WHEN IN PAKISTAN – PERSINGGAHAN DARI CHILAS KE PASSU SEPANJANG 266KM!

Assalammualaikum…hi, guys! Maaflah aku lambat sikit nak kemas kini catatan perjalanan ini sebab handphone aku hilang. Mujurlah gambar-gambar semasa di Pakistan aku sudah transfer siap-siap dalam PC. Tapi sayanglah sebab banyak benda-benda penting ada dalam handphone tu. Satu kerjaan pula aku nak kena retrieve satu persatu. Lagi pula famili aku datang dari Melaka minggu ni. Aku tak perlu ke sana. Jadi masa yang ada memang sepenuhnya untuk mereka.

Ok, kita sambung cerita Kembara Kak Benny ke Pakistan…

4 Mac 2020
Hotel tempat aku menginap ini sama aje kisahnya macam hotel di Utara India. Bekalan elektrik akan ditutup pada pukul 11:00 malam dan wifi pun sama jugalah akan terputus. Cuaca malam semalam agak sejuk walaupun dalam bilik tiada penyaman udara. Kitorang minta extra blanket dan pakai baju berlapis-lapis sebab sejuk sangat. Apapun, tidur lena…Mungkin sebab penat seharian berjalan semalam tak hilang lagi. Paginya, kami sarapan dahulu sebelum mendaftar keluar dari hotel. Menu simple aje..telur dadar, paratha, dhal dan chai panas. Tapi sebab chai ni dia buat untuk semua tetamu hotel dalam jumlah yang banyak, rasanya tidaklah lejen sangat berbanding chai yang kami minum malam tadi. Fuuh, nangis-nangis sedapnya. Minum pulak dalam keadaan cuaca yang sejuk.

Pemandangan semasa perjalanan

Dari Chilas ke Passu Cones, kami singgah di beberapa tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong.

1. Nanga Parbat
Nanga Parbat adalah gunung kedua tertinggi di Pakistan dan ke-8 tertinggi di dunia. Dalam cerita Batman, Bruce Wayne berguru dengan Ra’s Al Ghul di Nanda Parbat. Tempat itu direka berinspirasi dari Nanga Parbat. Gunung ini juga dikenali sebagai Killer Mountains sebab ramai yang mati semasa mendaki gunung ini. So, bergambarlah aku di sini tetapi merakam video dengan suasana tak berapa aman. Setiap kali ada kenderaan lalu, diorang akan bunyikan hon macam pelik tengok ada 2 perempuan kat situ. Selalu tenang-tenang aje…

Nanga Parbat depan mata!

2. 3 Ranges of Mountains
Aku akhirnya melihat sendiri banjaran Hindu Kush di depan mata! Tak lupa banjaran Himalaya yang amat aku rindukan dan banjaran Karakoram. Ketiga-tiga banjaran ini bertemu di sini. Di bawahnya, boleh lihat air sungai Hunza dan Astore bertemu. Sumpah cantik…2 sungai dengan warna yang berbeza bertemu.

3 Ranges of Mountains
Pertemuan antara Sungai Hunza dan Sungai Astore

3. Rakaposhi Mountain
Aku berpeluang makan tengah hari betul-betul mengadap Rakaposhi Mountain. Nangis 78km sejam. Di sini kami habiskan 2 teko chai sambil menikmati pemandangan yang superb!

Gunung Rakaposhi depan mata!
Chai!

4. Tasik Attabad
Tasik terbesar di Pakistan. Ingatkan boleh berdiri atas tasik yang beku. Sayangnya ada yang mula mencair. Sejuk namatey diterpa angin gunung.

Tasik Attabad

Malam itu kami bermalam di Passu Tourist Lodge. Hotel ini kawan aku yang carikan dan request pada ejen untuk bermalam di sini. Kami makan malam di situ. Kitorang pesan kari kambing. Serius sedap, tapi rasanya macam rendang sikit. Di sini juga, aku belasah chai bercawan-cawan. Sejuk namatey menggigil jugalah dalam ruang makan tu. Kami kemudiannya mencuba teh gunung. Tapi pada aku rasa dia biasa aje… Alang-alang sampai, cuba ajelah apa yang dicadangkan oleh orang tempatan.

Hotel ini ada menyediakan hot blanket untuk mengelakkan korang sejuk kejung nak tidur malam. Tapi aku rasa hot blanket aku tu macam tak bagi kesan yang mendalam pun. Aku still rasa sejuk ya amat dan kenangan pergi jamban masa kat Pangong Lake, India terus menghantui. Kebas, gile hahaha…

Dalam perjalanan ini, kenderaan kami melalui beberapa army road block. Tak ada apapun…mereka hanya check passport dan nak tahu lokasi yang kami tuju. Sebenarnya askar mereka ramah dan nan helok juga. Aku nak ambik gambar, tapi ejen aku tak bagi. Tapi sebenarnya kalau korang minta izin direct dengan mereka, rasanya mereka akan benarkan. Kami juga melalui pemeriksaan suhu badan kerana ketika itu sudah ada 6 kes corona virus di Pakistan. Masa ini ramai yang blur-blur lipas lagi apekebenda itu corona virus.

