Huahin Day 4 & 5 : Errr….Ini Aje?

 

 

Disebabkan aku sudah tak tahu nak cerita apa lagi, aku garapkan terus tempat-tempat yang aku pergi di Huahin pada hari 4 dan 5. Boleh dikatakan aku pergi hampir kesemua tempat-tempat yang menarik yang ada di sini – walaupun mall! Alang-alang sampai, jejak ajelah kaki dan merungut menyesal dalam hati. Setiap kali baca review, dok suruh mesti pergi, mesti pergi. Dah pergi rasa nak meraung depan pintu pulak.

***

Hari ini aku bangun lambat. Mungkin sebab kepenatan, mungkin juga sebab tidak berjanji dengan siapa-siapa jadi aku agak malas untuk bangkit awal. Lambat tak lambat pun, 7:30 pagi juga aku bangun dan terus bersarapan di hotel ini. Selepas sarapan, aku naik bilik dan bongkang bilik. Ingat tak catatan aku pasal aircond hotel ini yang dahsyat gile? Itulah punca aku menyambung peniduran memandangkan cuaca di sini yang sangat panas membahang. Lagi pula aku sangat rasa mahu bersahabat dengan tilam dan bantal sahaja siang ini sementelah saluran tv yang ada pun tidaklah begitu memanggil ceritanya.

 

 

Akhirnya pukul 2:30 petang aku ambil keputusan untuk keluar dari bilik hotel. Perut pun sudah mula terasa lapar. Aku diberitahu oleh pilot semalam, pulut mangga paling champion yang ada di Huahin ini kedainya terletak betul-betul di depan Hotel Hilton. Tapi kena cepat sebab tutup pukul 3:00 petang. Mungkin aku patut mulakan hari aku dengan makan pulut mangga dahulu. Hotel yang aku duduk dengan Hotel Hilton tidaklah jauh mana, dalam 3-5 minit berjalan sahaja.

Rezeki aku baik…pulut masih ada. Ha, nak kobakan. Harga pulut mangga di Huahin ini tengok tempat. Kalau di night market dalam THB50 – THB60 manakala di premis-premis lain ada yang antara THB99 – THB150! Aku tak pasti kenapa..nak kata eksklusif, tak juga. Pernah aku merayap dilorong-lorong jalan yang menjual pulut mangga dengan harga THB130. Gerai tepi jalan aje kot…

Disebabkan agak lapar, aku sempat pesan nasi goreng seafood dan segelas kopi ais. Agak tak kena air dengan makanan yang aku makan tapi disebabkan aku mahu kopi, aku lantakkan aje sebab dan akibat pemilihan menu tengah hari ini. Sambil makan, sambil melayan media sosial. Takde posting apa sangat sebab takde benda yang berbaloi untuk dikongsi. Pulut mangga yang lejen itu sampai dan….yup, sedap. Tidaklah terapung sampai capai titik kulminasi, tapi sedaplah.

 

 

Usai makan, aku terus tempah Grab dan lokasi pertama hari ini ialah Bluport. Hmmm….jiwa Kak Benny ni masih rasa lebih baik kau bertenuk kat Giant Taman Permata! Mall ini biasa sahaja…itulah masalahnya bila Malaysia terlalu banyak sangat mall. Kita akan rasa yang ada dalam negara kita lebih semenggah berbanding di luar. Tiada apa-apa yang unik pun. Harga barangan di sini, lebih kurang di Malaysia juga. Jadi aku tak beli apa-apa dan terus tempah Grab untuk ke lokasi seterusnya – Cicada Market.

 

 

Macam mana aku nak explain Cicada Market ini ya….? Ok, bayangkan separuh dari Dataran Merdeka. Di situ ada tapak jualan seolah-olah uptown yang ada segala macam baju, seluar, kasut, art stuff dan ada seksyen menjual makanan. Yang mehnya, kita kena bayar makanan dengan kupon. Barang-barang lain boleh beli tunai, takde masalah. Jadi, tukarlah duit THB anda dengan kupon dan jangan risau, kalau tak habis boleh tukar ke THB balik. Aku tukar THB500 dan hanya membeli teh ais Thailand (tak berapa lejen) dengan harga THB55 dan banana pancake THB45. Baki kupon aku tukar balik THB. Jujurnya, aku rasa tak berbaloi ke sini. Makanan halal adalah 2-3 kedai sahaja. Kalau kita berjalan ke depan sikit, kita akan jumpa Tamarind Market. Ini langsung takde makanan halal tapi lebih happening! Seafood melambak-lambak…Tapi aku hanya lalu satu round aje dan terus tempah Grab untuk balik ke hotel.

 

 

Kemudian aku berjalan kaki untuk mencari port makan malam pula. Jujurnya, aku mulai bosan dengan tempat ini, tapi aku suka bilik hotel yang ada di kawasan ini hahaha. Jadi aku singgah ke McD berdekatan dan bungkus satu bekas Raspberry Tea. Tak terasa nak makan berat pula malam ini. Hanya rasa nak balik bilik, mandi dan tidur.

Oh, satu massage parlour pun aku tak masuk sebab di sini langsunglah tidak terasa hendak berurut. Padahal kalau di KL, tiap-tiap minggu merengek-rengek nak pergi tempat urut. Lagi satu, aku rasa Huahin tak bersahabat dengan jiwa aku. Aku tak rasa ingin kembali dan mencintai di sini. Atau mungkin sebab sebelum aku pergi aku sudah sematkan dalam hati tidak mahu ada apa-apa jalinan jiwa dengan siapa-siapa juga di sini? Haih, entahlah….

Esoknya aku balik dan aku bahagia bertemu anak-anak. Kemudian itu baharulah badan aku terasa sakit-sakit dan perasaan menyesal kerana tidak berurut di Huahin melempang aku berdas-das.

Sekian…

 

Huahin Day 3 : Sisi Lain Huahin

 

 

Hari ini adalah hari terakhir aku sewa kereta. Masih kosnya THB1200 satu hari dengan penggunaan dari pukul 9:00 pagi hingga 5:00 petang. Cuma aku minta pilot datang sedikit lewat, sekitar 10:30 pagi supaya aku habis lewat petang. Boleh dikatakan semua tempat yang mahu aku pergi, aku usahakan untuk pergi pada hari ini. Cuma misi Nakhon Cave gagal sebab aku tak rasa aku fit untuk masuk gua. Aku tak mahu paksa-paksa diri sangat. Karang sakit teruk siapa nak tengokkan aku kat sini? Aku belum sempat cipta bapak angkat kat sini. Kat Phuket ada juga pakcik Simon untuk aku menumpang kasih.

Oh, hari ini aku akan daftar keluar dari Hotel Chalelarn dan berpindah masuk ke Hotel Palada by Sukassem. Salah satu sebab minta pilot sampai lambat adalah supaya aku dapat membelasah hot chocolate sepuas-puasnya. Alang-alang, aku makan agak berat sebab hari ini konfem akan berjalan jauh dan banyak guna tenaga. Alhamdulillah pagi ini aku sihat dan riang seperti selalu. Pergerakan aku hari ini adalah seperti berikut:-

1. Khao Hin Lek Fai View Point
Hmmm…view tak lumayan langsung. Inilah pertama kali aku meredah belantara mencari view point tetapi hasilnya tidak secantik yang disangkakan. Itu belum masuk cabaran membelah laluan monyet-monyet nan agresif jua adanya.

