Cahaya Balqis

facebook-20150705-134344

Ahad lalu, genap 3 tahun Cahaya Balqis pergi meningkalkan aku dan Hadi. Kami berempat buat pertama kalinya ke kubur bersama. Eskandar dan Ezzudin memberikan kerjasama yang baik. Dua-dua senyap dan tidak meragam.

Rasanya itu kali pertama aku sebak, tetapi aku masih boleh menahan airmata. Mungkin sebab kedua-dua ED ada bersama jadi jiwa aku tidaklah begitu ranap. Masih boleh berkompromi dengan perasaan yang ada. Sebenarnya aku sedikit konfius sebab ‘sukarelawan/jawatankuasa’ yang membersihkan kawasan perkuburan memotong pokok yang kami tanam di situ. Tinggal batang aje! Apalah salah pokok kecil itu, ia tidak menjalar ke kawasan lain pun sekadar meredupi pusara anak aku yang tak besar mana pun.

Ezzudin hanya diam. Itu sudah cukup bagus. Eskandar memerhati apa yang kami buat. Hadi ajar dia untuk mencabut rumput-rumput kecil. Dia buat sambil senyum. Ketika kami membaca Al-fatehah, dia turut menadah tangan sama.

“Ini kubur kakak…”

Eskandar tetap senyum.  Aku tahu dia belum faham pun. Tak apalah…satu hari nanti dia tahu juga.

Selepas itu kami ke kubur abah pula.


 

Notification FB tentang memori pada hari ini aku baca. Sedih itu tetap ada, tetap terasa.

IMG_20150705_230652

IMG_20150705_230646

IMG_20150705_230641

Paling sedih setiap kali aku baca,

IMG_20150705_230629


 

“Kalau diikutkan anak kita sudah tiga…”

‘Hmmm…’

Dan fikiran kami pantas menerawang.

Al-fatihah buat kamu Cahaya Balqis Abd Hadi. Cinta dan kasih sayang mama pada kamu tak pernah surut.

Rindu

heaven

Ketika senja hampir berlabuh aku ke situ. Sekian lama dia tidak aku kunjungi. Sumpah ingatan padanya tak pernah padam. Hanya keadaan dan situasi menyebabkan aku tidak kerap ke situ. Bila aku hitung kembali, rasanya hampir 5 purnama lamanya.

Bagaimana rumahmu kini? Terpeliharakah kamu dikalangan bidadari-bidadari yang lain? Terakhir aku mampir ke mari kami tanamkan pepokok kecil dengan harapan besarnya meredupi rumahmu itu.

Nyatanya ia tumbuh merimbun. Bebunga putih kecil mulai memutik. Hijau dedaunannya menyejukkan hati aku yang sedikit gusar memikirkan tumbesaran yang kala ia ditinggalkan diterpa pelbagai musim cuaca yang menggila.

Semalu yang sedikit meliar kami kemaskan. Bebatuan kecil disusun kembali pada makammu. Kami berdua bercerita, seolahnya kamu mendengar kami, anakku. Abah katakan kamu kini punyai dua adik lelaki yang comel. Kedua-duanya kini melengkapi hidup kami yang dahulunya sepi tanpa kamu. Aku seakan kelu tanpa bicara. Butiran kata yang aku simpan dikotak memori seakan lenyap tanpa terluahkan. Berkesudahan aku mengulang apa yang abahmu lafazkan.

3 tahun pantas berlalu. Doakanlah kebahagiaan kami duhai cahayaku yang telah pergi. Sesungguhnya kamu terpelihara dari dunia yang penuh kekejaman manusia yang hanyut dengan tipu daya syaitan. Kamulah tali pengikat yang akan menyelamatkan kami dihari perhitungan nanti.

Cahaya Balqis yang kusayang, mama rindu kamu….separa lena malamku tadi seolah bayangan seorang anak kecil tersenyum. Aku mencuba menatap wajahnya untukku rakam dalam memori. Tetapi kau menghilang…

Dan aku kembali menjadi perindu…

Apa Khabar Kamu, Sayang?

dd
Sebelum ini, selama 2 tahun

 

Telah lama kita tidak bertemu
Tak pernah ku dengar berita tentangmu
Apa kabar kamu sayang
Apa kabar kamu sayang

Aku kan terus mendoakanmu
Walau tak ku dengar berita tentangmu
Apa kabar kamu sayang
Apa kabar kamu sayang
Disana…

*****

5 Julai 2014..

2 tahun sudah Cahaya Balqis Abd Hadi pergi. Dalam hati aku ini, Allah SWT sahaja yang tahu. Macam-macam perasaan ada.

******

dd2

Sabtu lalu akhirnya kami berkesempatan menanam pokok kecil di pusara dia. Hasrat yang tertangguh selama 2 tahun. Setidaknya ada juga tumbuhan yang akan berzikir untuk dia sepanjang dia menanti kehadiran kami di alam yang lain. Hadi yang melakukan semuanya. Aku hanya duduk di kerusi yang kebetulan ada di situ dan memerhati. Aku tidak mampu untuk menunduk dan berdiri lama. Sekali-sekala aku menyeka airmata yang tidak henti-henti mengalir. Lama-kelamaan aku biarkan saja.