Kau roadblock hatiku
Antara view yang cantik

Ok setakat itulah dahulu. Nanti kita sambung dalam catatan yang seterusnya. Untuk yang singgah membaca di sini, boleh like page FB/akusangpenerbit.com

Lebih banyak gambar dalam tu.

#apabilakakbennymenulis
#mywanderlust
#wheninpakistan
#pakistanzindabad

WHEN IN PAKISTAN – 842KM DALAM MASA 16 JAM!

Ok, hari ini Kak Benny kau nak mulakan cerita kembara ke Pakistan. Tapi tak boleh nak cerita one shot dalam satu posting sebab panjang sangat. So, kita pecahkanlah bagi senang untuk orang faham dan senang untuk aku tulis pun ya. Apapun, terima kasih banyak-banyak sebab sudi baca dan bersabar menunggu cerita penuh. Gigihkan juga untuk ingat dan kemas kini penulisan ini.

Sebelum itu, aku kongsi jadual perjalanan kami sepanjang berada di Pakistan. Ini adalah perjalanan custom made, kami request untuk ke tempat-tempat ini. Kalau korang berhubung dengan ejen di sana, mereka ada aje tentatif standard perjalanan sama ada untuk 8 atau 10 hari. Mereka juga fleksibel dan boleh adjust apa juga yang korang mahu. Cuma ketahuilah, impian tak seindah kenyataan. Kita hanya merancang dan tuhan juga yang menentukan. Disebabkan faktor cuaca dan manusia (mostly manusia) hasrat kami ke Peshawar hancur berderai. Begitu juga cadangan untuk ke sempadan China-Pakistan di Khunjerab juga tidak kesampaian disebabkan faktor cuaca dan Coronavirus.

Day 1 – KL – Dubai

Day 2 – Dubai – Lahore

Day 3 – Lahore – Chilas

Day 4 – Chilas – Passu
Nanga Parbat Viewpoint
Junction of 3 mountain ranges
Rakaposhi Viewpoint
Attabad Lake

Day 5 – Passu – Hunza
Passu Cone
Sost
Batura Lake (Tiada dalam perancangan asal)
Hussaini Bridge

Day 6 – Hunza – Chilas
Karimabad Bazar
Hilal Shaheed Police Line Headquarters (ini rezeki, memang tiada pelancong akan sampai)

Day 7 – Chilas – Islamabad

Day 8 – Islamabad City Tour
Faisal Mosque
Tomb of General Zia-Ul-Haq
Daman-E-Koh
Margalla Hills

Day 9 – Islamabad – Lahore
Pakistan Monumen
Allama Iqbal Town

Day 10 – Lahore (Last Day attach dengan ejen)
Badshahi Mosque
Sheesh Mahal
Minar-E-Pakistan
Wagha Border

Day 11 – Mereput kat Lexus Hotel Lahore

Day 12 – Lahore – KL
***********************

1 Mac 2020
Kembara ini bermula dari KL – Dubai – Lahore dengan menaiki penerbangan Emirates. Transit di Dubai selama 14 jam dan pada pukul 4:00 pagi 2 Mac 2020, baharulah penerbangan ke Lahore. Sampai Lahore dalam pukul 8:00 pagi waktu Pakistan. Kos tiket lebih kurang RM2.5k dengan balik menggunakan penerbangan direct Malindo Air.

Di Dubai, tak payahlah aku cerita beriya-iya sangat sebab aku hanya pergi Burj Khalifa dan Dubai Mall aje. Perasaannya di sana sebijik-sebijon macam berada di KLCC. Bezanya, di Dubai serba-serbi mahal namatey.

2 Mac 2020
Berbalik di Lahore..urusan imigresen lancar tapi masalah manusia memang di mana-mana ada. Entah makcik mana entah suka-suki potong line aku hampir membuatkan aku baran kejap pagi itu. Kenangkan dia warga emas dan warga tempatan sahaja, jadi aku sabar lebih sikit. Aku tak berapa jelas sangat dengan keadaan di Lapangan Antarabangsa Allama Iqbal itu sebab cuaca seakan mendung dan semuanya nampak kelam. Tak berapa nak banyak pencahayaan di situ. Apapun, first thing first ialah cari simkad tempatan. Tapi aku nasihatkan tak payahlah beli sebab tak semua tempat boleh guna pun. Yang penting cari hotel yang ada wifi aje. Kos simkad lebih kurang RM80 dengan melanggan perantau Ufone. Kalau nak juga beli, ambillah Telenor. Tapi masa nak beli simkad, hanya itu pilihan yang ada. Kawan aku guna Jazz. Sama aje hauknya…

Kemudian, kami mencari teksi dan terus ke Hotel Shelton yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan kereta. Kalau ikut kilometer tak berapa nak jauh sangat. Tapi sebab faktor jalan raya dan trafik menyebabkan masa yang diambil agak lama. Satu yang aku tak berapa selesa setiap kali travel adalah minta tips. Kita dah bayar kos teksi kat kaunter, lepas tu pakcik teksi merayu tips. Kami bagi jugalah sebab malas nak panjang-panjang. Penat giler ni seharian belum tidur. Memang ingat nak landing aje sebab journey kami akan bermula 12:00 tengah malam nanti. Kos hotel ini semalam lebih kurang RM130.