 

Tidaklah hampa teruk, ada tugu Raja Prajadhipok (Rama VII) di atas itu jadi aku rasa berbaloi jugalah menapak naik ke sini. Raja Prajadhipok adalah raja yang membina Istana Klai Kong Won di Hua Hin sekitar 1920-an.

 

2. Wat Huay Mongkhon
Berbaloi untuk bergambar. Tapi panas terik. Benny is rentung here ?

Di sini kita akan nampak tugu seorang sami yang terkenal di Thailand iaitu Luang Phor Thuad. Kalau larat, panjat sahajalah sampai atas. Ramai yang ke sini untuk membayar niat dan memohon hajat.

 

Tidak jauh dari sini, ada tugu Raja Naresuan dan ia dipenuhi dengan replika ayam jantan. Sempat aku bertanyakan kepada seorang awek local apakah signifikasi ayam-ayam ini? Menurutnya yang aku tak peduli untuk bertanyakan namanya, “king…soldier rooster with him”. Ya, tak membantu.

Ceritanya lebih kurang pada kurun ke-16, Thailand dan Burma berperang dan Ayutthaya telah ditawan oleh Burma. Dipendekkan cerita, Raja Naresuan bertaruh dengan putera raja Burma untuk membebaskan Ayutthaya dengan cara bersabung ayam dan baginda menang. Kerana itu, tugu Raja Naresuan di sini penuh dengan replika ayam seperti legenda cerita yang disampaikan.

 

3. Sam Phan Nam Floating Market
Ini antara tempat yang aku tak akan cadangkan kepada sesiapa untuk masuk. Haih…haih sangat. Baik lagi di Hatyai. Entah apa yang floating pun aku tak tahu. Langsung tidak seperti imaginasi floating market yang aku bayangkan. Jualan yang ada di sini, sama sahaja seperti di night market lain.

Untuk masuk ke sini, kita kena bayar THB200 (kalau tak silap). Ada keretapi yang akan membawa kita masuk ke dalam floating market ini dan kalau tak naik pun tak apa sebab tak pusing habis pun. Aku rasa macam, eh…kena turun dah ke? Tak sampai 5 minit ride.

 

4. Rajabhakti Park
Dalam banyak-banyak tempat, aku sangat eksaited untuk ke sini. Tarikan monumen 7 raja-raja hebat yang pernah memerintah Thailand pastinya tidak akan aku tinggalkan. Sayangnya aku sampai tengah hari dan matahari betul-betul tengah membahang. Hanya aku sahaja gile pergi ambil gambar sampai depan monumen tu. Yang lain ambil dari jauh aje. Walaupun rentung, aku rasa seronok di sini. Memang takde gambar aku yang elok di sini sebab takde siapa nak bantu ambil gambar. Pilot pun jadi puteri lilin di sini…Tak kuasa agaknya melayan aku tengah panas-panas rembang ni.

Tiada kos masuk di sini.

 

5. Monkey Mountain/Khao Takiab
Di sini baru aku dpt view yang cantik. Still, tak sehebat Pattaya.

****

Apapun, aku bersyukur dengan pengalaman hari ini dan penjelajahan yang telah aku buat. Santai, rileks dan berbaloi. Aku mendaftar masuk ke Hotel Palada by Sukassem dan di sini, aku sangat-sangat rasa jatuh cinta dengan aircond dalam bilik ni. Punyalah cepat sejuk. Selepas berpanas-panas di luar, bersejuk-sejuk dalam bilik juga seakan ketenangan maksima.

Sekian dahulu.

Day 2 Huahin : Jom Xplore Huahin!

 

Ada beberapa faktor yang selalu aku ambil berat setiap kali bercuti, berjalan atau kembara solo. Satu yang aku sangat utamakan adalah keselesaan untuk tidur dan mandi. Itu sebab aku tidak akan bersenut-senut duduk hostel atas nama penjimatan dan berkongsi jambanista atas sebab yang sama. Biarlah bayar mahal sikit, asal selesa. Dan aku juga tidak giler untuk mencipta hype “bercuti selama 5 hari 4 malam dengan kos RM280!”. Aku boleh sahaja dan pernah juga ada percutian dengan nilai sebegitu disebabkan kos-kos lain ditanggung oleh pihak lain. Tapi ketidakjujuran penceritaan itu hanya akan memberikan harapan palsu pada pengembara sengkek yang lain.

2 malam pertama di Huahin, aku tinggal di Hotel Chalelarn. Ia super selesa, lokasi pun strategik dan yang paling aku suka selain ada swimming pool ialah ada hot chocolate! Terasa betapa premiumnya kehidupan aku setiap pagi bersarapan dengan bertemankan bercawan-cawan koko panas….Iya, bijik sikit bunyinya tapi aku susah nak tolak air cokelat panas. Rasa terbayang-bayang pengalaman aku masa di hotel Taj Diplomatic Enclave, India tahun lepas.

 

Jadi hari ini kembara meneroka Huahin bermula. Semalam aku sudah mendapatkan kereta sewa dengan kos THB1200. Kalau pergi bertiga atau berempat, pasti kos lebih rendah. Tak apelah tu…Sebenarnya, untuk kesemua lokasi yang dirangka hari ini, kita boleh sahaja pergi dengan menaiki Grab. Tapi selepas aku congak balik, sewa kereta lebih berbaloi atas pelbagai faktor.

1. Pilot akan ikut mana juga kita nak pergi asalkan tak lebih masa yang ditetapkan. Kalau lebih, bayar aje ekstra.

2. Pilot akan tunggu dengan suci hati sebab bayaran penuh akan dibuat selepas trip tamat. Kebanyakannya tidak minta deposit sebelum memulakan perkhidmatan.

3. Pilot akan setia untuk bantu ambil gambar kita hahahaha….pakej ni. Kalau nasib baik, dapatlah pilot yang berjiwa Saiful Nang.

4. Pilot akan tahu tempat makan yang best-best.
Banyak lagi hujah-hujah lain, aku tak kuasa nak justify hahahaha..

 

 

SANTORINI PARK
Lokasi pertama yang aku tuju ialah Santorini Park. Kos masuk THB150. Dalam ini ada butik-butik pakaian berjenama terkenal, rumah hantu dan beberapa ride yang boleh kita naik. Sebenarnya, kita dapat 1 ride percuma bila masuk, tapi jangan haraplah aku akan naik benda-benda tu semua. Konfem aku berzikir dalam pelbagai bahasa bila fobia aku dianiaya.

 

So apa nak buat? Ambil ajelah gambar mana yang lawa. Dah jadi bingung kejap sebab aku bukan jenis bergambar-gambaria ni. Kalau tanya berbaloi ke tidak ke sini, aku jawab TIDAK.

Tapi kalau pergi water park tu, aku rasa berbaloi.

 

 

PREMIUM OUTLET
Dalam banyak-banyak outlet sepertinya, ini setakat – ha, itu aje? Tak sampai 20 minit aku di sini. Harga lebih murah atau sama dengan KL. Aku hanya beli aiskrim masam giler berperisa mangga berkahwin dengan markisa. Sedap, tapi masam. Kemasamannya menyebabkan tekak aku yang tak berapa sihat menjadi menderita.

