kadang aku biarkan aje dua-dua beradik itu melepuk sesama sendiri. Lepas letih menangis, senyaplah sekejap rumah tangga.

Kesian juga pada dia. Kalau apa yang adik nak aku selalu suruh dia beralah. Tapi budak 4 tahun nak beralah apanya. Dia nak, dia nak jugalah. Hari-hari aku menyesal bila termarah, terpukul dan ter ter yang lain pada dia. Aku sayang dua-dua sama sahaja. 

Aku kena lebih sabar dalam mendidik dia. Untuk menjadikan dia abang yang bertanggungjawab dan penyabar bukannya perkara mudah. Mungkin aku kena lebih memahami Eskandar…

Hari ini, abah selesai viva dgn cemerlang. Kita ada 5 hari lebih kurang sebelum mama terbang ke Jepun. Kita akan sambut juga hari lahir Eskandar 🙂

Mama loves you so much, Eskandar Dzulkarnain!

Bercukur Yang Menyeramkan

image

Eskandar Dzulkarnain sudah pun 2 bulan. Sejak lahir, rambutnya belum dicukur lagi. Aku memang tak mahu melakukan upacara cukur jambul. Mengikut ustard, amalan itu bidaah.

Masa Eskandar Dzulkarnain lahir, rambutnya memang tak lebat. Ala manja-manja sahaja. Ubun-ubunnya juga belum keras sepenuhnya. Bila dia menyusu, boleh nampak bahagian itu berdenyut dengan dahsyatnya. Disebabkan itu, Hadi yang selalu bercukur pun tak berani menarah kepala anak sendiri.

Mama memang handal. Pagi tadi dengan selambadaknya dia mencukur kepala ED masa budak tu tengah lena tidur. Disebabkan kipas dimatikan semasa proses berlangsung, dia langsung terjaga. Mujur dia memberi kerjasama dan tidak meragam. Nak harapkan aku….ish,tidaklah. Aku sendiri seram-sejuk bila tengok pisau pencukur seakan menyagat kulit kepala ED.

Hari ini ED botak kali pertama..Dia akan aku botakkan enam kali lagi.

Dah macam anak Wong Fei Hung pun ada..

Aqiqah Untuk Eskandar Dzulkarnain

aqiqah

 

Alhamdulillah…urusan aqiqah untuk Eskandar Dzulkarnain sudah diuruskan dan akan dilakukan di Kemboja. Semoga semuanya berjalan lancar dan semoga dipermudahkan segalanya.

Jika ada yang berminat untuk melakukan aqiqah atau qurban di Kemboja, lawati http://www.korbanaqiqah.com.my/bmportal/ untuk keterangan lanjut.

 

Pertama Syawal Ini..

image

Sebelum mengarang lebih panjang, aku ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin buat para pembaca blog sederhana ini, rakan-rakan yang dihormati serta para stalkers yang kepingin mengetahui perkembangan hidup aku yang meriah ini.

Pertama Syawal ini…pertama kali beraya bertiga, pertama kali juga berpantang dihari raya. Semuanya berbeza sejak hadirnya Eskandar Dzulkarnain dalam hidup kami. Sehari sebelum raya, kami bawa ED balik ke PJ Oldtown untuk kali pertama. Maklum ajelah, mama dan kakak sibuk dengan persiapan raya. Apa sangat boleh aku bantu. Baik aku balik PJ dan siapkan essei yang diminta oleh pihak universiti.
Malam itu ED sentiasa berjaga setiap jam. Jenuhlah aku dan Hadi bergilir-gilir menjaga anak. Memang tak cukup tidur dibuatnya sampai pagi raya kami terlajak tidur. Tidur itu sangat nikmat dipagi Syawal. Adik-beradik lain semuanya sudah siap dan mulai bersarapan diikuti sessi meminta mamaaf Terasa bersalah dalam hati bila tengok ED dah siap berbaju baru..Aku dan Hadi pulak mengantuk tahap mega. Disebabkan ED sudah comel dipagi raya, dengan pantasnya kami berdua bersiap dan memulakan kunjungan ziarah pertama, ke rumah Mamak Tahir di Kuala Selangor. Kemudian kami ke rumah Mamak Kamal di Kajang. Di situ, kebetulan Maksu dan keluarga ada. Makanya pada Syawal pertama dapatlah dia berjumpa 3 adik-beradik dari 9 bersaudara.

Esoknya, kami balik ke Melaka untuk beraya di sana. Aku bawa Mama dan Ameera sekali. Mujur masih ada hotel yang boleh disewa,meskipun harganya luarbiasa mahal. Alang-alang di sini, kami melawat Adeq yang sudah seminggu berkerja di Melaka dan
Mami, kakak Mama. Saudara-mara belah suami turut kami kunjungi iaitu rumah nenek dan Pak Long. Nyatanya semua orang teruja melihat ED. Itu belum masuk Makcik Ella dan Maksu yang kebetulan beraya dirumah mak.

Setelah dua hari di Melaka, kami kemudiannya ke Tapah untuk menghadiri majlis persandingan adik kepada Abang Jas. Kemudian kami beraya di rumah Hasina di Parit Buntar. Bermalam di homestay sana membuatkan aku rasa malas nak berjalan. Rumah itu sangat selesa. Mahu rasanya terus bermalam dan berehat di sana. Malam itu kami dibawa pekena Mee Udang Berasap. Memang berasap-asap bila sampai dan ia sangat sedap dimakan ketika panas.

Keesokan harinya kami bergerak ke Alor Setar, rumah adik ipar aku. Kemudian, kami beraya ke rumah Akmal dan dijamu dengan laksam kedah. Itu adalah kali pertama kami semua makan laksam kedah. Sumpah sedap, sampaikan anak Saudara yang konon-konon tak suka makan pun menambah berkali-kali. Kami bermalam 2 hari di Kedah. Sepatutnya Hadi mempunyai agenda melepak dengan rakan-rakannya termasuk seorang sahabat beliau yang balik dari Australia. Tapi agenda itu gagal sebab member tu beraya di Baling. Apapun mujur pagi itu kami melawat Menara Alor Setar dan Kemudian meraikan hari lahir Faiz.

Sebelum balik KL, kami beraya di Anak Bukit dan Kemudian ke Manjung. Raya kali ini padat dengan kunjungan ziarah ke rumah kawan-kawan Hadi. Adalah juga kawan,dari aku yang berapa kerat aje tinggal.

Pertama Syawal ini memang baru untuk aku dengan kehadiran ED. Apa juga yang dibuat semuanya mengambil kira keselesaan ED. Kadangkala bila dia meragam tu aku susah hati juga, seolah aku bukan mama yang baik sebab tak faham apa yang dia nak. Dalam pada masa yang sama, aku kena adil pada bapanya juga. Kasihan Hadi berulang KL-Klang sepanjang aku berpantang. Jadi Sabtu lepas kami mencuba trial run untuk bermalam di PJ. Kalau beraya, aku sudah boleh menguruskan diri dan ED di sana sahaja. Tidaklah jauh sangat Hadi berulang ke pejabat.

Nan hado…misi gagal. Aku hampir tension sebab kerja semua terbengkalai dek ED yang tak mahu tidur sendiri. Asyik nak kena pegang aje.

Kepada rakan-rakan yang mengirim ucapan raya dan berkunjung ke rumah, terima kasih diucapkan. Kisah Syawal kami belum habis lagi. Mana tahu seminggu dua depan lebih meriah dan terisi.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...