Alhamdulillah bilik ok, asas sahajalah sebab kami bukannya bermalam pun di sini. Disebabkan penat sangat, kami makan tengah hari di hotel sahaja. Ruang makan kami berada di tingkat bawah sekali, terasa macam dalam bunker. Walaupun tanpa aircond dan kipas, ia terasa sejuk. Selesai makan, terus naik bilik dan tidur tanpa berlengah lagi. Aku tak tahulah aku mimpi apa sebab penat sangat. Sedar-sedar sahaja sudah pukul 9:00 malam! Habis plan aku untuk tengok budak main kriket di padang. Kelam kabut bersiap-siap dan terus kami pesan makan malam. Mujur dapur hotel belum tutup lagi.

3 Mac 2020
Kami check out dari hotel pada pukul 12:00 tengah malam. Dalam pukul 12.30 tengah malam kami bertolak dari hotel untuk menuju ke Chilas. Jarak dari Lahore ke Chilas adalah 842 kilometer dan kami kena gerak awal untuk mengelakkan lalua di Karakoram Highway ketika cuaca sudah gelap.
Bahaya kau…merentas gunung dengan tayar kereta berapa nanometer aje dari gaung.Sebenarnya ada laluan lebih dekat iaitu melalui Naran, tetapi jalan itu ditutup disebabkan faktor cuaca. Salji turun dengan sangat hebat khabarnya. Kerana itu kami kena gerak awal dan lalu laluan yang sedikit jauh. Tak apalah, kalau sudah macam tu katanya.

Disebabkan bertolak larut malam, apapun tak nampak. Masa lalu Motorway (macam highway kita kat Malaysia) aku tak berapa nampak apa yang ada di kiri dan kanan. Tak semua jalan berlampu. Satu yang aku suka, perhentian rehat mereka lebih cantik dan proper dari RnR kita. Pilihan makanan pun banyak. Kami berhenti sekali sahaja untuk buang air di Motorway itu dan terus tayar golek. Cadangnya mahu bersarapan pagi di Mansehra tetapi kami sampai awal sangat. Satu kedai pun tak buka lagi. Jadi, pilot tu cadangkan kami teruskan perjalanan dan terus makan di Besham. Aku setuju aje sebab kenyang malam tadi tu masih ada lagi. Oh, sepanjang perjalanan malam, aku berjaga kerana satu tak pasti dengan pemanduan mamat tu macam mana. Dua, langkah berhati-hati. Memang kitorang fikir yang pelik-pelik dulu untuk keselamatan diri.

Kami kemudiannya berhenti sebentar di Thakot. Pakistan ni macam Utara India juga…semua tempat cantik rasa nak berhenti ambil gambar. Di Thakot ni, proper la sikit sebab aku memang suka kalau nampak sungai dengan warna yang cantik dan berlatar belakangkan gunung. Marvellous giler perasaan tu. Di tempat kami berhenti, pokok ganja merata-rata. Buat bahan pijak kaki aje…

Ulam

Sekitar 10.30 pagi, kami sampai di Bersham. Sarapan pagi di sini pun aku boleh jangka apa menunya. Tak lari jauh dengan India. So aku hanya makan paratha dan telur dadar aje. Merasalah chai, tapi biasa aje..tak lejenderi sangat. Kami biarkan pilot rest sebentar sementara aku dan member bersembang kosong. Kemudian perjalanan diteruskan ke Chilas dan kami akan bermalam di sana.

Kami berhenti berehat seketika di Kohistan. Kohistan ini dahulu dikhabarkan adalah sarang pengganas. Keadaan di sini macam tempat yang ditinggalkan pun ada. Aku tidaklah pula ada rasa takut yang melampau, seperti mana takutnya orang bila dengar aku nak pergi Pakistan. Aku just enjoy the journey. Pemandangan yang aku dapat Subhanallah cantiknya.

Setelah 16 jam berlalu, akhirnya kami sampai di Chilas sekitar pukul 4:30 petang waktu sana. Badan memang rasa sakit-sakit sebab bumpy road adalah laluan perjalanan kami. Memang rasa nak cari katil dan baring aje. Malam itu, kami makan di hotel tempat kami menginap iaitu Grace Continental Hotel. Kat sini barulah dapat chai yang betul-betul sedap dan menepati piawaian kitorang. Di sini juga pertama kali aku cuba makan ayam Karahi, sumpah sedap. Takde gambar ya…sebab tengah lapar teruk.

Bermula hari ini, semua penginapan – kecuali di Passu – ejen yang uruskan.

Ok setakat ini dahulu sebab esoknya adalah hari yang panjang dengan kunjungan ke lokasi-lokasi yang menarik. Pendek kata, esoklah baru betul-betul pergi tempat-tempat tarikan di Pakistan.

Kepada yang singgah di sini, boleh like page aku di FB/akusangpenerbit.com untuk lebih banyak cerita dan gambar di sana.