 

 

CAMEL REPUBLIC
Kos masuk THB150 dan dapat lobak merah untuk diberikan kepada unta. Macam keputusan yang tak tepat aku masuk dalam ini sebab aku tak berapa berjiwa penyayang sangat pada haiwan. Aku rasa kasihan dengan kondisi haiwan-haiwan yang ada dalam premis ini.

Tetapi jika korang datang dengan keluarga, mungkin akan rasa seronok. Ada aje theme park untuk anak-anak enjoy.

 

The only space yang aku rasa bahagia dalam Camel Republic ini adalah tempat yang aku namakan Padang Lalang. Terasa macam buat video klip Letto – Ruang Rindu. Aku sempat berbaringan santai di sini bertemankan 2 botol Pepsi dalam keadaan cuaca yang sangat panas, lebih kurang 36 darjah selsius. Di sini, Pepsi terasa sangat mendamaikan. Agak lama aku bersandarkan pada kenangan di sini sampaikan aku terasa berat nak bangun. Tenang….!

 

 

SWISS SHEEP FARM
Hmmm….mungkin pengalaman di Camel Republik menyebabkan aku rasa berat hati nak masuk dalam premis ini. Sama aje….oh, dan faktor cuaca juga seakan membantutkan niat. Hati berbolak-balik juga nak masuk atau tidak. Disebabkan aku terasa macam tak larat, aku nekad tak masuk. Aku belum betul-betul fit…bila jalan masih terasa semput. So, babai this place….

 

 

VENEZIA
Hahahahaha….aku masuk sampai kaunter aje. Kos untuk masuk dan bergambar THB290 manakala untuk bergambar sahaja THB180. Yup, aku sedar dalam itu ada gondola, boleh perasan seolah-olah berada di Itali. Tapi aku niatkan dalam hati, Insya Allah aku akan naik gondola sebenar di tempat sebenar juga #lawofattractions

Diorang punyalah kederek, sampaikan nak ambil gambar sebelah Venezia itupun kena halau dengan pak guard. Tak apelah…kalau takde gambar kuda/gajah besar sebelah funfair itupun aku tetap tidak rasa rugi apa.

Disebabkan hari ini serba tak kena, aku perlu cari kopi. Lebih sedap kopi itu, lebih sempurna hari yang aku lalui. Jadi aku minta pilot berhenti di satu kedai kek berhampiran dengan Venezia.

****
Huahin adalah satu tempat yang pada aku rumit untuk dapatkan makanan halal. Pattaya pun tidaklah sepayah ini. Oh, tiba-tiba rindu Pattaya πŸ™‚ Aku bukanlah jenis particular nak makan kena ada logo Halal besar bapak depan kedai baharu aku berani makan. Kalau aku nak makan, aku order sahaja seafood. Tapi kot ada yang mencari maklumat tentang senang atau tidak mencari yang halal di sini, pada aku tidak sangat.

Pilot bawa aku ke satu restoran halal di Cha’am. Aku sangat lapar…terus makan dan langsung tak ambil gambar. Selepas makan, kami berjalan-jalan di kawasan pantai di Cha’am. Hmmm…pertama kali aku tak ambil gambar pantai di Thailand. Aku rasakan pantai ini biasa-biasa sahaja…Kalau datang okay, tak datang pun okay. Haih, lain betul sangkaan aku pada bumi Huahin ni.

Selesailah trip hari untuk ini. Tidaklah lumayan sangat hasil yang aku dapat, tapi agak memenatkan sebab faktor cuaca dan kesihatan tadi. Malam itu, aku tidur awal dan dapatlah tidur yang solid. Nak keluar malam pun tak kuasa sebab penat berbahang siang tadi masih terasa.

Day 1 Huahin : Kenapa Huahin?

 

Dalam kepadatan hari Jumaat nan berkah ini, aku cuba untuk ceritakan pengalaman aku bercuti di Huahin. Apa juga sudut pandang aku tentang tempat ini tetaplah bersifat peribadi juga adanya. Ia tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luar melainkan faktor akal sihat dan tidak sihat kala kembara itu berlangsung.

Aku menaiki penerbangan AirAsia untuk ke Huahin. Kos sangat berbaloi lebih kurang RM250 untuk tambang pergi balik, extra luggage (konon feeling-feeling nak shopping) dan nunek-nunek pakej lain yang logik untuk aku ambil. Seperti biasa, aku melanggan insurans AXA dengan nilai RM30 yang melayakkan aku mendapat pelindungan premium. Masa beli tiket ini, apa yang aku fikirkan hanya “nak terbang…mana-mana pun takpe…asal tiket murah.” Tarikh yang sama aku usha untuk ke Vietnam, tapi harga sangat Serbia – sama dengan kos tiket sehala untuk ke Osaka.

So, Huahin it is…

Aku menempah hotel dengan menggunakan Agoda. Kalau pandai mengail, insya Allah akan jumpa tawaran-tawaran yang menarik. Untuk dua malam pertama, aku menginap di Hotel Chalelarn (RM400) dan lagi dua hari aku bertukar hotel dikawasan tumpuan pelancong asing pula iaitu Hotel Palada by Sukassem (RM250). Rate hotel di sini, lagi dekat dengan laut lagi munafik harganya. Aku tak kata tak logik, just that kita boleh spend nilai yang sama dengan view dan pengalaman yang lebih meriah – tapi di tempat lain!

Itinerary aku buat seminggu sebelum tarikh kembara. Agak mencabar juga sebab walaupun berdasarkan Google maps, aku tak berapa jelas juga tentang struktur muka bumi Huahin. Benda paling aku nak elakkan bila buat jadual ialah laluan berpatah balik, turun-naik turun-naik macam takde pedoman.

Aku pernah baca pasal Huahin. Ramai cakap cantik, berbaloi dan banyak tarikan. Ya, dalam kepala otak aku sudah membayangkan Santorini dan Swiss Sheep Farm. Namun, yang menarik perhatian aku ke sana adalah Nakhon Cave. Berdasarkan gambar dan review, aku positif tempat ini berbaloi untuk aku singgah. Sebenarnya, aku rindu Gua Niah. Aku sudah ke sana dua kali, tapi dua kali itu tidak cukup hahahaha…

Basically, itu sahaja persiapan aku sebelum mula bercuti.

 

23 April 2019
Beberapa jam sebelum ke KLIA2 baharulah aku kemas beg. Bawa seadanya (kan feeling-feeling nak shopping.) Aku menaiki teksi Abang Lukman untuk ke sini. Sedar tak sedar, sudah hampir 5 tahun aku menggunakan perkhidmatan beliau setiap kali mahu ke lapangan terbang. Rutin biasa, membelai jiwa aku dengan kopi mahal dan makan sebelum terbang. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 2 jam sahaja. Tidur pun tak sempat nak mimpi. Urusan imigresen dan kastam di lapangan terbang ini adalah memuaskan, berbanding di Pattaya.

 

 

Dari lapangan terbang ke hotel, aku menaiki Grab dengan kos THB190. Kalau naik teksi lebih mahal manakala naik tuk tuk pula mengarut. Tak jauh sangat pun, dalam 7km sahaja. Urusan daftar masuk hotel juga lancar. Yang tak lancar cuma kesihatan aku sahaja. Aku mula rasa uneasy, nak bernafas agak payah dan wheezing.Β  Mujurlah sebelah hotel ada farmasi dan aku stock up ubat-ubat yang perlu aku ada macam lozenges, ubat batuk dan Vicks. Disebabkan mahu berjalan malam, aku mengambil keputusan untuk tidur sekejap.