Aku tidak pasti sama ada aku akan masih ada rasa sebegini ketika ulangtahun kelahirannya yang ke-5, ke-10, ke-21 atau selama-lamanya.

Aku sentiasa nantikan kunjungan bidadari kecil dalam mimpi yang saat kini belum pernah aku bertemu. Dalam hati tersangat rindu.

Al-fatehah buatmu, sayangku…

Selesai menanam..
Selesai menanam..

Ohai, Julai!

2014-july-calendar-image

Seperti biasa, aku meletakkan alasan sibuk kerana tidak dapat mengemas kini blog berbayar ini dengan sempurna. Bukan kerana tidak menghargai duit. Aku menghargai masa dengan keluarga dan masa-masa itu menyebabkan aku sedikit sibuk. Juga 2 minggu aku berehat panjang selepas menjalani pembedahan kecil yang sengaja aku diamkan atas sebab-sebab tertentu.

Ok, Ohai Julai…!

Sudah 7 bulan kita melayari tahun 2014. Punyalah pantas masa berlalu. Syukur kepada Maha Pencipta kerana hampir beberapa azam 2014 yang aku suratkan sedang dalam proses pelaksanaan.

Umat Islam juga menyambut Ramadan pada bulan ini. Selamat berpuasa kepada semua. Aku sendiri cuba untuk berpuasa penuh tapi dalam keadaan sekarang, aku memang tidak memaksa diri. Kalau larat puasa, tak larat tak puasa.

Oh, aku mengandung lagi..nampaknya sudah 3 tahun berturut-turut. Semoga ada rezeki Eskandar Dzulkarnain menjadi abang.

Cahaya Balqis lahir dan meninggalkan kami pada 4 Julai, hari yang sama hari lahir M.Nasir.

Eskandar Dzulkarnain akan menyambut ulang pertama pada 7 Julai.

Hadi pula lahir pada 14 Julai.

Ada lagi adik-beradik, ipar-duai dan kenalan lain lahir pada bulan Julai.

Pendeknya, Julai ini padat. Dan Insyaallah, Julai ini indah 🙂

Konvo Akhirnya..

konvo 1

2 tahun bertungkus-lumus menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. Tidaklah tua mana, tetapi kerana lama meninggalkan kerusi dewan kuliah, agak perlahan rentak membiasakan diri sebagai seorang pelajar. Ia mengingatkan aku akak subjek dan predikat yang membawa aku bersungguh mahu kembali ke ruang lingkup universiti. Bermula dari habluran jiwa retak atas pelbagai faktor, memenuhi azam sebelum mati dan mengisi kekosongan hidup yang belum tercapai matlamat. Ah, ia terlalu bermakna untuk aku kenang dan jadikan kekuatan memperbaiki diri yang serba lompong di sana-sini.

Aku masih ingat betapa blur-blur lipas sungguh keadaan aku kala itu. Bila mana aku memutuskan aku harus berehat seketika dan menyambung pelajaran, faktor kewangan menjadi asas pertimbangan yang utama. Aku tidak mahu menambah beban dengan berhutang, sementelah aku sedaya upaya hidup dalam keadaan minima berhutang. Lantas aku tanyakan beberapa manusia yang berpengalaman akan cara untuk memohon biasiswa. Jawapan yang aku dapat sangat berbelit, mengelirukan dan tidak membantu. Aku sendiri tak faham mengapa seolah ada unsur mengelak dalam memberikan jawapan yang telus. Semuanya aku lakukan dengan cara berjudi..Berjudi mencuba memohon tempat dahulu dan disusuli berjudi mencuba mendapatkan biasiswa. Seterusnya aku berjudi dengan memajukan surat memohon cuti untuk sambung belajar dalam keadaan aku sendiri kelam sama ada tindakan ini hujung atau pangkal. Persetankan, yang penting semuanya aku buat serentak.

Menyingkap pengalaman lebih kurang sama sewaktu mencuba memohon biasiswa JPA ketika mengambil ijazah sarjana muda satu masa dahulu. Ada yang tahu bagaimana untuk memohon, dan memohon pun. Tetapi bila aku tanyakan bagaimana caranya, mengelak dengan dasyat seperti pelajar nakal yang mencuri merokok di premis sekolah. Sudahnya atas ehsan seorang, dia memberi satu salinan fotostat borang permohonan. Aku hantar, dia pun hantar. Kami sama-sama dapat. Yang mengelak bersungguh-sungguh itu tak dapat. Ngeh…

Seperti kejadian di atas, rezeki akhirnya milik aku. September 2011 aku kembali menjadi skema gaban dengan menggantung kad matriks dileher. Sah…aku seorang pelajar universiti 🙂