#apabilakakbennymenulis
#mywanderlust
#wheninpakistan
#pakistanzindabad

Selamat Tinggal 2018…

Beberapa jam lagi, 2019 akan menjelma. Tahun baharu tidak ubah seperti hari-hari yang aku lalui. Kalau nak kata tahun baharu masa terbaik memasang azam, pun tidak. Kalau aku rasa aku perlu lalukan sesuatu yang baharu dan bersifat muktamad, bila-bila sahaja aku boleh mulakan azam itu tanpa perlu menunggu kalender bertukar tahun. Ha, Benny sudah memahami alam sekarang ini 🙂

2018…

Banyak yang aku lalu tahun ini. Seperti biasa, aku akan recap apa yang aku lalui untuk aku jadikan kenangan. Yang baik, kita simpan. Yang buruk, kita tanam dalam-dalam. Boleh ingat, tapi kalau menyemakkan otak, tanam balik. Banyak benda lain nak fikir.

Januari

  • Eskandar dan Ezzudin mula bersekolah. Walaupun berumur 5 tahun, Eskandar langsung tak mahu bercakap. Tatabahasa dia sangat sedikit. Doktor menyarankan kami menghantar dia masuk tadika supaya dia bergaul dan lama-lama mungkin dia akan boleh bercakap lancar. Sudah setahun dia bersekolah, adalah perubahan. Cakap alien masih ada, tetapi ada beberapa aspek yang perlu kami teliti. Tapi ini aku positif, tahun depan akan ada lebih banyak perubahan drastik. Ezzudin pula hanya mampu bertahan 2 bulan di tadika ini. Pihak sekolah tak mampu nak beri perhatian pada dia. Mujur kami jumpa tadika swasta yang mampu menjaga anak istimewa macam dia. Hasilnya – banyak. Tahun depan, dia pindah sekolah baru. Rasanya akan lebih banyak perubahan sebab sekolah ini memang banyak pengalaman menguruskan anak autisme. Dan misi aku sendiri tahun depan ialah mencari keistimewaan dia dan menggilap potensi dia berdasarkan bakat yang dia ada.

  • Ucapan Tahun Baharu 2018 yang aku tulis keluar dalam majalah PREX. Lebih bermakna, aku dapat dapat bentuk hardcopy yang Nakatani kirimkan pada wakil PREX yang datang ke Malaysia, Ms.Akiko Sakai lewat pertemuan kami di Hotel Istana.

  • Aku menyambut hari lahir ke-37 di Phuket, Thailand. Terima kasih kepada sahabat aku, Aie Sarkase kerana menghadiahkan pakej hotel berkenaan. Itulah percutian dan rehat yang sebenar-benarnya yang aku lalui. Walaupun ada masalah dengan pihak hotel, semuanya berjaya diselesaikan dan tetaplah Phuket menjadi kenangan manis dalam hidup aku.

 

Februari

  • Punyalah bersusah-payah mengatur masa dan meredah kesesakan jalanraya, dapat juga kami meraikan ulangtahun perkenalan kami yang ke-18. Jadilah…daripada takde apa langsung.

Mac

  • Bertitik tolak dari pengalaman Februari, kami merancang untuk meraikan ulangtahun percintaan kami di BSP sahaja. Mujurlah BSP ada Pizza Hut.

  • Bermula Mac, kami berdua struggle dengan kehidupan.

 

April

  • Setelah hampir 3 tahun berjuang, Hadi konvo juga. Tak dapat aku gambarkan kegembiraannya macam mana. Masa dia sibuk belajar, aku dengan sarat mengandungkan Ezzudin menumpang di rumah Nana ataupun Kak Ayu sementara menunggu dia habis kelas.

  • Aie Sarkase paksa aku buat satu catatan ADILA tentang arwah anak aku, Cahaya Balqis. Sebenarnya dia minta banyak kali, tapi aku tak tergerak nak buat. Akhirnya, catatan kenangan itu berjaya aku layarkan dan aku minta semua ahli keluarga aku dengar, dan tentunya aku minta Hadi dengar sekali. Disebabkan catatan itu, aku dan Hadi akhirnya boleh bercakap tentang arwah Cahaya Balqis dengan lebih terbuka. Hmmm…kalau Cahaya Balqis masih ada, tahun depan dia berumur 7 tahun.

Mei

  • Aku berpeluang menghadiri Asia Media Summit di New Delhi, India. Pertama kali dalam kehidupan aku serabut hendak menguruskan visa untuk ke sana. Bila aku sudah sampai di New Delhi, aku tidak terasa sangat untuk kembali ke India. Boleh baca catatan aku pada Mei 2018 tentang semua pengalaman aku di sana. Kalau suka shopping, India memang syurga. Tapi entahlah…aku memang bukan manusia macam itu. Aku suka mencari tempat-tempat bersejarah dan mencari port makan. Itulah syurga aku kalau berjalan…

 

Jun

  • Weh, dah kenapa Jun aku lesu? Aku takde cerita ke? Oh, banyak cerita bersifat terlalu peribadi.

 

Julai

  • Aku ke Brunei melawat bapa angkat yang sakit. Alhamdulillah kini dia semakin sihat. Insya Allah kalau ada rezeki aku mahu ke sana lagi.

 

Ogos

  • Aku tak sangka, pengalaman 10 tahun dahulu berulang kembali. Sampai sekarang aku rasa sakitnya!

  • Aku mula merancang melakukan kembara solo kedua dengan lebih serius. Mula-mula merancang hendak ke Pakistan. Disebabkan urusan visa serabut dan mengarut, terus tukar destinasi ke India. Jujurnya, pengetahuan aku tentang tempat yang bakal aku pergi adalah kosong.