 

 

CLOCK TOWER
Tempat pertama yang aku tuju ialah Clock Tower. Tak berapa jauh dari hotel, lebih kurang 5 minit berjalan. Tak besar sangat…lebih cantik di Taiping. Punyalah aku terkedu dengan rupa paras Clock Tower ini sampaikan aku boleh tak perasan akan kewujudan Starbucks betul-betul sebelah Clock Tower itu.

 

Berdekatan kawasan itu juga, ada gambar raja mereka dan aku bergambarlah di sana.

 

 

HUAHIN NIGHT MARKET dan CHATSILA NIGHT MARKET
Hmmmm…keluh kesah mak esah aku bermula di sini. Tidaklah semeriah yang aku bayangkan. Barang pun yang boleh kita dapat setiap kali ada MATHAF atau sudut-sudut kecil dalam Giant/Tesco. Secara peribadi, night market di Koh Samui lebih giler kalau kita dapat pergi sebab selain pakaian, jam dan kasut, banyak barang-barang rare ada di sana. Pergerakan aku agak perlahan sebab aku sangat rasa tak sihat. Nak makan pun takde selera. Mujurlah tengah hari tadi aku sudah makan di KLIA2.

By the way, kedua-dua pasar ni dekat-dekat aje. Confirm akan jumpa…

 

***

Dalam perjalanan ke Clock Tower, aku disapa oleh ejen pelancongan yang menawarkan khidmat sewaan kereta. Harga bermula dari THB1500 sehari. Ada beberapa lokasi yang akan mereka bawa bermula pukul 9:00 pagi – 5:00 petang. Driver Grab tadi juga menawarkan sewaan kereta dengan nilai yang sama. Jadi aku negotiate la dan akhir penggulungan, aku dapat harga THB1200 sehari. Ok la…lebih kurang kos sewaan yang aku dapat dari kajian pasaran. Kalau ambil di hotel, mereka cas THB2000 dan boleh pilih 4 lokasi aje.

 

Balik sahaja hotel, aku terus ke bumbung hotel. Ada swimming pool di sini. Tapi itulah….aku tengah bulan mengambang terang – bintang bulan dilangit tinggi pokok banyak di atas gunung, bangun pagi gosoklah gigi jangan suka duduk termenung. Jadi aku melepak menikmati udara malam sambil mengenang nasib diri hahahaha…Agak bosan sebab tiada siapa yang boleh aku buat kawan di sini.

 

Jadi aku terus masuk bilik, makan ubat secukupnya dan tidur. Sebelum itu, sempatlah aku video call dengan anak-anak. Judin memang tak kisah aku ada ke tidak, tapi Eskandar kehilangan. Sedih aje dia masa kami bersembang…Nak mama, mana mama…Yup, aku goyah kejap πŸ™

Ok setakat itu dulu, nanti lapang aku sambung dalam catatan seterusnya.

 

Ohai, Phuket 2018!

Bayangkan dalam satu percutian yang sepatutnya menenangkan jiwa raga, tiba-tiba masa daftar masuk hotel anda dimaklumkan hotel itu tidak pernah menerima apa-apa tempahan atas nama anda atau pasangan. Ada rasa macam “why God? why?” beberapa kali dan berperasaan sejenis ujian apakah ini?

Itulah yang aku rasa dalam episod percutian aku baru-baru ini.

Sebelum melarat jauh, aku ceritakan dahulu rentetan yang membawa aku ke bumi indah Phuket, Thailand. Tahun lepas, aku dihadiahkan pakej percutian 3 hari 2 malam oleh Aie Sarkase. Dia dapat pakej itu kerana membeli handphone Vivo (yang ketika itu masih suci, belum ditandatangan oleh Datuk CT Nurhaliza). Antara lokasi yang ditawarkan ialah di Jakarta, Bandung, Phuket dan Bangkok – kalau tak silap. Disebabkan aku merancang untuk menyambut hari lahir aku di Thailand, maka aku dan Hadi bersetuju untuk menebus pakej ini di Phuket. Semua urusan mak nenek ini diuruskan oleh Hadi. Akak order aje…

Aku sudah 2 kali berkunjung ke Phuket. Ia adalah antara lokasi terbaik di Thailand untuk berjalan-jalan, makan dan berehat. Disebabkan aku mahu berehat yang sesungguhnya, Phuket menjadi pilihan pertama. Dengan pengalaman 2 kali meronda Patong dan jajahan sekelilingnya, aku merasakan kunjungan kali ini tidak akan menjadi padat seperti kunjungan terdahulu.

Kami memilih Hotel Ansino Bukit. Hadi menambah tempahan bilik secara persendirian lagi satu malam untuk menjadikan percutian kami 4 hari 3 malam. Aku iyakan aje sebab masa sibuk-sibuk booking hotel ini, aku tengah serabut membuat itinerary perjalanan ke Osaka untuk trip anniversary November lalu. Tiket pergi-balik dengan penerbangan AirAsia sudah aku uruskan bagi memudahkan kerja Hadi. Kalau tak silap harga tiket tak sampai RM350 seorang untuk pergi dan balik.

Entah kenapa, aku tergerak untuk membeli simkad. Jadi aku beli di web www.hello1010.my dengan harga RM29. Padahal di Thailand merata-rata kafe pasti ada wifi. Tapi aku rasa aku perlu juga simkad. Rupa-rupanya ada hikmah disebalik semua keputusan itu.

Penerbangan pergi ke Phuket tiada masalah sangat. Flight delayed 30 minit, tetapi tetap sampai on time. Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, kami terus membeli tiket minivan untuk ke Patong dengan harga 180 baht. Punyalah nak berjimat. Kalau naik teksi, kos lebih kurang 800 baht sahaja. Tetapi kerana hari masih panjang dan kami tidak mengejar apa-apa, maka naik minivan lebih berbaloi – sangkanya!

Rasanya minivan itu boleh memuatkan dalam 12 umat. Banyak mat salleh bagak-bagak dalam tu, jadi bayangkanlah kesempitan dan perebutan aircond yang bakal berlaku. Sudah elok aku duduk di barisan kedua, eh pemandu suruh aku keluar pula. Ada pelancong lain disumbatkan masuk. Hadi pula duduk dibelakang sekali. Ah, sudah…apakah kejadiannya?

Mujurlah rezeki aku dapat duduk di depan sekali – sebelah pemandu. Jadi perjalanan satu jam ke Patong dalam keadaan panas terik itu tidak merengsakan aku langsung. Aircond direct. Yang duduk belakang dah maki berkati-kati – termasuklah Hadi yang sepanjang perjalanan berpeluh teruk.

Usai sampai di hotel, urusan check in tidaklah serumit mana. Biasa sahaja seperti hotel-hotel lain yang pernah kami duduk. Kami daftar masuk bilik sekitar pukul 5.30 petang waktu Thailand dan berehat seketika sebelum turun semula ke lobi untuk mencari motorsikal untuk disewa.