***

Dugaan yang aku lalui sangat besar dan menduga. 6 tahun aku berkahwin, belum ada rezeki hamil. Dalam keadaan menjadi pelajar itulah aku hamil. Kala itu dunia sangat indah. Aku dan suami merasakan aturan hidup kami mulai menampakkan jalannya. Kali pertama hamil dalam keadaan peperiksaan akhir sangat meletihkan. Sentiasa berkejaran dengan masa dan serba-serbi memenatkan. Kala kandungan genap 5 bulan, aku terpaksa melakukan ‘force delivery’ kerana air ketuban pecah awal. Cahaya Balqis dilahirkan dalam keadaan bernyawa. Namun terpaksa dilepaskan pergi menemui pencipta-Nya. Hancur luluh perasaan aku. Sudahlah tengah berjuang dengan peperiksaan akhir. Satu kertas terpaksa aku abaikan. Langit runtuh..Kalau tidak kerana aku kuatkan semangat, aku akui mungkin aku menjadi mental ketika itu. Kawan-kawan dan pensyarah banyak membantu dan memberi semangat untuk aku meneruskan kehidupan. Kerana itu ketika aku disahkan hamil kembali ketika di semester tiga, aku sedaya-upaya sorokkan dari pengetahuan umum. Satu lagi dugaan, aku dan suami kemalangan yang menyebabkan kereta kami rosak teruk selepas 3 kali berpusing berkesudahan terbabas merentang bahu jalan. Yang menjadi asas ceritanya, pagi itu baru aku tahu aku hamil.  Atas dugaan demi dugaan yang menimpa, aku yakin ada rezeki besar menanti.

Kali ini aku lebih berhati-hati. Tinggal 2 semester sahaja lagi. Mengikut perkiraan, aku dijadualkan bersalin ketika tarikh mempertahankan tesis. Aku selalu berdoa agar kehamilan itu tidak menyebabkan aku harus menambah semester dan berjaya menghabiskan pengajian mengikut waktu yang ditetapkan. Sekali lagi pensyarah membantu dengan mempercepatkan tarikh Viva Voce untuk aku. Dalam keadaan sarat 36 minggu, proses itu aku lalui dengan nafas kelegaan yang berganda..Seminggu selepas itu Eskandar Dzulkarnain lahir ke dunia. Segalanya indah kembali..

Alhamdulillah aku mendapat keputusan yang cemerlang. Aku tak sabar nak konvo. Aku tak sabar mahu mengambil gambar keluarga dalam keadaan memakai jubah konvo. Kerana apa? Kerana sewaktu konvo ijazah, ia berlaku dalam keadaan yang biasa. Tiada detik indah bersama keluarga, tiada gambar bersama keluarga. Tiada hadiah yang diterima melainkan jambangan bunga kecil dari Hadi. Dan yang lebih menyediahkan, tiada abah..Dia pergi sebelum sempat melihat aku menerima ijazah. Yang membuatkan aku menangis setiap kali teringat kisah konvo, aku menerima jemputan keluarga untuk konvo selepas kembali dari tanah perkuburan selepas abah disemadikan. Kerana itu konvo ijazah terasa biasa-biasa sahaja walaupun berbintang jua semasa nama aku diumumkan untuk mengambil sijil. Detik itu aku menyimpan azam. Sekiranya ada rezeki untuk berkonvo lagi, aku mahu jadikan peristiwa itu satu memori indah dan mekar dalam hidup yang sementara ini.

Hidup Spank!
Hidup Spank!

Istiadat Konvokesyen ke-79 membuka tirai pada 9 November 2013. Menerima sijil dalam Sidang Satu aku memegang nombor giliran A139. Semuanya menjadi nyata. Aku memiliki sijil sarjana. Aku berpeluang mengabadikan detik itu dengan Hadi dan ED. ED sangat comel..ramai yang ‘meminjam’ dia untuk bergambar bersama. Sengaja aku memilih dia mengenakan baju lebah bersesungut itu kerana ED comel menggayakannya. Pokok pangkalnya dia memang menarik perhatian khalayak.

Mama dan Ameera turut hadir menyaksikan hari bersejarah itu. Aku harap Mama bangga dengan pencapaian sederhana ini. Aku harap Ameera mendapat semangat baru selepas menyaksikan sendiri betapa meriahnya konvo dalam keadaan keputusan cemerlang ditangan. Insyaallah aku akan meneruskan semangat mengejar ilmu ini di masa hadapan. Aku mahu rehat barang setahun-dua sebelum merencana langkah seterusnya.

Jika ada rezeki, aku mahu naik ke pentas itu lagi bersama Hadi. Aku juga mahu naik ke pentas itu lagi bersama Hadi dan ED. Siapa tahu mungkin angan-angan ini menjadi nyata 🙂

Macam comel aje, macam putih aje..
Macam comel aje, macam putih aje..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...