 

September

  • I love September. September aku bermula semula. 17 hari mengembara ke India, melihat tempat-tempat menarik dan berjumpa macam-macam manusia. Ini betul-betul masa untuk diri sendiri. Aku dapat apa yang aku nak dan lepas balik, aku start fresh.

  • Telefon pecah di Pangong Lake. Sedih giler 🙁
  • Judin didiagnos dan sah, autisme. Aku dan Hadi bersembang panjang tentang masa depan anak-anak. Kesimpulannya, kami kena cari sekolah khas untuk Judin. Ok, hal ini selesai.

 

Oktober

  • Telefon aku baiki, tetapi mula menunjukkan tanda-tanda alzheimer. Disebabkan banyak keperluan lain yang mendesak, aku pakai juga. Tak apalah, kalau ada rezeki, adalah. Aku juga mengucapkan selamat tinggal pujaan kepada idaman hati, Blackberry Key2. Harga tak turun-turun. Walaupun aku bani Blackberry sejati, ada keperluan lain perlu aku utamakan yang melibatkan anak-anak. Dengan harga yang sama, aku boleh dapat telefon lain dengan spek lebih baik dari BB Key2. Of course aku sangat sedih sebab aku suka ambil gambar dengan handphone. Bila kualiti gambar tidak secantik yang aku harapkan, aku hanya mampu mengeluh.

 

November

  • Kami menyambut ulang tahun perkahwinan ke-12 di Melaka. Memang lepas ini tidak merasa dah bercuti di luar negara.  Sambutan ala kadar, asal anak-anak gembira. Kami berdua? Biasa sahaja…tetapi lebih memahami antara satu sama lain. Cukuplah dulu…dan bergembiralah kamu dengan Nintendo Switch itu.

  • Hari yang sama, aku mendapat khabar Cikgu Misel meninggal dunia. Hmmm…sedih. Nak tulis pun aku sedih 🙁

  • Kerana posting berkenaan Cikgu Misel, ia menemukan aku dengan seorang cikgu yang sangat banyak memberikan kesan dalam hidup aku iaitu Cikgu Ainon. Tak tahulah bila aku dapat jumpa dengan Cikgu Ainon. Kena plan ni…

 

Disember

  • Jujurnya, aku melalui bulan yang sukar. Aku rasa sangat ranap bila mama sakit. Kebetulan pula waktu yang sama, aku pun sakit.
  • Menguruskan hal sekolah anak juga antara cabaran yang hebat. Mujur rezeki anak-anak sentiasa ada. Untuk mereka berdua, bergolok-bergadai pun aku tetap akan buat asalkan mereka mendapat pendidikan yang terbaik.

 

Apapun yang akan terjadi, 2019 nanti aku akan kayuh dengan semangat yang berbeza. Ada perkara yang aku tidak berani lakukan, akan aku buat pada tahun hadapan. Apa yang menyemakkan kepala aku, aku akan tinggalkan. Target tahun depan ialah kemajuan anak-anak dan kerjaya. Kalau ada rezeki, aku mahu ke Pakistan. Pun kalau ada rezeki, aku mahu handphone yang boleh berikan aku gambar dengan resolusi terbaik. Itu sudah cukup buat hidup aku terisi, seperti ukulele yang menemani hari-hari sepi.

Sekian.

 

Selamat Tinggal 2017!

Hari ini, 26 Disember 2017….bermakna 26 hari sudah aku tidak menulis dalam blog ini. Bukannya sebab tiada masa, tapi sebab banyak sangat yang berlaku tetapi terlalu sulit untuk aku ceritakan. Nantilah…bila ada kekuatan aku kongsikan juga.

Hari ini aku mahu imbas kembali apa yang terjadi sepanjang 2017. Yang seronok dan tidak semua itu pengalaman hidup untuk dikenang.

Aku menyambut hari lahir ke-36 di Krabi, Thailand pada bulan Januari. Memang rezeki sangat sebab aku dapat hotel 4* dan tiket flight dengan harga tak sampai RM450 seorang.

Aku menyambut ulang tahun 17 tahun bersama Hadi di Pulau Pinang. Tak sangka hubungan kami selama ini. Merasa juga duduk di Lexis Premier Suites, Teluk Kumbar. Bilik berharga RM400, campur tolak cukai dan diskaun keahlian. Kalau harga weekends lebih mahal. Kerana itu aku suka bercuti pada hari berkerja.

Aku berpeluang menghadiri Konsert Wings & Superfriends. Yang buat teruja sangat tu sebab ada M.Nasir aje hehehe…

Aku dapat kiriman bunga dan cokelat sempena Kiriman Kasih BKTV. Terima kasih kepada yang memberi.

Sempena Hari Ibu, Hadi belikan aku durian. Tak kisahlah bukan berstatus raja atau binatang yang penting dia belikan aku durian. Aku memang suka durian. Nak-nak kalau yang kuniang-kuniang warnanya…

Tahun ini – 2017, puteri syurga yang sangat aku rindukan berusia 5 tahun. Sehingga kini, aku belum pernah berjumpa dia di dalam mimpi. Aku masih menantikan saat itu.