Serabut di hotel bermula…

Pengurus hotel memaklumkan ada 2 tempahan hotel atas nama Hadi untuk tarikh 16 Januari dari dua agensi yang berbeza iaitu Agoda.com dan Hotel.com/Booking.com (salah satu). Selama ini, kami tidak pernah pun gunakan agensi lain. Semua tempahan hotel gunakan Agoda. Itu tidaklah kecoh sangat sebab apapun terjadi, tempahan itu wujud. Cuma untuk tempahan 2 malam berikutnya, pihak hotel enggan menerima baucar yang kami bawa kerana mereka maklumkan mereka tidak pernah berurusan/ada akaun dengan Hotel.com (syarikat yang menawarkan baucar kepada kami menempah hotel ini dengan menggunakan Hotel.com).

Oleh kerana aku dan Hadi dalam keadaan lapar, kami beritahu akan berurusan dengan syarikat terbabit dan maklumkan kepadanya pagi esok. Kami terus sewa motorsikal, pusing pulau seadanya dan mencari kedai makan. Sewa motorsikal sehari ialah 250 baht. Tapi mood memang dah swing 180 darjah. Kami singgah makan di Kesuma Seafood, tempat yang pernah aku dan Hadi makan 7 tahun lalu. Disebabkan memikirkan masalah hotel untuk esok, kami seakan hilang semangat dan selera makan. Makanan dia ok aje sedap macam dahulu.

Kerana itu aku tidak posting apa-apa dalam media sosial tentang updates kami di sini.

Selepas makan, kami terus balik hotel. Kasihan Hadi…dia tidak sihat kerana kena food poisoning sejak 2 hari lepas. Ubat pun dia lupa bawa. Mujurlah dalam travel bag aku memang sentiasa ada ORS dan ubat-ubat untuk sakit yang ringan.

Bila aku minta Hadi berhubung dengan syarikat yang terlibat, sejenis kesabaran juga tu sebab waktu kerja di Malaysia sudah pun berakhir. Nombor telefon bimbit wakil syarikat seperti dalam web pulak salah. Sudahnya Hadi hanya menghantar emel dan mengharapkan pihak syarikat itu balas – esok pagi! Buatnya emel itu tak dibalas macam mana?

Ah, tak boleh jadi. Mujurlah saki-baki pengalaman masa di Edisi Siasat dahulu memang ada dalam diri. Semua element aku gunakan untuk mencari contact person dari syarikat tersebut bagi mendapatkan bantuan. Tak habis di situ, aku siap personal message di Facebook beberapa orang yang aku rasakan ada kaitan dengan syarikat yang menawarkan pakej tersebut. Antara carian yang aku gunakan ialah Rewards and You, Business Booster dan Masterz Myind Sdn Bhd. Sempat aku terjumpa beberapa postingΒ orang persendirian yang berterima kasih kepada syarikat di atas kerana berjaya menebus pakej percutian mereka. Jadi aku positif, aku tidak kena scam, aku tidak kena tipu.

Dipendekkan cerita, aku amat berterima kasih kepada Puan Roselin Das yang membalas mesej aku di messenger dan membantu urusan aku di sini. Teramat besar terima kasih juga kepada Encik Sharizat dari Rewards and You kerana membantu bersungguh-sungguh urusan kami di sini. Entah apa benda yang pihak hotel mahu / tak faham / tak dapat semuanya Encik Syarizat uruskan dengan pantas. Mujurlah aku beli simkad – menjadikan urusan perhubungan aku lancar di sini. Mungkin itu hikmahnya.

Sebenarnya, booking kami itu ada, cuma method yang digunakan semasa tempahan tidak difahami oleh pengurus hotel. Tapi aku langsung tidak salahkan mana-mana pihak sebab orang lain redeem guna baucar yang sama, ok aje. Tapi mungkin sebab dia redeem di Langkawi, jadi kalau ada masalah senanglah untuk dapatkan bantuan. Cuma kes aku ini kes unik. Aku tak salahkan pihak hotel sebab cara dia borak dengan kami macam dia pernah kena kelepet dengan tempahan palsu. Jadi dia risau benda macam itu jadi lagi. Selesai masalah tempahan hotel. Kami diminta untuk daftar keluar dari bilik sedia ada dan daftar masuk semula petang nanti.

Tengah sibuk-sibuk nak kemas barang dan daftar keluar, pintu bilik air pulak terkunci. Alahai…apa lagi? Dua kali telefon receptionist baharulah bantuan tiba.

Beg besar kami tinggalkan di lobi. Aku dan Hadi mahu cari tempat untuk makan tengah hari dan sekali lagi meronda pantai dengan tenang. Sumpah tenang! Sudah tak perlu fikir masalah hotel lagi. Kami melepak di pantai Patong dan kemudian makan di Restoran Pantai.

Oh, tuhan…sedap giler makanan di sini. Yang amatlah sedapnya – sambal belacan. Sebenarnya sambal belacan dijual dengan set ulam-ulaman. Tapi aku mana makan rumput-rampai ni. Jadi aku minta sambal sahaja…bayar pun tak mengapa. Ambik kau sebekas sambal ni 30 baht. Sedap sampai menjejes-jejes air mata kerana kepedasannya. Itu tak boleh lawan harga sebekas sambal belacan di Restoran Chaba, Krabi – 50 baht harganya.

Kecintaan aku pada teh ais Thailand memang tidak dapat disangkal lagi…

Selepas makan, kami balik ke hotel untuk daftar masuk semula. Sayangnya bilik kami ini tiada balkoni. Sekali lagi kami menghadapi masalah dengan bilik air –Β paip air pulak rosak. Mujurlah kali ini bantuan dengan pantas datang dan semuanya okay kembali.

Memang sepanjang petang berehat semata di dalam bilik dan melayan saluran Warner Bros. Aku main handphone, Hadi pun sama. Rehatlah sepuasnya dan melayan diri sendiri. Sudah lama aku impikan percutian sebegini! πŸ™‚ Menjelang senja, aku ajak Hadi ke pantai untuk mengambil gambar senja di pantai. Dia membawa aku ke Pantai Karon dan kami termenung hampir satu jam menunggu matahari terbenam.

Hadi mengambil gambar time lapse manakala aku snap snap snap mana yang rasa menarik. Port kami lepak itupun sudah strategik sangat rasanya. Gambar super cantik! Akak is happy!

Memang menjadi tabiat kami kalau bercuti ialah mencari dan melepak di Hooters. Hooters di Patong tidak sehebat di Pattaya dan makanannya tidak banyak pilihan seperti di Osaka, Jepun. Usai hujan kami terus balik dan sambung berehat. Tak pergi berurut dan tidak pergi night market. Kami agak berhati-hati dalam pemilihan makanan sebab perut masing-masing tengah sensitif. Nak makan, pergi kedai yang bersifat.

*****

Setiap pagi, kami akan bersarapan di hotel. Roti bakar 2 set, omelette kosong dan air jus. Itu aje yang aku yakin untuk makan. Kemudian kami akan berehat dibilik melayan saluran Warner Bros dan menjelang tengah hari akan merayap cari tempat untuk makan tengah hari.

Cuma pagi hari kedua di sini kami berjalan-jalan disekitar pekan Rawai dan bergambar di Phrom Thep View Point. Patong memang kami tak berapa layan sangat sebab terlalu padat. Lebih seronok melepak di kawasan yang cantik, tidak ramai orang dan tenang.

Seperti semalam, kami makan tengah hari di Restoran Pantai. Aku masih setia dengan menu semalam dan air semalam πŸ™‚ Petangnya, baharulah kami melepak di Pantai Patong. Cantik juga suasana senja di sini, tetapi tidak setanding semalam.

Kami makan malam di Le’Grill Restaurant. Makanan di sini halal dan pelayannya semua bertudung. Yang penting, black pepper sauce dia memang terbaik. Lepas makan, kami terus mencari tempat untuk berurut. Tapi entah kenapalah nasib yang mengurut aku tu punyalah kuat dia tekan sampai bengkak badan aku dibuatnya. Rasa menyesal pulak pergi urut kali ini. Makan masa 4 hari juga untuk badan aku okay balik.

Itulah antara pengalaman aku bercuti di Phuket kali ini. Cukuplah 3 kali di sini. Akan datang aku mahu meneroka tempat baharu pula. Macam-macam dugaan di Phuket buat aku rasa rimas pula. Paling akhir, simkad Digi aku pulak hilang di sini. Tapi itu tidak rumit sangat sebab selepas apa yang berlaku, hilang simkad hanya satu masalah yang kecil. Buat baharu di mesin layan diri 3 minit selesai. Bayar RM10 aje.

Dan hari terakhir di Patong, aku terjumpa kedai sushi halal tapi kami berdua dah kenyang bentak…deng!

Jadi itula saja ceritanya. Kalau penat korang membaca, penat lagi aku yang melaluinya πŸ™‚

p/s: Harga teksi dari Patong ke Phuket 800 baht sahaja, tempah di hotel. Kalau cari yang bersidai-sidai di gigi jalan diorang minta 1000 baht. Bila kita tak mahu, dia akan tawar. Tapi aku tak berani…buatnya dia tinggal tepi jalan aje naya.

Krabi – Happy Birthday, Benny Part 3

Mujur cuaca hari ini sangat baik dan bersahabat. Aku ingatkan cuti kali ini melepak bilik dan rehat aje tapi perancangan itu gagal besar. Best pulak meronda-ronda berdua naik motor. Macam Awie dengan Watie lepas beranak 2 gittew.

Hari ini kami meronda-ronda di pekan Krabi. Kami belum pernah sampai sini. Alang-alang tengoklah sekejap pekan ini. Tak jauh mana pun dari Aonang. Seperti biasa, kami akan makan dahulu sebelum memulakan apa-apa aktiviti.

Sumpah aku tak tipu..di sinilah aku berjumpa dengan roti canai dan teh ais yang paling sedap, lejen dan menggoda. Macam bawak saka, 3 keping roti aku baham. Hadi siap cuba nasi kerabu. Pun sedap dan tidak menghampakan.

Lepas makan baharulah kami mengambil gambar seperti kelaziman pelancong-pelancong yang lain. Cuaca pulak bukan main panas lagi. Sepanjang aku di sini, minuman wajib aku ialah teh ais. Teh ais di sini sedap sangat..tak sama dengan teh ais kentin. Tomyam aku tak cari sangat. Dalam kepala otak aku hanya satu – tomyam di Restoran Chaba. Itulah tomyam paling sedap yang pernah aku rasa. Mungkin aku salah, tapi ingatan aku kuat mengatakan tomyam Chaba itu sukar untuk ditandingi. Sayangnya sudah 2 hari aku di sini, aku dapati tapak Restoran Chaba dah jadi bakery…itu adalah satu kenyataan yang amat perit untuk aku terima (ok,drama).

Petangnya aku mencuba satu kedai yang menjual pad thai halal. Kedainya di tepi-tepi jalan sahaja…tak berapa jauh juga dari masjid. Ok serius sedap. Cuma sate agak pelik sikit sebab seolah-olah daging ayam itu direndam dengan serbuk kunyit. Tapi kuah kacang tu sedaplah pulak..haish!

Tengah sedap-sedap aku makan sambil mengelamun tiba-tiba Hadi menjerit.

“B! B! tuk-tuk tu!”

Kenapa? Kenapa? – Aku pandang jalan raya. Tiada apa-apa yang berlaku pun. Ingatkan ada kes ragut ke, eksiden ke…

“Ai nampak ada orang pakai baju Chaba Kitchen dalam tuk tuk tadi! Dia mesti baru balik kerja…!” Bersungguh-sungguh dia cerita.

Aku ingatkan apahal…sia-sia aje terkejut. Termarah juga kejap aku dengan reaksi spontan dia tu. Iya sangatlah baru balik kerja. Buatnya dia baru nak pergi kerja. Kami akhirnya google Chaba Kitchen seperti mana yang Hadi describe tadi. Memang ada satu kedai…tepi pantai, deret kedai-kedai makan tapi agak ke dalam sikit.

“Malam ni kita cari jugak kedai tu…ai tak peduli!” tinggi betul iltizam Hadi nak mencari Chaba.

Yup, kami berjaya cari kedai itu.

Yup, juga…rasa tomyam dia masih sama.

Yup, yup juga…teh ais dia sedap gile!

Ini memanglah penutup sambutan hari lahir yang hebat yang aku rasakan. Aku senak-senak sangat rasanya. Pad thai tadi tak abis hadam lagi…ditambah pulak dengan tomyam nasi bagai-bagai ni…

Malam itu kami melepak melayan live band..memang happening. Terkejut juga diorang bila ada beberapa lagu sana yang selambadak aku nyanyi. Sebenarnya sebelum itu aku ada masuk pusat hiburan dewasa. Hmmm..aku dah tengok yang lebih hebat, jadi di sini setakat so and so aje πŸ™‚

Jadi setakat itu dahulu catatan percutian singkat aku ke Krabi. Aku sendiri tak sangka selepas posting aku tentang Krabi, ramai pulak kawan-kawan minta tip untuk bercuti ke sana. Setidak-tidaknya aku tahu penulisan aku ada yang baca.

Gitchu…

Krabi – Happy Birthday, Benny Part 2

20 Januari 2017….Alhamdulillah…hari itu secara rasmi aku berusia 36 tahun. Walaupun aku masih berperasaan remaja yak yak yeah, aku kena terima hakikat umur aku sudah bertambah.

Terima kasih atas ucapan selamat yang diberi sama ada menerusi Facebook dan Whats App. Aku sangat menghargainya dan berterima kasih kepada FB kerana notifikasi itu membuatkan aku rasa Famous Amous sekejap.

Terima kasih ya amat kepada Hadi kerana membuat aku rasa istimewa dan bahagia pada hari itu.

Hari itu, seharian pekan Aonang hujan tanpa henti. Tidaklah hujan lebat, tapi memang hujan rintik-rintik yang konsisten tanpa henti. Apapun, sarapan itu perlu dan seawal pagi aku bersarapan mengalahkan sang juara. Pagi-pagi dah cari nasi padprik sotong, telur dadar dan teh ais. Memang mengada-ngada betul menu aku.

Walaupun hujan, kami teringin juga mahu meronda-ronda dengan motor Green Hornet sekitar kawasan Aonang. Lain kali, aku kena masukkan dalam senarai semak untuk membawa baju hujan setiap kali bercuti ke luar negara. Motor pun sempat buat kelakar dengan tiubnya pecah dipagi nan hening nun jauhlah pulak dari kedai motor dan kawasan kedai. Merasalah aku menapak 5km jalan kaki sementara Hadi mencari bengkel motor. Tapi tak apalah…terbakar kalori juga memandangkan sarapan berat yang aku baham sebelum itu.