Aku dipilih untuk berkursus di Jepun selama 26 hari! Ini memang mimpi jadi nyata dan ini juga adalah sejenis doa yang aku minta pada tuhan. Aku ingat lagi, doa aku bunyinya macam ini, “berikanlah aku peluang ini supaya dapat aku abaikan apa juga kekecewaan yang aku alami sepanjang 13 tahun aku berkerja.” Alhamdulillah…rezeki aku di sini. Aku dapat kawan-kawan baharu dan berjumpa dengan pelbagai ragam dan jenis manusia. Yang tak dijangkakan, aku berpeluang ke tempat-tempat menarik di sana. Agak gila kalau aku tampal semua gambar di Jepun itu kerana terlalu banyak gambar dan cerita menarik di sana. Boleh rujuk catatan bulan Julai dan Ogos untuk lebih faham.

Buat sendiri berus tu…

 

Garlic Naan + Mutton Curry Masala.

Satu yang paling aku ingat – Garlic Naan dan Mutton Curry Masala di Naan Inn, Kobe. Sumpah! Memang epik gila makanan ini. 5 kali aku berulang makan. Tak boleh kerap sangat sebab harga mahal 🙂

Menu wajib – Bukkake Udon + Fish Tempura

Satu lagi – Bukkake Udon di San Plaza, Sannomiya. Semenjak terjebak, hari-hari aku mengulang makan sampaikan atuk buat udon tu sudah kenal muka aku. Kalau takde member pun takde hal. Aku sanggup jalan kaki seorang diri. Padahal aku bukannya rajin sangat keluar berjalan. Penat berkursus membuatkan kecintaan aku pada katil di Kobe Monterey Hotel lebih tinggi. Itu belum cerita bathtub dia yang memanggil-manggil.

Suka menyakat acik ni

Dalam ramai-ramai umat Jepun yang aku kenal dan jumpa, aku paling rapat dengan Nakatani san. Dia makan semeja dengan aku dan beberapa geng lain masa jamuan makan malam di Doma-Doma. Lepas kenal-kenal dan bersembang, memang aku selesa dengan dia. Detik yang membuatkan kami lebih rapat adalah masa di Tokyo. Aku, Nakatani dan Kitamura melepak bertiga di Ginza. Memetik filem Cassablanca, “this is the beginning of a beautiful friendship”.

Akhirnya, rezeki aku datang juga. Aku dapat kenaikan pangkat B44 selepas 13 tahun berkhidmat. Aku hampir tidak mahu datang pada hari itu atas sebab-sebab tertentu. Selepas ditazkirahkan, aku setuju hadir dan aku tidak membuat throwback kenangan lalu disebabkan aku sudah “bersetuju” untuk mengabaikan kenangan-kenangan pahit masa lepas.

Jamuan perpisahan

Disebabkan itu, aku bertukar unit dari Unit Kandungan dan Kreatif ke Bahagian Pemasaran dan Promosi untuk mengetuai Unit Promosi. Maka berpisahlah aku dengan Unit Pentadbiran, Kewangan dan Dokumentasi yang hampir 3 tahun aku jaga.

Sepanjang 2017, 3 kali aku tidak boleh bercuti selama 28 hari. Aku menanggung 44 di UKK, kemudian di Unit Promosi kerana kenaikan pangkat dan kemudian menanggung 48 juga di sana. Seronok sangatlah sebab naik pangkat tiap-tiap bulan padahal yang menanggung pertama itupun elaunnya tak nampak bayang lagi.

Tapi badan penat ya amat..susah aku nak terangkan. Aku berkursus 26 hari di Jepun, balik aje terus masuk pejabat dengan tak sempat bercuti. Kemudian tak boleh bercuti lagi 28 hari. Habis aje edah, terus aku ajak Hadi ke Terengganu. Ingatkan cuti ini untuk masa berdua – tidak juga. Penuh agenda makan dan tengok wayang.

Sejak balik dari Jepun, aku belum lagi move on. Banyak benar memori dan rasa rindu pada pak angkat membuatkan aku terasa mahu ke sana lagi. Berkat bersukat-sukat belanja dengan elaun semasa di Jepun, aku berjaya juga merealisasikan hasrat untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami ke-11 di Osaka, Jepun. Maka elaun berkursus itu dari Jepun dia datang, kepada ekonomi Jepun juga dia kembali.

Aku bukan sahaja dapat jumpa dengan Nakatani, malah aku berpeluang berjumpa dengan coordinator aku di Kobe iaitu Kitamura.

Aku juga dapat berjumpa kembali dengan pegawai-pegawai dari Pacific Resources Exchange Center (Prex) iaitu Musha dan Sekino. Sempat kami merakam video bersama.

Kunjungan ke Osaka ini sangat bermakna sebab aku dapat bergambar sepuas-puasnya dan pergi ke mana destinasi yang aku tak sempat pergi dahulu. Masa berkursus, aku tidak berjalan sangat. Maka kali ini aku manfaatkan sepenuhnya. Merasalah ke Kobe, Himeiji, Kyoto dan tempat-tempat menarik lain di Osaka. Tapi paling tidak dapat aku lupakan ialah kisah menjejak kubur Allahyarham Syed bin Mohamed Alsagoff – salah seorang dari 3 rakyat Malaysia mangsa pengguguran bom atom di Hiroshima.