Kami kemudiannya melepak di The Hilltop untuk feeling-feeling melihat Aonang dari tempat tinggi. Memang cantik…sebenarnya Hadi bercadang bawa aku makan malam untuk sambut hari lahir di sini. Tapi punyalah mencanak bukitnya kalau nak naik ke sini, apatah lagi kalau waktu malam dengan laluan curam dan bahaya. Takpelah, kita santai-santai sahaja di sini melayan makanan ringan dan melayari internet sementara hujan masih belum ada tanda-tanda nak berhenti.

Sesudah hujan berhenti, kami ke kedai pakaian pula untuk mengambil ukuran badan. Kemudian kami terus balik bilik. Apa lagi nak buat, hari pun hujan. Memang bantai membongkang sampai petang.

Malam itu kami sekali lagi meronda pekan Aonang. Pemandangan di sini pada waktu malam memang sangat cantik.

Sudah puas bergambar, kami makan malam dan kemudian aku melepak di lobi hotel untuk membalas hampir semua ucapan hari lahir melalui semua medium sosial media. Aje jahanam bateri aku malam itu..tapi aku sangat bahagia dan rasa dihargai – walaupun tidak pernah diraikan. Uhuk…uhuk…uhuk…

Aku Nak Cerek-Bukan Cawan, Hawau…

Seperti dijanjikan, catatan ini adalah tentang Aku Nak Cerek-Bukan Cawan, Hawau…Saja aje tajuknya panjang macam itu dgn tujuan korang kena bacalah sebab aku dh masukkan unsur-unsur curiga di situ.

Dia gini kisahnya…

Hotel, lokasi hotel, reka letak bilik, keluasan dan permandangan memang dah 8/10 markahnya. Nak dijadikan cerita, cerek pulak takde. Cerek..tahu cerek? Kettle la cakap Mat Salleh.

Kami daftar masuk lebih kurang pukul 7 waktu Thailand. Terus aku mandi untuk sejukkan badan. Penyaman udara pun sudah disetkan dengan suhu yang sepatutnya untuk menyejukkan bilik. Alang-alang tu, nak juga mengada berkopi atau teh panas sambil menonton tv.

Cawan, sudu, pinggan dan garfu ada disediakan, tapi satu aku pelik takde pulak teh atau kopi percuma yang diberi. Mungkin mahal agaknya…tetamu hotel hanya dibekalkan 2 botol air minuman sahaja. Takpelah, sebab kebetulan tuan tabib ada bawa 6 paket Milo 3 dalam 1 dan 2 cawan mi segera. Terus aku telefon receptionist, nak minta cerek.

Me : We don’t have kettle in our room. Can you send one?
Receptionist : Cater aa..no cater aa..no have.
Me : Kettle…kettle..i wanna make coffee. I need kettle to make hot water.
Receptionist : Coffee aaa…no have.
Me : Never mind, thank you.

“Dia x paham u mintak apa..takpelah karang kita turun mintak kettle,” kata tuan tabib.

Kami kemudian turun ke lobi. Aku pun bagitahu receptionist tu yang dalam bilik aku takde cerek. Dia macam tak percaya tapi sebab orang house keeping pun dah balik maka esok baharu dia boleh bagi cerek. Ok, fine. Kami kemudiannya pergi makan malam.

Lepas balik makan, sekali lagi aku peringatkan receptionist tu agar jangan lupa hantar cerek. Okay, okay will tell…konfiden dia yakinkan aku dalam keadaan soksek soksek selsema. Maka malam itu kami terpaksa minum air yang dibeli dari kedai 24 jam, disebabkan bilik ni takde cerek elektrik.

Kami tidur dengan penuh lena…

Keesokan paginya, hujan turun tanpa henti. Tidaklah lebat anjing dan kucing, tapi kalau berjalan 3 minit tu konfem basah baju. Terpisat-pisat aku bangun dan memberikan Arahan 20 kepada tuan tabib..”B, gi telefon mintak cerek,” begitulah arahan yang diberi.

Sebenarnya, aku tak tahu apa benda yang dia sembang dengan budak receptionist tu. Tadi aku tanyalah, dan transcript perbualan lebih kurang macam ini.

Hadi : hi, can you send kettle to our room?
Receptionist : Cater aaa? Aaa..aaa…
Hadi : Hot water, we need cattle to make coffee..
Receptionist : Oh, two hot water. You want coffee…
Hadi : Ha,iyalah. Never mind, thank you.
(Kata Hadi dia dah membayangkan receptionist tu menggaru kepala, berpeluh-peluh dan anxiety attack yang lain sebab tak tahu kettle tu apa.)

Hari dah la hujan…sejuk. Nak minum air panas, cerek takde. Aku bingkas bangun dengan rasa baran terus turun lobi sambil bawa cawan dan paket Milo.

“Agamemnon, i need kettle now. I wanna make hot drink. It’s so cold..need hot drink…please send us kettle” begitulah dialog yang aku lafazkan. Elok-elok aku tahu nama dia, disebabkan epik sangat terus kau dinamakan Agamemnon.

Agamemnon : Ya, ya take hot water..(dia suruh aku amik air panas dekat thermopot belakang dia). Will tell housekeeping..will send.

Aku naik bilik dengan perasaan lega. Satu, lega sebab dapat milo panas. Dua, sebab dia dah maklum bilik aku memang takde cerek. Lepas minum milo dan bersiap, kami turun kembali ke lobi untuk mendapatkan capaian internet. Kebetulan pekerja house keeping ada di level bilik. Jadi aku pun cakaplah, “we need kettle“. Sekali lagi aku dapat reaksi tak faham, tapi kali ini secara live. “Kettle, kettle..boil water, make hot drinks” aku mengexplainkan balik.

Kedua-dua pekerja memandang sama sendiri, dan menghulurkan aku cawan!

Ah, sudah…memang tak jumpa air panaslah aku kalau mcm ini gayanya. Sampai aje di lobi, aku terus google gambar kettle, siap print screen. Kot benak lagi aku kena tunjuk juga gambar tu. Kebetulan ada tetamu lain di lobi, terus aku tanya, ada cerek tak kat bilik dia. Dia cakap ada…Akak mulalah muka Hotlink ekspresi dirimu. Aku memang nekad, kalau tak dapat juga cerek memang aku nk emel pada CEO hotel, Datuk Bandar, Tourism Board dan lain-lain lagi (drama gile).

Me : Agamemnon, where is our kettle?
Agamemnon : House keeping will send…moment
Me : They donno kettle..they give me cup. I dont want cup..i want kettle…
Agamemnon : yes yes they call. Already know (lepas aku jumpa staf house keeping tu diorang call receptionist tanya aku nak apa sebenarnya…)

You come back, kettle in room alreadi.

Kami pun keluar. Sepanjang jalan tu kitorang sembang pasal cerek. Rasanya takdelah tu, takpelah…Sebenarnya catatan ini penuh dengan gelak ketawa dan emosi. Nada bacaan aje macam marah, sebenarnya tak pun. Penuh pujukan dan rayuan untuk dapatkan cerek.

Balik aje ke bilik, cerek dah ada dalam bilik. Siapa pernah tengok iklan Cheer Beer, begitulah reaksi aku dan Hadi. Baik selak mi jumpa udang atau jumpa parking di shopping mall yang penuh, dapat cerek itu satu kejayaan.