Mujur juga aku berjaya dapatkan tiket dengan harga yang murah, sekitar RM750 seorang. Hotel percuma kerana menggunakan kelayakan kelab percutian yang kami langgan. Belanja pengangkutan dalam RM250, simkad RM60 dan belanja makan RM250. Makan banyak save sebab rezeki aku murah, ramai yang sudi belanja. Paling aku tak sangka, aku berkenalan dengan seorang pengembara dari Australia, Olivia namanya. Kami bersembang semasa menunggu tren dan dia kemudiannya bersetuju untuk saing bersama untuk ke Umeda Sky Building. Sebelum itu, kami makan dahulu di Hooters,Osaka dan dia belanja kami berdua di sana. Memang aku dan Hadi terkejut gile sebab dia makan fries dan minum coke aje. Kami makan macam-macam sebab tak makan lagi dari pagi. Rezeki…rezeki…

Sejak balik dari Jepun, aku mula berhenti menulis. Ini sangat peribadi. Aku belum cukup kuat untuk berkongsi.

Eskandar dan Ezzudin akan mula masuk tadika tahun depan. Aku langsung tak sangka belanja untuk masuk tadika aje boleh luruh segala-mala simpanan yang ada. Kalau tidak, pasti aku tidak bercuti ke Jepun dan berjimat untuk duit persekolahan mereka. Nampak gayanya tahun depan aku kena lebih berhati-hati dalam berbelanja.

Apapun, aku berharap 2018 nanti akan terus gemilang dan memberikan warna-warna ceria dalam kehidupan aku kelak. Aku akan ke Thailand untuk meraikan hari lahir aku ke-37 di sana. Ini sudah dirancang awal kerana aku dapat baucar hotel percuma. Ini juga adalah masa yang sangat aku dan Hadi nantikan – masa berehat dan habiskan masa berdua.

Itu ajelah janjinya setiap kali nak bercuti bersama. Lepas sampai aje sana, mulalah berjalan tak henti-henti dan kemudian balik penat. Kemudian melalak lagi nak cuti dan berehat!

Sayonara – So Hard To Say Goodbye

Pada tahun 2013, sebaik kembali dari cuti belajar, aku ditempatkan di Unit Kandungan & Kreatif. Aku bermula di Unit Swasta. Kerja aku ketika itu sekadar menjawab surat syarikat dan menguruskan keurusetiaan mesyuarat. Memang mula-mula aku tak tahu prospek apa yang aku ada di sini. Macam ada dan tiada pun ada.

Tetapi aku redah aje kerana masa itu aku baharu diberikan rezeki cahaya mata. Aku fikir, tidak perlu aku kembali ke zaman penerbitan yang super sibuk dan aku boleh menguruskan keluarga dengan aturan masa kerja sebegini. Kebetulan, aku terus diaturkan rezeki mengandung sekali lagi dan dalam pada masa yang sama, aku menyambung pengajian ke peringkat PhD. Aku fikir aku boleh capai semua – serentak! Aku terdengar juga kata-kata seolah-olah aku tidak menyumbang di sana. Tapi kata-kata orang cakap belakang ni, dibelakang juga tempatnya. Tak apalah tu…

Selepas aku melahirkan Ezzudin, aku kembali ke UKK dan diminta menjaga Unit Pentadbiran dan Kewangan. Tempat ini, berilah pada sesiapapun – dengan pantas semua orang akan tolak. Ia serabut, dua tiga rabut dan rabut-rabut lain. Tapi siapalah aku untuk menolak selepas 3 bulan bercuti kerana bersalin. Karang dikata mengada-ngada menolak kerja. Aie Sarkase adalah manusia yang selalu percaya pada aku. Masa itu, dia pegang Unit Swasta. Aku terima dalam keterpaksaan – sumpah! Aku yakinkan diri. Kalau bos aku, Puan Kalsom tak suka, pandailah dia gantikan tempat aku itu dengan orang lain.

Itulah bermulanya riwayat aku di UKK yang sebenar-benarnya…

Menguruskan kewangan, pentadbiran, dokumentasi dan masalah duniawi yang lain seperti lawatan audit, MoF, CDC dan Dana Industri Kreatif Negara yang aku tak tahu punca. Kerana serabutnya kerja di sini, aku tak boleh commit study dan perjalanan mengejar PhD aku tunda seketika. Diam tak diam, 3 tahun aku bertahan dan 2 tahun unit ini selamat dari musibah AP58 dan AP59!

Bukan sebab aku di situ..bukan sebab aku bagus mentadbir. Bukan juga sebab aku handalism. Bukaaaan!

Dibelakang aku, kakitangan sokongan yang efisyen, cekap dan paling penting – mereka komited.

Aku mana tahu kewangan. Aku penerbit rancangan! Prinsip Akaun pun dapat 2 aje, matematik moden asal lulus. Korang ingat, aku amik Masscomm sebab nak main nombor??? Pentadbiran tiada masalah sangat sebab admin akan bantu.

Satu demi satu kami baiki cara kerja mengikut teguran audit dan berpandukan Arahan Perbendaharaan. Aku mula belajar dan hafal kontrak. Yasin pun aku terketar-ketar nak hafal tapi kontrak Klausa berapa aku kena tahu. Tentera aku di bawah kewangan banyak membantu kalau aku tak tahu apa-apa proses melibatkan kewangan. Sebab itu, What’s App group pun namanya Menteri Kewangan UKK 🙂

Oh, susah senang tawa air mata memang terhambur banyak sebab bahagian kewangan. Paling aku takkan lupakan, bila semuanya sepakat bantu aku mengemaskini tarikh dan notis-notis penting untuk dikeluarkan kepada syarikat kerana masalah-masalah dalaman yang berbangkit. Sampai larut malam semuanya bagi kata-kata semangat pada aku yang memang tengah kecewa dengan suasana yang tidak membantu. Ditambah dengan staff UPPF yang tiba-tiba aku juga kena jaga…memang korang terbaik dan akak akan ingat itu sampai bila-bila. That was my lowest moment in UKK and u guys stood by me 🙂

Pentadbiran – macam aku kata tadi admin akan bantu. Kak Yam, Ruby dan Abang Mie memang sudah lama di UKK. Kemudian tu, baharulah Saliza bantu. Menguruskan booking la, aset, kursus, cuti dan urusan pentadbiran memang lancar. Aku tenyeh aje mana-mana dokumen yang berkaitan.

BMS paling mudah sebab geng ini tersorok di belakang. Key in data dan bertahan dengan sistem kura-kura tersenut. Paling tidak banyak ragam, unit inilah.

Banyak benar memori, banyak benar story. So aku tak tahu nak pilih yang mana…semua itu kenangan. Pahit manis itu biasa. Aku tahu, kadangkala mereka pun meluat kalau aku dah mula sawan dan menyumpah-seranah bila masalah yang tidak semena-mena kami kena tanggung. Aku juga kadang-kadang rasa macam tak berguna bila mereka mengadu masalah kerja, tapi aku tak boleh berikan penyelesaian yang memihak kepada mereka. Dalam bebel-bebel 15 kilometer itu mereka buat juga.

Apapun, kita kenang yang indah-indah ajelah…kita kenang masa kita semua berkerjasama jayakan jamuan raya…

Kita kenang bila kita bergembira berpakaian tema filem semasa dinner UKK…

Kita kenang bila kita semua berkumpul dan bergelak ketawa semasa berkursus di Lumut mendengar ceramah Encik Hafiz Cute Carry…

Yang air mata Maria, air mata duyong, air mata kasih yang termeleleh tak semena-mena ketika taufan melanda kita buang jauh-jauh. Saya yakin, kita akan berkerjasama juga di masa hadapan. Paling tidak, kita akan bertemu dan berkomunikasi melalui Facebook.

Saya akan memulakan perjalanan kerjaya seterusnya di Bahagian Pemasaran dan Promosi. Sebagaimana kalian memberi kerjasama kepada saya, saya harapkan kakitangan saya yang baharu akan buat begitu juga. Kerana itu, saya mohon berikan kerjasama kepada bos baharu nanti sebab kekuatan kita semua tidak sama. Mana kurang, bantu. Saya turut berharap kehadiran saya nanti diterima dengan hati terbuka oleh pihak belah sana.

Kurang 2…inilah tim kak Beni

Geng Pentadbiran & Kewangan – Kak Yam, Ruby, Abang Mie dan Saliza…terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Saya memang rasa lega sebab dapat barisan pentadbiran yang kuat dan cekap.

Geng BMS – Kak Rosz, Kak Gayah, Abang Zahari dan Kak Mira…walaupun di belakang, saya tahu sumbangan kalian. Sabarlah, tahun depan akan dapat sistem baharu yang lebih hebat.

Ok, geng kewangan…Eza, Huda, Liz dan Maz…saya memang sentimental di sini sebab inilah kumpulan yang kena hayak hari-hari. Ini muka kaunter, ini muka LAD, notis peringatan, amaran tsunami dan malapetaka lain memang banyak harung di sinilahnya. Teruskan kecemerlangan korang, sawan sekali-sekali ok tapi jangan berlarutan. Work together, nescaya korang akan selamat bahagia. Begitu juga buat Wawa dan Lia yang sempat di bawah regim sementara, terima kasih atas bantuan dan sokongan kalian. Ingatlah balik detik-detik sawan menghabiskan RM3juta dalam satu hari masa menutup akaun tahun lepas. Kalau tak lejen, tak mungkin Puan Kalsom belanja kita semua Nasi Arab sedap…itu memang satu lagi kenangan separa seram yang akan saya ingat.

Terima kasih yang sesungguhnya

Untuk itu, ikhlas dari hati saya kepada semua staff Pentadbiran, Kewangan & Dokumentasi yang saya tinggalkan…mohon maaf atas sebarang salah dan silap. Saya sangat terharu dengan majlis yang kalian aturkan. Seperti yang saya beritahu, saya tidak pernah diraikan sebegitu. Rasa tak layak sangat. Be the best in what ever you do…Family first, friendship is forever.

(Memang bulan Ogos ini banyak betul perpisahan yang berlaku. Belum lagi boleh move on dengan perpisahan dengan rakan-rakan sewaktu di Jepun dan pak angkat, aku kena ucapkan selamat tinggal pada unit ini pula. Berganda-ganda kepiluan. Memang drastik semua ini sebab aku belum ada tempoh bertenang.)

Dengan rendah diri, saya mengundur diri. Sayonara semua…

Boifren hensem kena ada
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...