P/s: tadi masa lepak lobi pekerja tu sembang-sembang Siam sambil sebut “hot water hot water…” ngumpat aku lettew πŸ™‚

Krabi : Happy Birthday, Benny Part 1

Memang sudah menjadi tabiat aku tidak akan berkerja pada hari lahir aku, hari lahir suami dan hari ulang tahun perkahwinan kami. Aku akan pergi bercuti bersama-sama keluarga atau cuti duduk rumah. Tahun lepas, aku sambut hari lahir aku di Pattaya, Thailand. Tahun ini, sekali lagi aku memilih bumi Thailand tetapi kali ini aku dan suami ke Krabi.

Aku pernah ke sana sekali pada tahun 2014 dengan menaiki kereta. Memang best! Tapi masa itu aku tidaklah rasa Krabi tu best sangat untuk ulang pergi. Disebabkan aku dan Hadi mahukan tempat yang kami pernah pergi supaya kami tidak banyak berjalan, maka kami pilih Krabi. Sangkanya tidaklah kami beriya-iya berjalan sementelah kami sudah merasa berjalan ke sana. Oh, salah besar..itu akan kalian dapatkan dalam pembacaan yang lebih mendalam sama ada dalam post ini atau rangkaian post berkenaan percutian ini.

Umum berpendapat bercuti ke luar negara itu mahal. Orang berduit, berwang, beruk dan ber ber lain sahaja yang mampu untuk ke sana. Salah! Salah besar… Cuti mana yang tak perlu keluar duit? Cuti dalam negara pun kena ada duit. Ringkasnya beginilah…untuk percutian 4 hari 3 malam, tambang kapal terbang pergi balik + bagasi + hotel untuk seorang aku berjaya dapat dengan harga RM460 sahaja. Ya, terima kasih Airasia kerana menjadikannya nyata.

Kalau anda sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi, berderet agen perlancongan yang akan menyapa dan menawarkan perkhidmatan teksi untuk ke hotel. Kami di sapa gadis manis ini, Ameena namanya kalau tak silap. Memang dia pandai tarik pelanggan. Cakap melayu pun handal. Jadi proses urus niaga kami sangat mudah. Ringkasnya, kami ambil perkhidmatan teksi pergi dan balik dari syarikat dia sahaja. Harganya sangat berbaloi, tapi aku tak ingat berapa. Yang pasti, memang aku dan Hadi sahaja dalam van itu.

Kami menginap di Aonang Mountai View Hotel. Oh, tuhan…cantiknya hotel ini. Memang aku terasa macam mewah sangat. Sangat berbaloi. Biliknya agak besar, siap ada kabinet dapur. Sayangnya, cerek takde! Ini aku akan tulis dapat catatan yang lain sebab kisahnya sangat rumit hahaha.. πŸ™‚

Hotel ini agak ke dalam, tapi dekat dengan masjid dan deretan kedai makanan halal. Sebenarnya aku agak terkejut juga sebab kunjungan kali ini tak seperti Krabi beberapa tahun lalu. Kedai halal melambak-lambak sepanjang jalan. Dulu, sedikit azab juga nak mencari kedai makan yang halal. Apapun, kami kena cari motor sewa dahulu. Sayangnya semua motor sewa milik hotel ini sudah habis di sewa orang. Takde masalah, kami hanya perlu berjalan dalam 300 meter sebelum berjumpa jalan besar. Pasti banyak kedai yang menawarkan khidmat sewa motor.

Kami akhirnya menyewa motor di Aonny Massage & Body Scrub. Kos sewa sehari ialah 250 Baht. Aonny sangat ramah. Bila nak ambil gambar, siap minta take 5 untuk dia berbedak kejap.

Misi pertama ialah mencari kedai jahit sebab Hadi mahu tempah sut. Kemudian baharulah kami mencari kedai untuk makan malam. Aku sangat lapar. Hujan rintik-rintik membasahi bumi Krabi malam itu dan aku agak kebuluran. Masih, misi mencari nasi padrik sotong yang sedap seperti di Koh Samui itu gagal.

Selepas makan, kami balik ke hotel. Esok-esok ajelah meronda. Aku sedikit mengantuk. Namun disebabkan capaian wifi hanya boleh didapati di lobi hotel sahaja, aku habiskan dekat 30 minit di situ.

Pattaya Tanpa Nasi Pattaya

IMG_20160119_120336

Boleh dikatakan semua posting aku berkenaan dengan Pattaya mesti ada yang komen ‘tak makan Nasi Pattaya ke?’ walaupun post itu bukan pasal makanan pun. Jawapan aku – aku tak cari Nasi Pattaya di sini. Aku sendiri bukanlah addict dengan Nasi Pattaya. Jujurnya aku mencari nasi padrik sotong di sini. Dalam bayangan rasanya haruslah legendary seperti di Koh Samui. Sayangnya misi itu gagal di Pattaya.

12487265_10153383190315687_7249152001179512688_o

Pagi hari ketiga ini kami mulakan dengan meronda-ronda di kawasan Jomtien. Sepatutnya kami tinggal di sini. Tetapi perancangan telah bertukar. Mujur juga tidak bermalam di sini. Tempat ini sangat laid back. Tenang, aman dan tidak padat dengan pelancong sangat. Kalau memang hendak bercuti dan bertenang, ha, di sini memang sesuai sangat.

IMG_20160119_115623

Apa pun, cari makan dahulu. Tidak tahulah kami yang terlalu awal, atau tempat ini memang lambat bermula. kami sampai sekitar 7.30 pagi. Kedai makan belum banyak yang buka. Yang buka pula tak nampak macam nak halal. Berkat pandangan aku yang detail ini agaknya ketika motor kami melintasi satu kawasan seolah rumah flat, aku ternampak logo halal! Serius gila…aku sendiri kagum dengan ketajaman mata aku mencari hahaha…

Kakak ini ada menjual lauk sotong dengan basil. Rasanya seolah-olah padrik, tapi pedas ya amat sebab cili padi potong bertabur di dalamnya. Jadilah…sedap pula tu. Ditambah dengan telur dadar masak depan mata dan seekor ikan masin. Tak bercakap masa makan dibuatnya. Aku tak sempat ambil gambar sebab dah lapar sangat.

12615723_10153392590865687_1774734509418934363_o

Selepas makan, kami meronda lagi. Pusing kawasan Jomtien sebelum balik ke Chon Buri. Tiada apa sangat aktiviti kami hari terakhir ini. Lebih pada mengambil sut yang ditempah, ronda dan terus meronda lagi. Aku tidak membeli-belah apa pun di sini. Fridge magnet pun aku tak beli. Percutian kali ini lebih kepada menghabiskan masa bersama-sama Hadi. Betapa kami benar-benar menikmati percutian bersama ini.

IMG_20160120_132940

Akhirnya di lapangan terbang U-tapao aku menemukan makanan yang sedap ini. Walaupun bukan padrik sotong, tapi bolehlah. Udang basil apa entah namanya.

Rasanya itu sahaja yang sempat aku kongsikan. Ada banyak yang aku simpan sendiri dan menjadi memori kami berdua sahaja. Kalau ada rezeki, aku mahu ke sini lagi πŸ™‚

IMG_20160120_094744

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...